Rabu, Mac 23, 2011
KEADILAN Nibong Tebal mula edar Buku Jingga
Isnin, Jun 21, 2010
AMK Pulau Pinang Mahu Bongkar Siapa Zahrain Sebenar
Selasa, Februari 23, 2010
AMK Ranting Padang Lalang anjur Liga Bolasepak
Hadir sama Timbalan Ketua Cabang Nibong Tebal; Hj. Mohd Kamil Abu Bakar, Pengerusi JKKK Padang Lalang; Abu Bakar bin Rashid, Setiausaha JKKK Padang Lalang; Yusuf bin Ibrahim serta Pengerusi JKKK Sg. Bakap Selatan; Yahaya bin Saat.
Isnin, Februari 22, 2010
Siapa Tipu Siapa?
Isnin, Disember 07, 2009
Kenyataan Media AMKPP Terhadap Teguran SMM
Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) menghormati luahan mahasiswa melalui Presiden Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) iaitu Sdr Shazni Munir,yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Ini menunjukkan suara Mahasiswa masih lantang dalam menegur & prihatin dengan suasana yang berlaku di sekeliling mereka terutamanya daripada sudut hak kebebasan dan demokrasi rakyat. Perlu diberi penegasan di sini, bahawa AMKPP tidak pernah menolak mana-mana perhimpunan yang dilakukan oleh rakyat sebelum ini termasuklah yang dianjurkan oleh penduduk Kampung Buah Pala. Adalah tidak benar dakwaan tersebut jika dilabelkan AMKPP menolak hak kebebasan bersuara setelah Kerajaan Pakatan Rakyat mendapat mandat untuk mentadbir Pulau Pinang. AMKPP sedar bahawa sekiranya kami menolak perhimpunan secara aman, ianya bercanggah dengan apa yang kami perjuangkan selama ini.
Walau bagaimanapun, AMKPP menegaskan dalam sidang media yang dibuat baru-baru ini jelas bahawa kami tidak pernah menolak hak kebebasan bersuara mana-mana pihak bagi menyatakan pendapat terutamanya dalam isu-isu yang berkaitan rakyat termasuk perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak Pemuda BN di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini. Cuma, apa yang pasti adalah kami menolak isu yang dibangkitkan Pemuda BN seolah-olah Kerajaan Negeri tidak prihatin dengan penduduk Pulau Pinang. Jelas semua tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri di Kampung Buah Pala adalah jalan yang terbaik yang mampu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam mendengar rintihan bagi mencari penyelesaian kepada isu berkenaan. AMKPP juga telah membangkitkan perbezaan di antara penyelesaian Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat terhadap isu Kampung Buah Pala, berbanding dengan tindakan Kerajaan Negeri BN dahulu terhadap penduduk nelayan Kampung Sungai Batu Pulau Pinang. Itu perlu dijawab terlebih dahulu oleh Pemuda BN terutamanya Pemuda UMNO Pulau Pinang. AMKPP juga membangkitkan layanan 'Double Standard' pihak polis ketika berdepan dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh Barisan Nasional serta laporan berat sebelah berita TV3 terhadap perhimpunan tersebut yang hanya bersifat memburukkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.
Demonstrasi yang diadakan atau disertai oleh Pakatan Rakyat selama ini, adalah jelas mengenai isu besar yang mendatangkan kesan yang amat besar terhadap rakyat seperti isu kenaikan harga minyak yang membebankan, perhimpunan BERSIH bagi membersihkan Suruhanjaya Pilihanraya yang terpalit dengan ketidakpercayaan rakyat, pemansuhan akta ISA yang menzalimi rakyat dan pelbagai lagi. Berbeza dengan demonstrasi anjuran BN hanya lebih daripada memanipulasi pemikiran rakyat dengan tipu helah mereka yang jelas bukannya untuk kepentingan rakyat. Khairy Jamaluddin juga selaku Ketua Pemuda UMNO pernah mengeluarkan kenyataan bahawa para demonstran adalah seperti 'Beruk'. Khairy perlu dipersoalkan mengenai prinsip beliau dalam isu ini apabila yang terlibat dalam demonstrasi di depan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tempoh hari, majoritinya adalah di kalangan ahli yang beliau pimpin, di mana beliau juga Pengerusi Pemuda BN Malaysia.
Dalam laporan polis yang dibuat oleh AMKPP, jelas perhimpunan yang dikatakan aman tersebut telah menyebabkan kerosakan di pintu pagar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang boleh dianggap sebagai menghina persidangan Dewan Undangan Negeri yang sedang berlangsung pada waktu itu. Tidak cukup dengan itu, gambar YAB Ketua Menteri Pulau Pinang juga dibakar dengan sewenang-wenangnya. Kita tidak menolak hak bersuara, tetapi jika ianya dibuat berdasarkan pembohongan serta putar belit fakta yang jelas serta dengan sengaja merosakkan harta benda awam, perkara ini perlu diberi perhatian serius. Oleh yang demikian bagi menghormati pandangan Mahasiswa, AMKPP mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar menyediakan satu tempat bagi mana-mana pihak yang ingin menyatakan perasaan, suara serta pandangan mereka. Cadangan ini menunjukkan kita tidak menolak perhimpunan secara aman oleh mana-mana pihak, ia juga bagi mengelakkan kerosakan seperti yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang telah disenaraikan sebagai salah sebuah bangunan warisan. Kita mahu sejarah hitam tersebut itu tidak berulang lagi dan cadangan ini bakal menjadikan Pulau Pinang sebagai Kerajaan Negeri pertama yang menyediakan tempat untuk berhimpun. AMKPP juga mempelawa jika ada mana-mana pihak termasuk SMM ragu atau kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh kami ini atau mana-mana kenyataan media kami, adalah lebih baik untuk berdialog dengan AMKPP terlebih dahulu bagi memperjelaskan maksud sebenar kami.
AMIR HJ. GHAZALI
Ketua Angkatan Muda
KeADILan Pulau Pinang (AMKPP)
013-584 8386
YB SIM TZE TZIN
Timbalan Ketua Angkatan Muda
KeADILan Pulau Pinang (AMKPP)
012-606 8048
Isnin, November 30, 2009
BTN : Yusmadi ketuai sekretariat kumpul pandangan rakyat
Penanti - Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff akan dilantik bagi mengetuai sebuah sekretariat bagi mengumpul pandangan rakyat berkaitan BTN yang selama ini dijadikan ejen indoktrinasi rejim BN.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, masyarakat yang mempunyai pengalaman dan pandangan berkaitan BTN boleh mengemukakannya kepada sekretariat yang akan ditubuhkan itu selain satu referendum akan dibuat berkaitan perkara itu dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pelantikan barisan baru kepimpinan AMK Pulau Pinang dalam majlis perhimpunan di Yayasan Aman, petang tadi.
Beberapa hari lalu, Yusmadi mencadangkan supaya kerajaan Pulau Pinang mencontohi Selangor berhubung isu BTN dan mengulangi cadangan itu pada perhimpunan tersebut.
Difahamkan, usul itu akan dicadangakan dalam persidangan Dun esok sebelum diluluskan.
Ahmad Azrizal Tahir, Ong Chin Wen dan M.Muneswaran pula masing-masing dilantik sebagai Naib Ketua 1, 2 dan 3 manakala Syed Mikael Rizal Aidid sebagai Setiausaha dan Philip Thor sebagai Bendahari.
Ahad, November 29, 2009
Amir Ghazali Ketua AMK baru Pulau Pinang
Amir yang ketua AMK Permatang Pauh berkata, beliau menerima amanah itu sebagai suatu tanggungjawab besar yang perlu dipikul ke arah mengangkat martabat AMK ke puncak kejayaan.
Menurutnya, sebagai Ketua AMK yang baru, misi beliau ialah akan bekerja bersama-sama Ahli Jawatan Kuasa AMK yang lain bersama-sama mengangkat perpaduan kaum di negeri Pulau Pinang dengan melakukan banyak tindakan dan bukannya melalui percakapan semata-mata.
“Ini selaras dengan slogan AMK Pulau Pinang iaitu Menggenggam Pelangi yang menjadikan perpaduan kaum sebagai teras perjuangan kita,” katanya kepada Erapakatan.com ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau yang mula berjinak-jinak dengan dunia politik sejak era reformasi berpengalaman sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian (kini Cabang) Permatang Pauh sejak tahun 2004 hingga 2007.
Beliau seterusnya diberi kepercayaan sebagai Ketua AMK sejak Mac 2007 sehingga 28 November lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap perlantikannya itu akan mendapat sokongan semua pihak ke arah merealisasikan harapan rakyat yang menginginkan Pakatan Rakyat berjaya menakluk Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13.
Amir yang juga seorang ahli perniagaan merakamkan jutaan terima kasih kepada Yusmadi yang selama ini berjaya memimpin AMK Pulau Pinang termasuk menyediakan asas yang kukuh kepada sayap parti itu.
Khamis, Oktober 15, 2009
Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Kekayaan Khairy Jamaluddin
14 Oktober 2009
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa beliau bersedia untuk mengiystiharkan harta yang dimiliki beliau. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk disiasat mengenai dakwaan-dakwaan bahawa beliau memiliki kekayaan yang sangat besar dan melampaui pendapatan beliau. Kenyataan ini tidak seharusnya hanya tinggal kenyataan dan hanya diulang kembali menjelang pilihanraya.
AMK dengan ini mencabar Khairy untuk mengisytiharkan harta beliau termasuk pegangan-pegangan secara langsung dan tidak langsung melalui nomini, wang yang disimpan di dalam akaun-akaun di luar negara dan kepentingan-kepentingan di dalam pelbagai perniagaan.
Penglibatan aktif Khairy di dalam bidang perniagaan bukan sahaja menimbulkan persepsi wujud salahguna kuasa, malah para peniaga juga menghadapi persaingan yang tidak adil khususnya untuk mendapatkan projek dan tender kerajaan. Justeru, memandangkan terdapat kesediaan daripada Khairy sendiri untuk beliau disiasat, AMK mendesak PM Najib Razak supaya segera mewujudkan satu badan bebas bagi menyiasat harta-harta yang dimiliki oleh Khairy yang sebelum ini merupakan menantu kepada Perdana Menteri dan juga selaku Ketua Pemuda yang tentunya akan mendapat kelebihan politik (political advantage) daripada kepimpinan tertinggi UMNO dan kerajaan.
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak dari 1998 lagi, ketika dituduh memiliki harta sebanyak RM 3 bilion dengan tegas dan berani menyatakan kesediaan dengan mendesak satu badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang tidak berasas. Namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan dan hanya menggunakan isu ini sebagai bahan kempen murahan sewaktu pilihanraya kecil Bagan Pinang yang lalu.
Keengganan melakukan siasatan ini mewujudkan tanggapan umum bahawa Barisan Nasional mengambil sikap tidak apa terhadap mereka yang memiliki harta yang tersangat banyak sehingga melebihi kemampuan pendapatan.
AMK mendesak kerajaan untuk serius terhadap usaha membanteras rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan pemboloton kekayaan melalui cara-cara yang tidak sewajarnya.
Sekiranya ini tidak dilaksanakan dengan serius, maka impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara serba maju di mana kekayaan negara dikongsi secara adil tidak akan dapat dicapai. Seperti yang diungkapkan oleh Mahatma Gandhi: Kekayaan dunia adalah cukup untuk keperluan semua manusia, tetapi tidak mungkin cukup untuk memenuhi ketamakan manusia.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan
Rabu, Oktober 07, 2009
Penyerahan Surat Rasmi Mencabar TPM Berdebat
Tarikh: 7 Oktober 2009
ISU KHIANAT MELAYU: PENYERAHAN SURAT RASMI MENCABAR TAN SRI MUHYIDDIN YASIN BERDEBAT
Perkara diatas adalah dengan segala hormatnya dirujuk.
Penyerahan surat tersebut akan dipimpin oleh Saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Angkatan Muda Keadilan pada:
Tarikh : 7 Oktober 2009 (Rabu)
Masa : 2.30 petang
Putrajaya
Orang awam dan wartawan KECUALI Utusan Malaysia dijemput hadir. Harap maklum.
BIRO PENERANGAN
Selasa, Oktober 06, 2009
AMK Desak Ismail Sabri Tarik Balik Tuduhan Atau Hadapi Tindakan Undang-undang
Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Ismail Sabri diberi tempoh lima hari mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik perkataan berkenaan.
Sekiranya Ismail berdegil, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.
"Kita desak supaya beliau menarik perkataan samseng tersebut kerana dalam setiap pilihan raya kecil insiden samseng ini bukan merupakan budaya Keadilan.
"Kita desak Ismail Sabri untuk minta maaf kerana membuat gambaran bahawa parti kita parti yang ganas.
"Kita akan saman beliau ini kenyataan yang memalukan, ini parti yang ada undang-undang dan mengikut lunas perlembagaan dan hukum," katanya ketika dihubungi TV Antara sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Sinar Harian hari ini. Ismail Sabri dilaporkan berkata Pas telah dipengaruhi oleh budaya samseng yang dibawa PKR.
Dalam laporan berkenaan Ismail berkata sejak Pas bersama-sama PKR mereka sering bertindak diluar batasan dengan mencemuh dan memaki hamun pemimpin.
Ismail berkata demikian merujuk kepada insiden beliau dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Azeez Abdul Rahman kononnya diserang oleh penyokong Pas di Bagan Pinang.
Menurut Shamsul insiden samseng sebenarnya dibawa oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Pemuda.
"Pada kita ini soal maruah parti dan serangan ini merupakan serangan berbaur provokasi yang mengundang tindakan daripada pihak Keadilan.
"Insiden samseng dan ganas ini mula ditunjukkan oleh Khairy Jamaluddin dahulu ketika beliau menjadi Timbalan Pemuda Umno Barisan Nasional," katanya.
Mengulas mengenai dakwaan dua pemimpin Umno berkenaan bahawa mereka diserang penyokong Pas sewaktu hari penamaan calon Shamsul berkata, beliau mencabar Ismail mengemukakan bukti dan saksi insiden berkenaan.
Katanya, ia merupakan provokasi yang sengaja dilakukan Umno-Barisan Nasional.
"Beliau diserang oleh sekumpulan penyokong yang katanya daripada Pas tetapi sehingga sekarang tiada bukti kukuh yang menunjukkan beliau diserang oleh orang Pas kerana provokasi-provokasi seperti ini adalah identiti Barisan Nasional.
"Mereka biasa dengan keadaan melakukan provokasi kemudian menuduh orang lain melakukan tindakan tersebut," katanya. -TVA
Sabtu, Oktober 03, 2009
Kenyataan Akhbar Ketua Angkatan Muda Cabang Bayan Baru - Isu Penggiliran Ketua Menteri
Assalammukalaikum dan salam sejahtera
Merujuk kepada kenyataan YB Yusmadi Yusof (Ahli Parlimen Balik Pulau dan Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang) di dalam akhbar perdana tempatan berita harian 29 hb Sept 2009 dan kenyataan susulan yang di petik didalam akhbar Sinar Harian bertarikh 30hb Sept 2009.
Kami mewakili Angkatan Muda Cabang-cabang di Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa kenyataan itu dibuat di atas kapasiti individu dan tidak mewakili suara keseluruhan AMK Negeri Pulau Pinang. Tidak ada sebarang mesyuarat atau perbincangan khusus berkaitan dengan isu pengiliran ketua Menteri Pulau Pinang dibincangkan di peringkat Mesyuarat Angkatan Muda Negeri.
Kami yakin ,pemimpin yang dipilih untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang tidak sepatutnya melalui proses pemilihan berdasarkan rasis atau kaum. Proses ini hendaklah melalui proses persetujuan antara parti yang mendukungi kerajaan negeri tidak kira sama ada daripada kaum mana sekalipun. Yang pentingnya,calon Ketua Menteri hendaklah dipilih berdasarkan kebolehan memimpin, mempunyai integriti yang tinggi dan berasaskan kepada amanah serta bertanggung jawab pada rakyat negeri.
