
Setelah 53 tahun merdeka negara kini berada dalam krisis. Cita-cita
untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur
telah gagal.
Demokrasi dan hak asasi rakyat terus dinodai oleh
pemerintah UMNO/BN. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa membarah. Kekayaan
negara telah dibolot oleh segelintir elit berkuasa. UMNO/BN tidak
mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang
tinggi. Pendapatan rakyat tidak meningkat kerana dikekang oleh
pemerintah. Daya saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang
lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak
berjiwa rakyat.
Krisis parah sebegini memerlukan tekad dan azam
politik untuk diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru dengan
membuat anjakan paradigma. Maka, Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan
politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan
yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang
dimeterai.
Dasar Bersama adalah berlandaskan empat kerangka asas iaitu:
Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;
Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
Dasar
Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara
dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna
kuasa, rasuah dan politik perkauman.
Muafakat asas yang membentuk
Dasar Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan
Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Tiga perkara
pertama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Pakatan Rakyat
untuk:
Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai
agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman
dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa
orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak
dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
Memartabatkan
penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca
serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua
kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki
daya saing Malaysia di peringkat global.
Ketetapan Pakatan Rakyat
mengangkat konsep muafakat di antara parti-partinya membentuk
kesepakatan perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi laluan
kepada lahirnya sistem dua parti di negara ini. Sejarah besar yang
dicipta dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk menukar
kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang bobrok dalam PRU13
berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan bersejarah, ia satu
kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis parah.
Agenda
Pakatan ini adalah nadi kepada perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai
kaum dan pegangan untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang
menzahirkan semangat demokrasi dan keadilan dalam semua aspek. Agenda
ini menuntut perubahan mutlak (minda, pendekatan dan kaedah) untuk
menggembleng muafakat semua pihak. Ini perlu demi membebaskan
institusi-institusi penting negara dari durjana campur tangan sebahagian
kecil golongan elit yang mempertahankan tembolok mereka semata-mata.
Pakatan
Rakyat juga meletakkan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil
dan saksama sebagai teras kepada kesemua program yang telah dilaksanakan
dan sedang dirancang, demi membela nasib rakyat terbanyak.
Malaysia
berdepan dengan prospek ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan
berbanding dengan negara-negara serantau yang pernah setanding dengan
kita. Tatkala Malaysia masih meraba-raba mencari penawar kepada
kemunduran ekonomi ini, negara wajib waspada dengan saingan baru dari
negara-negara yang sebelum ini lebih mundur dari kita. Darjat ekonomi
kita di mata antarabangsa dan dalam konteks ekonomi global telah
merudum.
Lebih parah lagi, pemerintah yang bongkak dan
mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat. Bantuan-bantuan kepada
rakyat disekat atas nama mengurangkan beban kerajaan, sementara lohong
ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan negara dapat mereka bolot
secara rakus.
Tindakbalas pemerintah juga adalah songsang dan
tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya saing negara.
Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana janji untuk
membawa ‘transformasi ekonomi’ bercanggah dengan tindakan semasa yang
bertentangan dengan tuntutan reformasi.
Makanya, negara dan
rakyat berdepan dengan ketakutan yang berlipat kali ganda. Amalan
menunggang institusi-institusi penting negara demi menutup kelemahan
sendiri dan menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa. Matlamat kuasa BN
adalah untuk terus berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan
berkesan untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan
sosial yang semakin menghimpit.
Malaysia perlu diubah sekarang.
Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan
sedia ada adalah kabur. Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala
kerosakan bangsa dan negara akan berterusan. Malaysia akan bertukar dari
status malap kepada gelap.
Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa
Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan
prinsip keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera. Pakatan
Rakyat yakin bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan
meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara dan
masyarakat kita.
Agenda Pakatan ini menggariskan perincian dasar
dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan
cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil.
Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia
ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat. Hasrat
ini akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke
seluruh pentadbiran dan institusi-institusi penting negara.
Agenda
Pakatan ini adalah penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah
masyarakat yang digariskan oleh Dasar Bersama. Ia adalah jendela yang
paling luas untuk menggambarkan sebuah Malaysia yang makmur dan adil di
bawah Pakatan Rakyat.
Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.
Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Y.B. Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
NEGARA DALAM KRISIS
Krisis EkonomiEkonomi
negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur
1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini
ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan
Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti
Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Jawapan pentadbiran
sedia ada kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji
melalui kempen slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.
Rakyat
disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi
Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi
Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan
ekonomi yang digunapakai selama ini.
Program-program ini masih
bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina
projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi
ekonomi yang diperlukan negara.
- 12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.
- 10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.
- 4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.
- 4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.
- KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.
- 325
bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini
bermakna purata sumbangan PETRONAS setahun adalah 81.25 billion
ringgit.
- 53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.
- 3
kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang
PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).
Kerosakan Institusi NegaraInstitusi-institusi
penting negara rosak akibat dari campur tangan penguasa. Kewibawaan
badan kehakiman terhakis. Salah laku hakim-hakim yang dibongkarkan dan
diketahui umum menyebabkan rakyat dan masyarakat antarabangsa hilang
keyakinan terhadap institusi kehakiman.
Malah, amalan
mencampur-adukkan kepentingan politik penguasa dengan pentadbiran negara
untuk memberi kelebihan kepada parti yang berkuasa semakin
menjadi-jadi.
Jika integriti institusi-institusi penting negara
tidak dipulihkan, bahana kepada negara dan rakyat adalah berganda.
Selain ketidakadilan yang berleluasa di dalam masyarakat, sebarang usaha
untuk membaiki imej Malaysia di mata pelabur asing juga akan terus
cacat dan tidak berkesan.
- Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam
indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh
World Economic Forum dari tahun 2007 ke 2009
Ketegangan Masyarakat Pelbagai KaumPemerintah
sedia ada mengambil jalan tidak bertanggungjawab memecah belahkan
perpaduan masyarakat pelbagai kaum untuk terus kekal berkuasa. Taktik
pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah ini semakin menjadi-jadi
sejak tsunami kebangkitan rakyat 2008; menggambarkan tingkah laku
penguasa yang akan menggadaikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum
apabila semakin terdesak.
Rentetan peristiwa berbaur perkauman
yang berlaku sejak Mac 2008 akibat permainan politik perkauman sempit
UMNO/BN mengancam persaudaraan rakyat pelbagai kaum.
Kegilaan
menggunakan isu-isu yang mengapi-apikan perasaan curiga antara kaum dan
menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa semakin menjadi-jadi
mutakhir ini kerana penguasa yang terdesak.
Bebanan RakyatKelesuan
ekonomi dan kegagalan pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke
prestasi lebih tinggi membawa kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji
yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan, apatah
lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin meningkat.
- 2.6%
purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010,
berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara
miskin).
- 4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.
- 40%
dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang
berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan
paling miskin di Malaysia.
- 3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.
- 34%
dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji
kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.
- 62%
dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung
kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana
bebas, konsesi lebuhraya).
- 3 bilion adalah subsidi makanan (gula,
gandum, beras) yang cuba ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion
subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi
lebuhraya setiap tahun.
- RM19 bilion subsidi diberikan kepada
penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion
subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.
- RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.
Hak Rakyat DinodaiPeristiwa
salah guna kuasa yang memangsakan rakyat berleluasa. Insiden-insiden
yang melibatkan remaja ditembak polis semakin meningkat dan merangkumi
mangsa dari pelbagai kaum.
Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan
menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang
melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran
sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap
internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan
maklumat alternatif kepada rakyat.
Tindakan-tindakan penguasa
sebegini tidak menggambarkan niat sebuah kerajaan yang menghormati
kebebasan rakyat dan menjaga kehormatan rakyatnya. Kekangan dari pihak
berkuasa berterusan dan tidak ada tanda-tanda akan berubah dengan
sendiri.
Gejala Rasuah BerleluasaRasuah adalah barah
utama yang menghancurkan negara dan bangsa dari dalam. Gejala rasuah
yang berakar menjadi halangan kepada usaha-usaha untuk menyuntik
dinamisme ke dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Sejak
sedekad lalu, rasuah juga adalah penyebab kurangnya minat pelabur asing
untuk datang ke Malaysia yang telah merumitkan lagi usaha memulihkan
ekonomi negara yang kian malap.
Rasuah berleluasa kerana dokongan
pentadbiran sedia ada yang selesa dengan golongan rentier (terutamanya
dari kalangan kroni dan parti pemerintah). Golongan rentier ini dikenali
dengan pelbagai nama sebelum ini – atas angin, Ali Baba dan sebagainya.
Golongan ini adalah parasit yang menyelewengkan sumber negara dari
rakyat ke poket mereka.
Gejala rasuah akan terus meruntuhkan daya
saing dan jati diri rakyat Malaysia dalam suasana acuh tidak acuh yang
ditunjukkan pentadbiran sedia ada.
- 28 bilion kerugian yang ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa.
- 3 kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.
- 4.4
skor dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Negara tahun 2010,
sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor ini lebih rendah dari tahun
2009.
- 46% dari rakyat yang ditinjau oleh Transparency
International menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam
tahun 2010 berbanding 2009.
Krisis PendidikanKelesuan
ekonomi dan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat pelbagai kaum adalah
bahana yang menimpa rakyat apabila pendidikan di negara ini
diperkotak-katikkan mengikut selera pemerintah. Selepas 50 tahun
mencapai kemerdekaan, dunia pendidikan Malaysia hilang serinya – dulu
dihormati serantau, kini hanya mengambil tempat kedudukan yang corot
dalam senarai-senarai pendidikan antarabangsa.
Sekolah-sekolah
dan universiti dilihat sebagai pentas menjual pengaruh politik walhal
pendidikan rakyat adalah kaedah terbaik menstrukturkan masyarakat dan
memacu ekonomi negara demi kesejahteraan bersama. Negara-negara yang
paling makmur dan sejahtera adalah negara-negara yang mempunyai sistem
pendidikan peringkat rendah, menengah dan tertiari yang paling berkesan
dan adil.
- 57 anak tangga dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia
UNDP 2010 mengenai kadar pembangunan insaniah di dunia, jauh
ditinggalkan Korea Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan
Brunei (37).
- 68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan
pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea Selatan
(96.4%), Hong Kong (75.2%) dan Brunei (88.2%).
- 1 orang dari
setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan menengah dan
tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009.
- 29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).
KEMAKMURAN, KEADILAN SOSIAL DAN PERSAUDARAAN RAKYAT BERSAMA PAKATAN RAKYATPakatan
Rakyat telah mempamerkan rekod pentadbiran yang meniupkan semangat
keadilan sosial dan persaudaraan rakyat untuk menjamin kemakmuran
bersama. Prinsip asas yang dijunjung dari Dasar Bersama telah dihadam
dan dihidupkan melalui pelbagai dasar pro-rakyat yang telah dijalankan
selama ini.
Fokus utama Pakatan Rakyat dalam tempoh setahun akan
datang adalah menyemarakkan lagi pendekatan pro-rakyat atas landasan
keutuhan sistem pentadbiran yang demokratik untuk memberi peluang kepada
rakyat menilai sendiri keikhlasan dan keberkesanan Pakatan Rakyat
sebagai sebuah kerajaan.
