BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Jumaat, Februari 25, 2011

Kenyataan Akhbar Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat

Kami, para Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bermesyuarat bersama para Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat pada hari ini 23 Februari 2011 di Kuala Lumpur, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan berikut:

1. Pimpinan negeri Pakatan Rakyat terus komited untuk memimpin dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebagaimana dipersetujui dalam Resolusi Shah Alam sempena Persidangan Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat November lepas;

2. Sehubungan dengan itu, kita akan meneruskan Sekretariat Bersama negeri-negeri Pakatan Rakyat yang telah ditubuhkan demi memperkukuhkan kerjasama di antara negeri Pakatan Rakyat dan menggembeling sumber dan kepakaran. Sekretariat ini akan memberikan penumpuan kepada 5 aspek utama iaitu Pelaburan, Kerajaan tempatan, Pengurusan, Pengurusan Sumber Air, Pertanian dan Pelancongan.

3. Mengiktiraf usaha cemerlang yang dibuat oleh semua negeri-negeri Pakatan Rakyat selama ini sehingga mencatat kadar tertinggi pelabur asing di negara ini. Kami bersepakat menyusun kerangka strategi bersama bagi menarik pelaburan luar dalam projek-projek ekonomi. Negeri-negeri Pakatan Rakyat juga akan memanfaatkan dana benih 10 juta yang telah sumbangkan oleh Negeri Selangor bagi meningkatkan pelaburan di Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;

4. Menyedari kepentingan menghadapi serangan laporan negatif media terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat, suatu mekanisme bersama telah disepakati untuk menyalurkan berita di antara negeri Pakatan Rakyat di samping memberikan penerangan kepada massa mengenai dasar positif yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

5. Bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang semakin hampir, negeri-negeri Pakatan Rakyat bersetuju meningkatkan kerjasama dan perkongsian dari segi maklumat, jentera dan sumber bagi menjamin kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat di seluruh negara.


Selasa, Februari 22, 2011

KEADILAN desak hentikan pembunuhan ke atas rakyat Libya

KEADILAN mengutuk sekerasnya tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan pemerintah Libya ke atas rakyatnya yang turun ke jalan raya bagi mendesak pengunduran rejim diktator pimpinan Muammar Gaddafi.

Menyifatkan tindakan itu seolah melancarkan perang ke atas rakyatnya sendiri, Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty menggesa supaya pembunuhan tersebut segera dihentikan.

“Kami di KEADILAN menyokong tindakan rakyat mana-mana negara sekalipun yang bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap pemerintah yang zalim.

“Kebebasan bersuara merupakan hak asasi rakyat dan pemerintah bertanggungjawab memastikan bahawa hak yang dijamin masyarakat antarabangsa perlu dihormati dan dilaksanakan. Jelas sekali, pemerintah Libya secara terbuka telah mengisytiharkan perang terhadap rakyatnya sendiri,” kata Dr Manuty dalam satu kenyataan media.

Justeru itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya bersama mengambil tindakan untuk menghentikan penindasan dan kezaliman ke atas rakyat Libya.

“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali(NAM), Pertubuhan Pesidangan Islam (OIC) dan Liga Arab tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh membiarkan rakyat Libya terus dibunuh pemerintahnya sendiri.

“Kami juga mendesak kerajaan Malaysia yang menganggotai PBB,NAM,OIC supaya mengambil tindakan tegas menangani isu-isu seperti itu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, KEADILAN yakin bahawa rakyat Libya berupaya menentukan nasib mereka  tanpa campur tangan mana-mana pihak yang berkepentingan.

Libya kini berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya yang mendesak pengunduran Muammar Gaddafi, menyebabkan pemerintah mengambil tindakan mengarah pasukan keselamatan menembak ribuan penunjuk perasaan.

Kemuncakan kezaliman tersebut apabila pihak berkuasa di negara itu mengebom penunjuk perasaan semalam
Sehingga kini seramai 400 orang dilapor terbunuh.

Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling keras antara negara Arab, berbanding tindakan menggulingkan pemimpin Tunisia dan Mesir awal tahun ini.

KEADILAN sedia bekerjasama dengan MCLM hadapi pilihan raya

KEADILAN sedia bekerjasama dengan Pergerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM) sekiranya ia memenuhi garis panduan serta dasar yang  ditetapkan parti itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Namun, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli berkata calon MCLM perlu menyertai KEADILAN terlebih dahulu sekiranya mahu bertanding atas tiket parti berkenaan.

“Kami mahu individu tersebut berkebolehan untuk menjadi Ahli Parlimen berkualiti dan calon yang baik di peringkat bawah bersama jentera parti.

“Calon itu akan dimasukkan dalam kumpulan calon KEADILAN sekiranya mahu bertanding atas tiket parti,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Rafizi memberitahu langkah itu untuk mengelakkan calon daripada melompat parti apabila memenangi pilihan raya seperti yang berlaku sebelum ini.

“Kami tidak mahu calon itu akan dipengaruhi perkara lain dan mereka mesti melalui proses yang betul supaya tidak timbul sekali lagi pengalaman yang menyakitkan dalam isu ini.

“Sekiranya mahu lalui pengalaman sama, saya rasa tidak pintar dan tak adil untuk parti dan juga pakatan rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengulas sokongan rakyat Sarawak bagi menghadapi pilihan raya negeri itu akan datang, Rafizi memberitahu Pakatan Rakyat (PR) kini berada dalam zon selesa kerana mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat negeri itu.

“Kami mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Sarawak dan berharap sokongan akan berterusan untuk hadapi pilihan raya nanti.Walaupun masih terdapat beberapa kerusi yang kita perlu uruskan, namun saya pasti akan dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Skandal Pulau Jerejak: Guan Eng desak Tsu Koon bayar balik RM30 juta

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mendesak mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon supaya bertanggungjawab terhadap skandal Pulau Jerejak yang menyebabkan kerugian sebanyak RM30 juta kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Mengulas isu yang semakin meruncing ini, Lim menggesa Tsu Koon supaya membayar balik wang yang telah merugikan rakyat semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan beliau dahulu.

Lim berkata, kini telah tiba masanya bagi kerajaan negeri pimpinan beliau menuntut kembali wang rakyat yang telah hilang tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakyat maupun kerajaan negeri ini.

"Kerajaan negeri telah membuat keputusan meminta Tsu Koon supaya menebus kembali nilai kerugian yang dialami sebanyak RM30 juta demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Sebagai seorang menteri kabinet yang bertanggungjawab terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang profesional maka adalah tanggungjawab beliau untuk mengarahkan syarikat UDA untuk memulangkan kembali wang skandal Pulau Jerejak kepada rakyat negeri ini, " tegas Lim.

Sebelum ini isu penyelewengan skandal penyerahan tanah Pulau Jerejak kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan operasi perjalanannya kepada Tropical Island Resort (TIR) telah berlaku semasa Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Manakala nilai kerugian melibatkan premium tanah berjumlah RM10.6 juta bagi 32 hektar tanah di Pulau Jerejak tidak dibayar kepada kerajaan negeri walaupun Tsu Koon telah memberikan geran tanah.

Selain dari itu, kos pelaburan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejumlah RM15.44 juta kepada TIR tidak mendapat pulangan kerana syarikat tersebut tidak mendapat keuntungan.

Pinjaman oleh PDC berjumlah RM3.6 juta kepada TIR antara tahun 1992 sehingga 2007 selepas penyerahan Pulau Jerejak kepada UDA juga belum dijelaskan sehingga kini.

Skandal yang dibongkar ini sepatutnya mendapat perhatian SPRM dan juga pihak berkuasa supaya penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku sentiasa memberi keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa.

Siapa terima 1.5 bilion saham khas Bumiputra

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail menyeru Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan sepenuhnya penerima 1.5 bilion saham khas Bumiputra yang diagihkan dalam tahun 2010.

Mustapa juga, katanya diminta mengumumkan rombakan mekanisme dan penambahbaikan kepada sistem agihan dan pemantauan saham khas Bumiputra untuk mengelakkan penyelewengan yang mengakibatkan kehilangan RM52 bilion saham Bumiputra tidak berulang.

Oleh itu, tegasnya mekanisme yang sama yang telah menyebabkan kerugian RM52 bilion saham Bumiputra ini perlu dirombak sama sekali.

“Saya akan membawa perkara ini dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang untuk memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban pihak-pihak yang terbabit,” ujarnya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, KEADILAN ingin menarik perhatian rakyat kepada pengumuman terbaru yang dibuat oleh Mustapa Mohamad mengenai pengagihan saham khas bumiputra melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Mustapa menyatakan bahawa kerajaan Umno BN telah berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputra dalam sektor swasta ke aras 22%; sebahagian besarnya melalui pengagihan saham khas bumiputra yang dilaksanakan oleh kementerian beliau.

Katanya, rakyat sudah tentu merasa janggal apabila kerajaan Umno BN mendabik dada apabila hanya berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputra ke tahap 22% dalam tahun 2011, sedangkan ia gagal mencapai sasaran 30% yang ditetapkan untuk tahun 1990.

Tambahnya, selepas 21 tahun dan penyelewengan saham berjumlah puluhan bilion ringgit atas nama Melayu dan Bumiputra, kini Umno BN tidak lagi memikirkan persoalan maruahnya dan akan sanggup mendabik dada walau sekelumit mana pun peningkatan ekuiti Bumiputra.

Walau bagaimana pun, ujarnya kebimbangan sebenar KEADILAN adalah berhubung pengurusan agihan saham khas Bumiputra memandangkan skim agihan yang sama telah menyebabkan sejumlah RM52 bilion dari RM54 bilion saham yang diagihkan kepada Bumiputra lesap begitu sahaja, seperti yang diakui Perdana Menteri sendiri.

Menurutnya, dalam tahun 2010 sahaja, sebanyak 1.5 bilion saham dari 18 tawaran awam permulaan diagihkan kononnya kepada pelabur Bumiputra.

Tahun 2010 juga, ujarnya menyaksikan apungan saham yang terbesar akhir-akhir ini, termasuklah yang melibatkan Petronas Chemical Group Berhad pada harga tawaran RM5.05 setiap saham dan Malaysian Marine and Heavy Engineering Holding Berhad pada harga tawaran RM3.61 setiap saham.

Beliau menambah, jika sebahagian besar dari 1.5 bilion saham yang diagihkan kepada pelabur Bumiputra itu datangnya dari saham-saham syarikat Petronas, maka saham yang bernilai berbilion ringgit telah pun diagihkan kepada pelabur-pelabur yang berselindung di belakang nama Bumiputra.

“Mekanisme agihan inilah yang telah gagal sebelum ini hingga mewujudkan budaya politik naungan yang mencari jalan mudah mendapatkan saham dengan berselindung di sebalik alasan mencapai sasaran 30% ekuiti Bumiputra.

“Akhirnya, berpuluh-puluh bilion ringgit saham yang diagihkan kepada individu-individu berkepentingan dijual dengan segera untuk mendapatkan kekayaan mudah, lalu mewujudkan golongan elit kaya Melayu yang sebenarnya menjadi kaya dengan menindas orang Melayu terbanyak,” ujarnya.

Beliau percaya bahawa teras pengupayaan ekonomi Bumiputra perlu beralih dari kegilaan mencapai sasaran 30% ekuiti kepada fokus untuk meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga Bumiputra.

Mereka, ujarnya membentuk 75% daripada anggaran 11 juta rakyat termiskin di negara ini yang hanya mendapat pendapatan bulanan purata sebanyak RM1,500 sebulan sahaja.

“Kegilaan dengan 30% sasaran ekuiti seperti yang dimainkan Umno BN tidak akan berjaya menangani kemelut ekonomi rakyat terbanyak Bumiputra dan akan terus disalahgunakan oleh golongan elit pemerintah dan niagawan,” katanya.

NGO antarabangsa dedah 49 firma kepunyaan Taib Mahmud

Sebuah NGO berpengkalan di Switzerland, Bruno Manser Fund (BMF) mengeluarkan senarai 49 firma milik Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud di seluruh dunia.

Senarai itu termasuk 13 syarikat di Malaysia, 10 di Australia, sembilan di Kanada, tujuh di Hong Kong, empat di Amerika Syarikat, tiga di British Virgin Islands, satu di pulau Jersey dan dua lagi di United Kingdom.

