KUALA LUMPUR – “Pakatan Rakyat (PR) ada maklumat mengenai ketidakhadiran Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) adalah sebagai tanda protes mereka terhadap Bajet 2010, tetapi saya enggan membuat spekulasi itu,” kata Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.
Menurutnya, tindakan protes itu mencerminkan ketidaksungguhan Ahli Parlimen BN untuk menyokong bajet kerana merasakan cadangan pembangkang semasa sesi perbahasan adalah lebih relevan.
“Ini menunjukkan ketidaksungguhan Ahli-ahli Parlimen BN untuk menyokong Bajet 2010 yang begitu penting dan mereka tidak bersedia untuk mempertahankan Bajet 2010.
“Soalnya setelah Ahli-ahli Parlimen yakin dengan hujah-hujah kita semasa perbahasan yang dilihat lebih relevan. Tetapi untuk membantah , tindakan yang lebih selamat iaitu adalah dengan tidak menghadirkan diri,” katanya di lobi Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi Bajet 2010 hampir tidak dapat diluluskan dalam perbahasan Dewan Rakyat Isnin lalu apabila kerajaan hanya berbeza tiga undi dengan pembangkang iaitu BN-66 dan PR 63.
Mengulas mengenai tindakan ‘menyerbu’ ketika ketiadaan Ahli Parlimen BN adalah terancang, Azmin berkata: “Ini bukan tindakan kebudak-budakan kerana sebagai Ahli Parlimen kami hadir selaras dengan aturan mesyuarat Dewan Rakyat dan mengambil bahagian dalam perbahasan.
“Ahli Parlimen Barisan Nasional seperti budak-budak. Sepatutnya mereka sertai perbahasan dan menyokong usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak,” katanya.
Katanya, Bajet 2010 ditolak kerana kerajaan terlalu bergantung kepada pendapatan Petronas untuk menampung perbelanjaan negara.
“Sejak dua dekad lalu kerajaan terlalu bergantung kepada pendapatan Petronas dan seharusnya kerajaan perlu menggunakan mekanisme lain bagi menjana pendapatan yang lebih mapan.
“Kebimbangan jelas kerana pendapatan Petronas akan menurun sebanyak RM59 bilion pada Mac 2010 sekali gus menjejaskan prestasi ekonomi negara. Pakatan telah menegur kerajaan beberapa kali dan sewajarnya perlu menimbangkan mekanisme lain dan menumpukan insentif-insentif baru seperti meningkatkan pelaburan asing untuk jana pendapatan yang mapan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, undi tidak percaya telah memberikan pengajaran besar kepada BN.
“Ini benar-benar telah memberi pengajaran yang besar terhadap kerajaan BN. Mereka leka dengan tanggungjawab dan kehadiran dalam Parlimen. Ini adalah masalah memberikan komitmen dalam situasi membahaskan Bajet 2010 yang melibatkan berbilion ringgit.
“Ini bukan perkara kecil dan tidak ada istilah menyerbu kerana itu peranan kami untuk hadir ke Parlimen untuk pastikan agenda dalam perbahasan adalah serius,” katanya.