BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Jumaat, Oktober 02, 2009

Mansuhkan dulu PPSMI untuk martabatkan BM - Pak Samad

Usaha untuk "memartabatkan" lagi bahasa Melayu melalui penguatkuasaan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak akan berkesan selagi kerajaan tidak memansuhkan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kata seorang sasterawan negara.

Datuk A Samad Said juga berkata beliau tidak nampak keberkesanan penguatkuasaan bahasa kebangsaan itu, yang diumumkan sejak 2005.

"Saya rasa laporan berita itu tidak lengkap kerana sebelum ini pun DBP sudah ada unit khas untuk ambil tindakan terhadap mereka yang guna bahasa salah dalam iklan," katanya ketika diminta mengulas perkara itu, yang merupakan salah satu resolusi satu persidangan bahasa Melayu semalam.

Media melaporkan, Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia, telah meluluskan resolusi untuk "mendesak kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan kepada DBP bagi memartabatkan bahasa Melayu."

"Apa yang saya nampak, setakat inipun usaha ini masih tidak berjalan. Tapi itu bukan masalah pokok, masalah pokok adalah penggunaan bahasa Melayu," kata aktivis sastera itu ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya mengambil langkah memansuhkan PPSMI supaya dasar pengajaran selari dengan undang-undang.

"Apa yang saya nampak, kerajaan setakat ini terus menghina bahasa Melayu manakala bahasa Inggeris pula didewa-dewakan," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

"Bahasa Inggeris sudah ada diberikan dana sebanyak RM5 billion untuk mantapkan bahasa itu, tapi untuk memartabatkan bahasa Melayu, tidak ada," kata Pak Samad yang turut mengetuai beberapa siri demonstrasi membantah dasar PPSMI Mac lalu.

"Kerajaan mestilah mengikut dan meluhuri Akta Bahasa Kebangsaan tersebut dan bukannya melanggar undang-undang, itu setakat yang saya nampaklah," katanya yang

Beliau berkata, DBP sememangnya tidak berkuasa untuk menguatkuasa bahasa Melayu, malah beliau mengetahui ramai di kalangan kakitangan DBP sendiri yang tidak bersetuju dengan PPSMI.

"DBP tidak boleh buat apa-apa, tapi kerana ia berada bawah kuasa kementerian pelajaran, jadi dia kena ikutlah. Kalau ditanya secara rahsia, ramai yang tidak setuju. Tapi apa yang mereka boleh buat kerana mereka orang makan gaji," jelasnya lagi.

Tambahnya, resolusi berkenaan yang diputuskan persidangan anjuran bersama DBP itu masih di peringkat cadangan.

"Itu permintaan, apakah kementerian akan terima atau tidak permintaan ini? Dalam usaha baru ini saya tidak tahu DBP akan buat macam mana," kata Pak Samad lagi.

Mengulas mengenai satu lagi resolusi persidangan yang meminta kerajaan mewujudkan jawatan atase bahasa dan kebudayaan di setiap pejabat misi Malaysia di luar negara, beliau berkata ia adalah usaha yang baik.

"Itu tak apalah kalau kerajaan rasa ia boleh mengembang dan membantu masyarakat mengguna bahasa. Tapi saya rasa yang penting adalah usaha di tanah air sendiri, masih samar-samar pelaksanaannya.

"Yang penting adalah supaya kerajaan tidak terus melanggar Akta Bahasa. Bermakna kerajaan mesti memansuhkan PPSMI," tegasnya.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB