BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, Disember 10, 2009

Pendapatan Petronas Berkurangan, Ekonomi Negara Terkesan!

Parlimen Malaysia, 10hb Disember 2009
—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—


Kami menyambut baik usaha PETRONAS yang mengumumkan prestasi separuh tahun bagi tahun kewangan yang akan berakhir pada 31hb Mac 2010. Tatkala kami hargai sumbangan PETRONAS untuk meningkatkan pendapatan Negara, berjumlah 48.6% dari jumlah keseluruhan pendapatan, kami juga merasa bimbang dengan merudumnya keuntungan syarikat tersebut kerana ianya bersangkutan langsung dengan kedudukan ekonomi Negara.


Pendapatan PETRONAS berdasarkan laporan yang dikeluarkan, mencatatkan kejatuhan berjumlah RM 59 billion, bermakna cukai yang sepatutnya diperolehi oleh Negara berkurangan sekitar 57%. Sepanjang 5 tahun ini, PETRONAS adalah entiti yang memberi sumbangan terbesar kepada pendapatan Negara. Untuk tahun kewangan 2008 sahaja, sumbangan PETRONAS merupakan 44.9% dari pendapatan Negara. Kebergantungan terhadap PETRONAS ini mengaburi kita dari kedudukan sebenar ekonomi akibat dari dasar kerajaan yang terus menerus bergantung kepada syarikat tersebut untuk menampung kegagalan mereka untuk memulihkan kewangan Negara semenjak terkesan dari krisis kewangan Asia 1997/1998.


Sepanjang 5 tahun ini, penggunaan sumber dan dana dari PETRONAS oleh kerajaan telah membengkak sekitar 21% setiap tahun. Ini bermakna setiap tahun, peratusan penggunaan sumber PETRONAS oleh kerajaan bertambah sebanyak 21% dari apa yang digunakan pada tahun sebelumnya. Ini juga bermaksud sepanjang 5 tahun ini, wang yang disedut oleh kerajaan telah meningkat lebih dari dua kali ganda. Misalnya pada tahun 2005, petronas menyumbang sebanyak RM31.2 billion dari jumlah keseluruhan belanjawan Negara. Namun pada tahun 2008, jumlah wang PETRONAS yang membentuk belanjawan Negara adalah sebanyak RM 74 billion-peningkatan sebanyak 130% sepanjang 5 tahun ini.


Akibat dari ketagihan menggunakan sumber PETRONAS, syarikat ini tidak lagi mampu menampung ketirisan serta perbelanjaan boros oleh kerajaan pusat. Sedangkan pengunaan oleh kerajaan bertambah 21% setiap tahun, keupayaan PETRONAS hanya berkembang pada tahap sekitar 16% setiap tahun. Jelasnya kerajaaan barisan nasional memerah lebih dari apa yang termampu dilakukan oleh PETRONAS.


Tambah memburukkan keadaan kerajaan pusat membentangkan belanjawan yang berjumlah RM 208billion untuk tahun 2009 dan pakej ransangan yang berjumlah RM 60 billion, ketika unjuran pendapatan tahun 2009 berasaskan harga minyak mentah bulan September 2008. Saya sewaktu membahaskan belanjawan 2009 telahpun menggesa kerajaan supaya menyemak semula belanjawan yang dibentangkan kerana perubahan mendadak serta keadaan tidak menentu harga petroleum ketika itu. Walaupun begitu saranan saya dan rakan-rakan ditolak oleh kerajaan umno-barisan nasional.


Selepas hampir 1 tahun berlalu, kita berdepan dengan keadaan sukar kerana kerajaan sememangnya tidak mempunyai dana yang mencukupi bagi menunaikan janji-jani yang dibuat, kerana keuntungan PETRONAS berkurangan sebanyak 50%. Ini bermakna pendapatan kerajaan untuk perbelanjaan dan pakej ransangan akan berkurangan separuh dari jumlah yang dijanjikan.


Perkembangan ini menjejaskan kedudukan ekonomi Negara. Anggaran kami menunjukkan sasaran pertumbuhan kerajaan terlalu optimistik kerana kekurangan dana untuk dibelanjakan. Makanya sasaran untuk mengurangkan defisit belanjawan Negara pada tahun hadapan juga perlu disemak semula berdasarkan pendapatan Negara yang semakin berkurangan ini.


Kami menyeru kerajaan barisan nasional agar memastikan ketelusan dan menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung kesan dari merudumnya keuntungan PETRONAS terhadap prestasi ekonomi Negara. Kami berpendirian adalah baik untuk kepentingan Negara sekiranya YAB Menteri Kewangan menjelaskan secara terperinci kepada Dewan Rakyat, semakan semula unjuran pendapatan Negara untuk tahun 2010 serta dampaknya kepada perbelanjaan untuk tahun 2010.


Sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian kepada beberapa mustahak yang menyangkuti kepentingan umum:


1)Memastikan ekonomi Negara tidak lagi bergantung kepada sumber petroleum dan gas semata-mata. Industri pembuatan yang bernilai serta berdaya tinggi dan perkhidmatan perlu dijadikan sector utama memacu pertumbuhan ekonomi.


2)Memastikan penggunaan dana PETRONAS telus untuk penelitian umum agar pembaziran serta ketagihan yang sama tidak berulang sepertimana yang berlaku dari tahun 2005-2009.


3)Menstrukturkan semula subsidi gas dan pembayaran royalti agar tidak ada lagi ketirisan. Subsidi gas hanya menguntungkan sesegelintir berikutan perjanjian IPP yang berat sebelah seperti sekarang mengakibatkan ketirisan dan korupsi.


4)Kerajaan Malaysia mesti bertindak untuk menjadi pemudah cara/fasilitator kepada PETRONAS untuk mendapatkan kawasan baru di luar Negara untuk menampung keperluan tempatan yang meningkat


ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
DEWAN RAKYAT




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB