Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyifatkan usul Umno-Barisan Nasional mengutuk rejim Zionis Israel dalam parlimen minggu lalu sebagai retorik politik semata-mata kerana hakikat sebenarnya Umno-BN mempunyi hubungan baik dengan negara haram itu.
Dr Wan Aziziah berkata Umno-BN tidak mempunyai kesungguhan untuk membantah tindakan kejam dan ganas tentera Zionis Israel bukan sahaja kepada rakyat Palestin tetapi juga ke atas konvoi misi kemanusiaan yang membawa bantuan ke Semenanjung Gaza kepada rakyat Palestin baru-baru ini.
"Hubungan mereka dengan Apco yang sudah jelas dan nyata dipertikaikan oleh rakyat masih lagi mereka teruskan. Begitu juga dengan membenarkan kapal dagang Israel yang berlabuh di pelabuhan negara ini adalah satu tindakan talam dua muka atau cakap tidak serupa bikin.
"Dalam satu situasi mereka mengutuk dan mengecam tindakan ganas Zionis Israel tetapi dalam satu situasi yang lain pula mereka bersekongkol dan membenarkan gerakan dan hubungan dengan Zionis Israel ini diadakan.
"Walaupun ianya adalah berkaitan dengan perdagangan dan ekonomi, ini tidak boleh dibenarkan. Hubungan yang sedia ada wajib segera dihenti dan ditamatkan segera. Jika benar kerajaan yang memerintah ini prihatin dan sensitif terhadap kezaliman yang telah dan sedang dilakukan oleh Zionis Israel sudah pasti mereka tidak mahu hubungan yang sedia ada dalam apa jua kondisi diteruskan,"kata Dr Wan Azizah kepada Suara Keadilan selepas majlis meraikan penduduk Junjung, Kulim di pejabat KEADILAN Ranting Junjung Sabtu lalu.
Berhubung isu lesen judi sukan bola sepak pula Dr Wan Azizah menempelak pihak kerajaan yang tidak telus dalam menyatakan pendirian mereka terhadap keputusan pemberian lesen judi sukan ini kepada syarikat judi, Ascot Sports Sdn Bhd.
"Inilah sikap mereka yang tidak mempunyai pendirian. Antara kalangan kepimpinan dalam kerajaan sendiri memperlihatkan keputusan yang telah dibuat dalam isu lesen judi sukan bola sepak ini tidak konsisten dan bercanggah.
"Mereka tidak berani untuk menyatakan pendirian. Pengerusi Berjaya Group mendakwa menerima kebenaran untuk menjalankan kegiatan judi sukan bola sepak sedangkan pihak kerajaan pula menafikannya.
"Ini sudah jelas kepada rakyat bahawa kerajaan Umno-BN yang sedang memimpin negara ini adalah sebuah kerajaan yang tidak berpendirian. Mereka boleh dibeli dalam apa jua cara. Jika ada yang menguntungkan maka itu akan diakui oleh mereka. Sekiranya ianya ditentang pengakuan tidak berani dibuat. Sebaliknya tuduhan akan dilemparkan kepada pihak lain," jelas beliau lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Lim Soo Nee dan Tan Show Kang.