Kuala Lumpur - Exco Angkatan Muda KeADILan Malaysia, Yusmadi Yusoff mencabar Pimpinan Pemuda UMNO dan BN untuk berdebat secara terbuka mengenai krisis yang berlaku di negeri Perak.
Kegagalan pimpinan politik memberi penjelasan yang sebenarnya, menurut Yusmadi, merupakan satu penginayaan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang menjadi mangsa apabila cita-cita demokrasi mereka telah ‘dihijack’ oleh pimpinan politik yang tak bertanggungjawab.
“Saya yakin Debat Terbuka merupakan wadah demokratik bagi meyelesaikan ‘Krisis Demokrasi’ yang sedang di alami di Perak,” kata Yusmadi yang juga Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang.
Menurutnya, rakyat tidak berdosa dihukum dengan gas pemedih mata, penahanan di bawah ISA dan tuduhan menderhaka yang tidak sepatutnya dialami oleh mereka sekiranya ruang demokratik diberikan.
“Pimpinan Negara, terutama yang muda perlu menunjukkan satu contoh yang lebih bertanggungjawab dengan menyelesaikan krisis tersebut dengan wadah yang mengambarkan kedudukan Malaysia yang sudah merdeka lebih 50 tahun,”katanya hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Balik Pulau itu lagi, rakyat sudah bijak dan mereka memerlukan wadah dan ruang yang demokratik bagi membuat penilaian tanpa sogokan maklumat yang berat sebelah dan tidak bertanggungjawab.