BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Februari 22, 2011

KEADILAN desak hentikan pembunuhan ke atas rakyat Libya

KEADILAN mengutuk sekerasnya tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan pemerintah Libya ke atas rakyatnya yang turun ke jalan raya bagi mendesak pengunduran rejim diktator pimpinan Muammar Gaddafi.

Menyifatkan tindakan itu seolah melancarkan perang ke atas rakyatnya sendiri, Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty menggesa supaya pembunuhan tersebut segera dihentikan.

“Kami di KEADILAN menyokong tindakan rakyat mana-mana negara sekalipun yang bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap pemerintah yang zalim.

“Kebebasan bersuara merupakan hak asasi rakyat dan pemerintah bertanggungjawab memastikan bahawa hak yang dijamin masyarakat antarabangsa perlu dihormati dan dilaksanakan. Jelas sekali, pemerintah Libya secara terbuka telah mengisytiharkan perang terhadap rakyatnya sendiri,” kata Dr Manuty dalam satu kenyataan media.

Justeru itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya bersama mengambil tindakan untuk menghentikan penindasan dan kezaliman ke atas rakyat Libya.

“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali(NAM), Pertubuhan Pesidangan Islam (OIC) dan Liga Arab tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh membiarkan rakyat Libya terus dibunuh pemerintahnya sendiri.

“Kami juga mendesak kerajaan Malaysia yang menganggotai PBB,NAM,OIC supaya mengambil tindakan tegas menangani isu-isu seperti itu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, KEADILAN yakin bahawa rakyat Libya berupaya menentukan nasib mereka  tanpa campur tangan mana-mana pihak yang berkepentingan.

Libya kini berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya yang mendesak pengunduran Muammar Gaddafi, menyebabkan pemerintah mengambil tindakan mengarah pasukan keselamatan menembak ribuan penunjuk perasaan.

Kemuncakan kezaliman tersebut apabila pihak berkuasa di negara itu mengebom penunjuk perasaan semalam
Sehingga kini seramai 400 orang dilapor terbunuh.

Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling keras antara negara Arab, berbanding tindakan menggulingkan pemimpin Tunisia dan Mesir awal tahun ini.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB