Kerajaan Malaysia harus menggugurkan pertuduhan bermotif politik terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dengan segera, kata badan antarabangsa Human Rights Watch.
Pada 15 Julai 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan Anwar untuk membatalkan pendakwaan sodomi terhadap beliau, serta kes permohonan pihak peguambela memohon bukti-bukti dari tangan pendakwaan yang penting dalam menyediakan pembelaan.
Ini adalah kali kedua Anwar didakwa dibawah tuduhan liwat. Beliau merengkok dalam penjara selama enam tahun sebelum pertuduhan sodomi itu digugurkan Mahkamah Persekutuan pada 2004.
Human Rights Watch berkata pendakwaan hari ini bermotif politik dan tiada kredibiliti.
Kerajaan nampaknya enggan menyerahkan bukti-bukti utama kepada pihak peguambela, tergesa-gesa meluluskan Akta DNA yang melindungi pendakwaaan, dan meletakkan Anwar dalam keadaan tersepit dengan sewenang-wenangnya memindah kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Tambahan pula, kerajaan mengizinkan Peguam Negara, yang sedang disiasat kerana salahlaku dalam perbicaraan Anwar sebelum ini, terbabit dalam kes hari ini.
“Perbicaraan ini adalah usaha terdesak untuk menyingkirkan seorang pemimpin pembangkang dari politik Malaysia,” kata Timbalan Pengarah Human Rights Watch Asia, Elaine Pearson.
“Kerajaan cuba memanipulasikan sistem keadilan bagi tujuan politik,” tegas beliau.
Anwar dituduh melakukan hubungan seks bersama pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan,23, pada 26 Jun 2008. Walaupun pada awalnya ia difailkan dibawah kesalahan rogol, pihak pendakwaan tiba-tiba menukarnya kepada liwat suka-sama-suka. Saiful bagaimanapun tidak didakwa dibawah pertuduhan itu.
Sekiranya Anwar disabitkan kesalahan, Anwar terpaksa mengosongkan kerusinya di Parlimen dan tidak dapat bertanding dalam Pilihanraya Umum akan datang, yang dijangka berlaku sebelum 2012.
Peguambela memfailkan permohonan mengugurkan kes ini pada 15 Julai lalu dan berdasarkan kepada dua laporan perubatan. Tiga pakar dari Hospital Kuala Lumpur yang merawat Saiful berkata dalam laporan bertarikh 13 Julai 2008 bahawa “tiada kesan konklusif berlakunya tusukan kepada dubur atau luka pada tubuh pesakit”.
Seorang doktor di Hospital Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Kuala Lumpur yang juga merawat Saiful dua hari selepas hari kejadian juga berkata dubur Saiful adalah “normal”. Doktor itu melarikan diri dari Malaysia ekoran tekanan dari pihak tertentu supaya mengubah laporan beliau.
Tambahan pula, Pejabat Peguam Negara menafikan ia menyembunyikan sebarang bukti yang perlu dikongsi bersama pihak peguambela sepertimana yang ditetapkan dibawah Kanun Acara Jenayah.
Pihak peguambela menuntut pendakwaraya menyerahkan rakaman kamera litar tertutup, spesimen asal dari mana sampel DNA diperoleh, laporan ahli kimia, akuan bersumpah saksi dan penuduh, serta laporan perubatan.
“Mengemukakan bukti penting kepada pihak peguambela bagi membolehkan mereka merapikan pembelaan adalah keperluan asas untuk perbicaraan yang adil,” kata Pearson.
“Tindakan pihak pendakwaraya menyembunyikan bukti-bukti penting ini adalah petanda komplot politik,” tambah beliau.
Wibawa perbicaraan mula dipersoalkan selepas mahkamah pada 1 Julai lalu membenarkan keputusan Peguam Negara Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes ini dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini berkata Gani tidak boleh terbabit dalam perbicaraan ini kerana terbabit dalam tuduhan memalsukan bukti dalam kes Anwar 1998.
Pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi menipiskan peluang pihak pembelaan untuk merayu ke mahkamah yang lebih tinggi sekiranya Anwar disabitkan kesalahan.
Hakim Mahkamah Sesyen Komathy Suppiah berkata “jelas sekali sebarang pembabitan Peguam Negara dalam kes ini akan menghakis keyakinan oragn awam kepada sistem keadilan”.
Mahkamah Tinggi menolak keputusan Hakim Komathy dan beralasan Gani tidak terbabit secara langsung kerana hanya meluluskan pemindahan itu semata-mata.
Akta DNA yang diluluskan baru-baru ini membolehkan sampel DNA yang dimanipulasikan dalam perbicaraan 1998 dibawa ke perbicaraan hari ini.
“Kerajaan Malaysia harus berhenti memperkuda mahkamah untuk dendam politik,” kata Pearson.
“Sehingga ia mengugurkan semua tuduhan terhadap Anwar, maka reputasi kerajaan Malaysia akan tercemar,” tambah beliau.
Baca Artikel asal disini...