BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Julai 20, 2010

Kenaikan Harga Barang Menambah Beban Rakyat Miskin

Ahli Dewan Negara, Senator Dr Syed Husin Ali menyangkal tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional
(BN) menaikkan harga barangan baru-baru ini tanpa mempertimbangkan bebanan yang terpaksa dihadapi rakyat.


Beliau berkata, keputusan kerajaan tersebut secara tidak langsung bakal menambah bebanan rakyat apabila barangan lain juga turut dinaikkan dalam masa yang sama.

"Saya bimbang kenaikan harga barang sekarang ini diakibatkan oleh penarikan subsidi terutamanya ke atas minyak dan gula akan mempunyai akibat-kaibat lain di negara ini dan paling teruk sekali menangung beban ini adalah bagi golongan susah.

"Kita lihat bagi mereka yang kaya misalnya subsidi yang diberikan kerajaan kepada IPP (Pengeluar Tenaga Bebas), subsidinya 19 bilion tetapi tidak ditarik balik. Maksudnya yang kaya diketepikan tetapi yang susah akan dibebankan," katanya pada sidang media selepas menghadiri persidangan dewan negara di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Hadir sama, Senator S Ramakrishnan (DAP), Tunku Abdul Aziz Ibrahim (DAP) dan Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff (KEADILAN). 

Dr Syed yang juga Timbalan Presiden KEADILAN turut mempertikai kerajaan kerana mengemukakan alasan menaikkan harga gula disebabkan faktor penjagaan kesihatan.

"Saya marasa geli hati sedikit mendengarkan bahawa alasan menaikkan harga gula untuk memastikan kesihatan. Kalau itulah alasannya, daging boleh menyebabkan darah tinggi, telur barangkali boleh menaikkan kolestrol begitu juga mentega. Jadi adakah dengan alasan kesihatan, kita boleh menaikkan harga barangan ini? tegas beliau.

Tambah Dr Syed, percubaan kerajaan untuk menyekat media daripada menggunakan perkataan 'barang naik' itu tidak mempunyai asas kerana hakikatnya barangan tersebut sememangnya mengalami kenaikan.

Beliau turut mengkritik tindakan kerajaan membuat perbandingan dengan negara luar berhubung kenaikan harga barangan berkaitan.

"Hujah kerajaan membuat bandingan dengan negara lain tidak betul kerana ada negara yang harga berasnya lebih murah, ada negara yang harga daging dan juga buah-buahannya jauh lebih murah daripada sekarang.

"Soal membandingkan harga dengan negara luar adalah tidak boleh. Kita mesti membandingkan dengan negara kita sendiri yang dulu dengan yang sekarang. 

"Apa justifikasinya sekarang kerajaan menaikkan harga barang lebih daripada yang dulu," soal Dr Syed.

Sementara itu, Ramakrishnan membidas kerajaan kerana tidak mempedulikan bantahan dari pemimpin-pemimpin politik ke atas kenaikan harga barangan termasuk pembaziran kerajaan meneruskan projek mega.      

"Kenaikan (barang) yang berlaku sekarang mendapat banyak bantahan dari pemimpin-pemimpin politik dan kerajaan tidak ambil peduli mengenainya malah terus menaikkannya.
 
"Misalnya kerajaan memberikan subsidi kepada IPP juga tiga permit AP yang diberikan kerajaan kepada kroni-kroni.

"Baru-baru ini laporan bagi projek pelabuhan Batu Maung yang terbengkalai mendapati kerajaan telah memberi surat sokongan kepada kroni-kroni. Jadi sekarang kerajaan kena tanggung kos itu dan kesannya kepada seluruh rakyat," katanya.

Bercakap dalam sidang media yang sama, Dr Syed turut mempertikai penolakan dewan negara yang menolak soalan-soalan yang dikemukakan oleh Senator Pakatan Rakyat.

"Peluang untuk mendapat jawapan kepada soalan ditolak, ramai di antara kami yang mengemukakan soalan telahpun ditolak.

"Soalan saya ialah mengenai berapa bilangan 'special branch' (cawangan khas) di negara ini termasuk berapa peruntukan sebenar dan apa tugas-tugas mereka tetapi soalan itu ditolak.
 
"Ia perlu bagi memastikan ketelusan berhubung peruntukan yang dibuat bagi mengetahui perkara sebenar," katanya.
 

Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB