BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Sabtu, Disember 25, 2010

Buku Jingga : Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia

Setelah 53 tahun merdeka negara kini berada dalam krisis. Cita-cita untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur telah gagal.

Demokrasi dan hak asasi rakyat terus dinodai oleh pemerintah UMNO/BN. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa membarah. Kekayaan negara telah dibolot oleh segelintir elit berkuasa. UMNO/BN tidak mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi. Pendapatan rakyat tidak meningkat kerana dikekang oleh pemerintah. Daya saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak berjiwa rakyat.

Krisis parah sebegini memerlukan tekad dan azam politik untuk diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru dengan membuat anjakan paradigma. Maka, Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang dimeterai.

Dasar Bersama adalah berlandaskan empat kerangka asas iaitu:

Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;

Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;

Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
 
Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.

Muafakat asas yang membentuk Dasar Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Tiga perkara pertama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Pakatan Rakyat untuk:

Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.

Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.
 
Ketetapan Pakatan Rakyat mengangkat konsep muafakat di antara parti-partinya membentuk kesepakatan perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi laluan kepada lahirnya sistem dua parti di negara ini. Sejarah besar yang dicipta dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk menukar kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang bobrok dalam PRU13 berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan bersejarah, ia satu kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis parah.

Agenda Pakatan ini adalah nadi kepada perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pegangan untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang menzahirkan semangat demokrasi dan keadilan dalam semua aspek. Agenda ini menuntut perubahan mutlak (minda, pendekatan dan kaedah) untuk menggembleng muafakat semua pihak. Ini perlu demi membebaskan institusi-institusi penting negara dari durjana campur tangan sebahagian kecil golongan elit yang mempertahankan tembolok mereka semata-mata.

Pakatan Rakyat juga meletakkan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama sebagai teras kepada kesemua program yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang, demi membela nasib rakyat terbanyak.

Malaysia berdepan dengan prospek ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara serantau yang pernah setanding dengan kita. Tatkala Malaysia masih meraba-raba mencari penawar kepada kemunduran ekonomi ini, negara wajib waspada dengan saingan baru dari negara-negara yang sebelum ini lebih mundur dari kita. Darjat ekonomi kita di mata antarabangsa dan dalam konteks ekonomi global telah merudum.

Lebih parah lagi, pemerintah yang bongkak dan mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat. Bantuan-bantuan kepada rakyat disekat atas nama mengurangkan beban kerajaan, sementara lohong ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan negara dapat mereka bolot secara rakus.

Tindakbalas pemerintah juga adalah songsang dan tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya saing negara. Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana janji untuk membawa ‘transformasi ekonomi’ bercanggah dengan tindakan semasa yang bertentangan dengan tuntutan reformasi.

Makanya, negara dan rakyat berdepan dengan ketakutan yang berlipat kali ganda. Amalan menunggang institusi-institusi penting negara demi menutup kelemahan sendiri dan menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa. Matlamat kuasa BN adalah untuk terus berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan berkesan untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan sosial yang semakin menghimpit.

Malaysia perlu diubah sekarang. Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan sedia ada adalah kabur. Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala kerosakan bangsa dan negara akan berterusan. Malaysia akan bertukar dari status malap kepada gelap.

Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan prinsip keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera. Pakatan Rakyat yakin bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara dan masyarakat kita.

Agenda Pakatan ini menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil. Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat. Hasrat ini akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran dan institusi-institusi penting negara.

Agenda Pakatan ini adalah penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah masyarakat yang digariskan oleh Dasar Bersama. Ia adalah jendela yang paling luas untuk menggambarkan sebuah Malaysia yang makmur dan adil di bawah Pakatan Rakyat.

Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.

Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Y.B. Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)


 
 
NEGARA DALAM KRISIS

Krisis Ekonomi


Ekonomi negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Jawapan pentadbiran sedia ada kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji melalui kempen slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.

Rakyat disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan ekonomi yang digunapakai selama ini.

Program-program ini masih bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan negara.

  • 12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.
  • 10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.
  • 4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.
  • 4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.
  • KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.
  • 325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata sumbangan PETRONAS setahun adalah 81.25 billion ringgit.
  • 53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.
  • 3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).

Kerosakan Institusi Negara

Institusi-institusi penting negara rosak akibat dari campur tangan penguasa. Kewibawaan badan kehakiman terhakis. Salah laku hakim-hakim yang dibongkarkan dan diketahui umum menyebabkan rakyat dan masyarakat antarabangsa hilang keyakinan terhadap institusi kehakiman.

Malah, amalan mencampur-adukkan kepentingan politik penguasa dengan pentadbiran negara untuk memberi kelebihan kepada parti yang berkuasa semakin menjadi-jadi.

Jika integriti institusi-institusi penting negara tidak dipulihkan, bahana kepada negara dan rakyat adalah berganda. Selain ketidakadilan yang berleluasa di dalam masyarakat, sebarang usaha untuk membaiki imej Malaysia di mata pelabur asing juga akan terus cacat dan tidak berkesan.

  • Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh World Economic Forum dari tahun 2007 ke 2009

Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum

Pemerintah sedia ada mengambil jalan tidak bertanggungjawab memecah belahkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum untuk terus kekal berkuasa. Taktik pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah ini semakin menjadi-jadi sejak tsunami kebangkitan rakyat 2008; menggambarkan tingkah laku penguasa yang akan menggadaikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum apabila semakin terdesak.

Rentetan peristiwa berbaur perkauman yang berlaku sejak Mac 2008 akibat permainan politik perkauman sempit UMNO/BN mengancam persaudaraan rakyat pelbagai kaum.

Kegilaan menggunakan isu-isu yang mengapi-apikan perasaan curiga antara kaum dan menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa semakin menjadi-jadi mutakhir ini kerana penguasa yang terdesak.

Bebanan Rakyat

Kelesuan ekonomi dan kegagalan pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke prestasi lebih tinggi membawa kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin meningkat.

  • 2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin).
  • 4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.
  • 40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.
  • 3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.
  • 34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.
  • 62% dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana bebas, konsesi lebuhraya).
  • 3 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang cuba ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya setiap tahun.
  • RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.
  • RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.

Hak Rakyat Dinodai

Peristiwa salah guna kuasa yang memangsakan rakyat berleluasa. Insiden-insiden yang melibatkan remaja ditembak polis semakin meningkat dan merangkumi mangsa dari pelbagai kaum.

Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan maklumat alternatif kepada rakyat.

Tindakan-tindakan penguasa sebegini tidak menggambarkan niat sebuah kerajaan yang menghormati kebebasan rakyat dan menjaga kehormatan rakyatnya. Kekangan dari pihak berkuasa berterusan dan tidak ada tanda-tanda akan berubah dengan sendiri.

Gejala Rasuah Berleluasa

Rasuah adalah barah utama yang menghancurkan negara dan bangsa dari dalam. Gejala rasuah yang berakar menjadi halangan kepada usaha-usaha untuk menyuntik dinamisme ke dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Sejak sedekad lalu, rasuah juga adalah penyebab kurangnya minat pelabur asing untuk datang ke Malaysia yang telah merumitkan lagi usaha memulihkan ekonomi negara yang kian malap.

Rasuah berleluasa kerana dokongan pentadbiran sedia ada yang selesa dengan golongan rentier (terutamanya dari kalangan kroni dan parti pemerintah). Golongan rentier ini dikenali dengan pelbagai nama sebelum ini – atas angin, Ali Baba dan sebagainya. Golongan ini adalah parasit yang menyelewengkan sumber negara dari rakyat ke poket mereka.

Gejala rasuah akan terus meruntuhkan daya saing dan jati diri rakyat Malaysia dalam suasana acuh tidak acuh yang ditunjukkan pentadbiran sedia ada.

  • 28 bilion kerugian yang ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa.
  • 3 kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.
  • 4.4 skor dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Negara tahun 2010, sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor ini lebih rendah dari tahun 2009.
  • 46% dari rakyat yang ditinjau oleh Transparency International menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam tahun 2010 berbanding 2009.

Krisis Pendidikan

Kelesuan ekonomi dan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat pelbagai kaum adalah bahana yang menimpa rakyat apabila pendidikan di negara ini diperkotak-katikkan mengikut selera pemerintah. Selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan, dunia pendidikan Malaysia hilang serinya – dulu dihormati serantau, kini hanya mengambil tempat kedudukan yang corot dalam senarai-senarai pendidikan antarabangsa.

Sekolah-sekolah dan universiti dilihat sebagai pentas menjual pengaruh politik walhal pendidikan rakyat adalah kaedah terbaik menstrukturkan masyarakat dan memacu ekonomi negara demi kesejahteraan bersama. Negara-negara yang paling makmur dan sejahtera adalah negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan peringkat rendah, menengah dan tertiari yang paling berkesan dan adil.

  • 57 anak tangga dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010 mengenai kadar pembangunan insaniah di dunia, jauh ditinggalkan Korea Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan Brunei (37).
  • 68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea Selatan (96.4%), Hong Kong (75.2%) dan Brunei (88.2%).
  • 1 orang dari setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan menengah dan tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009.
  • 29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).

 
KEMAKMURAN, KEADILAN SOSIAL DAN PERSAUDARAAN RAKYAT BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat telah mempamerkan rekod pentadbiran yang meniupkan semangat keadilan sosial dan persaudaraan rakyat untuk menjamin kemakmuran bersama. Prinsip asas yang dijunjung dari Dasar Bersama telah dihadam dan dihidupkan melalui pelbagai dasar pro-rakyat yang telah dijalankan selama ini.

Fokus utama Pakatan Rakyat dalam tempoh setahun akan datang adalah menyemarakkan lagi pendekatan pro-rakyat atas landasan keutuhan sistem pentadbiran yang demokratik untuk memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri keikhlasan dan keberkesanan Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan.

Ini akan dilakukan melalui pengenalan langkah-langkah spesifik yang tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan akan diperjuangkan di peringkat nasional oleh pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat.

Rekod pembelaan rakyat yang dicapai oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor tidak dapat ditandingi oleh lawan. Pentadbiran Pakatan Rakyat diakui bebas rasuah, telus, berjiwa rakyat lagi berkebajikan dan berjaya meningkatkan hasil negeri berdasarkan laporan-laporan rasmi dari Jabatan Audit Negara dan pemantau bebas.

Bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus dalam usaha menterjemahkan Dasar Bersama adalah seperti berikut:

Membebaskan Institusi Negara

Merakamkan pentingnya institusi-institusi penting negara yang bebas dan berintegriti, Pakatan Rakyat komited untuk:

Meneruskan konsep pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus seperti yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat; sebagai gambaran sebuah pentadbiran yang membebaskan institusi-institusi penting negara dari cengkaman campur tangan politik.

Mewujudkan Majlis Pakar-Pakar (Council of Experts) dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.

Mewujudkan Jawakatankuasa Parlimen yang memantau fungsi dan keberkesanan Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan Jawatankuasa Parlimen setiap enam bulan sekali.

Memperhebatkan proses pendidikan politik melibatkan golongan sasaran yang lebih besar mengenai peri penting keutuhan institusi-institusi penting negara yang berintegriti; dengan kerjasama NGO dan masyarakat sivil/madani.

Istiqamah dalam kempen dan gerak kerja politik untuk memberi tekanan kepada pentadbiran sedia ada agar membebaskan institusi-institusi penting negara dari campur tangan politik.
 
Kemakmuran Melalui Pengagihan Ekonomi yang Adil

Menghargai pengorbanan dan rasa perit rakyat yang tertindas dengan kesempitan hidup akibat agihan ekonomi yang tidak adil, Pakatan Rakyat komited untuk:

Menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari tumpuan kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat. Persoalan ekuiti 30% yang kononnya diperjuangkan untuk Melayu/Bumiputra telah diselewengkan untuk mengkayakan golongan elit dan pemerintah, sedangkan rakyat terbanyak masih lagi bergelumang dalam kemiskinan. Kaedah meningkatkan pendapatan isi rumah memberi kesan ekonomi yang langsung kepada ratusan ribu keluarga yang masih berada di bawah garis pendapatan RM1,500 sebulan.

Menyiasat dan bertindak ke atas penyelewengan harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra termasuklah skandal kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan kepada golongan elit dan kroni pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra, sedangkan majoriti rakyat masih lagi berada di dalam kategori rakyat miskin.

Meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa diskriminasi sebagai kaedah mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil kepada rakyat, termasuklah skim-skim kebajikan rakyat seperti skim air percuma, skim warga emas, skim bantuan ibu tunggal dan lain-lain.

Mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selagi subsidi-subsidi korporat kepada penjana bebas dan pemegang-pemegang konsesi tidak distrukturkan terlebih dahulu.

Membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh lima tahun memerintah di peringkat Persekutuan. Ini boleh dilaksanakan melalui beberapa dasar bersepadu yang bertujuan mengangkat pendapatan rakyat dan menambah peluang pekerjaan agar setiap isi rumah mempunyai lebih dari seorang yang berpendapatan. Dasar-dasar ini termasuklah pelaksanaan gaji minima, undang-undang majikan yang memberi ruang kepada kaum wanita melaksanakan tugasan dari rumah, skim latihan untuk menukar dan menaiktaraf tenaga kerja dan bantuan keusahawanan yang tidak mengamalkan diskriminasi.

Menjamin kelangsungan bekalan makanan negara pada harga yang tidak membebankan negara dengan langkah-langkah drastik dalam tempoh dua tahun memerintah di peringkat Persekutuan untuk mengurangkan pergantungan kepada import makanan.
 
Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat

Menyedari terhakisnya kuasa beli rakyat akibat kenaikan gaji yang tidak setara dengan kos sara hidup yang mencanak, ada keperluan mendesak supaya pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat ditingkatkan serta-merta. Pakatan Rakyat komited untuk:

Menstrukturkan kembali empat bidang infrastruktur dan utiliti awam supaya kos yang kini dibayar oleh rakyat dapat dikurangkan dengan menghentikan manipulasi monopoli untuk keuntungan berlebihan oleh pemegang konsesi. Empat bidang infrastruktur dan utiliti awam ini adalah bekalan air, bekalan elektrik, lebuhraya dan kemudahan jalur lebar. Pakatan Rakyat akan memulangkan pengurusan bidang-bidang ini kepada rakyat melalui kaedah pengurusan yang lebih kompetitif.

Menyempurnakan pengambilalihan pengurusan industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang berpatutan untuk rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah dinikmati rakyat.

Menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan bagi memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus disediakan kepada rakyat terbanyak.

Mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara sebagai badan induk yang mengawal, membangunkan dan mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat untuk menjamin setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang selesa pada harga yang berpatutan dengan pendapatan mereka.

Menyelesaikan kes-kes projek perumahan terbengkalai yang menekan rakyat dengan sebarang kaedah yang difikirkan sesuai oleh kerajaan pada kadar yang segera. Setakat ini, projek perumahan terbengkalai membabitkan 3,000 unit telah diambil alih dan sedang dipulihkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Meneruskan dan meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan untuk memberi bantuan khusus kepada golongan termiskin melonjakkan kedudukan ekonomi mereka, melalui bantuan kewangan, latihan dan pemantauan. Setakat ini, RM70 juta telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
 
Pemberdayaan Rakyat

Merakamkan peranan rakyat sebagai mekanisme timbang tara (check and balance) yang penting untuk menjamin pentadbiran yang bersih, Pakatan Rakyat komited untuk:

Meneruskan pemberdayaan rakyat sebagai mekanisme timbang tara dengan mengamalkan ketelusan pentadbiran dan maklumat dengan rakyat. Ini termasuklah dengan menyempurnakan pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Enactment) yang telah pun diperkenalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Memperhebatkan sokongan kepada masyarakat sivil/madani melalui bantuan-bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan rakyat, sebagai langkah mengukuhkan peranan NGO menjadi suara pembela rakyat.
 
Golongan Pendidik Diutamakan

Merakamkan penghargaan kepada golongan pendidik yang menjadi teras pembangunan negara dan persaudaraan rakyat, Pakatan Rakyat komited untuk:

Meneruskan bantuan terus kepada semua jenis institusi pendidikan marhaen yang membuka ruang pendidikan kepada rakyat, termasuk bantuan terus kepada golongan pendidik di institusi-institusi ini sebagai penghargaan kepada pengorbanan dan khidmat mereka.

Memperjuangkan pengharmonian gaji pendidik yang berbeza-beza latar belakang dan kelulusan, dengan prinsip memastikan kriteria penilaian yang lebih adil kepada para pendidik mengambil kira kepakaran dan tempoh berkhidmat.

Memperjuangkan skim gaji yang setara dengan golongan profesional di dalam sektor-sektor lain seperti jurutera, akauntan dan doktor yang diikat dengan penilaian prestasi yang lebih adil dan menyeluruh untuk menjamin mutu pendidikan negara.

Menilai semula guna tenaga semasa di sekolah-sekolah untuk memastikan semua guru-guru terlatih dan berkelayakan, termasuk menyelesaikan persoalan naiktaraf guru-guru sandaran.

Mengurangkan karenah birokrasi dan pentadbiran dalam dunia pendidikan yang membebankan golongan pendidik, terutamanya pertukaran-pertukaran dasar utama yang silih berganti dan mengongkong golongan pendidik kepada kerja-kerja menulis laporan dan pentadbiran yang mengurangkan masa pengajaran dan pembelajaran.
 
Budaya Ilmu Sebagai Teras Universiti

Mengangkat krisis kredibiliti dan mutu universiti sebagai masalah utama negara, Pakatan Rakyat percaya bahawa penyelesaian tidak boleh dilengahkan dan tumpuan khusus perlu diberikan kepada usaha-usaha memartabatkan universiti. Pakatan Rakyat komited untuk:

Mengembalikan kebebasan intelek dan akademik kepada universiti, dengan menghapuskan semua campur tangan politik dalam urusan universiti.

Mewujudkan Panel Pemilih yang terdiri daripada pakar-pakar untuk menyenarai pendek dan menilai calon-calon pimpinan universiti supaya calon yang terbaik diangkat mengepalai universiti, sebagai bukti komitmen Pakatan Rakyat kepada prinsip meritokrasi akademik di universiti.

Menyertai perjuangan mahasiswa dengan memberi sepenuh sokongan dan bimbingan untuk menghapuskan AUKU dan menuntut hak bersuara dan berpolitik mahasiswa.

Menyelesaikan krisis pembiayaan pendidikan tinggi (yang dijangka akan menyebabkan defisit PTPTN melambung ke paras RM46 bilion dalam masa sedekad) dengan mengurangkan beban peminjam dengan cara memperkenalkan polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.

Menjamin hak setiap rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada kadar yang paling minima.

Mengembalikan hak rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan biasiswa bagi mereka yang layak dan menghentikan kecenderungan memperdagangkan pendidikan tinggi demi keuntungan.
 
Memerangi Rasuah
 
Menginsafi kemusnahan yang telah dibawa oleh barah rasuah kepada masyarakat dan negara kita, Pakatan Rakyat komited untuk:

Membawa pentadbiran SPRM di bawah pertanggungjawaban Parlimen, termasuk dalam urusan meluluskan perlantikan jawatan-jawatan tertinggi SPRM.

Melancarkan perang membasmi rasuah di peringkat negeri termasuk mengemaskini prosedur dan mekanisme pentadbiran untuk mengurangkan jurang berlakunya rasuah.

Menyediakan peguam-peguam dan pemimpin parti untuk membela individu atau pihak yang membongkarkan skandal rasuah tidak mengira fahaman politik, supaya lebih ramai yang tampil ke hadapan memikul tanggungjawab memerangi rasuah.

Meneruskan amalan tender terbuka yang telah dilaksanakan, termasuk dengan memperkenalkan inovasi baru dalam pentadbiran perolehan bagi mengetatkan lagi prosedur perolehan agar bebas dari anasir rasuah.
 
Sabah-Sarawak Sebagai Rakan Kongsi

Menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia dan perjanjian-perjanjian yang telah dibuat, Pakatan Rakyat komited untuk:

Mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.

Menaikkan royalti dari hasil petroleum dan hidrokarbon dari Sabah dan Sarawak kepada 20% berbanding kadar 5% yang diamalkan masa kini.

Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Memberi tumpuan khusus membawa pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak agar setara dengan tahap prasarana yang ada di negeri-negeri lain di dalam Persekutuan.

Meningkatkan integrasi nasional di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung melalui perkongsian kuasa yang adil dan menepati semangat Persekutuan.
 
 
PROGRAM 100 HARI PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.
 
Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:

Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.

Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.

Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
 
1. Demokrasi Telus dan Tulen

A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
B – Pemisahan Kuasa
C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil
 
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
B – Ekonomi Demokratik dan Telus
C – Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
E – Tenaga Kerja
F – Jaringan Perlindungan Sosial
G- Perumahan
H- Prasarana dan Kemudahan Awam
I- Alam Sekitar

3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan

A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
B – Agama
C – Pendidikan
D – Wanita dan Institusi Keluarga
E – Golongan Muda
F – Keselamatan
G – Kesihatan
H- Kebudayaan

4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara

A – Sistem Persekutuan
B – Sabah dan Sarawak
C – Dasar Luar Negara

 
MUAFAKAT RAKYAT

Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan “demokrasi otoritarian”. Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tercicir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.

Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campur tangan politik dan kepentingan perniagaan.

Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.

Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.

Malah kami yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.

Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil terutama bagi kelompok miskin dan terpinggir.

Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. Demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.

Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.

1. Demokrasi Telus dan Tulen

A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang


Perlembagaan Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pakatan Rakyat akan:

i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153
 
ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.
 
iii. Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

iv. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.

v. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.

vi. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

B – Pemisahan Kuasa

Keberkesanan amalan sistem demokrasi bergantung kepada keutuhan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa. Integriti sesebuah kerajaan bergantung kepada kebebasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjamin keseimbangan antara cabang eksekutif, kehakiman dan legislatif.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman.

ii. Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya lebih telus, demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak dan imbang.

iii. Menjamin pertanggungjawaban badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada Parlimen.

iv. Mewajibkan perlantikan jawatan-jawatan seperti Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.

v. Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).

vi. Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.

vii. Membebaskan media, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan Internet.

viii. Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta menjamin kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali dan menjalankan tanggungjawabnya secara cekap.

ix. Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil. Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.

C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil

Kewibawaan sistem pilihanraya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan. Makanya adalah penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkaitan dengan pilihanraya.

Pakatan Rakyat akan:

i. Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.

ii. Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan membersihkan senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri, memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan menggunakan dakwat kekal.

iii. Memastikan media massa memberi ruang kepada semua parti politik secara adil dan saksama, tempoh kempen yang munasabah dan pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan bebas.

iv. Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.

v. Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihanraya umum.

vi. Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menghukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.

2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil

Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan. Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah negara secara cekap dalam pelaburan dibidang-bidang dan sektor-sektor utama dan strategik adalah penting bagi menjamin daya saing negara.

Merancakkan pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan bakal menjadikan ekonomi berdaya maju dan berdaya tahan.

Pakatan Rakyat beriltizam untuk ‘Merakyatkan Ekonomi Negara’ bagi memastikan kemakmuran dan kekayaan yang terhasil dikecapi oleh seluruh lapisan rakyat. Sekaligus merapatkan kesenjangan diantara kaya-miskin serta mengatasi ketidak seimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan tempang yang tidak mendahului kepentingan rakyat ramai.

A – Ekonomi Kemahiran Tinggi

Paksi kepada ekonomi berprestasi tinggi adalah tenaga kerja yang berpengetahuan, berketerampilan dan berkemahiran. Pakatan Rakyat akan membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk membekalkan kewujudan warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah dalam kegiatan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin peluan pendidikan tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan pertanian.
 
ii. Memastikan warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta diberi latihan berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti..
 
iii. Menggalakkan warga neraga yang professional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyedaikan suasana kerja yang professional dan menarik.
 
B – Ekonomi Demokratik dan Telus

Pakatan Rakyat beriltizam melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme bagi meningkatkan kepertanggunjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan mengekang pertumbuhan mapan serta menghakis daya sain negara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.

ii. Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding semula konsistensi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil kepada rakyat, termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan prasarana air.

iii Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara bersedia.

C –Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri

Selaras dengan semangat persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.

Desentralisasi mampu mendorong perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Melaksanakan formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.
 
ii. Mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka bentuk dan jaringan pengangkutan awam.
 
iii. Menjana pembangunan kawasan yang lebih seimbang, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah Klang
 
iv. Mengutamakan dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta berjangka panjang, berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi.

D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan

Pakatan Rakyat memperakui bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan berdasarkan keperluan tanpa mengira latar belakang. Pakatan Rakyat bertekad untuk merakyatkan ekonomi negara, agar khazanah negara dapat dinikmati dengan adil oleh semua.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.
 
ii. Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.
 
iii. Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin tegar.

iv. Menyediakan biasiswa pendidikan berdasarkan keperluan dan merit.

v. Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.

vi. Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta jihad menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi kemiskinan

E- Tenaga Kerja

Tenaga kerja adalah tunjang kepada kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja dipelihara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.

ii. Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.

iii. Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.

iv. Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi serta mengurangkan karenah birokrasi.

v. Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.

vi. Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

vii. Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang bekerja sendiri.

F – Jaringan Perlindungan Sosial

Setiap rakyat Malaysia harus menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa. Rakyat yang hilang mata pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah mesti dilindungi dan diberi peluang untuk turut menikmati faedah pembangunan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.

ii. Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan latihan semula pekerja.

Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang kepada masyarakat.

G – Perumahan

Rumah merupakan keperluan asas manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berkeupayaan memiliki rumah sendiri terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Maka Pakatan Rakyat akan:

i. Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk menambahkan bilangan rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah.

ii. Mengatasi masalah ‘setinggan/peneroka bandar’sebaiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian tanah dan melalui syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan membeli rumah mereka.

iii. Menyelaraskan sistem perundingan antara ‘setinggan/peneroka bandar’, pemaju dan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara berkaitan perumahan dan tanah;
 
iv. Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah;

v. Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.

vi. Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor kewangan untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.

vii. Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar perumahan dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk mereka yang memerlukannya.

H- Prasarana dan Kemudahan Awam
Penyediaan dan penyenggaraan prasarana awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan. Perlaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat atau menguntungkan kroni tertentu. Prasarana dan kemudahan awam yang baik membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan pendapatan boleh belanja dan produktiviti mereka.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.

ii. Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian balik lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7 tahun.

iii. Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam melalui penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak kerajaan dan wakil masyarakat.

iv. Memperkenalkan sistem separuh tambang bagi warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara untuk semua jenis pengangkutan awam.

v. Menyemak semula pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat besar dengan keutamaan kepada pengusaha individu dan persatuan mereka.

vi. Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.

I- Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan khazanah negara yang wajib dipelihara untuk kelestarian hidup generasi masa depan. Mendepani krisis perubahan iklim, Pakatan Rakyat beriltizam:

i. Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.

ii. Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.

iii. Membina asas dan kemahiran teknologi bagi untuk melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.

iv. Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.

v. Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian antarabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.

3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan

A – Perpaduan dan Keadilan Sosial

Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama. Pakatan Rakyat berjanji membina semula sebuah masyarakat berbilang kaum yang padu, di mana kaum-kaum yang berbeza itu hidup dalam aman dan harmoni.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.

ii. Mengembeling tenaga semua pihak yang berkepentingan untuk menyuburkan sikap baik-sangka, saling hormat dan mempercayai yang memang telah begitu lama diamalkan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
 
iii. Menggubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta tiadanya lagi diskriminasi antara kaum.
 
iv. Pakatan Rakyat akan menjana sokongan setiap peringkat masyarakat supaya berpegang teguh kepada segala prinsip dan petunjuk yang wajar dipegang oleh sebuah masyarakat yang terbuka
 
v. Menghapuskan amalan politik perkauman melalui pelbagai cara termasuk pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.

vi. Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan citra unggul yang boleh diterima semua kaum. Ini memerlukan sikap terbuka terhadap kepelbagaian budaya yang dianuti pelbagai kaum dan puak di Malaysia. Pakatan Rakyat akan melakukan semua ini dengan mengambil kira sejarah dan evolusi negara ini.

vii. Meningkatkan kebajikan Orang Asli, Orang Asal dan golongan minoriti lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selain mempertahankan hak asasi, ekonomi dan sosial mereka.

B – Agama

Agama dan anutan kepercayaan rakyat Malaysia seharusnya menjadi asas kesepakatan berlandaskan nilai murni yang bersifat sejagat. Rakyat Malaysia kini hampir tergelincir ke dalam kawah yang mendidih didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan ketegangan kerana berlainan agama. Tidak sewajarnya ada pertikaian mengenai hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menganuti sistem demokrasi di mana agama Islam menduduki tempat istimewa sebagai agama persekutuan sementara hak agama-agama lain dijamin.

Pakatan Rakyat berikrar:

i. Mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama setiap rakyat Malaysia.

ii. Menganjur dialog dan rundingan antara peradaban untuk mengukuhkan persefahaman.

iii. Menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian yang adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji semua isu-isu berkaitan dengan mendalam.

iv. Memperkukuhkan pengurusan institusi Islam seperti Baitul Mal dan Tabung Haji bagi memastikan ia dikendalikan dengan berkesan, cekap dan memenuhi matlamat.

v. Memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat dan pusara bagi semua penganut agama.

C – Pendidikan

Pendidikan seharusnya bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasad dan intelek. Melalui sistem pendidikan negara, Pakatan Rakyat bertekad untuk menyediakan sebuah sistem pendidikan yang mapan, bermutu dan menjamin peluang yang saksama kepada rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai peneraju sistem pendidikan negara. Memastikan sokongan dan pembiayaan secara adil kepada sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk meningkatkan taraf pendidikan negara.

ii. Mengimbangi penekanan kepada sistem peperiksaan dengan sistem pembelajaran berasaskan pemikiran kritis dan analitikal dengan matlamat mencari kebenaran.

iii. Memastikan setiap pelajar yang berkelayakan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam tanpa mengira latar belakang.

iv. Meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 demi mewujudkan iklim yang kondusif dalam bentuk jaminan kebebasan akademik dan autonomi universiti ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan setanding dengan negara-negara maju.

v. Memastikan perlantikan naib canselor, rektor, dan lain-lain penjawat tertinggi akademik dilakukan berdasarkan kelayakan dan kelulusan Majlis Senat.

vi. Memperbaiki mutu dan kemudahan sekolah yang daif di pedalaman di Sabah dan Sarawak;

vii. Meningkatkan mutu pendidikan guru bagi setiap peringkat sekolah dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.

viii. Menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru dan pensyarah supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sentiasa selaras dengan masa.

ix. Mengkaji kembali skim perkhidmatan guru dan menambah skim rangsangan bagi mereka yang mengajar di pedalaman.

x. Menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan kewangan lain berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari kawasan luar bandar dan pedalaman.

xi. Menekankan betapa mustahaknya pelajar menguasai pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Cina sebagai bahasa-bahasa utama dunia dan juga bahasa-bahasa ibunda.

xii Menyediakan tempat dan latihan kepada mereka yang keciciran.

xiii Meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk memantau dan mencadangkan pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari dalam dan luar negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh diterima termasuklah sijil UEC dan Diploma Muadalah(diploma berkembar).

D – Wanita Dan Institusi Keluarga

Pakatan Rakyat meyakini bahawa dasar-dasar yang mencerminkan penghormatan, pengiktirafan dan pemahaman terhadap status dan potensi wanita dapat menjamin kesejahteraan masa hadapan negara. Hakikat ini kerana wanita mewakili separuh dari penduduk negara, justeru penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara tidak boleh diabaikan.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan dan yang adil dalam segala bidang.

ii. Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.

iii. Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.

iv. Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.

v. Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat jagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta.

vi. Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.

vii. Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.

viii. Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.
 
ix. Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

E – Golongan Muda

Hala tuju dan kemakmuran sesebuah negara terletak pada bahu golongan muda sebagai generasi pelapis. Justeru adalah penting agar golongan muda diberikan ruang dan sokongan yang secukupnya agar dapat memenuhi peranan mereka kelak.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin peluang dan hak sama rata serta adil untuk golongan muda dari seluruh lapisan masyarakat bagi merealisasikan potensi diri.

ii. Memastikan supaya tiada seorang belia akan dibiarkan mengakhiri pendidikannya tanpa peluang memperolehi kelayakan atau latihan yang secukupnya untuk menyumbang terhadap ekonomi kemahiran tinggi negara.

iii. Mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan oleh golongan muda melalui perkongsian pendapat secara jujur dengan gerakan-gerakan belia, khususnya dalam isu berkepentingan ke atas kehidupan mereka serta hala tuju negara.

F – Keselamatan

Terdapat peningkatan jenayah dan rasa tidak selamat di negara ini. Walhal rakyat Malaysia seharusnya berhak merasa selamat dan bebas dari ancaman jenayah pada setiap masa. Pakatan Rakyat bertekad memastikan pihak polis diurus, dilatih dan dikawalselia dengan lebih baik untuk menjadikan mereka lebih fokus tentang tanggungjawab utama yakni menentukan setiap kawasan dan rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjadikan polis bebas dan profesional serta mengembalikannya kepada misi asal untuk mencegah jenayah dan memastikan keselamatan awam

ii. Merombak pengagihan tenaga polis supaya bilangan tenaga polis yang cukup ditugaskan untuk membanteras jenayah.

iii. Melengkapkan pihak polis dengan peralatan dan latihan yang terkini dalam usaha membanteras jenayah.

iv. Melaksanakan semua saranan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, termasuk penubuhan IPCMC dan penambahbaikan kebajikan polis yang giat berbakti kepada negara.

v. Memperbaiki keadaan perkhidmatan pasukan polis khususnya peringkat bawahan bagi meningkatkan prestasi dan moral.

vi. Memperkukuhkan peranan masyarakat dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah melalui program komuniti.

vii. Menangani dengan strategik dan tuntas segala masalah sosial yang menjadi punca kepada jenayah.

G – Kesihatan

Setiap rakyat Malaysia berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan. Oleh yang demikian, perkhidmatan kesihatan awam sewajarnya diperkasakan secara tuntas, sekaligus menjamin perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding dengan perkhidmatan sektor swasta.
 
ii. Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap, meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.

iii. Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan di hospital awam.

iv. Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan penjagaan kesihatan yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.

H- Kebudayaan

Kepelbagaian adalah hakikat sosio-budaya nasional, yang tercerna daripada kemajmukan masyarakat, bermunculan daripada kaum-kaum utama, suku-suku kaum dan wilayah-wilayah.

Oleh itu Pakatan Rakyat mengambil bertanggungjawab untuk memupuk dan mengembangkan potensi kepelbagaian ini di samping menolak sebarang bentuk hegemoni adi-budaya kepada mana-mana sosok budaya yang lain. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap menjadi Muafakat Kebudayaan Baru lanjutan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971).

Tiga cabaran utama yang wajar disedari adalah dengan:

i. Menjamin kebebasan pengucapan penghasilan karya melalui semua medium.
 
ii. Hak untuk mengadakan persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa sekatan dengan keyakinan awal bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab diri dan sosial mereka.
 
iii. Pautan utuh terhadap akar kemurnian kebudayaan tradisi sendiri wajar ditambahkuat dengan kesediaan menjadi tidak canggung untuk menerima unsur murni kebudayaan luar yang bersifat sejagat daripada bangsa, benua dan faham kepercayaan manapun.

4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara

A – Sistem Persekutuan

Hak negeri-negeri untuk membuat pilihan mengikut kesesuaian sendiri mengenai strategi pembangunan negeri mesti dihormati. Teras kepada hak ini adalah peruntukan kewangan yang secukupnya kepada negeri-negeri berdasarkan sumbangan terhadap persekutuan serta keperluan rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

i. Menjamin royalti sebanyak 20% daripada hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.

ii. Memulangkan sebahagian daripada kutipan cukai dari setiap negeri kepada negeri tersebut berdasarkan pengagihan yang adil.

iii. Menambah geran per kapita untuk negeri-negeri.

B – Sabah dan Sarawak

Semangat Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak. Di samping memulihkan imbangan kuasa yang memihak kepada kerajaan pusat.berat sebelah, Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan petroleum mereka.

ii. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing.

iii. Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.

iv. Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.

C – Dasar Luar Negara

Kepimpinan Malaysia di kalangan negara-negara dunia mesti dipertingkatkan. Adalah menjadi matlamat kita untuk merangka satu dasar luar yang berasaskan prinsip keadilan sejagat, penyelesaian melalui perundingan, dialog antara peradaban demi keselamatan, keamanan dan kemakmuran.

Pakatan Rakyat akan:

i. Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian, pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan nilai-nilai keadilan.

ii. Aktif menjadi pelopor dan peneraju dialog antara peradaban.

iii. Mengukuhkan kerjasama diplomatik dan perdagangan antarabangsa dengan rakan-rakan serantau terutamanya anggota-anggota Asean.

iv. Memperkukuhkan lagi peranan Malaysia dalam organisasi-organisasi antarabangsa.
 
 

Program 100 Hari Pakatan Rakyat Mampu Bela, Angkat Martabat Golongan Pendidik

Saya kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan baru-baru ini yang memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara. Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.

Pakatan Rakyat telah meneliti kesan kewangan dari pelaksanaan ini. Kita mengambil kira bahawa terdapat 537,221 jawatan di dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610).

Usaha menaiktaraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas (penggubalan dasar, pembangunan keguruan) sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran). Oleh itu, Pakatan Rakyat berhasrat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab di dalam sistem pendidikan kita.

Ini akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun. Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah UMNO/Barisan Nasional.

Kos perbelanjaan semua lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 orang guru. Bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi tahun 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 orang guru iaitu keseluruhan tenaga kerja yang membangunkan profesionalisme keguruan. Pembaziran UMNO/Barisan Nasional sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi PEMANDU bagi tahun 2010 boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi orang guru, iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian.

Ini belum lagi pembaziran-pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun.

Justeru, persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul. Perkara yang sebenar adalah keikhlasan UMNO/Barisan Nasional untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

Hakikatnya, bidang pendidikan tidaklah berada di dalam senarai kepentingan UMNO/Barisan Nasional. Isu kualiti pendidikan telah ditimbulkan sejak sedekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon-calon yang berkualiti tinggi. Langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan.

Semalam, akhbar-akhbar melaporkan persetujuan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan. Perkara ini telah disyorkan CUEPACS sejak tahun 2002 lagi – tetapi hanya selepas Pakatan Rakyat membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, UMNO/Barisan Nasional memberikan reaksi cemas. Baru sekarang, Perdana Menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari.

Ini bukanlah caranya kita merancang kebijakan pendidikan negara. Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan Rakyat bersuara.

Pakatan Rakyat percaya bahawa tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab. Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA
 

Ucapan Presiden KEADILAN pada Konvensyen Pakatan Rakyat kedua

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua para perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat 2010. Syukur Alhamdulillah, sekali lagi kita dapat berhimpun bersama-sama bagi merencana, membahas serta memperkasa agenda perjuangan kita dalam memartabatkan ketuanan rakyat dan kedaulatan negara tercinta ini.

Suka saya menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada YAB Saudara Lim Guan Eng dan barisan kepimpinan negeri Pulau Pinang yang telah berjaya mentadbir serta melaksanakan pelbagai perubahan dan penambahbaikan di negeri ini demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Selain Selangor, Kelantan dan Kedah; Pulau Pinang juga merupakan antara negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang kini menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain terutamanya dari aspek kecemerlangan pengurusan ekonomi, sistem tadbir urus yang efisyen serta komitmen serius dalam memerangi rasuah.

Justeru, sewajarnya kita bersama-sama terus teguh dan komited mempertahankan kecemerlangan ini demi membela rakyat.

MALAYSIA PASCA 8 MAC 2008

Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,

Sejak Mac 2008, lanskap politik Malaysia kini sudah mengalami perubahan yang ketara. Selepas Pilihanraya Umum ke-12, kita telah mengejutkan rakyat dengan memenuhi aspirasi mereka yang dahagakan sistem dua parti (two-party system) yang seimbang dan setara.

Ini adalah satu anjakan yang besar dalam pembinaan siyasah negara yang mulanya berjinak-jinak dengan semangat demokrasi. Tatkala Pilihanraya Umum pertama selepas kemerdekaan Tanah Melayu dicapai pada tahun 1959, pembangkang di bawah muafakat longgar di antara PAS, Parti Negara dan Socialist Front telah cukup menggegar Kerajaan Perikatan pada ketika itu. Dan UMNO-Perikatan pada ketika itu tidak menunggu lama untuk menggugat barisan pembangkang.

Pada tahun 1961, Kerajaan PAS-Parti Negara di Terengganu digulingkan dengan cara yang begitu jijik: beberapa ADUN PAS dan Parti Negara diculik sehingga akhirnya melompat ke dalam UMNO. Kerajaan PAS-Parti Negara pimpinan Daud Samad digulingkan tanpa ada perasaan malu kepada rakyat.

Almarhum Dato’ Onn Jaafar, perwakilan tunggal Parti Negara selaku Ketua Pembangkang di Parlimen pada ketika itu juga dicemuh melalui pembunuhan karakter yang sangat mendukacitakan sehinggalah almarhum meninggal dunia.

Pimpinan PAS dan Socialist Front seperti Almarhum Dr. Burhanuddin Helmy dan Allahyarham Ahmad Boestamam ditahan di bawah akta zalim ISA, kononnya kerana ‘mengancam keselamatan negara’. Akhirnya pakatan pembangkang menjadi lesu dan langsung lemah sewaktu Pilihanraya Umum tahun 1964.

Sejarah membuktikan bagaimana pembangkang yang kuat tidak akan dibenarkan berfungsi di dalam negara Malaysia selagi UMNO-BN berkuasa, meskipun demokrasi berparlimen merupakan anutan politik negara.

Dan kini ia berulang lagi. Mulanya UMNO-BN merekayasa rampasan kuasa kerajaan Negeri Perak yang dimenangi secara sah oleh Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-12. Terbaru, Ketua Pembangkang, Saudara Anwar dan pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat seperti Saudara Azmin Ali, Saudara Karpal Singh dan Saudara Sivarasa Rasiah digantung daripada Sidang Dewan Rakyat.

Hadirin sekalian,

Mengapa ini semua berlaku? Jawapannya kita sedia maklum: kerana Pakatan Rakyat telah berjaya menunjukkan bahawa muafakat yang kita pupuk berpotensi besar untuk membaiki dan membela nasib rakyat kebanyakkan.

Hakikatnya Pakatan Rakyat adalah satu-satunya pakatan politik yang paling berjaya di dalam lanskap politik tanah air yang mampu menjadi saingan sengit kepada hegemoni UMNO-BN. Disebabkan oleh realiti inilah, UMNO-BN tanpa henti barang sesaat pun untuk mengasak Pakatan Rakyat dan kepimpinannya.

MUAFAKAT DEMI MEMBELA RAKYAT

Justeru, KEADILAN, PAS dan DAP seharusnya membulatkan tekad demi memperkukuhkan muafakat Pakatan Rakyat.

Keseriusan kita memperjuangkan pelbagai isu di Parlimen, sebagai contoh isu pelaksanaan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST Act), isu kenaikan harga minyak, isu penyelewengan wang rakyat dan lain-lain isu membuktikan bahawa komitmen kita demi rakyat berada pada landasan yang betul.

Akibatnya UMNO-BN cemas dan lebih berwaspada. Mereka kini lebih berhati-hati dalam bertindak kerana tahu rakyat akan memilih pakatan yang membela mereka. Dan sendi kekuatan Pakatan Rakyat adalah rakyat Malaysia sendiri, bukan wang dan mainan retorik ciptaan sendiri seperti mereka.

Hakikatnya mereka hilang punca bila berdepan dengan keutuhan yang ditonjolkan Pakatan Rakyat.

PAS terus kukuh dengan pengukuhan politik Islami yang sangat menekankan keabsahan moral; DAP kian terbukti sebagai parti yang cekal membela nasib kaum yang pelbagai; dan KEADILAN sendiri telah mempamerkan budaya politik era baru yang serasi dengan kehendak rakyat pelbagai kaum dan ideologi.

Muafakat ini dicemburui UMNO-BN. Mereka cuba meniru kesepakatan kita, malangnya rakyat tahu bahawa Konvensyen BN hanya berlaku setiap 15 tahun sekali, itupun kali pertama dalam tahun 1995. Di pentas yang sama, mereka berselingkuh pandangan. Di saat ada pimpinan komponen yang menyelar budaya ‘abang besar dan adik kecil’ dalam BN, mereka mula tidak senang duduk.

Ini berbeza sekali dalam Pakatan Rakyat. Tokoh-tokoh seperti Saudara Anwar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Saudara Karpal Singh dan Saudara Lim Kit Siang mengisi seluruh ruang spektrum politik negara dengan kepelbagaian ideologi dan perjuangan. Walaupun pendekatan dan spektrum politik yang berbeza, nada dan irama kita adalah seiring kerana Pakatan rakyat disatukan atas landasan membela rakyat.

NATIJAH SERANGAN BERTALI ARUS

Saudara-saudari yang dihormati,

Objektif serangan bertali arus yang dilakukan oleh UMNO-BN ke atas Pakatan Rakyat ini mudah dibaca - iaitu untuk mendatangkan keraguan di kalangan rakyat dan sesama kita, agar barisan yang utuh ini mula goyah.

Dibisikkan kepada orang Melayu kononnya DAP ini akan ‘menjual’ kepentingan orang Melayu. Maka timbullah keraguan orang Melayu terhadap DAP.

Dibisikkan kepada masyarakat bukan Melayu kononnya PAS ini anti masyarakat bukan Melayu. Maka timbullah kebimbangan orang bukan Melayu terhadap PAS.

Dicanang ke seluruh Malaysia kononnya KEADILAN dan Anwar Ibrahim ini bermasalah dalam Pakatan Rakyat, dengan harapan keraguan rakyat akan bercambah.

Tetapi percaturan mereka yang paling besar adalah untuk mengapi-apikan kita sesama sendiri; agar kita berpaling dari asas perjuangan yang bertunggakkan keadilan dan tidak mengenal politik perkauman. Mereka mahu DAP takutkan PAS kerana hasutan mengenai agenda Islamisasi, PAS khuatir penampilan DAP akan menidakkan sokongan Melayu. Mereka berharap PAS dan DAP meragui kemampuan KEADILAN menangkis serangan demi serangan dari mereka.

Taktik ini harus kita hadham sebetulnya agar kita tidak sedikit pun terbuai dengan mainan propaganda mereka. Sebagaimana ombak tidak akan jemu menghakis pantai, demikian jugalah UMNO-BN tidak akan berhenti dari cuba memecahkan kesepaduan Pakatan Rakyat!

Justeru, komitmen kepada kesepakatan bersama harus kita perkukuhkan dari semasa ke semasa. Sewajarnya selepas ini, setiap pengumuman dan pembelaan rakyat perlu membariskan pimpinan dari ketiga-tiga parti sebagai lambang kesepakatan dan satu nada di dalam Pakatan Rakyat.

FOKUS PAKATAN RAKYAT

Hadirin sekalian,

Perjuangan Pakatan Rakyat bukan untuk mengkayakan diri sendiri, tetapi ia terhasil dek kerana keinsafan kita atas perit jerih yang dialami oleh rakyat kebanyakan.
 
Di sebalik kemegahan 53 tahun kemerdekaan, Malaysia adalah negara dua darjat: yang kaya terus hidup mengulit mimpi di dalam mahligai, yang miskin derita sehingga terpaksa bergolok gadai.

Pelbagai akronim dicatur oleh pemerintah. Sebut sahaja MBE, NKEA, NKRA, GTP, ETP dan pelbagai lagi akronim yang direncana UMNO-BN, satupun gagal mendatangkan impak positif kepada rakyat. Yang terus berlaku ialah rakyat menjadi semakin keliru. Pendapatan negara kononnya tinggi, KDNK negara capai pertumbuhan, tetapi harga barang terus naik, kos sara hidup terus menghimpit.
 
Mengapa ini berlaku? Kerana mereka hanya mengkaji di dalam makmal-makmal yang memisahkan realiti rakyat dengan rekayasa dasar. Mereka mencatur strategi, tetapi rakyat tidak menikmatinya sekelumit pun.

Realitinya rakyat tidak mahukan dokumen yang menyusun indah kata-kata dan retorik berlebihan. Rakyat mahukan impak langsung. Harga petrol dan harga barang yang bersesuaian, akses pendidikan lebih luas, pengangkutan awam yang efektif dan efisyen, perkhidmatan awam yang tidak birokratik dan sebagainya.
 
Tetapi ini tidak dijanjikan oleh UMNO-BN. Yang mereka laungkan hanyalah NKRA, NKEA dan pelbagai lagi. Apa yang rakyat dapat? Cuma buku kulit tebal yang punyai pelbagai visi dan misi, tapi kosong isi dan intipati.

Di atas kesedaran inilah, tanggungjawab Pakatan Rakyat adalah besar demi merealisasikan harapan rakyat. Pundak kita diletakkan amanah yang bukan kecil.
 
Justeru, Konvensyen ini harus membahaskan perkara-perkara yang penting menjurus kepada dasar-dasar baru yang pro-rakyat, bukan sekadar laungan retorik irama lama yang berdendang masyhur.

Komitmen KEADILAN dan Pakatan Rakyat, kita menawarkan kepada rakyat bahawa sekiranya rakyat mengamanahkan Malaysia dikemudi Pakatan Rakyat dengan izin Tuhan, dalam tempoh 100 hari berkuasa, tujuh langkah utama akan diambil demi mengurangkan beban hidup rakyat.

PEMBELAAN RAKYAT

Saudara-saudari yang dihormati,

Di bawah kekuasaan UMNO-BN, rakyat bolehlah diibaratkan umpama kayu lampung, ditebuk kumbang tebus-menebus. Lantaran itu, KEADILAN memberikan jaminan kepada rakyat, bahawa jika Pakatan Rakyat berjaya menerajui Putrajaya, kita bertekad untuk menghapuskan kutipan tol yang jelas hanya mengkayakan konsesi dan kroni.

Kita juga tidak akan meminggirkan golongan-golongan yang kurang berkemampuan, individu dan juga kelompok sosial.  Sistem subsidi akan dibaikpulih dengan penuh tanggungjawab. Kita akan pastikan mereka yang berhak akan perolehi subsidi yang perlu. Subsisi ini sudah pasti akan dapat membantu menjana kehidupan seharian dengan lebih sempurna. Kita akan perangi subsidi korporat dan pulangkan hak kepada rakyat.

Manakala dalam sektor pendidikan pula, KEADILAN dan Pakatan Rakyat akan terus memartabatkan golongan pendidik. Bertahun-tahun UMNO-BN berjanji mahu memartabatkan kerjaya perguruan, tetapi yang naik imbuhannya setiap tahun hanyalah polis, golongan pendidik bergelumang seperti marhaen yang lain.

Oleh itu, kita akan menaikkan gaji setiap guru sebanyak RM500 sebulan. Ini hanya melibatkan kos kecil sebanyak RM3 bilion berbanding ketirisan RM28 bilion akibat rasuah dan tadbir urus yang tidak sempurna. Imbuhan khas pendidik ini adalah langkah awal Pakatan Rakyat menyediakan imbuhan yang setimpal dengan jasa pendidik, agar kerjaya pendidik menjadi kerjaya pilihan rakyat Malaysia ke arah melahirkan pendidikan berkualiti tinggi.

Saudara-saudari perwakilan yang dihormati,

Alhamdulillah, di Selangor, skim air percuma sudah dan sedang dilaksanakan. Program ini akan berterusan dan dipantau dari semasa ke semasa. Justeru, KEADILAN bertekad untuk melebarkan dan menjayakan skim air percuma ini ke negeri-negeri lain. Dengan satu harapan, rakyat akan dapat menikmati air yang dianugerahkan Allah.

Bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sebaiknya dari revolusi maklumat, Pakatan Rakyat akan menawarkan perkhidmatan internet wi-fi secara percuma di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar.

Saudara-saudari

Langkah ketujuh adalah untuk mengembalikan institusi rakyat kepada peranan asal mereka membela rakyat. Felda yang ditubuhkan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki tanah dan ladang sendiri, telah menyimpang dari piagam asalnya apabila Felda Plantations lagaknya tidak ubah seperti gergasi perladangan swasta yang lain.

Oleh itu, Pakatan Rakyat akan memastikan bahawa tanah-tanah dan ladang-ladang yang dikuasai Felda Plantations itu dikembalikan kepada generasi kedua dan ketiga Felda, agar semangat asal penubuhan Felda dapat dihidupkan kembali. Jangan Felda satu hari nanti akan dicemuh oleh warga peneroka sendiri, seperti rangkap pantun ini:

Mengayuh beca tanpa roda,
Tiada duit beli yang baru;
Bila di tanya hak peneroka,
Felda kata “mana aku tahu”.

Perwakilan yang saya hormati,

Langkah-langkah ini adalah jelas dan muda difahami rakyat. Ia menzahirkan prinsip keadilan sosial yang dimeterai oleh Dasar Bersama.

Ia jelas membuktikan kesepaduan kita di dalam Pakatan Rakyat, kerana melalui langkah-langkah ini, kita menunjukkan bahawa pendekatan negara kebajikan yang dibawa oleh PAS akan diangkat untuk menjadi agenda perjuangan bersama Pakatan Rakyat.

Semangat keadilan sosial yang diperjuangkan oleh PKR juga sebati dalam pengolahan ketujuh-tujuh langkah tersebut. Seterusnya, kebajikan dan keadilan sosial ini lebih kukuh dengan penghormatan kepada semua kaum, seperti yang diperjuangkan DAP.

Nah! Ini bukan sahaja bukti bahawa dasar dan program yang jelas tetapi ia adalah menunjukkan bahawa kesepakatan dalam Pakatan Rakyat telah sampai ke tahap menghadamkan perjuangan yang sama.

REFORMASI LAWAN TRANSFORMASI

Saudara-saudari yang dikasihi,

KEADILAN secara konsisten akan terus mewacanakan konsep Ketuanan Rakyat dan bangsa yang bermaruah dalam setiap agenda pemerkasaan rakyat kerana kita yakin bahawa tidak akan wujud reformasi ekonomi jika tidak ada reformasi politik.

Malaysia memerlukan reformasi politik dan Pakatan Rakyat telah lama memperjuangkannya kerana kita peka bahawa tanpa iltizam dan keikhlasan, gagasan ‘transformasi’ yang diciplak oleh pemerintah UMNO-BN dari kita ini hanya akan menjadikan situasi politik Malaysia lebih teruk dan merosot.

Reformasi yang kita bawa bermaksud “mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik”. Kata asalnya dalam bahasa Inggeris iaitu ‘reform’ yakni hasil akhir sudah pasti lebih baik.

Transformasi pula maknanya “tukar sahaja” seperti dalam filem Transformers yang mana robot-robot boleh bertukar menjadi kereta, lori dan kapal terbang dan kemudiannya kembali bertukar menjadi robot semula. Makanya tidak ada apa-apa yang berubah, sekadar bertukar tanpa mengambil kira hasil akhir. Dari era Mahathir, ke era Pak Lah, ke era Najib – segalanya tentang transformasi; Mahathir dengan Wawasan 2020, Pak Lah dengan Islam Hadhari dan kini Najib dengan 1Malaysia, itu pun atas tunjuk ajar dari APCO yang menelan jutaan wang rakyat. Inilah dia erti sebenar ‘transformasi’ yang dilaung-laung oleh kerajaan UMNO-BN.

KESIMPULAN

Saudara-saudari yang dihormati,

Malaysia perlu diubah sekarang. Perjalanan dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran UMNO-BN kini semakin kabur dan tidak menentu. Seandainya perubahan tidak dilaksanakan sekarang, segala kerosakan dan kebobrokan hasil kepincangan pentadbiran UMNO-BN akan berterusan tanpa penghujung. Negara ini akan terus dirundung malap dan tak mustahil akan menemui masa depan yang gelap.

Harapan dan kepercayaan rakyat untuk melihat Malaysia kembali di landasan yang betul, yang berteraskan prinsip keadilan dan muafakat sesama kaum perlu dikembalikan segera.

Perubahan harus bermula sekarang; kerana hala tuju negara ini telah jauh menyimpang dari matlamat asalnya. Kesukaran hidup rakyat telah sampai ke peringkat yang memuncak, di kala haluan ekonomi negara juga semakin malap.

Pakatan Rakyat percaya bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem dan negara dan masyarakat kita.

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara

Bersama-sama kita lakukan perubahan sekarang untuk menyelamatkan Malaysia!

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
 
Ucapan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kebangsaan Kedua Di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, Ahad 19 Disember 2010.

Ucapan Presiden PAS pada Konvensyen Pakatan Rakyat kedua

Yang Dihormati Saudara Pengerusi, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Saudara Lim Guan Eng - Setiausaha Agung DAP – Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Dihormati Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden PKR, Seluruh Anggota Kepimpinan  PAS – PKR – DAP, YAB Menteri Besar Kelantan – Kedah – Selangor, NGO, para tetamu dalam dan luar negara, Wakil-wakil Kedutaan Asing, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh perwakilan dan pemerhati sekalian.

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Ketetapan Konvensyen Pertama

Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka.  Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Firman Allah SWT maksudnya :

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persidangan Shah Alam 2010

Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi di berikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Masa Bergerak Ke Depan

Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita  dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut.  Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme sonsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Perlu muhasabah

Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu.

Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

Asas perubahan

PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat ‘defensive’ untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persediaan Pilihan Raya

Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke 13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, insyaAllah.

Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.

Wassalamualaikum wbr.

Ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kebangsaan Kedua di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, Ahad 19 Disember 2010.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB