BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label Luahan Minda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Luahan Minda. Papar semua catatan

Ahad, November 07, 2010

Isu Politik Tanahair - Khabar Baik Dari Pulau Pinang

Oleh : Ismed Ulam Raja

Berikut adalah antara intipati belanjawan yang bersifat sangat positif untuk sebuah kerajaan negeri, agak malang bagi penyokong UMNO kerana ini adalah hasilnya menyokong Pakatan Rakyat ;

  • Elaun Pegawai dan Setiausaha JKKK naik RM100 !
  • Kakitangan awam negeri akan dapat BONUS RM800 pada tahun ini !!
  • RM 60 juta dikhaskan untuk program-program pembangunan Islam !
  • Ibu tunggal dan OKU akan dapat RM100 setiap tahun !!

Setelah sekian lama sepi dari info serta berita, di pagi nan indah ini ada khabar gembira yang ingin saya kongsikan dari kerajaan negeri Pulau Pinang kepada saudara/i. Teringat dengan pepatah yang mengatakan "Better late than never". Oleh yang demikian suka saya nyatakan berita baik ini harus diambil iktibar kepada semua pembaca, agar kita boleh menilai apakah yang terbaik demi negara dan anak bangsa. Di saat kerajaan pusat berkira-kira untuk menaikkan harga minyak RON95 (untuk tahun depan) & RON97 (telah pun naik 5 sen), kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh YAB Lim Guan Eng telah membentangkan sebuah belanjawan rakyat khususnya untuk rakyat negeri Pulau Pinang dan amnya kepada semua rakyat Malaysia agar berfikir 3-4 kali sebelum memangkah Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.

Bajet yang dibentangkan memberi banyak manfaat kepada rakyat negeri Pulau Pinang khususnya kepada golongan yang memerlukan. Saya tidak membentangkan semua intipati Belanjawan 2011 Negeri Pulau Pinang di dalam entri ini, tetapi sekadar menunjukkan betapa prihatinnya sebuah kerajaan yang memerintah dengan penuh cermat. Anda akan lihat UMNO dan PERKASA meroyan-royan apabila bantuan-bantuan kerajaan negeri terhadap golongan sederhana susah di Pulau Pinang diperhebat oleh Lim Guan Eng. Mungkin juga Reezal Merican akan sekali lagi memainkan peranan mengelirukan rakyat Pulau Pinang sepertimana isu bantuan warga emas di sini. Berikut adalah antara intipati belanjawan yang bersifat sangat positif untuk sebuah kerajaan negeri, agak malang bagi penyokong UMNO kerana ini adalah hasilnya menyokong Pakatan Rakyat ;
  1. Elaun Pegawai dan Setiausaha JKKK naik RM100 !
  2. Kakitangan awam negeri akan dapat BONUS RM800 pada tahun ini !!
  3. RM 60 juta dikhaskan untuk program-program pembangunan Islam ! (sebelum ini semasa zaman pemerintahan BN hanya 12.4 juta sahaja)
  4. Ibu tunggal dan OKU akan dapat RM100 setiap tahun !!
Saudara dan saudari semua bayangkanlah sekiranya Putrajaya dikuasai oleh Pakatan Rakyat - sebuah pakatan yang memperjuangkan nasib rakyat! Pastinya lebih ramai rakyat akan terbela dengan skop yang lebih luas.Kerajaan pusat Barisan Nasional hanya mampu mensasarkan RM500 sebagai saguhati kepada kakitangan awam sedangkan banyak syarikat swasta dan konglomerat yang menyediakan beberapa bulan gaji kepada pekerjanya sebagai tanda mereka dihargai.

Kerajaan pusat harus mampu menyediakan yang terbaik kepada semua kakitangannya di sebalik layanan mewah terhadap pelabur-pelabur luar dan juga pelancong yang kononnya membawa banyak keuntungan kepada negara. Kerajaan pimpinan LGE mampu menghadirkan jumlah bonus yang lebih tinggi di kala sebuah kerajaan negeri milik pembangkang kebiasaannya tidak dilayan dengan adil dalam aspek kewangan dan semua sumber kewangan yang sepatutnya disalur terus kepada kerajaan negeri, hanya menyinggahi badan-badan kerajaan pusat yang beroperasi di setiap negeri pembangkang. Walaupun begitu, kerajaan Pulau Pinang mampu melakukan sesuatu apabila ia diperintah tanpa ketirisan terancang. Syabas !! saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kejayaan ini.

Perkara ke-tiga dalam senarai di atas menunjukkan YAB Lim Guan Eng juga adalah seorang ketua menteri yang peka dan prihatin dalam memartabatkan agama Islam di bumi Pulau Pinang. RM60 juta yang diperuntukkan pastinya menutup suara-suara sumbang yang mengatakan LGE seorang yang anti-melayu mahupun anti-islam. Pada hemat kebanyakkan orang sekarang ini, nilai kepimpinan dan pendekatan LGE terhadap Islam itu jauh melebihi kebanyakkan pemimpin melayu yang lain. Termasuklah pemimpin Gerakan Muhammad Koh Tsu Koon (Mungkin inilah nama melayunya yang sebenar kerana puak UMNO menuduh kerajaan sekarang ini dipimpin oleh cina tidak seperti sebelum ini). Perkara ke-empat dalam senarai di atas menunjukkan keperihatinan sebuah kerajaan negeri terhadap rakyatnya yang memerlukan perhatian. Tanpa mengira batas bangsa mahupun batasan kefahaman dan kepartian, siapa sahaja ibu tunggal dan warga OKU layak menerima RM100 setiap tahun. Walaupun jumlah ini sedikit berbanding apa yang dihulur oleh kerajaan pusat melalui badan kebajikkan, percayalah untuk mendapatkan bantuan sebegini tidak memerlukan surat sokongan ataupun ehsan pemimpin UMNO sepertimana kebiasaannya yang berlaku demi memohon bantuan badan kebajikan. Dengan ini, saya selaku seorang warga Pulau Pinang ingin menyeru kepada semua warga sahabat handai dan rakan taulan. Anda semua telah pun matang, anda semua telah pun berpelajaran, dan anda semua mampu untuk membezakan yang mana kaca ataupun intan. Perubahan hanya di tangan anda tidak pada tangan saya. Maka fikir-fikirkanlah.

Nasihat : Kakitangan awam kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya yang berada di bahagian Nibong Tebal yang tidak yakin dengan sumber Bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2011 boleh mendermakan wang BONUS yang diterima kepada pihak Pusat Khidmat Sungai Bakap supaya ianya dapat disalurkan kepada pihak yang lebih memerlukan di bahagian Nibong Tebal. Begitu juga dengan ibu tunggal yang bersetuju dengan hukum-hakam fatwa UMNO yang menyatakan wang ehsan Kerajaan Negeri adalah haram (Bagaimana pula dengan wang KWSP, PERKESO, TABUNG HAJI dll yang di laburkan oleh kerajaan ke dalam saham GENTING, SPORT TOTO, MAGNUM, CALSBERG DLL?), boleh juga memulangkan RM100 tersebut ke tabung yang bakal ADUN Sungai Bakap YB Tuan Haji Maktar Shafee lancarkan nanti sempena Bajet Pulau Pinang 2011. Kepada warga emas yang ingin memulangkan bantuan ehsan kerajaan Pulau Pinang juga boleh berbuat demikian sekiranya tidak sempat masuk TV3 dalam program pembodohan rakyat anjuran UMNO (wartawan Sinar Harian akan disediakan oleh pihak Pusat Khidmat sekiranya ada yang ingin berbuat demikian demi publisiti). Akhir sekali, kepada bakal pengundi maka persiapkanlah diri anda dan keluarga bagi menghadapi PRU13 yang semakin hampir.
 

Isnin, November 01, 2010

Parti Politik Pembangkang Atau Parti Politik Oposisi?

Oleh : Hamdan M. Salleh   
Parti politik merupakan institusi politik yang menghubungkan masyarakat dan negara. Terdapat pelbagai bentuk kepartian politik di negara-negara membangun dimana kes-kes  kepartian ini kerapkali dikaji berlandaskan teoritik dan perbandingan berpaksikan pengalaman kepartian di Barat. Namun, sejak kebelakangan ini sudah terdapat perkaitan kajian tentang peranan parti-parti politik dalam proses pendemokrasian. Ini sudah tentu membawa kepada pelbagai kajian khusus berkenaan parti-parti politik yang wujud baik sebagai pemerintah mahupun sebagai yang di Malaysia di panggil Pembangkang.

Istilah pembangkang yang kerap diguna di Malaysia lebih menggambarkan persepsi yang negatif untuk parti-parti yang tidak memerintah walhal parti-parti ini turut terlibat dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik serta bertindak sebagai pemeriksa dan pengimbang (check and balance) kepada kerajaan. Malah kerap kali kedengaran agak dangkal umpamanya seperti yang kerap media di Malaysia ungkapkan seperti “kerajaan pembangkang di Selangor”, “pembangkang gagal mentadbir dengan baik di Kelantan” dan pelbagai lagi. Pembangkang di peringkat persekutuan tidak bermaksud parti tersebut jika memerintah negeri boleh dianggap pembangkang. Jika di Selangor, pembangkanhya adalah Barisan Nasional. Begitu juga di Kelantan. Logiknya, bagaimana pembangkang boleh memerintah walhak mereka tidak mempunyai majoriti? Persepsi ini perlu diubah dalam usaha kita hendak mewawarkan politik baru.

Kamus Dewan (2000) sendiri tidak menggunakan perkataan pembangkang untuk mendefinisi parti politik yang tidak memerintah. Sebaliknya, ia menggunkan istilah oposisi sebagai istilah utama bagi menggambarkan parti bukan pemerintah. Perkataan pembangkang hanya digunakan bagi menerangkan lebih lanjut. Menerusi halaman 945, jelas tertera:

“oposisi 1. Penentangan. 2. =parti ~ parti politik yg (sic) menentang parti pemerintah (dlm (sic) parlimen dll (sic) )”, parti pembangkang.”

Parti politik juga merupakan institusi politik demokrasi yang menghubungkan masyarakat dan negara. Peranan parti politik amat penting dan mempunyai hubungkait rapat dalam pembentukkan sesebuah negara dalam apapun bentuk amalan politiknya (Teshome, 2009).  Bukan sahaja parti ini mencerminkan hubungan negara dan masyarakat, malah dalam sesuatu keadaan mampu memulakan serta membentuk hubungan itu secara tersendiri

Justeru itu, ia memerlukan satu pertubuhan yang tersusun, merangkumi sekumpulan atau segolongan individu yang bekerja bersama-sama untuk bersaing merebut jawatan politik dan perjuangan polisi yang dipersetujui bersama. Jesteru itu, parti politik amat penting untuk proses pendemokrasian dan konsilidasi demokratik.

Schattschneider  (1942) yang merupakan antara kajian terawal berkenaan parti politik berpendapat adalah satu yang mustahil sebuah sistem demokrasi moden tanpa kewujudan parti-parti politik didalamnya. Tambahan pula, part politiklah yang membezakan sistem demokrasi dengan sistem diktator. Linz dan Stephan (1996) menyatakan bahawa adalah sangat mustahak adanya parti-parti politik dalam usaha membentuk sesuatu demokrasi. Ini kerana tidak ada perwakilan tanpa bercorak kepartian yang mampu mewujudkan sebuah kerajaan demokrasi. Oleh itu, dunia secara amnya dicorakkan sebagai sebuah sistem demokrasi menerusi kewujudan parti-parti politik.

Heywood (2002) berpendapat parti politik merupakan sekumpulan individu yang berhasrat untuk memenangi kuasa kerajaan menerusi kaedah pengundian atau kaedah-kaedah lain yang sesuai bagi pemikiran mereka. Canton (2007) pula menyifatkan parti politik dalam sesebuah sistem demokrasi amat perlu untuk melatih , memilih dan melantik calon-calon untuk pelbagai jawatan kerajaan dan parlimen. Selain itu, ia juga penting untuk mengumpul dan melaksanakan kehendak masyarakat dan untuk menyelia serta memantau sesebuah kerajaan yang memerintah.

Mathisen dan Svasand (1991) pula mengungkap peranan parti politik sebagai organisasi yang kompleks dan mempunyai  pelbagai peringkat seperti peringkat kebangsaan, rantau dan lokal / tempatan. Ia juga turut mengandungi pelbagai unit seperti peringkat pusat,bahagian pemuda, wanita dan sebagainya. Parti-parti politik turut mempromosikan persaingan penting berkenaan polisi-polisi dan ideologi yang pelbagi serta memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi berperwakilan (Teshome, 2009).

Menurut New Politics Network (2005), parti-parti politik menawarkan polisi-polisi yang pelbagai menerusi kempen-kempen pilihanraya yang seterusnya membolehkan para pengundi membuat pilihan mereka menerusi sesuatu pilihanraya serta meletakkan calon yang mereka pilih ke seseuatu jawatan politik.

Canton (2007) menegaskan bahawa parti-parti politik memainkan dua peranan yang besar dalam demokrasi; menubuhkan kerajaan yang memerintah atau memainkan peranan sebagai Oposisi atau pengimbang terhadap kerajaan yang memerintah. Senario di Malaysia pula lebih gemar menggunakan istilah pembangkang untuk menggambarkan parti-parti yang tidak memerintah.

Istilah Oposisi dengan huruf besar “O” perlun digunakan sebagai ganti istilah pembangkang. Istilah Oposisi lebih sesuai digunakan untuk melambangkan sebuah parti yang menjadi pengimbang kepada parti yang memerintah.

Ini juga berlandaskan pandangan Levell (2003), Oposisi membawa maksud parti-parti di dalam legislatif yang fungsi utamanya adalah untuk menilai, mengkritik dan seterusnya memberi alternatif terhadap apa yang dilaksanakan oleh eksekutif.

Kajian terhadap parti Oposisi tentunya amat menarik namun bukanlah satu bidang kajian yang popular. Ia ada kalanya dianggap terutama di negara-negara membangun sebagai satu isu yang boleh menimbulkan keadaan sensitif, beremosi dan provokatif. Walhal, politik Oposisi merupakan satu institusi rasmi dalam proses berkerajaan dalam mana-mana negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi tulen. (O’Donnell, 1997). Parti-parti Oposisi ini yang sepatutnya menjadi pengimbang (check and balance) dan sebagai kuasa alternatif dalam legislatif sesebuah parlimen kerap dipersepsikan sebagai pembangkang yang tugasnya hanyalah membangkang semata-mata dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Boleh dikatakan kajian pertama terhadap kepartian Oposisi hanya bermula dalam dekad 1960an apabila Robert Dahl menghasilkan buku Political Oppositions in Western Democracies (1966).

Persepsi negatif terhadap parti-parti Oposisi ini tidak sepatutnya berlaku kerana di dalam negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kerajaan akan silih berganti antara pelbagai parti politik. Parti-parti minoriti pula akan cuba untuk meyakinkan pihak majoriti berkenaan pandangan dan pendapat mereka menerusi kaedah politi tanpa perlu berkonflik.

Takrif demokrasi itu sendiri menjelaskan kepentingan parti-parti Oposisi sedari awal terutama dari aspek perngasingan kuasa. Menurut Murphy dan Blair (2006), ia merupakan satu hubungan antara parti yang memerintah dan parti-parti Oposisi yang diwatakkan sebagai perunding atau peserta (Lihat juga Dahl, 1971). Schmitter and Karl (1991) yang dipetik dari tesis Aspinall (2000:4),  berpendapat:

“Modern democracy ... offers a variety of competitive processes and channels for the expression of interests and values – associational as well as partisan, functional as well as territorial, collective as well as individual. ”

Jika dikaji dengan mendalam, istilah Oposisi merupakan satu istilah yang kabur. Sukar untuk memberi definisi tepat berkenaan Oposisi. Oposisi mungkin satu kaedah penolakkan menyeluruh atau total terhadap apa jua sistem kerajaan dengan hasrat menumbangkannya dengan apa jua sekalipun. Dari sudut yang lain pula, Oposisi merupakan pengimbang yang menilai, membangkang dan mengkritik apa jua tindakan kerajaan yang tidak berlandaskan yang sepatutnya(Roden, 1990, 10).

Emmanuel Dolo (2006) pula mendefinisikan parti Oposisi sebagai :

“partisan political institution that are intentionally designed to temper the ruling party’s excesses while still pursuing both legislative and presidential offices.”

Parti-parti Oposisi juga kerap digambarkan sebagai parti-parti minoriti yang tidak mempunyai kuasa eksekutif tetapi  memainkan peranan sebagai pemantau kepada kerajaan yang memerintah (Bagbin, 2008).  Dalam sesebuah negara pengamal demokrasi, parti-parti Oposisi adalah bebas untuk mengkritik parti pemerintah dan dalam masa yang sama parti Oposisi diharap dapat menawarkan polisi-polisi alternatif. Parti-parti Oposisi juga perlu menghormati dan mengiktiraf autoriti parti yang terpilih sebagai kerajaan (Kiiza, 2005).

Dolo (2006) juga mengungkap terma yang cukup menarik berkenaan hubungan unik ini :

“an authentic democracy is one where the ruling party has an effective oppostion.”

Schmitz (1988) pula menulis :

“The existence of an opposition, without which politics cease and administration takes over, is indispensable to the functioning of parliamentary political systems.”

Schmiz (1988) juga berpendapat bahawa dalam sistem masyarakat demokratik liberal, keabsahan sesebuah kerajaan bergantung kepada restu mereka yang diperintah. Pihak minoriti perlu menerima konsep bahawa adalah menjadi hak pihak majoriti untuk membuat keputusan.

Sehubungan itu, pihak majoriti akan menghormati hak minoriti untuk membantah keputusan yang dibuat oleh mereka yang memerintah serta menawarkan polisi-polisi alternatif. Dalm erti kata lain, adalah menjadi peranan parti-parti Oposisi untuk memantau dan mengimbang serta mengganti parti yang memegang tampuk pemerintahan.

Schmiz (1988) jelas percaya bahawa Oposisi politik yang tulen adalah rukun penting kepada demokrasi, toleransi dan kepercayaan kepada rakyat untuk menyelesaikan perbezaan menerusi kaedah yang aman. Schmitz juga berpendapat bahawa perbezaan antara kerajaan dan Oposisi adalah seuisia denga politik demokrasi itu sendiri.

Kajian parti politik juga merupakan asas penulisan Burnell dan Randall dalam buku Politics in the Developing World (2005). Terdapat bab khas yang membincangkan parti-parti politik, pertautan sosial mereka dan peranan parti-parti ini dalam perubahan politik sesebuah negara. Ia juga melihat dari aspek parti sebagai institusi, sebagai sebuah sistem serta peranan dalam proses pendemokrasian.

Untuk melihat sistem politik dan kepartian di Amerika Syarikat, buku karya Cummings dan Wise bertajuk Democracy Under Pressure (1985) terutama di bawah tajuk Politics U.S.A. Bab ini menganalisa bagaimana sesebuah parti politik beroperasi, kempen dan pemilihan calon pilihanraya dan tingkahlaku pengundi dalam sesuatu pilihanraya di Amerika Syarikat.

Robert Michels (terjemahan, 2001) pula menerangkan dengan panjang lebar konsep parti politik dari sudut yang spesifik dalam buku beliau Political Parties, A Sociological Study of the Oligarchical Tendencies of Modern Democracy. Buku asal yang ditulis pada tahun 1915 ini meneliti aspek asal kejadian sesebuah parti politik terutama dari sudut sosiologi. Memandangkan ia antara karya terawal berkenaan konsep kepartian, pelbagai isu-isu penting digarap dan dianalisa dengan kritis.

Samuel P. Huntington pula dalam bukunya The Clash of Civilizations, Remaking of World Order (1996) berpendapat bahawa budaya dan identiti agama seseorang akan menjadi punca utama konflik era pasca Perang Dunia Kedua. Pendapat beliau ini jelas menangkis teori-teori sebelu ini yang mendukong idea bahawa ideologi kepartian hanya berlandaskan hak kemanusiaan, demokrasi liberal dan ekonomi kapitalis semata-mata.

Jika dilihat dalam skop negara-negara membangun, terdapat ribuan parti politik yang lahir dari gelombang demokrasi era baru. Banyak yang baru, hasil dari respon keterbukaan orde baru demokrasi. Parti-parti lain pula dalam bentuk penjenamaan semula atau amalgamasi parti-parti lama. Terdapat juga parti-parti politik lama dan bersejarah seperti Parti Kongres di India yang ditubuhkan pada tahun 1888, parti PRI (Institutional Revolutionary) di Mexico yang ditubuhkan pada tahun 1929 dan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di Afrika Selatan yang muncul seawal tahun 1912.

Kaedah pembentukan parti-parti politik juga berbeza antara satu sama lain. Parti-parti yang dominan seperti Parti Kongres India, ANC dan Barisan Pembebesan Mozambique (FRELIMO) di Mozambique lahir menerusi gerakan kebangsaan atau liberalisasi negara mereka. Hal yang sama juga berlaku di negara-negara Afrika lain dalam perjuangan mencapai kemerdekaan sekitar 1960an. Parti pemerintah seperti Kenya African National Union (KANU) di Kenya dan Parti Revolusi atau Chama Cha Mapinduzi (dalam bahasa Swahili) di Tanzania lahir dekad tersebut dan masih bertahan sebagai parti yang utama walaupun dengan kemunculan sistem demokrasi pelbagai parti. PRI di Mexico juga didasarkan menerusi perjuangan untuk mencapai revolusi sosial.

Namun, terdapat juga parti-parti politik yang muncul kerana cita-cita politik tokoh-tokoh jutawan yang berpengaruh. Parti-parti ini dijadikan landaan bagi mencapai cita-cita mereka untuk berkuasa. Pemimpin seperti Presiden Collor di Brazil dan Presiden Fujimori di Peru menggunakan parti-parti mereka untuk mengukuh dan mengekalkan kuasa. Begitu juga seperti apa yang berlaku di Thailand. Parti Thai Rak Thai yang diilhamkan oleh Thaksin Shinawatra telah berjaya mendapat majoriti mutlak dalam pilihanraya parlimen Thailand pada bulan November 2000 walaupun hanya ditubuhkan beberapa bulan sebelum itu.

Dalam pada itu, kajian parti Oposisi secara mendalam hanya mula muncul pada dekad 1960-an. Robert Dahl dalam bukunya, Who Governs? (1961) telah meneliti struktur kuasa rasmi dan tidak rasmi dalam satu kajin kes di New Heven, Connecticut. Menerusi kajian tersebut, Dahl merasakan yang terdapat pelbagai golongan elit yang terlibat dalam struktur kuasa sama ada sebagai pemerintah mahupun pengimbang. Buku beliau yang ditulis pada tahun 1966, Political Opposition in Western Democracies pula mengutarakan antara lain kajian terhadap parti pengimbang dalam masyarakat demokrasi liberal di Barat.

Ketiadaan kajian ini disebabkan kemungkinan kajian terhadap parti pemerintah dan corak pemerintahan serta pentadbiran dipandang lebih penting. Tanggapan inilah yang perlu diubah kerana jika dilihat daripada sudut yang lain, pengimbang ini membenarkan parti-parti berkenaan lebih bebas untuk menilai ideologinya, mendebatkan polisi serta membawa idea-idea dari rakyat yang tidak mungkin boleh diutarakan oleh parti yang memerintah. Seterusnya parti-parti ini menjadi pemerintah, mereka akan menggunakan pengalaman sebagai parti pengimbang untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik dari parti yang tidak pernah atau tidak punya pengalaman menjadi parti pengimbang atau Oposisi.

Malaysia juga menyaksikan kemunculan pelbagai jenis parti politik sejak pra merdeka hingga ke pasca pilihanraya (PRU) ke-12 pada tahun 2008. Terdapat parti pemerintah bersifat etnik yang muncul sebelum mereka seperti UMNO, MCA dan MIC yang ditubuhkan antara 1946-1948. Tahun 1951 menyaksikan kemunculan parti berpaksikan agama iaitu PAS. Parti multietnik juga muncul, bermula dengan parti NEGARA, GERAKAN dan PPP.  Pasca merdeka juga menyaksikan muncul DAP dan PRM yang berideologi sosialis. Sabah dan Sarawak pada awalnya banyak memperlihatkan kemunculan parti wilayah dan etnik serta PBB, UPKO, PBS dan banyak lagi.

KEADILAN atau awalnya dikenali Parti Keadilan Nasional (PKN) hanya muncul penghujung dekad 90-an. Ianya muncul dalam satu keadaan rentetan protes terutama dengan pemecatan pemecatan dan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1998. Khalayak umum melihat ia merupakan satu-satunya faktor munculnya parti ini. Mungkin ia benar dari sudut realpolitiknya, namun isu-isu sosio-politik yang berakar umbi beberapa tahun sebelum itu harus diambil kira untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku hingga membawa kepada penubuhan KEADILAN.

Ketiadaan banyak kajian berkenaan parti oposisi turut tercermin dalam kajian sains politik di Malaysia. Parti-parti Oposisi atau pengimbang utama yang ada waktu ini seperti PAS, DAP dan KEADILAN sememangnya amat kurang diberi perhatian dalam kajian-kajian besar. Jika adapun, kajian banyak menjurus kepada PAS. Amat kurang kajian-kajian ilmiah yang kepada parti-parti seperti KEADILAN dan DAP. Itu belum dikira parti-parti Oposisi yang pernah muncul di Malaysia seperti Parti Buroh, Parti Sosialis Malaysia, NASMA, Parti Sosialis Rakyat Malaysia, HAMIM, BERJASA, AKIM dan juga SEMANGAT 46 yang pernah muncul dan kemudiannya terbubar.

Kajian terhadap parti politik di Malaysia terutama politik parti-parti yang tidak memerintah lebih banyak muncul pasca PRU-12. Sebelum itu, parti-parti yang banyak dikaji pula lebih menjurus kepada parti-parti memerintah. Parti-parti pengimbang atau Oposisi kerap terpinggir dan lebih banyak diulas menerusi penulisan bercorak politik semata-mata. Hanya PAS yang kerap mendapat perhatian di semua peringkat kajian.

Cuma setelah berlaku apa yang dipopularkan sebagai Tsunami Politik pasca Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008, barulah muncul kajian berkenaan kepartiaan di luar status quo. Itupun banyak menjurus kepada aspek analisa kemerosotan parti memerintah tanpa menilai secara mendalam keupayaan parti-parti Oposisi sebagai kajian kes.

Tsunami politik Pilihanraya ke-12 tersebut merupakan satu sejarah penting politik Malaysia. Ia menjadi kajian pelbagai pihak baik dari segi akademik dan ilmiah hingga ke pojok politik semata. Tidak terkecuali, kejayaan parti-parti politik Oposisi turut mendapat perhatian besar dari semua pihak. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) adalah antara parti Oposisi yang menonjol pada PRU itu. Ia telah muncul sebagai parti Oposisi terbesar di Parlimen. Tidak hairan jika kebangkitan KEADILAN dari satu kerusi di Parlimen P44 Permatang Pauh pada PRU-11 kepada 31 kerusi Parlimen dengan keseluruhan lebih 70 wakil rakyat memberi kejutan besar kepada bukan sahaja kepada para penganalisa politik, malah kepada kerajaan yang memerintah. Malah jika dibandingkan kepada jumlah bahagian, KEADILAN mempunyai 212 bahagian di seluruh Malaysia berbanding UMNO yang mempunyai 191 bahagian.

Sudah sampai masanya parti-parti politik dilayan sama adil di Malaysia kerana semua parti sama-sama meraikan demokrasi. Ia perlu bermula dengan perubahan persepsi dengan istilah Oposisi menggantkan Pembangkang. Mungkin ada yang mempertikai bahawa Oposisi ini asalnya bahasa Inggeris. Namun, memang bahasa Malaysia memang begitu. Ingat lagi istilah bajet (budget) menggantikan belanjawan? Apa kata Ketua Pembangkang di parlimen digantikan dengan istilah baru; Ketua Oposisi ? Fikirkanlah demi merealisasikan politik baru yang lebih maju.

Hamdan Datuk Mohd Salleh merupakan ahli akademik dan mantan Ketua Jabatan Saisn Sosial di Univerisiti Industri Selangor (Unisel) yang mengkhusus dalam bidang sains politik. Kini beliau sedang menyiapkan tesis Doktor Falsafah yang mengkaji KEADILAN sebagai sebuah parti politik oposisi di Malaysia.

Isnin, Jun 21, 2010

Antara Anwar dan Tunku

Oleh : Abdul Aziz Bari
Isnin lalu muka depan akhbar ini melaungkan kenyataan “Anwar tetap No 1”!. Cerita itu berkisar dari cadangan seorang perwakilan dalam Muktamar Pas ke 56 di Kota Bharu yang mahu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadikan ikon Pakatan Rakyat; sesuatu yang lebih kurang sama dengan kedudukan Menteri Besar Kelantan itu dalam struktur organisasi Pas sekarang. Cadangan tersebut tidak diterima atau disokong kedua-dua DAP atau PKR meskipun Datuk Zaid Ibrahim pernah mencadangkan hal sama tahun lalu.

Apa pun kali ini Nik Abdul Aziz dengan tegas menolak cadangan itu dan menyatakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang sesuai mengetuai Pakatan. Tahun lalu Nik Abdul Aziz, selepas Zaid membuat cadangan sama, menyatakan ia memerlukan masa. Apa pun reaksi Nik Abdul Aziz itu sekali lagi, jika dilihat daripada respons pembaca sebuah portal berita, menekankan kecekapan dan kelicikan menteri besar yang sudah 20 tahun mengetuai pentadbiran Kelantan.

Respons Nik Abdul Aziz itu mengesahkan kepentingan peranan Anwar dalam proses perubahan politik sekarang. Ini bukan kerana beliau memimpin PKR, sebaliknya kerana Anwar mempunyai personaliti yang istimewa dan watak seperti ini amat penting dalam memacu perubahan. Kepentingan kedudukan dan peranan Anwar amat jelas jika kita lihat masalah dihadapi DAP dan Pas serta kelembapan PKR semasa Anwar berada di dalam penjara sewaktu Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004.

Itu semua berubah apabila bekas Timbalan Perdana Menteri 1993-1998 bebas dari penjara pada 2004 dan berkempen dalam Pilihan Raya 2008. Meskipun Pakatan masih belum wujud dalam bentuknya yang ada sekarang gabungan longgar ketiga-tiga parti itu berjaya. Sejak itu orang mula melihat betapa gagasan sistem dua parti sesuatu yang realistik di Malaysia.

Saya telah menyebut banyak kali dalam ruangan ini betapa sistem dua parti ini penting dalam mengembalikan sistem pemerintahan negara ke tempatnya yang asal. Ini pilihan terakhir setelah istana dan mahkamah – sebagaimana kelihatan dalam krisis politik di Perak tahun lalu – gagal menjadi pemangkin kepada sistem yang ditunjangi perlembagaan.

Terbaru mahkamah dilaporkan cuba mengelakkan pilihan raya kecil dan menyelamatkan Tian Chua dari dihukum sehingga membatalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen. Ini mengejutkan kerana mahkamah tidak harus mengambil kira soal mengelakkan pilihan raya kecil. Pada saya hakim berkenaan tidak wajar kerana rakyat akan melihat mahkamah menjadi alat kerajaan dan tidak bebas. Tanggapan sedemikian mesti dielakkan.

Faktor Anwar menekankan betapa pentingnya faktor kepemimpinan dan ikon dalam proses perubahan. Meskipun faktor-faktor lain seperti kerangka perlembagaan, perkhidmatan awam juga penting faktor tokoh dan kepemimpinan amat penting untuk menjadi mancis yang akan memulakan api perubahan. Dalam pada itu sudah pastilah bahawa kesempatan dan ketika di mana perubahan itu berlaku juga penting.

Kedudukan dan peranan yang ada pada Anwar sekarang boleh dibandingkan dengan apa yang dilakukan Tunku Abdul Rahman dalam perjuangan kemerdekaan pada 1957. Meskipun Tunku bukan orang yang memulakan proses itu beliau memainkan peranan kritikal dalam memulakan enjin yang kemudian membawa kepada kemerdekaan.

Meskipun ada pihak – termasuk Raja-Raja Melayu – yang skeptikal dengan perjuangan itu Tunku tetap tegas. Ini kerana beliau tahu peluang seperti itu tidak mungkin datang lagi. Seperti yang kita tahu tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua menyediakan senario cukup subur untuk kemerdekaan; bukan sahaja di Malaya tetapi juga di seluruh dunia.

Mengatakan Anwar sama dengan Tunku akan menyebabkan penyokong tegar Barisan Nasional naik angin. Tetapi saya fikir kemampuan Anwar adalah kenyataan dan mengakuinya samalah seperti meramalkan bahawa pasukan-pasukan pilihan tertentu akan jadi juara Piala Dunia kali ini. Mengatakan bahawa Afrika Selatan akan jadi juara Piala Dunia 2010 akan menyebabkan orang ketawa. Kita perlu objektif.

Apa yang Malaysia perlukan sekarang bukan perlembagaan atau sistem baru kerana semuanya sudah baik. Apa yang jadi masalah ialah pemandu tidak cekap. Ini hanya boleh dibetulkan rakyat melalui pilihan raya. Di sinilah pentingnya peranan Anwar untuk membawa kemerdekaan kedua.

Minggu lalu Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mendakwa, SPR cuba melambatkan pendaftaran pengundi baru. Sama ada dakwaan itu betul atau tidak kita kena halusi bukti-bukti yang Ahli Parlimen PJ Utara itu kumpulkan. Tetapi itu bukan perkara baru kerana sewaktu mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir begitu gabrah menghadapi Pilihan Raya 1999 selepas Anwar dipecat hampir 700,000 pengundi baru tidak dapat mengundi dan ia membantu pentadbiran Mahathir kekal berkuasa.

Ketika ini kita menyaksikan apa yang dipanggil sebagai politik baru dan Anwar nampak begitu selesa memainkannya. Sebab itu Nik Abdul Aziz mengambil langkah untuk menyokong Anwar walaupun tokoh-tokoh kanan dalam Pas yang lain belum tentu senang hati dengannya.

* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun.

Isnin, Mei 03, 2010

Umno-BN Mahu Terus Laksana GST

Oleh Halik Zaman

Perhimpunan membantah perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan mendapat halangan dari pihak berkuasa. Kerajaan Umno-BN. Pastinya atas arahan ‘orang atasan’ dan ‘orang atasan’ itu pastinya yang mewujudkan sistem kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Bila dikatakan cukai semua pihak akan terlibat siapa yang dinamakan rakyat.

Jika di lihat secara logik, apa perlunya di laksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini. Yang lebih mendukacitakan, rakyat Malaysia yang harus memikul segala tunggak bebanan cukai ini di bahu setiap rakyat. Rakyat yang miskin juga terlibat secara tidak langsung.

Mengapa sistem sebegini diwujudkan untuk menyusahkan rakyat? Apakah ini selaras dengan slogan kebanggaan Umno yakni, 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'? Ini bererti pencapaian kerajaan yang sudah mula diutamakan dan bebanan rakyat memikulnya didahulukan. Tidakkah begitu?

Para Menteri dan Timbalan Menteri memanglah tidak terasa akan bebanan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini, kerana golongan Pak-Pak Menteri dan Timbalan Menteri tidak pernah kenal erti cukai dalam hidup mereka kerana gaji mereka cukup lumayan untuk menanganinya cukai pendapatan.

Kenapa mereka tidak mewah kalau tol percuma, 'road-tax' pun mereka tidak bayar, pembantu rumah, tukang kebun, elaun rumah, elaun keraian semua dibayar dari wang rakyat. Jadi, perlaksaan cukai ini tidak memberi makna kepada kehidupan mereka.

Beza antara kehidupan golongan atasan dan rakyat bawahan memang terlalu amat ketara. Yang indah-indah semuanya kepunyaan golongan atasan manakala segala kepayahan dimiliki sepenuhnya oleh rakyat marhaen. 

Rintihan dan tangisan orang kampung juga perlu kerajaan Umno-BN ambil kira sebelum menaikkan cukai.

Sepatutnya setelah mereka dapat mandat dari rakyat yang mengundi kerajaan Umno-BN sehingga mereka selesa di kedudukan masing-masing, janganlah di bebankan lagi rakyat yang telah banyak berjasa pada Pak-Pak Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri ini.

Apakah mereka sudah terlalu 'senile' untuk mengetahui bahawa perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini banyak menjejaskan scenario ekonomi rakyat Malaysia? Walau apa pun alasan yang bakal di berikan oleh pihak kerajaan Umno-BN, ianya tetap dan akan terus menjadi keluh-kesah rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Sesuatu yang paling di kenalpasti, setiap tekanan yang ingin di kenakan kepada rakyat, pastinya di laksanakan selepas setiap PRU atau PRK. Kalau rasa Umno-BN terlalu berpengaruh, mengapa tidak berani melaksanakan sebelum PRK Hulu Selangor baru-baru ini? Umno-BN tidak begitu gusar dengan PRK Sibu memandangkan BN menguasai 90% pegangan di negeri itu.

Apakah perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini merupakan hadiah istimewa buat semua rakyat terutamanya rakyat Selangor yang telah menghadiahkan kemenangan kepada BN di PRK Hulu Selangor baru-baru ini ?

Makanya, jangan hairan jika berlakunya sekali lagi gelombang tsunami politik di negara ini kelak. 

Makanya jangan marah jika terpaksa melepaskan kedudukan yang digenggaman anda sekarang ini andai rakyat berubah hati.

Tentu rakyat nak tahu apakah erti cukai barangan itu? Ertinya semua keperluan rakyat dikena cukaikan oleh kerajaan Umno-BN. Apakah ertinya cukai perkhidmatan? Ertinya semua perkhidmatan bas tambangnya naik, tambang taxi naik, tambang keretapi naik, tambang pengangkutan naik dan tambang kapal terbang naik. Siapa yang pikul beban ini kalau bukan rakyat?

Ahad, Disember 20, 2009

PR, jangan pandang belakang

Oleh :

Kalau menyertai konvensyen PR, 19 Dis di MBSA boleh dimasukkan sebagai pengalaman peribadi, saya tidak malu untuk berkata itulah pengalaman politik peribadi paling manis. Apa yang berlangsung itu melangkaui ufuk pemikiran orang politik biasa, apatah lagi musuh politik PR.

Masakan tidak. PAS dan DAP yang lebih dewasa daripada PKR meranduk sawah politik Malaysia ada sejarah ‘kelabu’ yang tersendiri. Sejarah kelabu itulah yang dicanang sehingga kini oleh Umno / BN untuk menidakkan muafakat antara PAS dan DAP.

Usah disebut lagi, usah diulang lagi sejarah kelabu itu. Biarkan dia berlalu. Biarkan sejarah merakamnya dan anak cucu kita membacanya. Cuma, kita ingatkan mereka supaya jangan mengulangi sejarah kelabu itu sama seperti kita tidak mahu menyebutnya lagi pada hari ini.

Ungkapan Karpal dalam ucapannya menjadi pengunci mati sejarah kelabu itu. “… saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi hari ini”. Ucapan Tok Guru juga ada signifikannya, “Saya nampak ada bulan di dada Karpal”.

Mereka yang tidak dapat merasai kemanisan konvensyen kelmarin adalah mereka yang mati sensitiviti politiknya, walau pun dia mengaku dia adalah anggota ‘gerakan Islam’.

PR tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Kita melangkah dengan harapan politik baru. Bukan politik perkauman senget, sempit dan songsang dendangan dan warisan Umno / BN.

Biarkan Umno dengan ratib Melayunya. Orang Melayu kehilangan biasiswa, kehilangan bumi, kehilangan bahasa, kehilangan wibawa, kehilangan harga diri, Umno masih juga terhinggut-hinggut dengan ratibnya.

Melayu rosak dan hilang bukan kerana DAP. Melayu rosak dan hilang kerana Umno, kerana politik perkauman senget, sempit dan songsang Umno. Umno menipu orang Melayu dengan ‘dacing kandar’ nya itu.

Betul, Umno memang membela Melayu tetapi Melayu atasan, Melayu elit, Melayu di sekeliling pinggang pemimpin Umno. Melayu marhaen termasuk pengundi Umno di desa tiada tempat dalam kamus pembelaan Umno. Ketika Melayu merempat ini pun, Umno masih juga meratib ‘Melayu’. Poooraahhh…

PR mesti memberi fokus kepada agenda pelaksanaan dasarnya. Jangan menoleh lagi. Teruskan perjalanan, tukar gear satu demi satu. Berhenti sekejap bila bertemu lampu isyarat kemudian terus semula perjalanan. Jangan fikir untuk berpatah balik. Lupakan sekejap gear undur itu.

Cuma jangan ditanggal gear undur. Bila berhadapan tembok, undur sedikit, jangan undur terus. Kemudian sambung semula perjalanan ke hadapan.

Jangan bimbang rakyat bersama kita selama mana kita bersama mereka. Dan, mereka tetap akan bersama kita sekiranya kita bukan sekadar membawa harapan tetapi membawa sinar kepada kehidupan mereka.

Anwar Melayu, Abdul Hadi Melayu, Karpal Singh Benggali, Kit Siang Cina, Guan Eng Cina, persetankan itu semua. Bangsa dan darah keturunan bukan urusan kita. Darah kita sama merah dan kita semua adalah manusia.

Melayu tak akan hilang kemelayuannya sama seperti Cina dan Benggali. Tetapi kita boleh kehilangan kemanusiaan apabila kita menindas mereka yang sepatutnya dibela. Hari ini dan kelmarin, dan tidak mustahil besok juga, rakyat pernah merasai mereka diperlakukan seperti ‘kaldai penanggung barang’ oleh Umno.

Apa buktinya? Salah satu ialah GST. Semua akan merasai perit GST tanpa mengenal Melayu, Cina atau Benggali. GST ini bikinan siapa kalau bukan parti berkuasa hari ini, Umno?

Anwar Islam, Abdul Hadi Islam, Nik Abdul Aziz Islam. Karpal Singh, Kit Siang, Chua Jui Meng bukan Islam. Takdir Tuhan mereka dilahirkan daripada rahim ibu masing-masing yang menganut agama masing-masing.

Justeru kelainan agama itu urusan kitakah? Tidak, itu urusan Tuhan Pencipta kita. Tuhan lebih mengetahui tindakan-Nya. Dia lebih maklum hikmah di sebalik itu semua.

Kewajipan kita kini ialah menampilkan kerahmatan Islam. Pada hari ini, di Malaysia, jangankan orang bukan Islam, orang Islam sendiri pun tidak dapat menikmati sepenuhnya kerahmatan Islam itu. Orang Islam tidak dapat merasai nikmat kewujudan ratusan masjid, apatah lagi orang bukan Islam.

Siapa yang memerintah negara ini selama ini? Bukankah Umno yang mengaku menjadi tulang belakang BN?

Kalau ada orang bukan Islam yang tidak senang dengan Islam, itu kerana mereka tidak merasai kemanisan rahmat Islam. Mereka mendapat maklumat mengenai Islam daripada sumber yang salah. Sumber itu ialah Umno.

Tak percaya? Cuba baca kenyataan Ketua Penerangan Umno tahun 2009 yang berfikiran macam orang yang hidup pada abad ke 17.

“… perasaan orang Melayu dan Islam terhiris dengan tindakan pemimpin DAP dan PKR yang mempermainkan ayat al-Quran dengan membacanya demi menarik sokongan pengundi…”

Saya tidak percaya pada zaman ini ada lagi orang seperti ini. Hah… Orang bukan Islam tak boleh baca ayat al-Quran? Woi, siapa ajar kamu begitu…? (Baca sini).

Kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi, saya dan kami bangga dan berterima kasih setinggi-tingginya. Kebijaksanaan kedua-dua Tuan Guru adalah jasa terbesar kepada anak cucu kami dan kita, anak cucu Karpal dan Kit Siang juga.

Kerana mereka mendapat gambaran benar mengenai Islam sebagai rahmat untuk semesta alam. Kalau pun mereka mungkin menemui Tuhan dalam keadaan tidak menerima Islam, sekurang-kurangnya mereka dapat merasai nikmat rahmat Islam di dunia ini. Bukankah itu lebih baik daripada tidak mendapat langsung?

PR, jangan pandang belakang lagi. Kita berasa di atas landasan yang betul. Persetankan suara anjing yang menyalak di kiri kanan perjalanan kita. Galaslah harapan kami ini kerana kami telah berputus harap kepada Umno.


Rabu, September 16, 2009

Api dalam sekam membakar BN

Oleh : Penarik Beca

Walaupun MIC hari ini membuat keputusan menggantung keahlian seorang perwakilannya ke mesyuarat agung parti itu Ahad lalu yang mencadangkan kalungan selipar diletakkan di potret Tun Dr Mahathir Mohamad (lihat berita Malaysiakini hari ini "MIC gantung perwakilan isu selipar"), tetapi api dalam sekam terus menyala di dalam Barisan Nasional (BN).

Semalam, seolah-olah membela tindakan tambi selipar itu, anak lelaki Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, Vell Paari berkata, tindakan itu adalah semata-mata luahan kekecewaan terhadap Dr Mahathir dan pihak-pihak lain yang cuba campur tangan dalam urusan dalaman MIC.

Malah, Vell Paari juga membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila berkata:
"Para perwakilan juga kecewa dengan ucapan Najib (ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 Sabtu lalu) yang tersirat kritikan terhadap Presiden MIC dan menggesa dilakukan perubahan di dalam parti, seolah-olah beliau mahu pasukan presiden dikalahkan" (lihat berita Malaysiakini semalam "Vell Paari: Delegates were frustrated with outside snipes").
Api dalam sekam bukan sahaja menyala-nyala di dalam MIC. Dalam berita Malaysiakini hari ini bertajuk "Ong a 'closed-door Umno-bashing hero'," Timbalan Presiden MCA yang dipecat, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendedahkan:
"He (MCA President, Datuk Seri Ong Tee Keat) has been indulging in closed-door Umno bashing. I have openly challenged him not to do this. Be brave to say: 'I, Ong Tee Keat, is the only MCA president brave enough to defy the prime minister and deputy prime minister'.

"But he never took up my challenge and that is why he hates me for that... Don't be a hero to your own members behind closed doors. It doesn't serve any purpose. Whether he likes it or not, he is part of the coalition partner in BN"
Walaupun Ong angguk-angguk di hadapan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Umno, tetapi di belakang gerombolan itu, dia geleng-geleng dan menggetap gigi.

Satu lagi perkara: Kepada tahanan-tahanan ISA yang dibebaskan hari ini, jangan ucapkan terima kasih. Terus tanya depa, kenapa tahan kami tanpa bicara. Tiada tolak ansur terhadaop penahanan tanpa bicara!

Sabtu, September 05, 2009

UMNO sedang bermain politik dengan Allah SWT


Oleh : Pemburu Syahid

Sejak Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu, pelbagai peristiwa berkaitan politik telah berlaku di tanahair kita. Aku cuma ingin berkongsi pendapat dengan hangpa tentang suatu perkara yang aku panggil "politik Allah swt terhadap UMNO".


Ketika mana UMNO mengalami kekalahan memalukan dalam Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu, Pakatan Rakyat mendakwa di antara faktor kekalahan UMNO dan kemenangan PR adalan Anwar Ibrahim.

UMNO menafikan faktor ini sehinggakan Pak Lah sendiri menyindir di TV - "Siapa Anwar? Saya tak berapa ingat siapa Anwar nih". Begitulah lebih kurang kata kata Pak Lah.

Allah swt jawab keegoan Pak Lah dan UMNO dengan menggerakkan hati Dr Wan Azizah untuk meletakkan jawatan sebagai MP Permatang Pauh dan Anwar bertanding di situ.

Macam macam UMNO buat di Permatang Pauh untuk memburuk-burukkan Anwar. Namun, Anwar tetap menang. Malah, Anwar menang besar melampau lampau majoritinya. Maknanya, Allah swt nak tunjuk bahawa Anwar memang merupakan di antara faktor kemenangan PR dan kekalahan UMNO.

Tapi UMNO tetap ego. Maka, melalaklah UMNO sana sini kononnya Permatang Pauh adalah kubu Anwar.

Allah swt jawab keegoan UMNO dengan mematikan MP Kuala Terengganu. Kerusi Kuala Terengganu adalah kerusi milik UMNO dan seingat aku pembangkang cuma menang dua kali jer. Sekali oleh Semangat 46 dan sekali oleh PAS. Yang lain rasanya semua UMNO yang menang. Maknanya, kerusi tu kubu UMNO.

Allah swt nak tunjukkkan kat UMNO, nih Kuala Terengganu kerusi hangpa. Hangpa tetap akan kalah. Rakyat memang tolak hangpa.

Maka, berlangsunglah PRK Kuala Terengganu. Alhamdulillah, PAS berjaya merampas kerusi itu dengan majoriti membanggakan. Sah, rakyat tolak UMNO.

Malangnya, UMNO tetap ego. Kononnya, kekalahan di Kuala Terengganu adalah akibat daripada agresifnya penyokong PAS sehinggakan maklumat UMNO gagal sampai kepada pengundi.

Tak lama kemudian, berlakulah rampasan kuasa paling hina di Perak. UMNO menubuhkan kerajaan "luar tabi'e" apabila melompatnya 3 ekor kata setelah termakan umpan katak Bota.

Rakyat mahukan hak memilih ADUN di kembalikan. Banyak pihak menuntut pilihanraya kecil diadakan di seluruh Perak. Namun, UMNO enggan. Malah, UMNO dengan penuh keegoan mendakwa rakyat Perak bersama sama mereka.

UMNO memfitnah dan memburukkan Ir Hj Nizar semahu mahunya. UMNO menggambarkan Pakatan Rakyat di Perak sebagai penderhaka Sultan dan dituduh menyokong komunis.

Allah swt jawab keegoan UMNO dengan mematikan MP Bukit Gantang dari PAS. Kerusi Bukit Gantang adalah kerusi UMNO sejak merdeka. PAS hanya baru kali pertama menang kerusi itu ketika Pilihanraya Umum Ke 12.

Maknanya, Allah swt nak tunjuk kepada kita khususnya kepada UMNO bahawa UMNO ditolak oleh rakyat walau apa sekalipun dalih UMNO.

Maka, Allah swt mentaqdirkan Ir Hj Nizar yang dituduh sebagai penderhaka dan komunis itu menjadi calon PAS. DUN Changkat Jering juga berada di bawah Parlimen Bukit Gantang.

Secara tidak langsung juga, PRK Bukit Gantang berjalan serentak dengan dua lagi PRK iaitu PRK Bukit Selambau di Kedah dan PRK Batang Ai di Sarawak.

Dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang, Allah swt mahu menunjukkan beberapa perkara :-

Pertama - adakah benar pengundi DUN Changkat Jering telah beralih menyokong BN?

Kedua - adakah orang Melayu terpengaruh dengan fitnah UMNO terhadap Ir Hj Nizar dan Pakatan?

Ketiga - adakah benar rakyat masih mahukan UMNO?

Keempat - adakah benar rakyat telah menolak Pakatan khususnya PAS?

Kesemunya soalan itu berakhir dengan jawapan TIDAK. Pengundi DUN Changkat Jering tetap mengundi Pakatan. Maknanya, yang lompat hanya katak Changkat Jering. Sokongan tetap kepada Pakatan.

PKR pula berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Selambau walaupun terlalu ramai calon yang bertanding di situ. Batang Ai, tetap milik BN.

Malangnya, BN tetap ego. Tetap tak nak mengaku kelemahan.

Allah swt sekali lagi mahu menunjukkan kepada UMNO bahawa UMNO sudah hampir expired. Maka, berundurlah ADUN Penanti.

UMNO bukan setakat kalah tapi terus tak bertanding. Hanya berani letak proksi jer di Penanti. Maknanya, terbukti Anwar adalah faktor kekalahan UMNO dan kemenangan Pakatan.

Punyalah ego UMNO nih, tak mengaku jugak lagi. UMNO tetap dakwa partinya telah diterima semula oleh rakyat Malaysia. Dalam masa yang sama, PAS pun dah mula nak tergelincir daripada kesucian perjuangannya.

Allah swt matikan pula ADUN Manek Urai. ADUN itu ADUN PAS dan Manek Urai letaknya di Kelantan yang ditadbir oleh PAS sejak tahun 1990 lagi.

Pertama - Manek Urai tidak ada kaitan dengan Anwar Ibrahim. Kedua - Manek Urai kerusi PAS di negeri PAS.

Iktibarnya adalah kepada UMNO dan PAS secara sekaligus.

UMNO tabur macam macam di Manek Urai manakala PAS pula macam main main jer. Bila keluar keputusan, PAS menang walaupun nyawa nyawa ikan. Cedera parah PAS di Manek Urai walaupun menang.

Maknanya, Allah swt nak tunjuk kepada UMNO bahawa UMNO dah tak relevan dan nak beri peringatan kepada PAS supaya jangan tertipu dengan kemenangan dan ghanimah.

Oleh kerana berjaya mencedera parahkan PAS di Manek Urai, maka UMNO pun naik tocang. Dijaja sana sini bahawa rakyat sudah menolak Pakatan dan telah kembali menyokong UMNO/BN. Punyalah seronok sampai lupa nak bersyukur.

Allah swt sekali lagi nak tunjuk kat UMNO bahawa rakyat tak undi PAS di Manek Urai bukan sebab rakyat telah kembali menyokong UMNO tetapi kerana rakyat kurang berpuas hati dengan PAS. Maka, dimatikanlah ADUN tunggal PAS di Pulau Pinang.

ADUN Permatang Pasir itu telah menjadi ADUN selama 3 penggal iaitu sejak tahun 1999 dan tidak kalah kalah di negeri majoriti Cina itu.

PRK Permatang Pasir adalah medan untuk Allah swt tunjukkan kepada UMNO bahawa UMNO tetap ditolak dan politik perkauman UMNO sudah tidak ada tempat lagi di negara ini.

PAS, menang lagi. Majoriti turun bukan kerana pengundi tolak PAS tetapi kerana faktor hari pengundian dan sebagainya. Tersungkur lagi UMNO. Bukan Islam dan umat Islam berganding tangan menguburkan UMNO di Permatang Pasir. Yang tidak berubah hanyalah UMNO.

Tu pun UMNO tak reti lagi. Maka, diberilah pelbagai alasan dan teori bagi menutup "kemaluan besar" UMNO.

Berlaku pula peristiwa Kota Siputeh. Layak untuk diadakan pilihanaraya kecil tetapi UMNO telah menunggang SPR bagi menafikan hak pengundi Kota Siputeh.

DUN Kota Siputeh adalah milik UMNO tetapi negeri Kedah sekarang ini milik Pakatan dengan diketuai oleh PAS. UMNO hampir hampir gila babi dibuatnya jika PRK Kota Siputeh menjadi kenyataan.

Kota Siputeh boleh dianggap sebagai penanda sama ada UMNO penakut atau berani. Jika UMNO berani menghadapi PRK Kota Siputeh, maknanya, UMNO sudah bersedia untuk PRU Ke 13. Jika UMNO tidak berani menghadapi PRK Kota Siputeh, maknanya, UMNO memang dah nak mampos.

So, bila SPR umumkan Kota Siputeh kekal ditangan UMNO, ertinya UMNO penakut nak mampos.

Gegak gempitalah sorak sorai UMNO kerana mampu mempertahankan DUN Kota Siputeh walaupun secara pondan dan "luar tabi'e".

Dan, sekarang, Allah swt matikan pula ADUN UMNO di negeri UMNO. ADUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan, mati sakit jantung. Maka, pastinya PRK di negeri UMNO untuk kerusi UMNO. Lawannya, PAS.

Let see adakah benar UMNO masih mampu berdiri atau UMNO sudah lama kena stroke atau adakah masih banyak perkara yang PAS perlu buat untuk menawan Negeri Sembilan.

Jika UMNO kalah di DUN Bagan Pinang, maka Pakatan bolehlah bersiap sedia untuk menguburkan UMNO/BN. Kubur dah gali. Nesan pun dah tempah. Hanya kain kapan jer belum potong.

So, sediakan apa yang perlu secara adatnya untuk memandikan jenazah kerana boleh jadi UMNO terkubur di Bagan Pinang.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...