BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Mac 16, 2010

GST: Negara Memerlukan Komitmen Dan Kepastian

KENYATAAN AKHBAR
15 Mac 2010


GST: NEGARA MEMERLUKAN KOMITMEN DAN KEPASTIAN


Pakatan Rakyat mengalu-alukan keputusan untuk menunda perbahasan kali kedua Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CPB atau “GST”) yang menandakan sekali lagi, kerajaan BN tidak mempunyai kepastian dalam mentadbir negara. Sebelum ini, BN yakin bahawa GST adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah defisit negara dan tidak teragak-agak meluluskannya tanpa mengambil kira pandangan rakyat. Kini, BN mengaku ia telah tersalah langkah kerana tidak mengambil pandangan rakyat terlebih dahulu.


Pakatan Rakyat beranggapan bahawa keputusan mengalah oleh BN dalam isu GST adalah satu lagi bukti bahawa kesedaran rakyat mengenai hak mereka untuk turut serta dalam proses membuat keputusan negara, semakin meningkat. Kesedaran ini, yang dizahirkan bermula dengan keputusan pilihanraya umum yang lepas, akan terus mengawasi keborosan dan amalan tidak sihat kerajaan.


Selama ini, Pakatan Rakyat konsisten bahawa GST bukanlah jawapan kepada masalah ekonomi negara. Masalah utama ekonomi negara berpunca dari kegagalan kerajaan yang tidak mempunyai iltizam politik untuk membasmi rasuah dan melakukan reformasi menyeluruh kepada institusi-institusi utama dan sistem pendidikan negara.


Ekonomi Malaysia mendapat kesan yang teruk dari persepsi negatif oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Pelabur antarabangsa secara berterusan mengelak dari dekat dengan Malaysia – mereka menarik keluar portfolio pelaburan dan mengalih FDIs ke negara lain, walaupun pentadbiran sekarang memperkenalkan pelbagai langkah liberalisasi. Sektor swasta kita sendiri lebih gemar melabur di negara lain. Ini menjadi salah satu punca yang menyebabkan penurunan mendadak 48% bagi pelaburan kapital baru dalam tahun 2009.


Persepsi negatif sebegini hanya boleh dimatikan dengan reformasi ekonomi yang bermakna dan menyeluruh.


Sebaliknya, kerajaan BN tetap bertegas untuk melaksanakan GST walaupun kenaikan kutipan cukai tidak langsung dianggarkan hanyalah RM1 billion setiap tahun. Hingga kini, kerajaan tidak berterus terang mengenai kos sebenar yang perlu ditanggung oleh kerajaan dan swasta untuk melaksanakan GST; atau bagaimana kos ini akan mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan apabila GST diperkenalkan.


Keputusan menangguhkan perbahasan Akta CPB, walaupun dialu-alukan oleh banyak pihak, akan menimbulkan beberapa masalah baru kepada sektor swasta. Sejak 5 tahun lalu, kerajaan telah memberikan mesej yang berbeza-beza mengenai pelaksanaan GST. Setiap kali kerajaan mengumumkan keputusan untuk melaksanakan GST, syarikat-syarikat terpaksa berbelanja untuk membuat persiapan. Kerajaan selepas itu dengan sewenang-wenangnya mengumumkan pula keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan, yang menyebabkan syarikat-syarikat menanggung kerugian.


Pendekatan yang tidak ada kepastian sebegini dalam memperkenalkan inisiatif fiskal yang baru, hanya akan meningkatkan kos dan risiko kepada sektor swasta, terutamanya apabila inisiatif fiskal itu melibatkan banyak perubahan kepada sistem yang digunapakai oleh sektor swasta. Syarikat-syarikat swasta telah banyak berbelanja sejak setahun lepas, dan kini mereka dimaklumkan mereka perlu menghentikan persediaan sehinggalah diumumkan kelak.

Dalam konteks inilah kami berpendapat kerajaan BN tidak mempunyai komitmen dan iltizam politik untuk menghantar mesej yang jelas dan pasti kepada rakyat, pasaran dan komuniti perniagaan. Sebelum ini terdapat mesej yang bercampur-campur mengenai isu subsidi dan tarif elektrik, kini keadaannya serupa bagi GST.


Ini adalah tidak baik bagi negara kita.


Pakatan Rakyat dengan ini meminta BN untuk menghentikan pendekatan yang tidak ada kepastian seperti ini dan mengumumkan kepada negara; sama ada GST tidak akan dilaksanakan sama sekali; atau menyediakan satu rancangan yang jelas mengenai pelan pelaksanaan GST untuk memberi masa kepada rakyat bersedia.


Zaman kerajaan tahu segala-galanya dan tidak mengambil pandangan rakyat sudah pun lama berakhir.


YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang dan
Ketua Umum,
Parti Keadilan Rakyat (PKR)


YB NASHARUDIN MAT ISA
Timbalan Presiden,,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)


YB LIM KIT SIANG
Ketua Ahli Parlimen,
Democratic Action Party (DAP)





Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB