BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Sabtu, Disember 19, 2009

Pakatan saji dasar sulung 4 prinsip teras


Pakatan Rakyat (PR) mengadakan konvensyen sulungnya di Selangor hari ini, antara negeri yang diterajuinya kira-kira 20 bulan selepas ditubuhkan hasil keputusan pilihan raya umum ke-12.

Pertemuan pertama bakal menyaksikan pembentangan Dasar Pakatan Rakyat yang terdiri daripada empat pegangan teras — digubal sedemikian rupa untuk menggambarkan bahawa ketiga-tiga komponennya — PKR, DAP dan PAS walaupun berlainan prinsip perjuangan tetapi masih mampu untuk bermuafakat dalam banyak perkara.

The Malaysian Insider
difahamkan empat pegangan teras itu ialah Demokrasi Telus dan Tulen, Memacu Pertumbuhan Ekonomi Makmur, Lestari dan Adil, Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

PR dikatakan merangka dasar ini untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru dengan menggembleng rakyat pelbagai kaum menjelang pilihan raya umum akan datang.

Teras Demokrasi Telus dan Tulen dijangka akan memfokus pada soal negara perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa dan sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil manakala teras Memacu Pertumbuhan Ekonomi Makmur, Lestari dan Adil, Keadilan Sosial akan memberi tumpuan kepada aspek pertumbuhan lestari dan pembangunan hijau, ekonomi demokratik dan telus, ekonomi kemahiran tinggi, dasar afirmatif berdasarkan keperluan, tenaga kerja, jaringan perlindungan sosial, perumahan, prasarana dan kemudahan awam dan alam sekitar.

Dalam pada itu, teras Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan pula akan menyentuh aspek perpaduan, agama, pendidikan, wanita, belia, keselamatan, kesihatan dan kebudayaan. Teras keempat Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara akan menyentuh sistem persekutuan, Sabah dan Sarawak dan dasar luar negara.

Difahamkan, PR menyediakan dasarnya itu, yang sebahagian kandungannya merupakan janji manifesto pilihan raya umum ke-12, untuk membawa rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip perlembagaan.

“Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan.

“Hanya dengan keadilan, semua rakyat akan makmur dan bersatu padu,” bunyi dasar tersebut.

PR juga dipercayai merangka dasar itu dalam usaha untuk menyediakan satu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

Hasil perbincangan dasar itu, Konvensyen Pakatan Rakyat juga akan mengeluarkan deklarasi 10 perkara.

The Malaysian Insider
juga difahamkan beberapa perkara utama yang dijanjikan ketika pilihan raya umum lalu tidak dipersetujui bersama tetapi bermuafakat untuk membincangkannya lagi selepas pertemuan sulung ini. Ini termasuklah soal pilihan raya kerajaan tempatan.

Setiap anggota komponen PR dipercayai menghantar 500 perwakilan menjadikan kira-kira 1,500 peserta akan mengambil bahagian dalam pertemuan ini.

Usaha untuk mengadakan konvensyen ini telah dimulakan sejak dua bulan lalu selepas ia diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 21 Oktober lepas

Konvensyen pertama ini akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam iaitu salah satu negeri yang dipimpin oleh PR.

Konvensyen ini dijangka merumuskan beberapa perkara penting, antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menyebut konvensyen ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa.

Dalam pada itu, mengikut atur cara yang dikeluarkan, konvensyen akan bermula dengan ucapan perdana tiga pemimpin komponen PR iaitu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia akan disusuli dengan pidato Dasar Pakatan Rakyat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan pembahasnya ialah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dan Naib Presiden PKR R. Sivarasa Rasiah serta lima pembahas dari setiap parti.

Ucapan rumusan dijangka disampaikan oleh Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Anwar.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB