Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak membayangkan negeri itu 
tidak semestinya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan
 Pilihan Raya Umum (PRU) peringkat pusat.
Menurut Menteri Besar, pembubaran DUN Kedah bergantung kepada 
keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan rakyat (PR) yang bersepakat 
untuk memutuskan sendiri tarikh PRU bagi negeri-negeri yang dikuasai.
Ketika ini PR menguasai empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
"Bagi kerusi DUN, kehendak kerajaan BN (menentukan tarikh pilihan 
raya umum) tidak semestinya menjadi ikutan (negeri)," kata beliau dalam 
pertemuan dengan seorang wakil media.
Bagaimanapun kata Azizan dalam kontek kerusi parlimen, PAS akan 
menyertainya tidak kira waktu bila pilihan raya itu akan diumumkan oleh 
kerajaan pusat.
"Kita tidak akan beri ruang sedikit pun kepada BN walaupun pilihan 
raya akan diadakan dalam masa terdekat. Tapi bagi negeri yang kita 
kuasai, ia bergantung kepada Majlis Pimpinan PR untuk memutuskan bila 
DUN akan dibubarkan," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.
Pembubaran DUN walaupun lazimnya dilakukan selepas pembubaran 
parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum dijalankan serentak tetapi 
Menteri Besar mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya negeri 
dengan mendapat perkenan Sultan.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang turut menegaskan untuk tidak 
membubarkan DUN sekiranya kerajaan pusat mengadakan pilihan raya umum 
tergempar atau dalam masa terdekat.
Keputusan yang diambil hasil perbincangan pimpinan PR peringkat 
negeri itu antaranya mengemukakan alasan mahu menggunakan mandat lima 
tahun sepenuhnya bagi melaksanakan janji-janji kepada rakyat tanpa 
terikat dengan rentak Barisan Nasional.
Mengulas lanjut tentang tarikh pilihan raya umum yang sentiasa 
menjadi teka-teki di negara ini, Azizan menasihatkan pimpinan kerajaan 
BN supaya tidak lagi mengamalkan sikap demikian.
Kata beliau, rakyat hari ini tidak boleh diperbodohkan sepertimana 
yang dilakukan sebelum ini kerana sebahagian besar rakyat sudah celik 
politik malah menyedari apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Selain itu kata beliau, teka-teki tarikh pilihan raya yang menjadi 
permainan BN langsung tidak menggusarkan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya
 BN yang takut untul mengumumkan tarikh PRU sekiranya mereka merasa 
sukar untuk mendapat kemenangan.