BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Rabu, Oktober 21, 2009

Ketua Menteri Minta Pegawai Kewangan Negeri Sedia Laporan Isu Tukar Tayar

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri (SFO) Datuk Farizan Darus untuk menyediakan laporan berhubung kekerapan penggantian tayar tiga kenderaan milik kerajaan negeri tahun lalu.

Katanya tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai dan penjawat awam jika terbukti berlaku penyelewengan atau penyalahgunaan wang kerajaan dalam hal itu.

Mengakui bahawa beliau tidak mengetahui perkara itu, Lim berkata Farizan perlu menyiapkan laporan itu dan menyerahkannya secepat mungkin.

"Kita akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembaziran wang kerajaan tanpa sebab munasabah dan kerajaan negeri tidak akan menyembunyikan apa-apa," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Ketua Audit Negara mengenai berlakunya penyalahgunaan kenderaan milik kerajaan negeri di tiga buah negeri iaitu Pahang, Perak dan Pulau Pinang tahun lalu.

Laporan itu menyebut masalah kekerapan penggantian tayar dikenalpasti berlaku di Pulau Pinang iaitu kekerapan penggantian tayar berlaku pada tiga buah kenderaan bernombor pendaftaran PED 21, PBF 1 dan PAF 1.

Penyiasatan audit itu melaporkan kesemua penggantian tayar adalah disebabkan keadaan bunga tayar yang haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah, tayar tidak mencengkam dan tayar keras.

Laporan itu menyifatkan penggantian tayar terlalu kerap bagi tempoh tiga hingga 34 bulan dan penggunaan pada jarak perbatuan antara 1,700 kilometer hingga 21,900 kilometer untuk tiga kenderaan itu adalah meragukan.

Menurut Lim, kerajaan negeri bersedia mengadakan perbincangan dengan Ketua Audit Negara bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan menjemputnya untuk melawat ke Pulau pinang bagi tujuan itu.

Katanya audit amat penting bagi memastikan perbelanjaan dan prestasi perkhidmatan kerajaan negeri berada pada landasan yang betul.

"Tiada gunanya kita mengamalkan prinsip cekap, akauntibiliti dan telus (CAT) jika pengurusan kita tidak efisyen," katanya.

Mengenai hasrat Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri mahu mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) hujung bulan ini bagi mendapatkan mandat anggota sama ada menerima atau menolak keputusan kerajaan negeri supaya pemaju tanah Kampung Buah Pala membina rumah teres dua tingkat untuk bekas penduduk di situ, Lim mengulangi pendirian kerajaan negeri adalah jelas iaitu jika sebarang pindaan dibuat terhadap keputusan itu, ia tidak akan meluluskan pelan pembangunan untuk tapak berkenaan.

"Kita telah bersetuju dengan cadangan membina rumah teres dua tingkat untuk penduduk terlibat dan sebarang perubahan pada cadangan itu bermakna tiada pembangunan dibenarkan di atas tapak itu," katanya.

Pada perkembangan lain, Lim menyambut baik langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 16 Sept sebagai cuti umum sempena memperingati penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada 1963.

"Perkara ini sepatutnya telah lama dilakukan tetapi lebih baik terlambat daripada tiada langsung," katanya dan berharap Kerajaan Persekutuan akan menimbangkan pemberian royalti sebanyak 30 peratus terhadap sumber asli yang diperoleh dari kedua-dua negeri itu sebagai pengiktirafan kepada sumbangan negeri berkenaan kepada negara.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB