BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Disember 16, 2008

Pembangkang sokong SPRM dengan syarat

Kuala Lumpur - Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, pembangkang akan memberikan sokongan penuh terhadap akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (SPRM) dengan syarat perubahan dan penyesuaian penting dilakukan terhadap beberapa peruntukan dalam akta itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, akta baru itu tidak akan menyelesaikan masalah rasuah yang berleluasa dalam negara ini.

Kata beliau, pengenalan undang-undang itu terlalu sukar kerana melalui pengalamannya terlibat dengan penggubalan Akta Pencegahan Rasuah 1997, beberapa peruntukan gagal diperkenalkan kerana mendapat halangan daripada beberapa pemimpin.

"Saya lebih mirip untuk mendokong banyak peruntukan ini kerana secara kebetulan, saya terlibat secara langsung mengawasi dan membentang Akta Pencegahan Rasuah pada tahun 1997 yang begitu sukar dan kontroversi kerana tidak mendapat cukup sokongan dari rakan-rakan pada ketika itu," kata beliau ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang SPRM 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, salah satu peruntukan yang harus dipinda dalam akta SPRM adalah penglibatan Jabatan Peguam Negara dalam proses pendakwaan di bawah Fasal 58, Bahagian 7 yang menyatakan pendakwaan sesuatu kesalahan tidak boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan Pendakwa Raya.

"Menteri memberi penjelasan di dalam dan luar Dewan dengan meluahkan sebahagian kuasa memutuskan sebahagian pendakwaan kepada Peguam Negara, mengharapkan ada keupayaan untuk menyemak dan menghalang keterlanjuran pihak suruhanjaya.

"Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa Jabatan Peguam Negara khususnya Peguam Negara terlalu terselaput dengan terlalu banyak tuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Apatah lagi sekarang ini, Peguam Negara sendiri sedang menunggu pendakwaan terhadapnya. Saya difahamkan dengan maklumat yang cukup kuat bahawa BPR (Badan Pencegah Rasuah) telah pun mengemukakan laporan, menunggu sahaja keputusan untuk mendakwa yang tertangguh lama sebab ia melibatkan Peguam Negara," katanya.

Anwar berkata, kuasa penglibatan Peguam Negara dalam SPRM yang lebih 'kuat' daripada BPR ini menunjukkan integriti suruhanjaya ini masih terperangkap dengan kegagalan kerajaan membersihkan institusi pemerintahan pentadbiran.

Tegas beliau lagi, terdapat kes yang dibawa oleh BPR kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ini ditutup begitu sahaja walaupun mempunyai bukti yang mencukupi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membacakan rang undang-undang SPRM buat kali kedua.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah 5,000 anggota dalam tempoh lima tahun bagi membantu BPR mempercepat proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB