BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Isnin, Mac 15, 2010

Pakatan Rakyat Desak GST Ditarik Balik Bukan Tangguh

Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST perlu ditarik balik dan bukan setakat ditangguh sahaja kerana ia merupakan bebanan kepada rakyat kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menganggap keputusan Parlimen pada kali ini yang tidak akan membincangkan tentang GST sebagai satu kemenangan Pakatan Rakyat.

"Kerajaan perlu membangunkan ekonomi rakyat dahulu sebelum menjalankan beberapa usaha untuk meningkatkan hasil cukai negara. Perkara ini bukan senang untuk dilaksana tetapi ada banyak pandangan yang merasakan kos perkhidmatan dan  barangan akan meningkat.

"Pakatan Rakyat merasakan GST perlu ditarik balik bukannya ditanggungkan," kata Khalid selepas perasmian sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Pendapat beliau disokong Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan rakyat belum lagi bersedia menerima perlaksanaan cukai seperti ini.

"Sepatutnya rang undang-undang ini perlu ditarik balik kerana jika sedang kali ini tidak dibentang tetapi pada sidang yang akan datang ia akan dibentang juga.

"Alasan kerajaan untuk mendapat respon dari rakyat adalah silap, sepatutnya sebelum merangka GST ia perlu mendapat respon dari rakyat. Jika rang undang-undang telah dirangka bagaimana respon rakyat boleh dimasukkan walaupun boleh mengemukakan pindaan tetapi kita melihat ini umpama tikus membaiki labu kerana kita lihat ia tidak dapat memastikan rang undang-undang memberi kesejahteraan kepada rakyat sepenuhnya," jelasnya.

Mahfuz juga menganggap rakyat belum bersedia untuk menghadapi GST kerana pendapatan rakyat masih rendah.

"Pendapatan rakyat masih rendah kerana 93 peratus rakyat tidak layak dicukai kerana faktor pendapatan mereka. Jika GST dilaksanakan maka ini tidak adil kepada rakyat yang tidak layak dikenakan cukai," sambungnya lagi.

Persidangan Parlimen pada kali ini menarik minat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan menyifatkan titah Yang DiPertuan Agong bersifat adil.

Mengulas titah baginda, Khalid berkata Tuanku Mizan Zainal Abidin  mengarahkan agar setiap Ahli Parlimen bekerjasama untuk pembangunan rakyat.

"Walaupun kita berbeza dari segi konsep parti tetapi yang penting ialah bagaimana kita menterjemahkan kepentingan negeri dan negara untuk kepentingan rakyat dan perkara yang paling penting ialah kita mesti memberikan memberitahu pentadbir serta pegawai kerajaan supaya tidak membezakan antara parti-parti politik

"Sebagai contoh di Selangor pemerintahan adalah Pakatan Rakyat dan bekas pegawai-pegawai kerajaan menterjemahkan usaha Pakatan Rakyat untuk membangunkan negeri Selangor dan tidak boleh dibeza-bezakan," jelas beliau.

Mahfuz pula berkata titah Yang Di-Pertuan Agong supaya setiap Ahli Parlimen menunjukkan sikap terbaik mereka perlu diambil iktibar kepada Ahli Parlimen yang melompat parti.

"Contoh Ahli Parlimen yang terbaik adalah Ahli Parlimen yang tidak melompat parti kerana ini adalah prinsip dan amanah yang telah diberikan rakyat kepada mereka. Kepada Ahli Parlimen yang lompat parti perlu melepaskan jawatan mereka kerana sikap mereka telah mengecewakan rakyat," tegas beliau.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB