Pakatan Rakyat mendakwa pentadbiran Najib sekali lagi membuktikan
kerajaan pusat bakal merekodkan ketirisan besar ekoran pengumuman 19
lagi projek permulaan (EPP) Program Transformasi Ekonomi (ETP) — yang
menurut kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal menjana pelaburan hampir
RM67 bilion dan 35,000 pekerjaan baru.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan
Eng berkata, ia terbukti apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak memerlukan RM67 bilion untuk mewujudkan hanya 35,000
pekerjaan baru ataupun hampir RM2 juta untuk setiap satu pekerjaan baru.
“Adakah RM2 juta diperlukan untuk wujudkan satu pekerjaan baru? Ia memang satu rekod,” kata Lim lagi.
“Jumlah
besar RM2 juta untuk setiap satu pekerjaan baru menunjukkan ketirisan
ekonomi dalam bentuk amalan rasuah dan penyelewengan kewangan yang hanya
boleh diatasi dengan kemenangan Pakatan dalam pilihan raya besar akan
datang,” kata beliau.
Pada 11 Januari lalu, Najib yang juga
Menteri Kewangan mengumumkan 19 lagi EPP di bawah ETP yang akan menjana
pelaburan hampir RM67 bilion, RM36 bilion pendapatan kasar negara dan
mewujudkan 35,000 pekerjaan baru.
Sebelum itu sebanyak 18 EPP telah diumumkan sejak ETP dilancarkan pada 25 Oktober 2010.
Kesemua
projek 19 EPP dan pembangunan itu akan dilaksanakan di bawah 10 Bidang
Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang diterajui oleh empat EPP di bawah NKEA
minyak, gas dan tenaga.
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang
berkata adalah jelas tindakan itu akan memufliskan negara, bukannya
Program 100 Hari Pakatan.
“Sebaliknya Program 100 Hari Pakatan akan selamatkan negara dengan pulihkan ekonomi negara.
“Jangan
lupa bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala
sendiri yang telah pun menyatakan bahawa Malaysia mungkin bankrap pada
2019,” kata Lim ketika berucap pada Majlis Tertutup Bengkel Pilihan Raya
Kebangsaan DAP di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Program 100 Hari Pakatan diumumkan menerusi Buku Jingga pada konvensyennya bulan lalu.
Kata Lim, BN mungkin lupa dengan projek mega ini tidak ada kena-mengena dengan masalah rakyat biasa yang berpendapatan rendah.
Lim menambah Malaysia mengalami ketidakadilan perbezaan pendapatan antara kaya dan miskin yang paling tinggi di Asia Tenggara.
“Kumpulan
termiskin golongan bawah 40 peratus penduduk hanya memiliki 14.3
peratus pendapatan negara sedangkan golongan atas 20 peratus memiliki 50
peratus pendapatan negara.
“Dengan kata lain lebih 10 juta
rakyat Malaysia dalam golongan bawah 40 peratus penduduk menerima purata
pendapatan RM1,500 sebulan,” katanya.
Justeru kata beliau,
golongan ini yang akan dibantu menerusi Program 100 Hari Pakatan Rakyat
yang di antara lain manambah insentif kepada anggota kerajaan tertentu,
bantu peneroka Felda, wang penghargaan warga emas RM1,000 setiap tahun,
khidmat wifi percuma untuk semua pekan di seluruh Malaysia, menghapuskan
tol lebuh raya dan juga mengurangkan harga minyak untuk orang miskin.
Kata
Lim, Pakatan bukan cakap sesuka hati kerana ia telah pun dilaksanakan
di negeri-negeri di bawah pemerintahan perikatan tiga parti itu.
Sungguhpun
banyak program telah dijalankan oleh kerajaan negeri yang di bawah
Pakatan, tidak ada satu negeri pun yang bangkrap, katanya.
“Sebaliknya
ia lebih kukuh seperti Pulau Pinang yang telah dipuji dua tahun
berturut-turut oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan 2009. Malah
Pulau Pinang dianggap sebagai mempunyai prestasi terbaik di negara pada
2009,” katanya.
Lim menjelaskan, ketirisan ekoran penyelewengan
kewangan dan amalan rasuah setahun melibatkan sekurang-kurangnya RM28
bilion setiap tahun dalam kerajaan persekutuan.
“Bila ketirisan dihapuskan banyak program memanfaatkan rakyat boleh dibuat seperti wifi percuma dan menghapuskan tol.
“Oleh
itu banyak Program 100 Hari Pakatan seperti membayar RM1,000 setiap
tahun kepada warga emas melebihi 60 tahun boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau
berpendapat dengan 2.1 juta warga emas, pembayaran RM1,000 setahun
hanya melibatkan RM2.1 bilion setahun yang tidak sampai 10 peratus RM28
bilion.
“Ada baki lagi. Inilah yang harus dikongsi bersama dengan rakyat di bawah dasar ekonomi berjiwa rakyat Pakatan,” katanya lagi.