Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diminta menyiasat dengan
segera akaun dan laporan terperinci projek pembangunan Pulau Jerejak
bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.
Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai
Jerejak, Sim Tze Tzin sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau
Pinang, Lim Guan Eng bahawa rakyat mengalami kerugian ekoran
ketidaklancaran projek pembangunan di pulau tersebut.
Katanya, kerugian sepertimana yang dimaklumkan berikutan premium
tanah sebanyak RM10.6 juta yang masih lagi belum dijelaskan oleh
Syarikat Tropical Island Resort kepada Pejabat Pentadbir Tanah Pulau
Pinang.
"Manakala Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pula terpaksa
menanggung kerugian sebanyak RM19 juta. Kerjasama antara PDC dan Uda
Holdings Berhad sewajarnya dihentikan kerana ia merugikan kerajaan
negeri.
"Uda juga bukannya pakar dalam bidang pembinaan tempat-tempat
pelancongan. Mereka juga gagal menguruskan dengan baik resort yang
terletak di Pulau Jerejak," katanya lagi.
Sim juga berkata, kerugian itu adalah kerana perancangan yang tidak
komprehensif Uda bagi membangunkan pusat pelancongan Pulau Jerejak
melalui pembinaan empat fasa projek yang merangkumi pembinaan
ekopelancongan, rumah mewah dan juga marina di pulau tersebut.
"Dengan adanya siasatan terperinci, maka keadilan akan dapat dicapai
sama ada terdapat atau tidak pihak yang terbabit dalam penyelewengan
yang membabitkan projek pelancongan tersebut," ujarnya lagi.