Jika kenyataan tersebut menggambarkan maksud sebenar beliau dengan menyentuh isu perkauman,maka PR malahan PKR sendiri tidak pernah merencanakan dasar sedemikian rupa.Kami yakin,PR mengutamakan pemimpin yang meletakkan pembangunan kemajuan Pulau Pinang serta menaikkan taraf ekonomi rakyat di negeri ini sebagai tonggak utama dalam pentadbiran.
Sekiranya akhbar berkenaan dengan sengaja menyalah petik atau memanipulasikan kenyataan tersebut seperti penafian yang telah YB Yusmadi perjelaskan,maka kami mendesak agar pembetulan segera dibuat dan kenyataan yang sebenar disiarkan. Kami juga meminta agar pimpinan parti lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Kenyataan atau pandangan ini mungkin disalah tafsir secara sengaja dan akhbar berkenaan perlu memohon maaf secara terbuka.
Kenyataan Bersama bertarikh 2 Oct 2009
Ketua AMK Cabang Batu Kawan
YB Ong Chin Wee
Ketua AMK Cabang Bukit Mertajam
Aidi Rafizul bin Idrus
Ketua AMK Cabang Permatang Pauh
Amir bin Md Ghazali
Ketua AMK Cabang Kepala Batas
Amizudin bin Ahmat
Ketua AMK Cabang Balik Pulau
Mohd Nadzri bin Ishak
Ketua AMK Cabang Tanjong
Mohd Shafiz Rahim Raja
Tim Ketua AMK Bayan Baru
Zulfazdli bin Md Nordin
S/Usaha Cabang Tasek Glugor
Azhar bin Mohamad
Exco Angkatan Muda Malaysia
Zulkifli bin Ibrahim
Jumaat, September 25, 2009
Undi Pos : AMK Sanggah Kenyataan SPR, Cadang Anjur Forum Rakyat Libatkan Semua Pihak
Tarikh: 25 September 2009
UNDI POS : AMK SANGGAH KENYATAAN SPR, CADANG ANJUR FORUM RAKYAT LIBATKAN SEMUA PIHAK
Angkatan Muda Keadilan Malaysia kesal dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa sistem undi pos akan diteruskan selagi adanya peruntukan undang-undang sedemikian, sebagaimana yang dilaporkan oleh media hari ini.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia melihat kenyataan ini sebagai mencerminkan kedangkalan pemahaman mengenai tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir dan malah matlamat dan fungsi pilihanraya.
Pilihanraya diadakan untuk membolehkan rakyat memilih dengan bebas, tanpa tekanan yang tidak sewajarnya wakil mereka bagi membentuk kerajaan rakyat. Kerahsiaan undi adalah satu faktor asasi dalam proses pemilihan ini.
Tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir adalah bagi membolehkan rakyat yang tidak bermastautin di dalam satu-satu bahagian pilihanraya menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.
Antara mereka yang tidak bermastautin ini ialah anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan atau di medan pertempuran atau mereka yang menjalankan tugas-tugas kritikal lain semasa hari mengundi.
Sudah tentu anggota tentera yang bermastautin di dalam kem atau di dalam sesuatu bahagian pilihanraya sesama keadaan aman, apatah lagi suami atau isteri mereka tidak dimaksudkan sebagai pengundi tidak hadir oleh penggubal Perlembagaan dan undang-undang.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia memandang berat kegagalan atau mungkin keengganan untuk memahami niat penggubal undang-undang ini. Prinsip yang harus dipatuhi ialah “the intention of the legislator is law”.
Tindakan memaksa pengundi dari kalangan anggota tentera dan suami atau isteri mereka menjadi pengundi tidak hadir dan menafikan hak mereka untuk mengundi sama seperti rakyat Malaysia lain mencabul Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap rakyat adalah samarata dan tidak boleh didiskriminasi atas sebarang faktor termasuk profesion mereka.
Justeru Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengajak semua pihak yang terlibat dan prihatin dengan pelaksanaan demokrasi tulen di Malaysia untuk mengadakan Forum Rakyat bagi membincangkan secara khusus persoalan undi pos atau pengundi tidak hadir ini. Forum Rakyat ini adalah penting bagi merungkai segala permasalahan dan kelemahan yang wujud bagi memastikan setiap undi adalah benar-benar bebas dan berkesan dalam menzahirkan kehendak sebenar rakyat.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan Forum Rakyat tersebut dengan menjemput semua pihak yang terlibat, termasuk wakil SPR, parti-parti politik, wakil Angkatan Tentera Malaysia, wakil Polis DiRaja Malaysia, organisasi masyarakat (NGO) dan rakyat yang prihatin.
Sudah tiba masanya proses dan sistem pilihanraya berkenaan pengundi tidak hadir dikaji semula dengan jujur dan dilakukan pindaan-pindaan perlu. Ini untuk mengelakkan anggota tentera, polis dan semua pengundi tidak hadir daripada berada di dalam keadaan serba salah dan tidak ada kebebasan untuk membuat pilihan.
Keengganan untuk membuat pindaan-pindaan tersebut akan menyebabkan semua pihak terus mempunyai persepsi bahawa pihak pemerintah UMNO-Barisan Nasional mempunyai agenda tersembunyi. Malah selama ini rakyat menganggap pengundi tidak hadir ini adalah faktor penentu yang memberikan kemenangan kepada BN di dalam pilihanraya secara tidak adil.
Persepsi wujud penipuan di dalam proses pilihanraya ini akan menjejaskan wibawa kerajaan, merosakkan amalan demokrasi sehingga boleh menyebabkan demokrasi di Malaysia menjadi demokrasi tempang dan malah menghilangkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi dan negara ini sendiri.
Jika keadaan ini dibiarkan berterusan ia adalah satu pengkhianatan terhadap negara, pengkhianatan terhadap usaha gigih dan pengorbanan pengasas negara ini dan para pejuang kemerdekaan, pengkhianatan terhadap anggota keselamatan yang menggadaikan nyawa untuk keselamatan negara dan pengkhianatan kepada rakyat sendiri.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Sabtu, Ogos 01, 2009
AMK kecam tindakan ganas polis
Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
1 Ogos 2009
Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas pihak polis menyerang, mengganasi dan menangkap rakyat Malaysia yang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di Kuala Lumpur hari ini, menuntut pemansuhan akta zalim ISA.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengutuk tindakan ganas polis yang sama sekali tidak perlu. Ia adalah di luar batasan amalan demokrasi dan hak asasi rakyat Malaysia untuk menyerahkan memorandum ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Malah pihak polis tidak menghormati Baginda kerana temujanji untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Baginda telah ditetapkan pada hari ini.
Keganasan hari ini yang menindas dan menekan suara rakyat Malaysia ternyata mendedahkan omongan kosong ‘1 Malaysia’ yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa Dato’ Seri Najib Razak untuk membuktikan bahawa pentadbiran beliau bukan hanya berasaskan slogan-sloganan semata-mata dengan membuka ruang demokrasi dan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sebagai langkah pertama, hampir 500 orang rakyat yang ditahan hari ini ketika melaksanakan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan, mesti segera dibebaskan. Ketua Polis Negara dan pegawai-pegawai utama polis yang mengarahkan keganasan hari ini, mencabul hak perlembagaan rakyat dan bertindak biadap terhadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong; perlu digantung tugas dan siasatan bebas dilaksanakan terhadap mereka.
Najib perlu bersedia membuktikan bahawa beliau berhasrat untuk benar-benar menjadi Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia dengan segera mengambil langkah-langkah perlu untuk menentukan kehendak sebenar rakyat mengenai ISA dengan mengadakan pungutan suara (referendum) bebas.
Tatacara pengendalian pihak polis terhadap rakyat yang berhimpun mesti dikaji semula bagi memastikan mereka mengawal keselamatan dan bukan bertindak liar mengganasi rakyat. Sudah sampai masanya tindakan pemerintah memperalatkan polis untuk kepentingan sempit mereka dihentikan dan polis seharusnya menjaga keselamatan rakyat dan bukan mengganasi mereka.
Sekiranya Najib enggan melaksanakan perubahan-perubahan ini, ternyata beliau mengemukakan gagasan ‘1 Malaysia’ hanya sekadar untuk mengabui mata rakyat dan memperdayakan Malaysia bahawa kerajaan hari ini sudah berubah.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Ahad, Mei 10, 2009
Jumaat, Mac 06, 2009
Isu Kuari - Kenyataan akhbar Sdr. Amizudin Ahmat
Bukit Minyak - Ketua Angkatan Muda Kepala Batas, Sdr. Amizudin Ahmat semalam telah membuat sidang akhbar di Pejabat ADUN Bukit Tengah berkenaan Isu Kuari yang beliau dedahkan kepada media sebelum ini.Turut hadir memberi sokongan ialah Ketua Angkatan Muda Permatang Pauh; Sdr Amir Ghazali, Ketua Angkatan Muda Tasek Glugor; Sdr Solehin Ahmad, Ketua Angkatan Muda Balik Pulau; Sdr Nazdri Ishak, Ketua Angkatan Muda Bayan Baru; Sdr Ahmad Azrizal Tahir, Tim. Ketua Angkatan Muda Bayan Baru; Sdr Zulfazdli Md Noordin, Naib Ketua Angkatan Muda Bayan Baru; Sdr Mohd Yusof, Bendahari Angkatan Muda Bayan Baru; Sdr Zulkarnain Mohd Ali, Setiausaha Angkatan Muda Tasek Glugor; Sdr Azhar, Exco Angkatan Muda Malaysia; Sdr Zulkifli Ibrahim dan AJK Angkatan Muda Batu Kawan; Sdr Jordan Kee.
Klik imej di bawah untuk baca dengan jelas,

Kenyataan akhbar tersebut telah dibacakan oleh Exco Angkatan Muda Malaysia, Sdr. Zulkifli Ibrahim pada majlis yang sama.
Sila klik imej di bawah untuk tatapan lebih jelas,

Ketika diminta mengulas berhubung isu tersebut, Naib Ketua Angkatan Muda Nibong Tebal, Sdr Munir Hj. Maktar menyatakan bahawa seluruh Jawatankuasa AMK Nibong Tebal menyokong tindakan yang diambil oleh Sdr. Amizudin.
"Bagi memulihkan kembali imej KeADILan khususnya di Pulau Pinang, Pimpinan haruslah menyiasat sedalam-dalamnya isu yang dibangkitkan. Jangan kita membiarkan masyarakat memandang serong terhadap parti kita."
"Sehingga ada sesetengah pihak melabelkan pemimpin KeADILan ini 'lebih UMNO dari UMNO'. Ini akan menunjukkan bahawa kita telah lari dari prinsip asal perjuangan sekiranya isu ini tidak dapat ditangani sebaik mungkin," tambahnya lagi.
Isnin, Februari 09, 2009
AMK cabar Pemuda UMNO berdebat Isu Perak
Kuala Lumpur - Exco Angkatan Muda KeADILan Malaysia, Yusmadi Yusoff mencabar Pimpinan Pemuda UMNO dan BN untuk berdebat secara terbuka mengenai krisis yang berlaku di negeri Perak.
Kegagalan pimpinan politik memberi penjelasan yang sebenarnya, menurut Yusmadi, merupakan satu penginayaan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang menjadi mangsa apabila cita-cita demokrasi mereka telah ‘dihijack’ oleh pimpinan politik yang tak bertanggungjawab.
“Saya yakin Debat Terbuka merupakan wadah demokratik bagi meyelesaikan ‘Krisis Demokrasi’ yang sedang di alami di Perak,” kata Yusmadi yang juga Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang.
Menurutnya, rakyat tidak berdosa dihukum dengan gas pemedih mata, penahanan di bawah ISA dan tuduhan menderhaka yang tidak sepatutnya dialami oleh mereka sekiranya ruang demokratik diberikan.
“Pimpinan Negara, terutama yang muda perlu menunjukkan satu contoh yang lebih bertanggungjawab dengan menyelesaikan krisis tersebut dengan wadah yang mengambarkan kedudukan Malaysia yang sudah merdeka lebih 50 tahun,”katanya hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Balik Pulau itu lagi, rakyat sudah bijak dan mereka memerlukan wadah dan ruang yang demokratik bagi membuat penilaian tanpa sogokan maklumat yang berat sebelah dan tidak bertanggungjawab.
Isnin, Januari 05, 2009
Mahkamah tidak benar reman, Fariz dibebaskan hari ini
KETUA Angkatan Muda KeADILan Terengganu, Fariz Musa yang ditahan pagi ini akan dibebaskan dalam tempoh 24 jam ditahan, menurut Muzafeq Muhammad.
Muzafeq yang juga Timbalan Ketua AMK Terengganu, keputusan berkenaan dibuat selepas Mahkamah Majestret tidak membenarkan Fariz dan lima yang lain direman.
“Mahkamah (majistret) tengah hari tadi bersidang dan tidak membenarkan polis mengenakan tahanan reman terhadap mereka berempat,” katanya kepada Suara Keadilan.
Tambah Muzafeq pembebasan Fariz akan dibuat dalam tempoh 24 jam, atau sebelum jam 5 pagi esok atau sebelum waktu itu atas budi bicara pihak polis.
Pagi ini, Fariz ditahan di Jalan Cerung Lanjut ketika menampal poster-poster yang mempunyai gambar warga Mongolia Altantuya Shaaribuu di sekitar Kuala Terengganu.
Penahanan Fariz tanda imiditasi awal Barisan Nasional
Kuala Lumpur - Penahanan Timbalan Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Fariz Musa pagi ini membuktikan imiditasi awal Barisan Nasional (BN) yang memanipulasi pihak polis untuk mengekang kempen yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat.
Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, penahanan berkenaan adalah sesuatu yang menghairankan, dan ianya mengambarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada pengurusan polis bertindak menggunakan kuasa di saat-saat akhir beliau menjawat jawatan berkenaan.
“Apa yang menghairankan ialah, apakah aktiviti penampalan poster boleh dikaitkan sebagai satu hasutan yang boleh membawa kepada kemudaratan awam? Apakah calon BN, yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada pengurusan polis bertindak menggunakan kuasa di saat-saat akhir beliau menjawat jawatan berkenaan sebelum beliau melepaskan jawatan untuk dinamakan sebagai calon PRK Kuala Terengganu esok?” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.
Fariz yang juga Ketua AMK Terengganu ditahan awal pagi ini bersama empat yang lain ketika menampal poster yang ditampal memaparkan gambar mendiang Altantuya Shaaribuu di kawasan Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu.
AMK turut mempersoalkan apakah Najib Tun Razak berasa gusar dengan penampalan poster berkenaan berikutan beliau akan hadir ke penamaan calon di Kuala Terengganu?
“Seharusnya Najib tidak perlu gusar jika beliau benar-benar tidak terlibat mahupun mengenali mendiang Altantuya sebagaimana yang pernah disumpahkan beliau sewaktu Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008 lepas,”katanya lagi.
Oleh yang demikian, menurut Shamsul pihak polis harus membebaskan kelima mereka secepat mungkin serta memberikan justifikasi terperinci mengapa mereka ditahan.
“AMK dengan ini mendesak agar pihak polis memberikan justifikasi terperinci berkenaan penahanan sdr Fariz dan ahli Skuad AMK dan menggesa mereka dibebaskan pada kadar segera,” kata Shamsul.
AMK menurut Shamsul, ingin memberi peringatan kepada Umno-BN agar mereka tidak menyalahgunakan jentera dan instrumen kerajaan termasuklah pihak polis untuk memastikan kemenangan mereka pada 17 Januari kelak.
“Rakyat tidak mudah diperbodohkan dengan siri intimidasi yang kelak akan menjerat leher Umno-BN sendiri,” tegasnya.
Penamaan calon bagi Pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan diadakan esok manakala pengundian akan diadakan pada 17 Januari ini.
Pilihanraya berkenaa diadakan berikutan kematian ahli Parlimennya, Razali Ismail yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands 29 Novemver lalu.
