BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, Mac 04, 2010

Pengundi Nibong Tebal Marah, Tertipu Dengan Tee Beng

Keputusan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng yang membuat keputusan keluar daripada Parti KEADILAN Rakyat dan mengumumkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas disambut dengan kekecewaan dan rasa tertipu oleh penduduk kawasan Nibong Tebal.

Tee Beng yang memenangi pilihan raya umum ke-12 atas tiket KEADILAN berjaya meraih undi sebanyak 20,210 undi mengalahkan Zainal Abidin Osman daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 3,087 undi.

Jelas tindakannya dianggap menipu dan mengecewakan para pengundi  Nibong Tebal yang  setia menyokongnya.

Suara Keadilan menemu bual para penduduk Nibong Tebal bagi mengetahui sikap dan perasaan mereka terhadap tindakan Tee Beng itu.

Sivakami Arumugam, 25, menyifatkan Tee Beng sebagai penipu besar kerana janji beliau akan tetap bersama KEADILAN.

Namun keputusan Tee Beng, 1 Mac lalu yang memutuskan keluar parti benar-benar mengecewakan para pengundi yang menyokong beliau selama ini.

“Tan Tee Beng juga  mempermainkan pengundi-pengundinya yang menyokong beliau semasa pilihan raya. Jika tiada 20,210 pengundi dan penyokong KEADILAN sudah pasti dia tidak akan merasai dan menjadi Ahli Parlimen kawasan ini,” katanya yang ditemui berhampiran pusat khidmat Tee Beng di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal.

Bagi Raj Anthony, 54, yang juga pengundi di Parlimen Nibong Tebal berpendapat tindakan Tee Beng keluar dari parti, adalah tindakan yang kurang bijak kerana telah menghilangkan kepercayaan rakyat terhadapnya.

Jelas Raj, tindakan Tee Beng bukan sahaja merugikan penduduk Nibong Tebal malah merugikan dirinya sendiri kerana sudah pasti masyarakat tidak akan mempercayainya selepas ini, ekoran tindakan 'masuk keluar' beliau.

Sementara itu, Sharani Shuib, 45, anak jati di kawasan itu memberitahu keluarnya Tee Beng dari KEADILAN adalah episod ditunggu-tunggu oleh masyarakat disini.

"Beliau bukan sahaja tidak berguna malahan tidak memberi apa-apa kebaikan terhadap pengundinya setelah memenangi pilihan raya umum lalu,

“Semenjak menjadi Ahli Parlimen dia tak buat kerja. Beliau jarang bertemu rakyat dan boleh dikira dengan jari berapa kali dia turun padang berjumpa dengan penduduk dan bertanyakan masalah,” kata Sharani.

“Pusat khidmatpun bukannya selalu buka, kalau buka pun dia tak ada. Kalau dia keluar dari KEADILAN pun kami tak kisah. Lebih baik dia letak jawatan Ahli Parlimen dan kami boleh pilih wakil rakyat yang betul-betul sesuai dan boleh buat kerja,” tambah Sharani lagi.

Disoal sama ada tindakan Tan Tee Beng akan memberi kesan kepada pengundi dan masyarakat di Nibong Tebal, Sharani berpendapat, tindakan itu akan memberi kesan kepada masyarakat, kerana beliau hanya menjadi Ahli Parlimen bebas, pastinya tidak mempunyai dana untuk membantu masalah yang disuarakan oleh rakyat kelak.

Pendapat yang sama juga disuarakan oleh Khaw Kay Wang, 60, yang cukup marah terhadap tindakan Tee Beng keluar dari parti.

Kay Wang menyifatkan tindakan Tee Beng sebagai manusia yang tidak mengenang budi dan harus 'berambus' dari Nibong Tebal.

“Kami tak perlukan orang seperti dia, kami mahukan orang yang benar-benar boleh diharapkan. Jadi dia perlu letak jawatan dan bagi kami pilih semula orang yang betul-betul layak duduk di kerusi Ahli Parlimen,” kata Kay Wang dalam nada marah.


Rabu, Mac 03, 2010

Kenyataan Akhbar KeADILan Cabang Nibong Tebal

TARIKH : 2 MAC 2010
JAM : 9.00 MALAM
TEMPAT : PEJABAT PARTI KEADILAN RAKYAT CABANG NIBONG TEBAL


Pengumuman keluar parti oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, YB Tan Tee Beng memang telah dijangkakan. Sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen, tindak tanduknya sering menentang arus perjuangan parti dan semangat permuafakatan dalam Pakatan Rakyat. Beliau telah memulakan serangan terhadap YB Ketua KeADILan Cabang Nibong Tebal dengan berbagai fitnah dalam akhbar berbahasa Cina, begitu juga serangan terhadap YB ADUN Jawi.

Selepas itu beliau meneruskan pula serangannya terhadap Ahli-ahli Majlis MPSP, seolah-olah hanya beliau sahaja yang tahu menjalankan kerja. Untuk pengetahuan semua, kehadiran Tee Beng sebenarnya telah memporakperandakan keharmonian KeADILan Cabang Nibong Tebal. Beliau cuba memecah-belahkan ahli parti dan cuba membentuk puak dalam parti. Namun kelicikannya dapat dihidu dan dibendung oleh Jawatankuasa KeADILan Cabang Nibong Tebal.

Kami pendokong parti bukanlah bodoh untuk diperkotak-katikkan oleh orang seperti Tee Beng. Kami sentiasa teguh di belakang pimpinan KeADILan Cabang Nibong Tebal. Kami mengalu-alukan kepergian Tee Beng kerana beliau langsung tidak memberi manfaat kepada parti. Malah sekiranya masih ada saki baki mereka yang mahu mengikut jejak Tee Beng, parti membuka pintu seluas-luasnya untuk mereka pergi.

Dengan ini kami pendokong KeADILan Nibong Tebal mencabar Tee Beng untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal kerana rakyat memilih parti KeADILan sebagai wakil rakyat dan bukan Tee Beng secara peribadi. Beliau juga telah mengkhianati amanah rakyat Nibong Tebal. Oleh itu kami sekali lagi mencabar Tan Tee Beng, sekiranya beliau anak jantan dan tidak bacul sila lepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal dengan serta merta bagi membolehkan Pilihanraya Kecil diadakan. KeADILan Nibong Tebal bersedia menguburkan karier politik Tee Beng dalam pilihanraya akan datang.

Sekian, terima kasih.


HJ. MOHD KAMIL BIN ABU BAKAR
Timbalan Ketua
KeADILan Cabang Nibong Tebal


Selasa, Mac 02, 2010

Keputusan Tee Beng Keluar Parti Eratkan Kerjasama Pakatan Rakyat

JELUTONG 1 Mac - Keputusan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng untuk keluar daripada KEADILAN tidak memberi sebarang kesan dan impak kepada Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Malahan bagi penyokong akar umbi Pakatan Rakyat di Jelutong keputusan yang diambil beliau itu merupakan berita gembira kata ahli jawatankuasa KEADILAN Cabang Jelutong Khairil Anuar Kamarudin.

"Tan Tee Beng yang merupakan Ketua Cabang KEADILAN di Jelutong tidak pernah sekali pun turun padang mahupun menghadiri sebarang program yang dianjurkan oleh parti termasuk program anjuran rakan dalam Pakatan Rakyat," jelasnya. 

Beliau juga menegaskan malah ada rakan dalam Pakatan Rakyat tidak pernah berjumpa dengan Tee Beng tetapi sebaliknya mengetahui namanya melalui media massa sahaja. 

Sehubungan dengan itu tindakan beliau keluar KEADILAN dianggap satu langkah yang baik dan memberi ruang yang luas kepada calon yang lebih layak untuk menyandang jawatan Ketua Cabang kawasan itu.

"Selama menyandang jawatan ketua cabang beliau gagal mengangkat martabat parti di kawasan itu dan juga gagal menjalinkan kerjasama baik dengan rakan PAS dan DAP di Jelutong. 

"Saya percaya dengan keluarnya beberapa pemimpin dan ahli yang mempunyai kepentingan peribadi ini sedikit pun tidak mengugat kestabilan dan kekuatan Pakatan Rakyat di kawasan ini kerana rakyat yang cerdik mampu menilai kredibiliti pemimpin seperti ini," kata beliau yang jugs Exco Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang.

Pada sidang media bersama rakan Pakatan Rakyat yang diadakan di markas PAS kawasan Jelutong hari ini beliau secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Tee Beng kerana memberi laluan dan ruang untuk kerjasama yang lebih erat di kalangan penyokong Pakatan Rakyat.

 
Gambar Tan Tee Beng di kawasan DUN Jawi.
Sumber gambar : Paku Seqepih 


Fairus, Tee Beng Keluar, Pembersihan Dalaman PKR

Anwar yang juga ketua umum PKR menyifatkan tindakan bekas Adun Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang keluar parti kerana termakan janji pihak lain sebagai pembersihan dalaman.   

Anwar berkata parti itu akan terus memberikan tumpuan utama kepada permasalahan negara dan tidak akan melayan gelagat pemimpin yang tidak tahan dengan dugaan perjuangan.

Anwar berkata tindakan Fairus dan Tee Beng keluar dari PKR tidak memberi kesan kepada perjuangan parti itu sendiri.

"Fairus dia tidak terlibat dengan parti sudah hendak dekat setahun setengah sudah dan banyak-banyak masalah berbangkit selepas itu dan sepertimana yang kita tahu, Pilihan Raya Kecil Penanti pun dia tidak turun dan Pilihan Raya Permatang Pasir pun dia tidak datang, hendak kata terkejut tidaklah juga.

“Maknanya dia tidak langsung melibatkan diri dalam parti sejak dia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri,"katanya.

Anwar  berkata apa yang penting ialah Fairus digantikan oleh Dr mansor Othman untuk memantapkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

“Kes bekas Ketua Menteri I Pulau Pinang itu lebih dari setahun sudah kita minta dia letak jawatan kerana prestasi dia dan kita perlu seorang pemimpin Melayu yang lebih berwibawa di Pulau Pinang bekerjasama dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,"katanya.

Anwar turut tegas dalam tindakan Tee Beng mengecam Guan Eng secara melulu tanpa melalui saluran parti.

“Soal Tan Tee Beng, kenyataan beliau terhadap Lim Guan Eng itu, jadi kita putuskan untuk bersama dengan semangat Pakatan Rakyat dan kerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang bawah pimpinan Lim Guan Eng dan dalam kes lain kita akan jelaskan kemudian,"katanya.

Anwar berkata beliau juga mengambil pendirian bahawa parti tidak akan tersasar dari hala tuju  perjuangan akibat tindakan segelintir pemimpin mahupun  pegawai yang  tidak mahu lagi bersamanya.

“Begitu juga dengan Setiausaha Agung yang telah menunjukkan hasrat untuk meletakkan jawatan daripada tahun lalu, kita minta tangguh, ada apa-apa masalah lain, tiada jadi kita terima baik dan mungkin ini adalah proses untuk memantapkan parti kerana kerenah-kerenah begini telah dibangkitkan,"katanya.


Isnin, Mac 01, 2010

Syukur Fairus Keluar KeADILan

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) perlu mengucap syukur ke Hadrat Allah (SWT) kerana Fairus Khairuddin akhirnya meninggalkan Parti. Sejak beliau menyertai Kerajaan Pulau Pinang dan selepas meletakkan jawatan sehingga terkini, beliau merupakan liabiliti.

Fairus tiada pilihan lain dari meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri kerana beliau ketika itu disiasat SPRM dan prestasinya tidak memuaskan. Apabila berhenti, beliau menuntut supaya Parti melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar beliau RM15,000 sebulan buat selama-lama yang ditentukannya. Tidak ada sebab bagi Parti melayan tuntutan itu. Lagipun Parti tidak mampu berbuat demikian.

Atas rasa belas kasihan terhadap anak isterinya seorang baik hati memberikannya “kerja” dengan bayaran bulanan sebanyak RM4000. Beliau tidak puas hati dan oleh itu terus memburukkan pimpinan Parti. Kini beliau sudah berjumpa dengan pemimpin Umno yang boleh membayarnya jauh lebih besar dari itu.

Fairuz memberikan alasan kaum dan agama kerana tindakannya. Sangat memalukan. Beliau sendiri, kawan-kawannya dan Allah mengetahui sebab sebenar.


DR. SYED HUSIN ALI
Timbalan Presiden, KEADILAN

Sepakat desak gugurkan pendakwaan Anwar

Kesan daripada perjalanan perbicaraan pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah muncul suara sepakat mendesak pendakwaan itu digugurkan. Siri perbicaraan itu sebenarnya telah membongkar nilai kehakiman yang bermotif politik dan tersasarkan daripada lunas keadilan sejagat.

Setelah Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu membuat keputusan muktamad menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan ke atasnya membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, maka beberapa urutan perbicaraan mahkamah telah diteruskan. Sehinggalah berlaku pula permohonannya untuk menggugurkan tuduhan Mohd Saiful ke atas Anwar di Mahkamah Rayuan. Sebelumnya, pihak Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan menolak permohonan Anwar.

Setakat ini mahkamah telah tidak melayan permohonan Anwar atas tiga isu penting: minta mendapatkan akses dokumen pertuduhan ke atasnya, minta supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya, dan permohonan digugurkan pertuduhan ke atasnya.

Sehubungan itu, permohonannya supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya yang difailkan pada 8 Februari akan didengar pada 25 Mac nanti. Anwar juga telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Februari yang telah menolak rayuannya agar mahkamah membatalkan pertuduhan terhadapnya. Sementara tarikh perbicaraan rayuan itu belum ditetapkan.

Sepakat

Ekoran daripada itu, berlakulah beberapa desakan demi desakan beberapa pihak agar kerajaan dapat menggugurkan pertuduhan kali kedua yang tidak munasabah ke atas Anwar itu. Senarai pihak yang mendesak itu antaranya ialah ahli parlimen Australia, presiden PAS, menteri besar Kelantan, ahli senat Amerika Syarikat, bekas perdana menteri Kanada, penasihat seumur hidup DAP dan ulama dunia terkenal.

Ahli parlimen

Antara yang awal adalah 50 Ahli Parlimen Australia yang diketuai oleh Michel Danby menghantar surat bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi Canberra, Datuk Salman Ahmad agar Kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad.

Surat itu berbunyi antara lainnya, “adalah perlu untuk dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa pada pandangan kami sanjungan global terhadap Malaysia akan terjejas dengan tuduhan-tuduhan ke atas Anwar ini.

“Ramai pemerhati mesra Malaysia mendapati sukar untuk mempercayai seorang pemimpin pembangkang utama (seperti Anwar) dikenakan tuduhan liwat buat kali kedua, sejurus selepas partinya memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya kebangsaan.

Ahli senat

Ia kemudian disusuli kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry yang menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil dan saksama kepada Anwar.

“Menggesa kerajaan Malaysia menyediakan perlindungan perundangan yang sewajarnya, yang beliau berhak peroleh selaku seorang Ahli Parlimen dan seorang rakyat dan untuk menyelesaikan kesnya dalam cara yang boleh membina keyakinan dari segi ia tidak memihak dan kewibawaan sistem kehakiman Malaysia."

Bekas perdana menteri

Kemudian, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin dalam The Globe and Mail turut mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar.

Menurutnya, jika Malaysia mahu mengambil tempat sebagai antara negara progresif di dunia, adalah sangat penting tuduhan yang didakwanya bermotifkan politik itu digugurkan.

“Sebagai sebuah negara demokratik yang menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, Anwar juga harus diberikan kebebasan untuk melaksanakan visinya.”

Presiden PAS

Sehubungan dengan kritikan pihak luar terhadap perbicaraan Anwar berkaitan tuduhan Mohd Saiful itu, terutamanya oleh pihak 50 ahli parlimen Australia, maka bagi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melihat sebagai ketempangan sistem kehakiman negara sehingga pihak luar mempersoalkan tuduhan dan pendakwaan ke atas Anwar.

Maka Presiden PAS memakai pertimbangan rasional dengan maksud, sekiranya kehakiman itu menepati nilai keadilan sebenar tidak mungkin pihak luar akan menegur amalan sistem keadilan di Malaysia.

Dua era kezaliman

Justeru itu, memahami konteks maklum balas tersebut, Anwar semacam berdepan dengan dua era kezaliman ke atasnya. Apabila dinilai kepada kehakiman yang pernah dilalui ketika era Dr. Mahathir kerana dituduh dengan pertuduhan yang sama seperti sekarang, pada akhirnya Anwar telah dibebaskan. Maka, pertuduhan ketika itu adalah sengaja dibuat dengan kerana motif politik.

Kini era Mohd Najib, tidak mustahil pertuduhan ke atas Anwar diulangi lagi. Memetik kata-kata John Kerry, tuduhan ke atas Anwar itu bermotifkan politik itu, maka wajarlah ia digugurkan.

Bersama meragui

Langsung, motif sebenar ahli parlimen Australia, John Kerry dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah manifestasi fakta yang secara bersama meragui realiti keadilan dalam kehakiman di Malaysia. Betapa, seluruh pihak di dunia dapat melayari kenangan apabila undang-undang jakun seperti Akta Keselamatan Negeri yang menangkap dan menahan ‘mangsa’ tanpa bicara adalah masih utuh dipakai sehingga ke hari ini.

Ditambah lagi dengan peristiwa rampasan kuasa di Perak yang membelakangkan semangat perlembagaan dan suara demokrasi rakyat. Dikemaskan lagi dengan amalan fahaman jakun yang menepikan perjanjian tatkala menolak pembayaran lima peratus “cash payment” (royalti) hasil minyak di Terengganu dan Kelantan.

Selain daripada, banyak cerita yang masyhur mengenai kes-kes kehakiman yang tertangguh dan pendakwaan terpilih atas salah laku jenayah yang melibatkan individu berprofil VIP. Di samping turut tersebar banyak fitnah bahawa berlaku ‘campur tangan politik’ di dalam proses kehakiman di negara ini.

Menteri besar

Di atas nilai yang sedemikian, Mursyidul Am PAS juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut tidak bersetuju dengan sistem kehakiman di negara ini yang dianggap tidak dapat mencerminkan keadilan sebenar apabila melayan tuduhan yang tidak masuk akal ke atas Anwar yang dibicarakan secara terbuka sehingga membuka aib orang kepada umum.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menegaskan, “apabila orang Australia pun turut sama membuat bantahan, ini bermakna mereka pun terasa dakwaan itu adalah karut.”

Penasihat seumur hidup

Menarik lagi, apabila ‘orang lama’ yang juga penasihat seumur hidup DAP, Dr. Chan Man Hin seperti mana dilaporkan Harakah turut menuntut agar pihak kerajaan menggugurkan segera dakwaan ke atas Anwar.

Baginya, kesan perbicaraan ke atas Anwar akan menyebabkan kesan buruk kepada ekonomi negara berikutan pihak dunia luar akan mengenakan sekatan ke atas Malaysia seperti mana berlaku di Myanmar, apabila negara itu menahan pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi.

“Anwar boleh menjadi seorang lagi Aung San Suu Kyi kerana Anwar dilihat ancaman kepada Najib.”

Pandangan Dr. Chan itu dilihat menjurus kepada perspektif global yang turut mendedahkan wujudnya kesedaran komuniti antarabangsa tentang hakikat pendakwaan ke atas Anwar itu sebagai tindakan mengelakkan Anwar menjadi pencabar Najib sebagai Perdana Menteri.

Ulama dunia terkenal

Turut menggegarkan pelaksanaan kehakiman Malaysia dalam konteks pendakwaan ke atas Anwar ialah ulama dunia terkenal, Tokoh Maal Hijrah Malaysia bagi tahun 1431 Hijri, Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi. 

Pihak Syeikh Dr. Yusof menggesa kerajaan menimbang untuk menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar kerana ia akan menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan dunia Islam.

Apatah lagi, pendakwaan itu dibuat dengan penuh keraguan, dan sekiranya wujud keperluan pendakwaan itu, ia hendaklah dilakukan di mahkamah syariah bukannnya mahkamah sivil. Sewajarnya, kehakiman negara ini dapat memberi keadilan kepada Anwar yang berdepan dengan pendakwaan itu.

Serius

Apa pun, pihak kerajaan hendaklah memandang serius atas nilai-nilai keadilan dan ketelusan sistem kehakiman di negara ini. Atas pendakwaan melibatkan Anwar ini terbukti telah wujud suara pemimpin utama dari dalam dan luar negara yang menggesa supaya ia digugurkan. Bermula dengan desakan pemimpin luar (ahli parlimen Australia, ahli senat Amerika Syarikat dan bekas Perdana Menteri Kanada serta Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi) dan pemimpin dalam negeri (Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi dan Dr. Chan Man Hin) menjadikan kes pendakwaan ke atas Anwar kali kedua ini sebagai fokus antarabangsa.

Sehubungan itu, atas nilai kesejagatan keadilan, Anwar sewajarnya menerima pengadilan yang telus dan adil serta berteraskan syariah. Di sini relevan dan rasionalnya gesaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi, dan Dr. Yusof al-Qaradhawi. Maka, ia harus diambil kira demi menyelamatkan maruah negara daripada amalan kehakiman yang rakus dan di luar konteks keadilan.

Sesungguhnya, Tuhan Yang Esa adalah Maha Adil kepada sekalian hamba-Nya.


Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan.
 
 

Satu lawan satu di Sarawak

Pakatan Rakyat telah bersetuju agar semua pertandingan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang adalah pertembungan satu lawan satu antara Pakatan dengan BN.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, Pakatan telah mula membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka diadakan beberapa bulan akan datang, kemungkinan antara bulan Jun dan Julai ini.

Pilihan raya negeri Sarawak - yang terakhir berlangsung pada 2006 - mesti diadakan dalam tempoh 16 bulan ini. Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya Parlimen.

Saifuddin berkata, strategi satu lawan satu itu - yang telah menghasilkan kemenangan besar kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 - akan digunakan dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

"PKR, DAP dan PAS pada prinsipnya telah bersetuju dengan pertandingan satu lawan satu dengan BN. Kita pastinya berharap ia akan memberi impak yang besar kali ini," katanya kepada Malaysiakini.

Tsunami politik pada 2008 menyaksikan lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang serta menafikan BN penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Sarawak mempunyai 71 kerusi negeri, dengan 62 daripadanya dikuasai oleh BN. Manakala DAP, Parti Cinta Malaysia yang baru ditubuhkan dan Bebas, menang sembilan kerusi.

Pilihan raya umum 2008 telah menyaksikan berlakunya beberapa pertandingan tiga penjuru yang membabitkan parti-parti Pakatan di Sabah dan Sarawak.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh majlis presiden Pakatan pada hari Isnin.

Majlis itu, kata beliau, seterusnya akan menumpukan kepada perbincangan mengenai pilihan raya negeri Sarawak, khususnya mengenai strategi pertandingan satu lawan satu, serta memanfaatkan jentera pilihan raya bersama.




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...