Thor Halvorssen, merupakan Presiden Human Rights Foundation (HRF) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat. Beliau merupakan seorang peguam hak asasi manusia dan penerbit filem. HRF merupakan sebuah organisasi yang menumpukan pada membebaskan tahanan politik dan mempromosikan toleransi di Amerika Latin.
Graduan sejarah sains politik ini juga aktif menerbitkan filem yang memfokuskan hak asasi manusia melalui syarikat penerbitannya, Moving Picture Institute. Mei lalu, Thor dengan kerjasama Bahar Media, sebuah firma media Turki, berjaya membeli Ny Tid, sebuah syarikat majalah yang besar berpusat di Norway.
Malah beliau juga sering dipanggil untuk memberikan ceramah berkenaan hak asasi manusia di pusat pengajian tinggi di seluruh dunia. Wartawan Keadilan, Frederick Luccas menemurah beliau bagi berkongsi pengalaman dan pandangannya tentang hak asasi manusia di Malaysia yang kian terhakis.
Pandangan serta pendapat beliau sering dipaparkan di media cetak terkemuka seperti The New York Times, Wall Street Journal, New York Post dan majalah GQ. Beliau juga sering memberikan wawancara dan kebanyakan aktivitinya mendapat liputan media antarabangsa seperti Al-Jazeera, CNN, Fox News, MSNBC, BBC, HBO dan sebagainya.
Wartawan : Perkembangan semasa arena hak asasi manusia di Malaysia boleh dikatakan tidak begitu menggalakan, walaupun terdapat pelbagai NGO yang berjuang mempertahankannya, seperti Amnesty International dan sebagainya. Anda juga merupakan individu pertama yang mengkritik pergerakan NGO hak asasi di Malaysia. Apa pandangan anda mengenai seluruh senario hak asasi manusia di sini?
Thor Halvorssen : Biar saya mulakan dengan mengatakan, Malaysia kini menghadapi satu krisis hak asasi manusia yang cukup serius. Hak berpolitik, kebebasan bersuara, malah rakyat kini menerima serangan bertubi-tubi daripada Kerajaan Umno-BN.
Di sini tidak ada media bebas, dan dalam situati tiadanya media bebas, semua bentuk media merupakan satu ancaman. Tanpa aliran maklumat yang telus dan tidak dikekang, konsep demokrasi itu sendiri dikompromikan. Pencabulan hak asasi manusia berlaku seperti sesuatu yang sudah biasa di sini, dan menyebabkan rakyat menderita.
Kewujudan ‘penahanan tanpa perbicaraan’ (ISA) dan penggunaannya yang bebas dan bermotifkan politik, cukup menyeramkan, dan hanya dengan ini saja Kerajaan Umno-BN hilang kelayakan menduduki Suruhanjaya Hak Asasi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ia tidak berbeza dengan menggunakan taktik yang sama seperti diktator dan kerajaan ‘kleptocracy’ Afrika.
Satu contoh baik, keadaan daif hak asasi manusia di Malaysia dapat dilihat daripada perjalanan kes Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini berdepan dengan tuduhan yang jelas bermotifkan politik, dan telah menjadikan Kerajaan Umno-BN sebagai bahan jenaka di mata masyarakat antarabangsa.
Jika Kerajaan Umno-BN merasakan mereka kini berdepan dengan isu perhubungan awam kerana kes Anwar, banyak lagi yang menunggu mereka.
Saya hanya mewakili satu kumpulan kecil yang memperjuangkan hak asasi manusia, tetapi saya bergaul dengan ramai wakil kumpulan dan persatuan hak asasi manusia. Saya dapat melihat satu publisiti buruk yang besar menanti Kerajaan Umno-BN disebabkan pertuduhan terhadap Anwar.
Hak asasi manusia merupakan isu terhebat selepas isu alam sekitar. Isu alam sekitar kini mula menyusut dan dijangka akan diketengahkan sebagai isu, terutama yang akan diberi perhatian. Hak rakyat dan hak berpolitik adalah tunjang perjuangan hak asasi tetapi malangnya di negara ini, anda tidak menikmati kebebasan ini.
Apa yang cuba saya maksudkan ialah, hak kebebasan ini bukan ditunjukkan melalui beberapa insiden di mana kita dapat membaca beberapa artikel, membantah tindakan Kerajaan Umno-BN, tetapi pencabulan kebebasan berlaku apabila kita dapat mengesan walaupun satu artikel sebegitu cuba dikekang oleh Kerajaan Umno-BN, yang menunjukkan seluruh masyarakat dikecam.
Anda tidak perlu menjadi seperti Korea Utara untuk mengalami kekangan hak awam dan politik, kamu mengalaminya di negara ini di mana kamu tahu yang ‘kamu perlu berwaspada, jika tidak perkara buruk boleh berlaku pada anda’.
Perlantikan Malaysia menyertai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB baru-baru ini merupakan sesuatu yang memalukan. Malaysia patut dilantik ke Suruhanjaya Anti Hak Asasi Manusia.
Wartawan : Pada pandangan anda, adakah kes Anwar akan menjadi satu titik perubahan senario hak asasi manusia di Malaysia?
Thor Halvorssen : Tentu sekali! Kes ini mempunyai hampir kesemua elemen wayang Hollywood; konspirasi, kuasa, korupsi, perbicaraan yang berat sebelah dan hukuman penjara.
Wartawan : Bercakap mengenai kes Anwar, beliau telah dinafikan daripada mendapatkan laporan pakar perubatan yang penting dalam kes ini?
Thor Halvorssen : Jika di United Kingdom, mereka mempunyai apa yang dipanggil ‘Court of Star Chamber’. Di Amerika Syarikat pula kita panggil ‘Kangaroo Court’. Saya rasa kita perlu memberi nama baru untuk perbicaraan seperti itu di Malaysia.
‘Star Chamber’ merujuk kepada satu badan kehakiman di UK yang pada asalnya ditubuhkan untuk membicarakan para bangsawan dan kerabat diraja pada era Raja Henry VII, tetapi kemudiannya telah berubah untuk membicarakan pesalah politik dan memberikan hukuman berbentuk ancaman dan ugutan kepada pihak yang tidak digemari oleh kerajaan. Maka, ‘Star Chamber’ ini telah menjadi satu alat mempamerkan kuasa kerajaan dengan membuat satu drama perbicaraan yang dipenuhi dengan fakta, bukti dan saksi palsu, asalkan mereka yang tidak disukai dihukum dari aspek perundangan.
Wartawan : Di Malaysia. kita mendapati gerakan hak asasi manusia banyak menumpukan kepada isu yang besar sahaja dan bukan kesemua aspek hak asasi manusia. Mungkin mereka tidak mempunyai susunan kepentingan yang betul. Apa pandangan anda?
Thor Halvorssen : Saya dapati di sini, gerakan hak asasi manusia berada di dalam ilusi bahawa mempertahankan dan memenangai kes segelintir daripada jumlah kesemua tahanan politik bukanlah kemenangan sebenarnya. Fakta wujudnya walaupun satu tahanan politik sudah memadai untuk menunjukkan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia.
Wartawan : Berkata mengenai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB yang mempunyai banyak ahli yang tidak layak, pada pandangan anda apa peranan yang dapat dimainkan oleh mereka?
Thor Halvorssen : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB hanya duduk sekeliling meja dan menghiburkan diri dengan berjamu seperti raja dan menutup kelemahan masing-masing. Mereka akan cuba mengenakan negara asing yang ahlinya tidak mempunyai apa-apa hubungan sama ada diplomatik mahupun perdagangan. Antaranya seperti Burma, Korea Utara, Equatorial Guinea yang sudahh diketahui berhadapan dengan hampir kesemua aspek hak asasi manusia yang ada. Bagaimana? Itu mudah sahaja, asalkan tiada yang menunding jari kepada mereka.
Wartawan : Bercakap mengenai kebebasan media di Malaysia, media arus perdana tidak akan memaparkan apa-apa isu berkenaan pihak pembangkang dan memandangkan media alternatif sentiasa dikawal, apa pandangan anda?
Thor Halvorssen : Media alternatif terutamanya Suara Keadilan sebagai surat khabar rasmi parti pembangkang akan menghadapi masa-masa yang sukar selepas ini, kerana terpaksa menghadapi tekanan daripada pihak BN yang ketika ini tertekan dengan kehadiran ramai wakil pembangkang di parlimen.
Saya amat memahami keadaan media di Malaysia, agak serupa dengan apa yang berlaku di Venezuela, di mana semua media arus perdana dikawal ketat oleh kerajaan dan tindakan tegas menunggu mana-mana media alternatif yang didapati memaparkan berita yang berunsurkan menentang kerajaan.
Tetapi, media alternatif di Malaysia mempunyai lebih kebebasan jika dibandingkan dengan Venezuela dan kelonggaran ini perlu digunakan sepenuhnya oleh media alternatif. Media alternatif di Malaysia juga mempunyai tapak yang kukuh dan mempunyai kumpulan pembacanya sendiri.
Kita perlu bertanyakan diri sendiri, apa yang ditakutkan sangat oleh Kerajaan Umno-BN sehinggakan mereka terpaksa bertindak menyekat kebebasan media di Malaysia?
Kini Suara Keadilan berada di tahap menjadi satu ancaman kepada Kerajaan Umno-BN, dan pada tahap ini, Suara Keadilan perlu teruskan perjuangan dan menghadapi kekangan ini. Suara Keadilan merupakan wakil suara para pembangkang, jika bukan kamu yang menyuarakannya, siapa lagi?
Wartawan : Lagi mengenai kebebasan media, pengaruh media atas talian kini sedang mendapat populariti di kalangan pembaca. Pada pandangan anda, bolehkah media berunsurkan atas talian dapat mengatasi kekangan media cetak dan menjadi satu kuasa baru dalam pergelutan media?
Thor Halvorssen : Selalunya kita akan ada paling kurang seorang wartawan dari media arus perdana untuk membincangkan isu-isu daripada pihak pembangkang, dan jika tidak kita masih ada alternatif lain yang perlu dipertimbangkan.
Dalam masa genting seperti ini, kita boleh dan patut mengkaji penggunaan kaedah lain seperti servis pesanan ringkas (SMS), media atas talian (online), mengedarkan risalah, penggunaan poster dan sebagainya, terutamanya apabila perlu menyampaikan mesej kritikal kepada rakyat seperti semasa berkempen untuk pilihan raya.
Tetapi walau bagaimana hebat kempen atas talian ini dilakukan, kita masih memerlukan satu media cetak kerana penyebaran media cetak jauh lebih baik jika dibandingkan dengan media atas talian. Negara ini bukan seperti Cuba, kamu masih mempunyai ruang kebebasan media yang besar walaupun kebebasan ini makin kurang.
Malaysia merupakan satu negara yang hebat dan bagus, ia boleh menjadi lebih bagus jika mempunyai satu sistem politik yang bercirikan pembangkang tulen di mana pemimpin boleh bersetuju untuk bercanggah dan idea-idea boleh dilontarkan terhadap satu sama lain secara bebas dan berotonami. Dari pertembungan idea ini, kebenaran akhirnya yang timbul.
Cara ini lebih baik daripada perang saudara dan keganasan domestik, tetapi malangnya apabila hanya tinggal sedikit ruang sahaja untuk pertembungan idea, keganasan dan resolusi peperangan akan mula timbul dan di sinilah anda sebagai pembangkang perlu berhati-hati agar tidak terjerumus ke arah itu.
Kerajaan Umno-BN jelas takut dengan apa yang berlaku di sini dan atas ketakutan inilah mereka bertindak menyekat kebebasan media selain media arus perdana yang dikawal oleh mereka.