Ini akan dilakukan melalui pengenalan
langkah-langkah spesifik yang tertakluk di bawah bidang kuasa
kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan akan diperjuangkan di
peringkat nasional oleh pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat.
Rekod
pembelaan rakyat yang dicapai oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu
Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor tidak dapat ditandingi
oleh lawan. Pentadbiran Pakatan Rakyat diakui bebas rasuah, telus,
berjiwa rakyat lagi berkebajikan dan berjaya meningkatkan hasil negeri
berdasarkan laporan-laporan rasmi dari Jabatan Audit Negara dan pemantau
bebas.
Bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus dalam usaha menterjemahkan Dasar Bersama adalah seperti berikut:
Membebaskan Institusi NegaraMerakamkan pentingnya institusi-institusi penting negara yang bebas dan berintegriti, Pakatan Rakyat komited untuk:
Meneruskan
konsep pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus seperti
yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat; sebagai gambaran
sebuah pentadbiran yang membebaskan institusi-institusi penting negara
dari cengkaman campur tangan politik.
Mewujudkan Majlis Pakar-Pakar
(Council of Experts) dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik
dan sosial untuk merangka dan mengemaskini dasar sedia ada agar
bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.
Mewujudkan
Jawakatankuasa Parlimen yang memantau fungsi dan keberkesanan
Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan Jawatankuasa Parlimen
setiap enam bulan sekali.
Memperhebatkan proses pendidikan politik
melibatkan golongan sasaran yang lebih besar mengenai peri penting
keutuhan institusi-institusi penting negara yang berintegriti; dengan
kerjasama NGO dan masyarakat sivil/madani.
Istiqamah dalam kempen dan
gerak kerja politik untuk memberi tekanan kepada pentadbiran sedia ada
agar membebaskan institusi-institusi penting negara dari campur tangan
politik.
Kemakmuran Melalui Pengagihan Ekonomi yang AdilMenghargai
pengorbanan dan rasa perit rakyat yang tertindas dengan kesempitan
hidup akibat agihan ekonomi yang tidak adil, Pakatan Rakyat komited
untuk:
Menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari
tumpuan kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada
langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.
Persoalan ekuiti 30% yang kononnya diperjuangkan untuk Melayu/Bumiputra
telah diselewengkan untuk mengkayakan golongan elit dan pemerintah,
sedangkan rakyat terbanyak masih lagi bergelumang dalam kemiskinan.
Kaedah meningkatkan pendapatan isi rumah memberi kesan ekonomi yang
langsung kepada ratusan ribu keluarga yang masih berada di bawah garis
pendapatan RM1,500 sebulan.
Menyiasat dan bertindak ke atas
penyelewengan harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra
termasuklah skandal kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan
kepada golongan elit dan kroni pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra,
sedangkan majoriti rakyat masih lagi berada di dalam kategori rakyat
miskin.
Meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa
diskriminasi sebagai kaedah mengagihkan kekayaan negara dengan lebih
adil kepada rakyat, termasuklah skim-skim kebajikan rakyat seperti skim
air percuma, skim warga emas, skim bantuan ibu tunggal dan lain-lain.
Mempertahankan
hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi minyak
dan barangan keperluan asas selagi subsidi-subsidi korporat kepada
penjana bebas dan pemegang-pemegang konsesi tidak distrukturkan terlebih
dahulu.
Membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah
RM1,500 tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin
pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh lima
tahun memerintah di peringkat Persekutuan. Ini boleh dilaksanakan
melalui beberapa dasar bersepadu yang bertujuan mengangkat pendapatan
rakyat dan menambah peluang pekerjaan agar setiap isi rumah mempunyai
lebih dari seorang yang berpendapatan. Dasar-dasar ini termasuklah
pelaksanaan gaji minima, undang-undang majikan yang memberi ruang kepada
kaum wanita melaksanakan tugasan dari rumah, skim latihan untuk menukar
dan menaiktaraf tenaga kerja dan bantuan keusahawanan yang tidak
mengamalkan diskriminasi.
Menjamin kelangsungan bekalan makanan
negara pada harga yang tidak membebankan negara dengan langkah-langkah
drastik dalam tempoh dua tahun memerintah di peringkat Persekutuan untuk
mengurangkan pergantungan kepada import makanan.
Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna RakyatMenyedari
terhakisnya kuasa beli rakyat akibat kenaikan gaji yang tidak setara
dengan kos sara hidup yang mencanak, ada keperluan mendesak supaya
pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat ditingkatkan
serta-merta. Pakatan Rakyat komited untuk:
Menstrukturkan kembali
empat bidang infrastruktur dan utiliti awam supaya kos yang kini
dibayar oleh rakyat dapat dikurangkan dengan menghentikan manipulasi
monopoli untuk keuntungan berlebihan oleh pemegang konsesi. Empat bidang
infrastruktur dan utiliti awam ini adalah bekalan air, bekalan
elektrik, lebuhraya dan kemudahan jalur lebar. Pakatan Rakyat akan
memulangkan pengurusan bidang-bidang ini kepada rakyat melalui kaedah
pengurusan yang lebih kompetitif.
Menyempurnakan pengambilalihan
pengurusan industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang
berpatutan untuk rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah
dinikmati rakyat.
Menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan
bagi memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus
disediakan kepada rakyat terbanyak.
Mewujudkan Perbadanan Perumahan
Negara sebagai badan induk yang mengawal, membangunkan dan
mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat untuk menjamin setiap
keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang selesa pada harga yang
berpatutan dengan pendapatan mereka.
Menyelesaikan kes-kes projek
perumahan terbengkalai yang menekan rakyat dengan sebarang kaedah yang
difikirkan sesuai oleh kerajaan pada kadar yang segera. Setakat ini,
projek perumahan terbengkalai membabitkan 3,000 unit telah diambil alih
dan sedang dipulihkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
Meneruskan dan
meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan untuk memberi bantuan
khusus kepada golongan termiskin melonjakkan kedudukan ekonomi mereka,
melalui bantuan kewangan, latihan dan pemantauan. Setakat ini, RM70 juta
telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit di negeri-negeri Pakatan
Rakyat.
Pemberdayaan RakyatMerakamkan peranan rakyat sebagai
mekanisme timbang tara (check and balance) yang penting untuk menjamin
pentadbiran yang bersih, Pakatan Rakyat komited untuk:
Meneruskan
pemberdayaan rakyat sebagai mekanisme timbang tara dengan mengamalkan
ketelusan pentadbiran dan maklumat dengan rakyat. Ini termasuklah dengan
menyempurnakan pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Freedom of
Information Enactment) yang telah pun diperkenalkan di negeri-negeri
Pakatan Rakyat.
Memperhebatkan sokongan kepada masyarakat
sivil/madani melalui bantuan-bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO)
yang memperjuangkan rakyat, sebagai langkah mengukuhkan peranan NGO
menjadi suara pembela rakyat.
Golongan Pendidik DiutamakanMerakamkan
penghargaan kepada golongan pendidik yang menjadi teras pembangunan
negara dan persaudaraan rakyat, Pakatan Rakyat komited untuk:
Meneruskan
bantuan terus kepada semua jenis institusi pendidikan marhaen yang
membuka ruang pendidikan kepada rakyat, termasuk bantuan terus kepada
golongan pendidik di institusi-institusi ini sebagai penghargaan kepada
pengorbanan dan khidmat mereka.
Memperjuangkan pengharmonian gaji
pendidik yang berbeza-beza latar belakang dan kelulusan, dengan prinsip
memastikan kriteria penilaian yang lebih adil kepada para pendidik
mengambil kira kepakaran dan tempoh berkhidmat.
Memperjuangkan skim
gaji yang setara dengan golongan profesional di dalam sektor-sektor lain
seperti jurutera, akauntan dan doktor yang diikat dengan penilaian
prestasi yang lebih adil dan menyeluruh untuk menjamin mutu pendidikan
negara.
Menilai semula guna tenaga semasa di sekolah-sekolah untuk
memastikan semua guru-guru terlatih dan berkelayakan, termasuk
menyelesaikan persoalan naiktaraf guru-guru sandaran.
Mengurangkan
karenah birokrasi dan pentadbiran dalam dunia pendidikan yang
membebankan golongan pendidik, terutamanya pertukaran-pertukaran dasar
utama yang silih berganti dan mengongkong golongan pendidik kepada
kerja-kerja menulis laporan dan pentadbiran yang mengurangkan masa
pengajaran dan pembelajaran.
Budaya Ilmu Sebagai Teras UniversitiMengangkat
krisis kredibiliti dan mutu universiti sebagai masalah utama negara,
Pakatan Rakyat percaya bahawa penyelesaian tidak boleh dilengahkan dan
tumpuan khusus perlu diberikan kepada usaha-usaha memartabatkan
universiti. Pakatan Rakyat komited untuk:
Mengembalikan kebebasan
intelek dan akademik kepada universiti, dengan menghapuskan semua
campur tangan politik dalam urusan universiti.
Mewujudkan Panel
Pemilih yang terdiri daripada pakar-pakar untuk menyenarai pendek dan
menilai calon-calon pimpinan universiti supaya calon yang terbaik
diangkat mengepalai universiti, sebagai bukti komitmen Pakatan Rakyat
kepada prinsip meritokrasi akademik di universiti.
Menyertai
perjuangan mahasiswa dengan memberi sepenuh sokongan dan bimbingan untuk
menghapuskan AUKU dan menuntut hak bersuara dan berpolitik mahasiswa.
Menyelesaikan
krisis pembiayaan pendidikan tinggi (yang dijangka akan menyebabkan
defisit PTPTN melambung ke paras RM46 bilion dalam masa sedekad) dengan
mengurangkan beban peminjam dengan cara memperkenalkan polisi pinjaman
tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam bulan setelah
peminjam mendapat pekerjaan tetap.
Menjamin hak setiap rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada kadar yang paling minima.
Mengembalikan
hak rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk
mendapatkan biasiswa bagi mereka yang layak dan menghentikan
kecenderungan memperdagangkan pendidikan tinggi demi keuntungan.
Memerangi Rasuah
Menginsafi kemusnahan yang telah dibawa oleh barah rasuah kepada masyarakat dan negara kita, Pakatan Rakyat komited untuk:
Membawa
pentadbiran SPRM di bawah pertanggungjawaban Parlimen, termasuk dalam
urusan meluluskan perlantikan jawatan-jawatan tertinggi SPRM.
Melancarkan
perang membasmi rasuah di peringkat negeri termasuk mengemaskini
prosedur dan mekanisme pentadbiran untuk mengurangkan jurang berlakunya
rasuah.
Menyediakan peguam-peguam dan pemimpin parti untuk membela
individu atau pihak yang membongkarkan skandal rasuah tidak mengira
fahaman politik, supaya lebih ramai yang tampil ke hadapan memikul
tanggungjawab memerangi rasuah.
Meneruskan amalan tender terbuka yang
telah dilaksanakan, termasuk dengan memperkenalkan inovasi baru dalam
pentadbiran perolehan bagi mengetatkan lagi prosedur perolehan agar
bebas dari anasir rasuah.
Sabah-Sarawak Sebagai Rakan KongsiMenghormati
kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia
dan perjanjian-perjanjian yang telah dibuat, Pakatan Rakyat komited
untuk:
Mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.
Menaikkan
royalti dari hasil petroleum dan hidrokarbon dari Sabah dan Sarawak
kepada 20% berbanding kadar 5% yang diamalkan masa kini.
Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
Memberi
tumpuan khusus membawa pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak
agar setara dengan tahap prasarana yang ada di negeri-negeri lain di
dalam Persekutuan.
Meningkatkan integrasi nasional di antara Sabah,
Sarawak dan Semenanjung melalui perkongsian kuasa yang adil dan menepati
semangat Persekutuan.
PROGRAM 100 HARI PAKATAN RAKYAT
Pakatan
Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek
pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan
prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.
Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:
Mereformasikan
insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam
Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran
kerajaan.
Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mengarahkan
Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain
badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk
menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan
menghapuskan tol.
Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan
subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion
kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan
subsidi rakyat.
Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan
mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan
sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru
pendidik bangsa.
Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.
Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
1. Demokrasi Telus dan Tulen
A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
B – Pemisahan Kuasa
C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
B – Ekonomi Demokratik dan Telus
C – Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
E – Tenaga Kerja
F – Jaringan Perlindungan Sosial
G- Perumahan
H- Prasarana dan Kemudahan Awam
I- Alam Sekitar
3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
B – Agama
C – Pendidikan
D – Wanita dan Institusi Keluarga
E – Golongan Muda
F – Keselamatan
G – Kesihatan
H- Kebudayaan
4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara
A – Sistem Persekutuan
B – Sabah dan Sarawak
C – Dasar Luar Negara
MUAFAKAT RAKYAT
Pakatan
Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa
keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.
Agenda
pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman
sempit, politik adu domba dan “demokrasi otoritarian”. Ekonomi merudum
akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan
kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tercicir ke belakang
dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.
Ketidakadilan ekonomi
semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan
miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah
dan Sarawak.
Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan
harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik
sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh
campur tangan politik dan kepentingan perniagaan.
Setengah abad
Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini
diterjemahkan manakala rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat
baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan
kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak
rakyat.
Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat
mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda
politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum,
agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.
Malah kami
yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan
hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika
hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau
kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan
prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang
dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi
manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.
Pakatan
Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih
pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada
pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan
Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian
progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah
pengagihan ekonomi yang adil terutama bagi kelompok miskin dan
terpinggir.
Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang
kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa.
Demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya
memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang
memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira
kaum.
Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat
Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk
semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti
dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan
kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan
bersatu padu.
1. Demokrasi Telus dan Tulen
A – Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang
Perlembagaan
Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia
yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama,
bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan
Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan
Persekutuan.
Pakatan Rakyat akan:
i. Mempertahankan
Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan
agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di
negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak
negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah
kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153
ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.
iii.
Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152
Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca
serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua
kaum.
iv. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan
undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan
itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih
berkuatkuasa.
v. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.
vi.
Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara
Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.
B – Pemisahan Kuasa
Keberkesanan
amalan sistem demokrasi bergantung kepada keutuhan pelaksanaan doktrin
pemisahan kuasa. Integriti sesebuah kerajaan bergantung kepada
kebebasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan institusi-institusi yang
diamanahkan untuk menjamin keseimbangan antara cabang eksekutif,
kehakiman dan legislatif.
Pakatan Rakyat akan:
i. Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman.
ii.
Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya lebih telus,
demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak dan imbang.
iii.
Menjamin pertanggungjawaban badan-badan seperti Suruhanjaya
Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada
Parlimen.
iv. Mewajibkan perlantikan jawatan-jawatan seperti
Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah dan Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.
v. Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).
vi.
Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan
serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua
peringkat secara demokratik.
vii. Membebaskan media, meminda Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan
memastikan kebebasan Internet.
viii. Mempertingkatkan prestasi
sektor perkhidmatan awam serta menjamin kebajikan anggotanya. Memastikan
institusi tersebut berkecuali dan menjalankan tanggungjawabnya secara
cekap.
ix. Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil. Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.
C – Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil
Kewibawaan
sistem pilihanraya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat
untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang
kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan. Makanya adalah
penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkaitan dengan
pilihanraya.
Pakatan Rakyat akan:
i. Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.
ii.
Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan membersihkan
senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri,
memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan menggunakan
dakwat kekal.
iii. Memastikan media massa memberi ruang kepada
semua parti politik secara adil dan saksama, tempoh kempen yang
munasabah dan pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan
bebas.
iv. Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan
mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan
yang lebih adil dan saksama.
v. Memperuntukkan belanja kempen
kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang
diperolehi pada pilihanraya umum.
vi. Menggubal undang-undang
yang lebih berkesan bertujuan menghukum calon atau parti politik yang
terbabit rasuah atau amalan membeli undi.
2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil
Pakatan
Rakyat bertekad menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan
memiliki pertumbuhan mapan. Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah
negara secara cekap dalam pelaburan dibidang-bidang dan sektor-sektor
utama dan strategik adalah penting bagi menjamin daya saing negara.
Merancakkan
pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta
menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan bakal menjadikan
ekonomi berdaya maju dan berdaya tahan.
Pakatan Rakyat beriltizam
untuk ‘Merakyatkan Ekonomi Negara’ bagi memastikan kemakmuran dan
kekayaan yang terhasil dikecapi oleh seluruh lapisan rakyat. Sekaligus
merapatkan kesenjangan diantara kaya-miskin serta mengatasi ketidak
seimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan tempang yang tidak
mendahului kepentingan rakyat ramai.
A – Ekonomi Kemahiran Tinggi
Paksi
kepada ekonomi berprestasi tinggi adalah tenaga kerja yang
berpengetahuan, berketerampilan dan berkemahiran. Pakatan Rakyat akan
membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk membekalkan kewujudan
warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah
dalam kegiatan ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menjamin
peluan pendidikan tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan
dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan pertanian.
ii. Memastikan
warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta diberi latihan
berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti..
iii. Menggalakkan warga
neraga yang professional dan berkemahiran yang bermastautin di luar
negara kembali ke tanah air dengan menyedaikan suasana kerja yang
professional dan menarik.
B – Ekonomi Demokratik dan Telus
Pakatan
Rakyat beriltizam melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang
bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme bagi meningkatkan
kepertanggunjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.
Kebejatan
rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan
mengekang pertumbuhan mapan serta menghakis daya sain negara.
Pakatan Rakyat akan:
i. Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.
ii.
Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding semula konsistensi dan
kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil kepada rakyat,
termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan prasarana air.
iii
Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak sebarang cukai yang
membebankan rakyat termasuklah cadangan perlaksanaan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara bersedia.
C –Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
Selaras
dengan semangat persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian
kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan
dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diagihkan kepada
kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.
Desentralisasi
mampu mendorong perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi
lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap
kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil
perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
i. Melaksanakan
formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor jumlah
penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal
insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi
memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.
ii. Mengagihkan kuasa
pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan
negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka bentuk dan
jaringan pengangkutan awam.
iii. Menjana pembangunan kawasan yang lebih
seimbang, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh
negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah Klang
iv. Mengutamakan
dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta berjangka panjang,
berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri berada dalam
kedudukan terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi
sosio-ekonomi.
D – Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
Pakatan
Rakyat memperakui bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan
berdasarkan keperluan tanpa mengira latar belakang. Pakatan Rakyat
bertekad untuk merakyatkan ekonomi negara, agar khazanah negara dapat
dinikmati dengan adil oleh semua.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.
ii. Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.
iii. Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin tegar.
iv. Menyediakan biasiswa pendidikan berdasarkan keperluan dan merit.
v. Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.
vi.
Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta jihad
menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi
kemiskinan
E- Tenaga Kerja
Tenaga kerja adalah tunjang
kepada kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin
semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan
dan kesejahteraan pekerja dipelihara.
Pakatan Rakyat akan:
i. Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.
ii.
Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut
kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak
dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.
iii. Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.
iv.
Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan
menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi serta
mengurangkan karenah birokrasi.
v. Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.
vi. Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
vii.
Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor
ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang
bekerja sendiri.
F – Jaringan Perlindungan Sosial
Setiap
rakyat Malaysia harus menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa.
Rakyat yang hilang mata pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan
golongan berpendapatan rendah mesti dilindungi dan diberi peluang untuk
turut menikmati faedah pembangunan ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
i. Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.
ii.
Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang
hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan latihan semula
pekerja.
Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun
bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang
kepada masyarakat.
G – Perumahan
Rumah merupakan
keperluan asas manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia
tidak berkeupayaan memiliki rumah sendiri terutama mereka yang
berpendapatan rendah dan sederhana. Maka Pakatan Rakyat akan:
i.
Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk menambahkan bilangan
rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah.
ii. Mengatasi masalah ‘setinggan/peneroka bandar’sebaiknya melalui
pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian tanah dan melalui
syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan membeli rumah
mereka.
iii. Menyelaraskan sistem perundingan antara
‘setinggan/peneroka bandar’, pemaju dan pihak berkuasa untuk mencapai
penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara berkaitan perumahan dan
tanah;
iv. Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah;
v. Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.
vi.
Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor kewangan untuk
membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.
vii.
Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar perumahan dan
memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk mereka yang
memerlukannya.
H- Prasarana dan Kemudahan Awam
Penyediaan
dan penyenggaraan prasarana awam yang baik merupakan tanggungjawab
kerajaan. Perlaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat atau
menguntungkan kroni tertentu. Prasarana dan kemudahan awam yang baik
membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan pendapatan boleh belanja dan
produktiviti mereka.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.
ii.
Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian balik
lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7 tahun.
iii.
Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam melalui penubuhan
Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak kerajaan dan
wakil masyarakat.
iv. Memperkenalkan sistem separuh tambang bagi
warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara untuk semua jenis
pengangkutan awam.
v. Menyemak semula pemberian permit teksi
kepada syarikat-syarikat besar dengan keutamaan kepada pengusaha
individu dan persatuan mereka.
vi. Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.
I- Alam Sekitar
Alam
sekitar merupakan khazanah negara yang wajib dipelihara untuk
kelestarian hidup generasi masa depan. Mendepani krisis perubahan iklim,
Pakatan Rakyat beriltizam:
i. Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.
ii. Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.
iii. Membina asas dan kemahiran teknologi bagi untuk melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.
iv. Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.
v.
Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian antarabangsa
dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.
3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan
A – Perpaduan dan Keadilan Sosial
Pakatan
Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan
rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan
negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat
sejati antara kaum, budaya dan agama. Pakatan Rakyat berjanji membina
semula sebuah masyarakat berbilang kaum yang padu, di mana kaum-kaum
yang berbeza itu hidup dalam aman dan harmoni.
Pakatan Rakyat akan:
i. Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.
ii. Mengembeling
tenaga semua pihak yang berkepentingan untuk menyuburkan sikap
baik-sangka, saling hormat dan mempercayai yang memang telah begitu lama
diamalkan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
iii. Menggubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta tiadanya lagi diskriminasi antara kaum.
iv. Pakatan
Rakyat akan menjana sokongan setiap peringkat masyarakat supaya
berpegang teguh kepada segala prinsip dan petunjuk yang wajar dipegang
oleh sebuah masyarakat yang terbuka
v. Menghapuskan amalan politik perkauman melalui pelbagai cara termasuk pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.
vi.
Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan citra unggul yang
boleh diterima semua kaum. Ini memerlukan sikap terbuka terhadap
kepelbagaian budaya yang dianuti pelbagai kaum dan puak di Malaysia.
Pakatan Rakyat akan melakukan semua ini dengan mengambil kira sejarah
dan evolusi negara ini.
vii. Meningkatkan kebajikan Orang Asli,
Orang Asal dan golongan minoriti lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan
Sarawak selain mempertahankan hak asasi, ekonomi dan sosial mereka.
B – Agama
Agama
dan anutan kepercayaan rakyat Malaysia seharusnya menjadi asas
kesepakatan berlandaskan nilai murni yang bersifat sejagat. Rakyat
Malaysia kini hampir tergelincir ke dalam kawah yang mendidih
didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan ketegangan kerana
berlainan agama. Tidak sewajarnya ada pertikaian mengenai hakikat bahawa
Malaysia adalah sebuah negara yang menganuti sistem demokrasi di mana
agama Islam menduduki tempat istimewa sebagai agama persekutuan
sementara hak agama-agama lain dijamin.
Pakatan Rakyat berikrar:
i. Mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama setiap rakyat Malaysia.
ii. Menganjur dialog dan rundingan antara peradaban untuk mengukuhkan persefahaman.
iii.
Menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian yang
adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil
dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji semua
isu-isu berkaitan dengan mendalam.
iv. Memperkukuhkan pengurusan
institusi Islam seperti Baitul Mal dan Tabung Haji bagi memastikan ia
dikendalikan dengan berkesan, cekap dan memenuhi matlamat.
v. Memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat dan pusara bagi semua penganut agama.
C – Pendidikan
Pendidikan
seharusnya bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi
rohani, jasad dan intelek. Melalui sistem pendidikan negara, Pakatan
Rakyat bertekad untuk menyediakan sebuah sistem pendidikan yang mapan,
bermutu dan menjamin peluang yang saksama kepada rakyat.
Pakatan Rakyat akan:
i.
Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai peneraju sistem pendidikan
negara. Memastikan sokongan dan pembiayaan secara adil kepada
sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah
mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk meningkatkan
taraf pendidikan negara.
ii. Mengimbangi penekanan kepada sistem
peperiksaan dengan sistem pembelajaran berasaskan pemikiran kritis dan
analitikal dengan matlamat mencari kebenaran.
iii. Memastikan
setiap pelajar yang berkelayakan mendapat tempat di institusi pengajian
tinggi awam tanpa mengira latar belakang.
iv. Meminda Akta
Universiti dan Kolej Universiti 1974 demi mewujudkan iklim yang kondusif
dalam bentuk jaminan kebebasan akademik dan autonomi universiti ke arah
mempertingkatkan mutu pendidikan setanding dengan negara-negara maju.
v.
Memastikan perlantikan naib canselor, rektor, dan lain-lain penjawat
tertinggi akademik dilakukan berdasarkan kelayakan dan kelulusan Majlis
Senat.
vi. Memperbaiki mutu dan kemudahan sekolah yang daif di pedalaman di Sabah dan Sarawak;
vii. Meningkatkan mutu pendidikan guru bagi setiap peringkat sekolah dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.
viii.
Menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru dan pensyarah
supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sentiasa selaras
dengan masa.
ix. Mengkaji kembali skim perkhidmatan guru dan menambah skim rangsangan bagi mereka yang mengajar di pedalaman.
x.
Menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan kewangan lain
berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari kawasan
luar bandar dan pedalaman.
xi. Menekankan betapa mustahaknya
pelajar menguasai pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Arab,
Bahasa Cina sebagai bahasa-bahasa utama dunia dan juga bahasa-bahasa
ibunda.
xii Menyediakan tempat dan latihan kepada mereka yang keciciran.
xiii
Meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk memantau dan
mencadangkan pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari dalam dan luar
negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh diterima termasuklah
sijil UEC dan Diploma Muadalah(diploma berkembar).
D – Wanita Dan Institusi Keluarga
Pakatan
Rakyat meyakini bahawa dasar-dasar yang mencerminkan penghormatan,
pengiktirafan dan pemahaman terhadap status dan potensi wanita dapat
menjamin kesejahteraan masa hadapan negara. Hakikat ini kerana wanita
mewakili separuh dari penduduk negara, justeru penyertaan mereka dalam
proses pembangunan negara tidak boleh diabaikan.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan dan yang adil dalam segala bidang.
ii.
Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita
kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46%
sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.
iii. Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.
iv.
Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan
hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan
keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.
v.
Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat jagaan
kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan
dan sektor swasta.
vi. Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.
vii. Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.
viii. Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.
ix. Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.
E – Golongan Muda
Hala
tuju dan kemakmuran sesebuah negara terletak pada bahu golongan muda
sebagai generasi pelapis. Justeru adalah penting agar golongan muda
diberikan ruang dan sokongan yang secukupnya agar dapat memenuhi peranan
mereka kelak.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menjamin peluang
dan hak sama rata serta adil untuk golongan muda dari seluruh lapisan
masyarakat bagi merealisasikan potensi diri.
ii. Memastikan
supaya tiada seorang belia akan dibiarkan mengakhiri pendidikannya tanpa
peluang memperolehi kelayakan atau latihan yang secukupnya untuk
menyumbang terhadap ekonomi kemahiran tinggi negara.
iii.
Mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan oleh golongan muda melalui
perkongsian pendapat secara jujur dengan gerakan-gerakan belia,
khususnya dalam isu berkepentingan ke atas kehidupan mereka serta hala
tuju negara.
F – Keselamatan
Terdapat peningkatan jenayah
dan rasa tidak selamat di negara ini. Walhal rakyat Malaysia seharusnya
berhak merasa selamat dan bebas dari ancaman jenayah pada setiap masa.
Pakatan Rakyat bertekad memastikan pihak polis diurus, dilatih dan
dikawalselia dengan lebih baik untuk menjadikan mereka lebih fokus
tentang tanggungjawab utama yakni menentukan setiap kawasan dan rakyat
Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat.
Pakatan Rakyat akan:
i.
Menjadikan polis bebas dan profesional serta mengembalikannya kepada
misi asal untuk mencegah jenayah dan memastikan keselamatan awam
ii. Merombak pengagihan tenaga polis supaya bilangan tenaga polis yang cukup ditugaskan untuk membanteras jenayah.
iii. Melengkapkan pihak polis dengan peralatan dan latihan yang terkini dalam usaha membanteras jenayah.
iv.
Melaksanakan semua saranan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan
dan Pengurusan Polis, termasuk penubuhan IPCMC dan penambahbaikan
kebajikan polis yang giat berbakti kepada negara.
v. Memperbaiki keadaan perkhidmatan pasukan polis khususnya peringkat bawahan bagi meningkatkan prestasi dan moral.
vi. Memperkukuhkan peranan masyarakat dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah melalui program komuniti.
vii. Menangani dengan strategik dan tuntas segala masalah sosial yang menjadi punca kepada jenayah.
G – Kesihatan
Setiap
rakyat Malaysia berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang
terbaik pada kos yang berpatutan. Oleh yang demikian, perkhidmatan
kesihatan awam sewajarnya diperkasakan secara tuntas, sekaligus menjamin
perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.
Pakatan Rakyat akan:
i. Menimbangkan
penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan
kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding dengan
perkhidmatan sektor swasta.
ii. Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap, meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.
iii. Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan di hospital awam.
iv. Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan penjagaan kesihatan yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.
H- Kebudayaan
Kepelbagaian
adalah hakikat sosio-budaya nasional, yang tercerna daripada kemajmukan
masyarakat, bermunculan daripada kaum-kaum utama, suku-suku kaum dan
wilayah-wilayah.
Oleh itu Pakatan Rakyat mengambil
bertanggungjawab untuk memupuk dan mengembangkan potensi kepelbagaian
ini di samping menolak sebarang bentuk hegemoni adi-budaya kepada
mana-mana sosok budaya yang lain. Ia tidak lain sejajar dengan semangat
kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap menjadi Muafakat
Kebudayaan Baru lanjutan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971).
Tiga cabaran utama yang wajar disedari adalah dengan:
i. Menjamin kebebasan pengucapan penghasilan karya melalui semua medium.
ii. Hak
untuk mengadakan persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa sekatan
dengan keyakinan awal bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab diri
dan sosial mereka.
iii. Pautan utuh terhadap akar kemurnian kebudayaan
tradisi sendiri wajar ditambahkuat dengan kesediaan menjadi tidak
canggung untuk menerima unsur murni kebudayaan luar yang bersifat
sejagat daripada bangsa, benua dan faham kepercayaan manapun.
4. Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara
A – Sistem Persekutuan
Hak
negeri-negeri untuk membuat pilihan mengikut kesesuaian sendiri
mengenai strategi pembangunan negeri mesti dihormati. Teras kepada hak
ini adalah peruntukan kewangan yang secukupnya kepada negeri-negeri
berdasarkan sumbangan terhadap persekutuan serta keperluan rakyat.
Pakatan Rakyat akan:
i.
Menjamin royalti sebanyak 20% daripada hasil petroleum kepada kerajaan
negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.
ii. Memulangkan sebahagian daripada kutipan cukai dari setiap negeri kepada negeri tersebut berdasarkan pengagihan yang adil.
iii. Menambah geran per kapita untuk negeri-negeri.
B – Sabah dan Sarawak
Semangat
Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil
antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak. Di samping memulihkan
imbangan kuasa yang memihak kepada kerajaan pusat.berat sebelah,
Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai
persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi
di kedua-dua negeri di Malaysia Timur.
Pakatan Rakyat akan:
i.
Memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh
rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan
petroleum mereka.
ii. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing.
iii. Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.
iv. Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.
C – Dasar Luar Negara
Kepimpinan
Malaysia di kalangan negara-negara dunia mesti dipertingkatkan. Adalah
menjadi matlamat kita untuk merangka satu dasar luar yang berasaskan
prinsip keadilan sejagat, penyelesaian melalui perundingan, dialog
antara peradaban demi keselamatan, keamanan dan kemakmuran.
Pakatan Rakyat akan:
i.
Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang
bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara
prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian,
pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan
nilai-nilai keadilan.
ii. Aktif menjadi pelopor dan peneraju dialog antara peradaban.
iii.
Mengukuhkan kerjasama diplomatik dan perdagangan antarabangsa dengan
rakan-rakan serantau terutamanya anggota-anggota Asean.
iv. Memperkukuhkan lagi peranan Malaysia dalam organisasi-organisasi antarabangsa.