Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan khas dengan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) pada 24 Januari ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya,
jam 3 petang, bagi membincangkan lima perkara penting.
Perkara-perkara yang akan dibincangkan itu termasuklah cadangan undi
proksi oleh SPR, persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi
Parlimen dan Dun, isu-isu lalu yang belum selesai termasuk undi pos dan
pendaftaran pemilih.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan, selain itu,
dalam pertemuan itu juga akan turut dibincangkan tentang penubuhan kem
askar wataniah seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk
Zahid Hamidi dan peraturan-peraturan baru bagi perjalanan pilihanraya
yang akan diperkenalkan oleh SPR.
Menurut beliau, perkara-perkara itu perlu dibincangkan bagi
melahirkan perjalanan pilihanraya yang telus, adil dan bebas menepati
prinsip demokrasi yang diamalkan di negara kita.
"Pertemuan itu adalah susulan dari surat yang telah saya hantar
kepada SPR pada 17 Januari lalu bagi mewakili Pakatan Rakyat. Surat saya
itu telah dijawab oleh SPR dan pertemuan itu pula tetap ditetapkan
sendiri oleh pihak SPR pada hari dan waktu itu," katanya pada sidang
akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP
akan diwakili 2 orang wakil setiap parti, manakala PAS akan diwakili
oleh beliau sendiri dan Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul
Halim Abdul Rahman.
Perbincangan tentang undi proksi seperti yang dicadangkan oleh SPR,
katanya, perlu diadakan kerana ia dilihat boleh mengganggu perjalanan
pilihan raya yang telus, adil dan bebas seperti yang kita ingini dan
disebut oleh SPR sendiri.
"Undi adalah rahsia. Tapi bila buat proksi atau wakil, ia tidak lagi
menjadi rahsia. Selain itu, proksi itu pula mungkin bukan orang sebenar,
tetapi yang menerima upah. Dibimbangi juga kalau-kalau undi proksi itu
pengundi hantu. Jadi, banyak pihak yang tak senang dengan cadangan untuk
adakan undi proksi.
"Bagi pihak Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat sememangnya menolak undi
proksi kerana ia sebenarnya bercanggah dengan demokrasi," katanya.
Perbincangan tentang persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi
kerusi Parlimen dan Dun, menurut beliau, perlu diadakan kerana
persempadanan semula kawasan pilihanraya sudah lama tidak diadakan iaitu
sejak tahun 2003, terutama bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan
Perlis.
"Sedangkan mengikut peraturan, persempadanan semula patut dilakukan
sehingga tempoh 8 tahun. Jadi, ini merupakan suatu perkara penting yang
perlu diambil tindakan oleh SPR yang akan turut kami bangkitkan dalam
pertemuan itu nanti," jelasnya.
Menyentuh tentang isu-isu lalu yang belum selesai, antara lain,
beliau akan memberikan pandangan kepada SPR agar pihak SPR melakukan
pendaftaran secara langsung terhadap pemilih, dengan kaedah perhubungan
langsung antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Dengan cara itu bukanlah bermaksud memaksa orang mengundi, tetapi
memudahkan mereka mengundi kerana dapat mengatasi masalah para pengundi
yang berkelayakan menjadi pengundi tercicir dari daftar pemilih.
Katanya, perbincangan tentang cadangan Datuk Zahid untuk menubuhkan
kem askar wataniah pula perlu dilakukan bagi mengelakkan parti
pembangkang menjadi mangsa.
"Ini kerana kewujudan kem itu mungkin akan turut melahirkan undi pos yang lazimnya menguntungkan BN sendiri," tegasnya.
Kini, jelas beliau, turut kedengaran cadangan dari SPR untuk
melaksanakan beberapa peraturan baru bagi pilihanraya termasuk pada
pilihanraya kecil Dun Tenang 30 Januari ini.
"Kita ingin tahu apakah peraturan-peraturan baru yang ingin
diperkenalkan oleh SPR itu. Dengan itu bolehlah kita bincangkan dengan
lebih jauh untuk kepentingan semua pihak," katanya.