Georgetown - Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengorak selangkah lagi untuk merealisasikan impian menjadikan negeri itu sebagai pusat halal antarabangsa, dengan menubuhkan sebuah ‘Task Force’ yang dianggotai seramai lima Exco kerajaaan negeri dan 26 ahli mewakili kerajaan negeri dan agensinya, dewan-dewan perniagaaan, pihak swasta dan ahli akademik.
Pasukan yang dipengerusikan oleh Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Kassim diumumkan pelancarannya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dalam suatu majlis ringkas di sini 15 November lalu.
Task Force berkenaan menurut Guan Eng akan berperanan sebagai agensi pelaksana dan landasan bagi menetapkan hala tuju dan polisi dalam merancang cadangan kerajaan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat hab halal antarabangsa.
Jelasnya pasukan tersebut akan berfungsi berlandaskan prinsip urustadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus ) yang mengutamakan kebajikan rakyat dan menjunjung sistem demokrasi.
Jika negara majoriti bukan Islam seperti Thailand, kata Guan Eng boleh memajukan industri halal, tidak ada sebab Malaysia boleh ketinggalan dalam bidang ini.
Sementara Abdul Malik berkata kerajaan akan membangunkan 131 ekar di kawasan industri di Bukit Minyak, Seberang Perai sebagai Taman Perindustrian Halal.
“Dua syarikat tempatan yang mengeluarkan produk perubatan halal, menjadi syarikat pertama yang akan beroperasi di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang di jangka tahun depan.
Menurut Malik, Halagel (M) Sdn Bhd, pengeluar gelatin halal untuk farmasi dan GranuLab (M) Sdn Bhd, pengeluar bahan tulang sintetik bersetuju mendirikan kilang masing-masing di taman berkenaan.
“Kerajaan juga sedang membincangkan secara serius dengan beberapa syarikat tempatan yang berminat,” katanya.
Tambah Malik, kerajaan negeri juga sedang berbincang dengan Penang Port Sdn.Bhd untuk mewujudkan pelabuhan halal kedua dunia selepas pelabuhan Rotterdam Belanda.