Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mempertahankan  pendirian yang telah dibuat oleh kerajaan negeri menentang kenaikan tol  Jambatan Pulau Pinang seperti mana yang dilaporkan sebelum ini daripada  RM7 kepada RM9.40 iaitu kenaikan 34 peratus mulai 2013.
Menurut  Guan Eng sebagai sebuah kerajaan negeri yang berjiwa rakyat dan prihatin  terhadap beban yang bakal ditanggung, kenaikan harga tol  jambatan tersebut harus ditentang dan dibantah kerana ia menyusahkan  kehidupan lebih 1.5 juta rakyat Pulau Pinang.
"Namun begitu kita  kesal dengan penangguhan mesyuarat yang sepatutnya diadakan setelah  tidak ada seorang pun daripada pemimpin Barisan Nasional yang diundang  untuk menghadiri mesyuarat bagi membincangkan isu tol Jambatan Pulau  Pinang ini hadir.
"Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku  Pengerusi Umno Pulau Pinang dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen  Yen tidak dapat hadir kerana mempunyai program lain manakala Presiden  Gerakan yang juga merupakan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri  Dr Koh Tsu Koon tidak hadir seperti mana yang dinyatakan oleh media.
"Apabila  mereka sendiri tidak hadir setelah jemputan diberikan secara rasmi,  maka ini membuktikan pemimpin BN tidak mempedulikan kesukaran dan beban  yang ditanggung oleh rakyat negera ini. Mereka sepatutnya memberi  keutamaan dalam isu yang melibatkan rakyat negeri ini.
"Kerajaan  Negeri akan tetap menentang kenaikan tol Jambatan Pulau Pinang. Wakil BN  negeri hanya berani bersuara di hadapan media sahaja dalam  isu membantah kenaikan harga tol Jambatan Pulau Pinang ini. Mereka tidak  berani untuk mengatakan perkara yang sama kepada Kerajaan Pusat. Ini  membuktikan mereka mengamalkan sikap talam dua muka," kata Guan Eng  setelah menanti selama setengah jam kehadiran wakil dan pemimpin BN  sebelum membatalkan mesyuarat yang sepatutnya diadakan di pejabat beliau  di Komtar semalam.
 
 
 
