Kerajaan Negeri Pulau Pinang banyak membantu menyelesaikan masalah
yang dihadapi oleh penduduk di Jelutong khususnya dalam isu penduduk
Kampung Pokok Asam yang didakwa tidak dibela.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jelutong, Mohd Naser Ismail dalam
pertemuan dengan beliau, semalam.
Menurutnya, janji kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat
(PR) tidak akan membiarkan penduduk kampung ini melarat atau tidak
dibela nasib mereka.
"Semua pemilik rumah asal di Kampung Jalan Pokok Asam, pada peringkat awalnya tidak memperolehi sebarang bayaran pampasan.
“Ekoran itu kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan
pihak pemaju dan berjaya memperolehi pampasan bagi kos perpindahan dan
memasuki semula rumah yang akan digantikan di kawasan yang sama.
"Sewaan selama tiga tahun akan ditanggung oleh pihak pemaju. Manakala
semua penduduk yang terlibat akan menerima rumah gantian yang mana
kosnya adalah sebanyak RM75,000 dalam kawasan Jelutong juga," ujarnya
lagi.
Beliau yang juga Setiausaha PAS Kawasan Jelutong berkata, penduduk
yang belum menerima sebarang pampasan sehingga ke hari ini diharap
bersabar kerana usaha kearah itu sedang dijalankan bersama-sama dengan
Ahli Parlimen Jelutong, PAS kawasan Jelutong, JKKK dan kerajaan negeri
dengan pemaju yang terlibat.
Sebelum ini, katanya pemimpin Umno dan Barisan Nasional melemparkan
dakwaan kepada kerajaan negeri dengan pelbagai tuduhan negatif.
Menurutnya, mereka juga mendakwa kerajaan negeri tidak prihatin
terhadap masalah penduduk kampung tersebut yang terlibat dalam
perpindahan kerana pembangunan projek yang dilaksanakan oleh pemaju.
"Sebenarnya ini bukan masalah baru, ia telah wujud semenjak Umno dan
BN menerajui negeri ini lagi. Mereka juga sedar mengenai hakikat ini,
tetapi sengaja digembar-gemburkan demi kepentingan politik sempit
sesetengah pihak yang berkepentingan," katanya lagi.