“Tujuan senarai ini adalah untuk membantu pihak berkuasa pencegahan rasuah dan pengubahan wang haram di negara-negara berkenaan mengenal-pasti dan membekukan aset Taib,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

Memetik laporan Malaysiakini, senarai itu disiar di lawan-laman web anti rasuah dan dikemaskini dari semasa ke semasa. BMF juga melancarkan petisyen mendesak pihak berkuasa di negara-negara terbabit menyiasat kewangan Taib dan keluarganya, selain membekukan aset.

Selain Malaysia, petisyen itu dihantar ke Australia, Kanada, Hong Kong, United Kindom dan Amerika Syarikat serta Kumpulan  Pengubahan Wang Haram Asia Pasifik yang mempunyai keahlian 139 negara.

Antara syarikat Malaysia yang disenaraikan termasuk Borsarmulu Resort Sdn Bhd, Cahya Mata Sarawak Sdn Bhd, K&N Kenanga, Kumpulan Parabena Sdn Bhd, Mesti Bersatu Sdn Bhd, Sarawak Energy Bhd, Naim Holdings dan Kumpulan Ta Ann.

Sesetengah syarikat berkenaan dimiliki kerajaan negeri dan projek yang disokong kerajaan negeri seperti Royal Mulu Resort dan empangan Murum.

Sebahagian besar firma yang disenaraikan itu membabitkan syarikat yang terbabit dalam perniagaan hartanah, termasuk Sakti International Corporation Incorporated, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Sabtu, Februari 19, 2011

Pertumbuhan Ekonomi 2010 : Malaysia terus terkebelakang berbanding jiran

Pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.2% yang dicatatkan negara pada tahun 2010 perlu dikaji dengan lebih dekat untuk memahami keseluruhan implikasinya.

Angka 7.2% perlu dibandingkan dengan pencapaian jiran-jiran kita dan bukannya dinilai secara bersendirian. Singapura dan Indonesia contohnya masing-masing berjaya mencatatkan pertumbuhan 14.5% dan 6.1% dalam tahun 2010. Kedua-dua jiran kita ini mengatasi pertumbuhan Malaysia; apatah lagi apabila pertumbuhan Indonesia adalah berdasarkan angka pertumbuhan asas yang lebih tinggi kerana Indonesia tidak mengalami penguncupan ekonomi dalam tahun 2009 seperti mana Malaysia dan Singapura.

Pertumbuhan 14.5% yang dicatatkan Singapura disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkilangan pada kadar 29.7% pertumbuhan tahunan. Jika dibandingkan dengan Singapura, pencapaian kita malap dalam kedua-dua aspek – pertumbuhan ekonomi hanyalah separuh dari yang dicapai Singapura, sementara pertumbuhan sektor perkilangan pada kadar 11.4% hanyalah setakat satu pertiga pencapaian Singapura.

Penjelasan kedua-dua kerajaan dalam menerangkan perbezaan pertumbuhan sektor perkilangan ini adalah amat berbeza. Singapura menyatakan bahawa permintaan yang kukuh dari pasaran dunia memesatkan pertumbuhan sektor perkilangannya, sementara Malaysia pula menyalahkan pasaran dunia sebagai akibat kelembapan sektor perkilangannya – padahal kedua-dua negara sama-sama bergantung kepada barangan eksport dan pasaran dunia. Hakikatnya, barangan yang dikilang di Malaysia semakin hilang daya saingnya di pasaran dunia kerana kita tersekat di tangga nilai yang bawah dan terpaksa bersaing dengan negara-negara yang struktur kosnya lebih murah; sedangkan pesaing seperti Singapura terus menghasilkan barangan bernilai tinggi. Amaran mengenai masalah ini telah diberikan sejak sedekad yang lalu, namun tidak ada satu langkah yang berkesan yang diambil kerajaan selain dari retorik politik yang dibayar oleh rakyat.

Pertumbuhan sektor perkilangan yang lebih rendah berbanding jiran diburukkan lagi dengan penguncupan dua sektor penyumbang utama di dalam suku keempat 2010. Sektor perlombongan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui hasil minyak dan gas serta kelapa sawit. Kedua-dua sektor ini mencatatkan penguncupan dalam suku keempat pada kadar 1.3% (perlombongan) dan 4.3% (pertanian). Akibatnya, pertumbuhan tahunan yang sangat rendah pada kadar 0.2% (perlombongan) dan 1.7% (pertanian) adalah satu lagi petanda bahawa ekonomi kita semakin malap.

Pandangan ini diperkuatkan lagi oleh angka-angka beberapa indeks yang digunakan untuk menilai sentimen masyarakat niagawan dan orang ramai mengenai hala tuju ekonomi negara. Indeks Suasana Perniagaan yang diterbitkan oleh Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) hilang 5.4 mata dalam suku keempat 2010 untuk jatuh ke paras bawah 100 mata buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. Malah, keyakinan masyarakat niagawan ke atas prospek ekonomi seperti yang dilambangkan oleh indeks ini menunjukkan penurunan sejak awal 2010 lagi. Bagi sentimen keyakinan orang ramai pula, walaupun Indeks Sentimen Pengguna menokok ke paras 117.2 mata dalam suku keempat, paras itu masih belum setanding dengan paras keyakinan tahun 2007 sebelum kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak dalam tahun 2008.

YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya lebih ikhlas dan mengakui bahawa ada jurang yang besar di antara pengumuman projek-projek mega yang dibuat dibawah ETP dan realiti ekonomi yang ditanggung masyarakat niagawan dan orang ramai. Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih ragu-ragu bahawa siri pengumuman projek itu hanyalah wayang yang akhirnya akan menguntungkan golongan pemerintah dan niagawan elit tanpa menyelesaikan masalah pokok dan struktur ekonomi negara.

Pengurusan fiskal dan kewangan negara juga menunjukkan perbezaan yang besar di antara Malaysia dan jiran kita, terutamanya Indonesia.

Tidak seperti Malaysia, Indonesia berjaya mengelak dari kemelesetan ekonomi tahun 2009 dan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.1% dalam tahun 2010, menjadikannya salah sebuah ekonomi paling mampan di antara 20 negara terkaya di dunia. Laporan United Nations Global Investment Trend Monitor (diterbitkan oleh UNCTAD pada 17 Januari 2011) mencatatkan aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD12.8 bilion bagi tahun 2010; yang kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura. Pelaburan baru menyumbang sebanyak 32.2% kepada ekonomi Indonesia sementara perbelanjaan kerajaan menyumbang hanyalah 9.1% kepada pertumbuhan ekonomi. Keseluruhan pencapaian ini berasaskan perbelanjaan kerajaan yang berhemah dan tidak berlebihan. Angka defisit fiskal dan hutang kerajaan hanyalah masing-masing 1.1% dan 28.3% berbanding KDNK bagi tahun 2010.

Keadaannya sangat berbeza di Malaysia. Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM407 bilion menjelang akhir 2010, bersamaan 53.1% berbanding saiz KDNK negara. Kegagalan merancakkan pelaburan swasta menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada projek-projek mega dan perbelanjaan kerajaan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi, sehinggakan defisit fiskal menjadi salah satu masalah utama ekonomi negara.

Defisit fiskal negara memuncak pada aras 7% dalam tahun 2009 dan hanya menurun kepada 5.6% tahun lalu, sedangkan sasaran kerajaan yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 adalah 5.3% bagi tahun 2010. Malaysia hanya berjaya menarik aliran masuk pelaburan asing (FDI) sebanyak USD7 bilion dalam tahun 2010, jauh ditinggalkan Singapura yang mendapat sejumlah USD37.4 bilion aliran masuk pelaburan asing.

Berdasarkan angka-angka dan perbandingan ini, jelas bahawa pertumbuhan 7.2% hanyalah satu lagi bukti bahawa ekonomi kita semakin terkebelakang berbanding dengan negara jiran. Daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa semakin merudum dan kedudukan fiskal serta kewangan negara lebih buruk berbanding negara-negara jiran.

Rakyat tidak akan terkeliru dengan pelbagai kempen dan janji manis yang dibuat kerajaan dan akan terus menuntut reformasi ekonomi agar prospek ekonomi yang malap ini dapat diubah. Reformasi ekonomi hanya akan berkesan sekiranya didokong oleh reformasi politik yang ikhlas.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan yang ada telah dibuktikan berkali-kali tiada keikhlasan dalam melaksanakan reformasi politik. Makanya, sebarang dasar ekonomi yang diperkenalkan sebagai reaksi politik tidak akan berjaya menyelesaikan masalah kemalapan ekonomi Malaysia.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
19 FEBRUARI 2011


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...