Kenyataan Perdana Menteri kononnya Janji 100 Hari Pakatan Rakyat tidak
dapat dilaksanakan atas alasan negara tidak berkemampuan membuktikan
lagi UMNO/BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan
fakta. Maka memandangkan isu ini mendesak dan menyentuh kepentingan
rakyat dan negara, kami syorkan diadakan satu debat terbuka.
Tuduhan beliau bahawa Janji 100 Hari Pakatan Rakyat akan menjadikan
negara muflis adalah dangkal kerana hakikatnya, UMNO/BN yang berhutang
setiap tahun sehingga hutang negara menggunung. Laporan Ketua Audit
Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 memberi amaran bahawa
nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50% buat kali
pertama dalam sejarah negara.
Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39
billion atau 53.7% dari KDNK. Malapetaka ekonomi ini berlaku di bawah
pentadbiran Perdana Menteri sekarang sebagai Menteri Kewangan. Dalam
tahun 2010, kerajaan melancarkan 19 program menjual bon yang membabitkan
hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion.
Tabiat berhutang UMNO/BN akan diperhebatkan tahun ini. Pada 14
Disember 2010, Bank Negara Malaysia mengumumkan kerajaan akan menjual 29
bon tambahan dalam tahun 2011. Menurut anggaran Institut Penyelidikan
RHB, penjualan 29 bon ini akan membabitkan hutang baru kerajaan
persekutuan berjumlah RM83 bilion.
Makanya, alasan Perdana Menteri untuk menolak Janji 100 Hari Pakatan Rakyat perlu dikaji dengan berlatar belakangkan perkara-perkara ini.
Malaysia sememangnya sedang menuju ke gerbang kemuflisan jika UMNO/BN
terus berhutang sewenangnya seperti sekarang – tetapi ia bukanlah
disebabkan oleh Janji 100 Hari Pakatan Rakyat. Malaysia akan muflis
akibat ketagihan UMNO/BN kepada pembaziran dan rasuah yang berleluasa,
demi mempertahankan sistem kroni kapitalisme yang didokong UMNO/BN.
Contoh-contoh pembaziran UMNO/BN sudah diketahui rakyat. Perdana
Menteri terlampau taksub dengan bangunan 100 tingkat yang menelan
belanja RM5 bilion, sedangkan isu perumahan mampu milik meruntun
golongan berpendapatan rendah dan orang muda. Kerajaan UMNO/BN akan
mengugut bahawa negara akan muflis setiap kali Pakatan Rakyat
memperjuangkan imbuhan tambahan para guru, tetapi ia tidak rasa bersalah
apabila meluluskan kontrak RM77 juta kepada APCO. Senarainya terlalu
panjang untuk dihuraikan disini.
Oleh itu, tindakan pertama Kerajaan Pakatan Rakyat adalah melancarkan
perang habis-habisan menentang rasuah di setiap peringkat, bermula
dengan pemimpin-pemimpin kanan politik. Ini akan menyelamatkan RM28
bilion yang tiris dari Perbendaharaan setiap tahun akibat rasuah,
seperti yang dianggarkan oleh Ketua Audit Negara.
Selepas itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menstrukturkan semula
sistem subsidi untuk memansuhkan subsidi korporat yang hanya mengkayakan
beberapa kerat kroni. Jumlah RM19 bilion subsidi korporat yang
ditanggung oleh PETRONAS untuk membayar IPP milik kroni akan dipulangkan
kepada Perbendaharaan. Kita juga akan menyemak semula sistem konsesi
toll untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 bilion setiap tahun yang
kini ditanggung kerajaan.
Dua tindakan yang mudah ini akan memulangkan RM51 bilion kepada
rakyat – lebih dari cukup untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat yang jumlahnya hanyalah satu pertiga dari jumlah yang
diselamatkan:
1.Imbuhan khas perguruan berjumlah RM500 sebulan menelan belanja RM3.2 bilion setahun.2.Jaminan Pakatan Rakyat bahawa subsidi minyak akan dikekalkan untuk golongan berpendapatan rendah akan melibatkan penstrukturan semula sistem subsidi, supaya hanya golongan yang berkelayakan menikmati subsidi minyak. Kos subsidi di bawah sistem sebegini dianggarkan berjumlah RM4 bilion setiap tahun.3.Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneruskan subsidi gas memasak, berjumlah RM4 bilion setiap tahun.4.Penstrukturan semula sistem tol di bawah PLUS dianggarkan menelan belanja RM23 bilion, berdasarkan harga pasaran yang ditawarkan oleh Khazanah dan KWSP. Kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan untuk mengambil alih operasi dari pemegang saham minoriti dianggarkan berjumlah RM8 bilion.
Justeru, jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat hanyalah RM19.2 bilion; yakni sama dengan subsidi
korporat yang diberikan kepada IPP milik kroni setiap tahun. Jumlah ini
adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun
akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan
bersenang-lenang.
Janji-janji lain seperti skim air percuma dan skim wi-fi percuma
telah pun dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kami telah
membuktikan ia mampu dilaksanakan.
Oleh yang demikian, Perdana Menteri tidak boleh berdolak dalih lagi
kenapa UMNO/BN tidak mahu melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat
apabila rakyat tahu bahawa ia mampu dilaksanakan. Tabiat berhutang
UMNO/BN yang membebankan generasi akan datang adalah sangat tidak
bertanggungjawab, apatah lagi apabila wang yang dipinjam tidak
dibelanjakan untuk rakyat.
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
11 JANUARI 2011
KETUA PEMBANGKANG
11 JANUARI 2011