Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor pada 24 Januari ini akan 
diteruskan sekiranya cukup satu pertiga daripada ahlinya hadir, kata 
speaker, Datuk Teng Chang Khim.
Menurut Teng, mengikut peraturan tetap dewan dan Undang-undang Tubuh 
Negeri, sidang boleh diteruskan apabila kehadiran Adun cukup satu 
pertiga daripada jumlah Adun, tidak termasuk speaker.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita mengenai 
adun BN yang dikatakan tidak akan menghadiri sidang berkenaan.
"Mengikut peraturan tetap dan juga mengikut Undang-undang Tubuh 
Negeri, selagi ada satu pertiga yang hadir maka kita cukup korum  untuk 
mengadakan mesyuarat iaitu satu per tiga daripada jumlah ahli dewan 
kecuali speaker," katanya pada sidang media di Dewan Annex, dekat sini 
hari ini.
Sidang Dun ini bagi membentangkan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memperkenan 
cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengadakan
 sidang berkenaan.
Teng juga berkata, tidak timbul soal sidang tidak dapat diteruskan 
tanpa kehadiran Adun BN kerana apa yang penting satu pertiga ahli hadir 
untuk membolehkan mesyuarat berlangsung.
Ujarnya, undi dua pertiga juga tidak diperlukan untuk meminda Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.
"Itu bukan masalah saya. Kalau cukup korum satu pertiga daripada ahli
 hadir maka saya akan mulakan mesyuarat. Kalau katakan ada pindaan 
perlembagaan maka undi dua pertiga diperlukan.
"Kalau tidak ada pindaan perlembagaan, hanya ada sama ada pindaan 
kepada enakmen ataupun hanya ada rang undang-undang yang baru maka ia 
tidak memerlukan dua pertiga tapi hanya majoriti mudah.
"Setakat ini saya tidak pasti lagi dan itu harus ditanya kepada menteri besar," katanya.
Khalid sebelum ini berkata, pindaan yang dilakukan kerajaan Selangor 
berhubung Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan 
Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal yang baru.
Pindaan itu bagi mengembalikan semula prosedur untuk pelantikan tiga 
penjawat awam itu seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan 
Negeri sebelum ia dipinda pada 1993.