BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Jumaat, Oktober 23, 2009

Tiada penyelewengan isi minyak & tukar tayar kenderaan - Peg. Kewangan P.Pinang

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang Datuk Farizan Darus berkata, tidak berlaku penyelewengan dalam urusan penyelenggaraan tayar kenderaan milik kerajaan negeri itu mahupun dalam pembelian minyak seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.

Beliau berkata kekerapan penggantian tayar seperti yang dinyatakan dalam laporan itu dilakukan disebabkan keperluan sebenar bagi kenderaan berkenaan.

Menurut laporan itu, sejumlah RM31,064 telah dibelanjakan bagi 17 kali penggantian tayar antara 12 Jan 2006 dan 11 Sept 2008 melibatkan lapan kenderaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Farizan berkata bahawa tiga daripada 17 penggantian tayar kenderaan itu dibuat setelah melakukan perjalanan melebihi 40,000 km bagi kenderaan bernombor PAF 1 sebanyak dua kali dan kenderaan PFW 5151 sekali manakala penggantian tayar bagi perjalanan kurang daripada 40,000km dibuat berdasarkan alasan tertentu.

Menurutnya, antara alasan untuk membuat penggantian tayar kurang 40,000 km adalah keadaan bunga tayar yang haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah, tayar tidak mencengkam, tayar keras dan tayar berbunyi bising apabila kenderaan bergerak.

"Atas alasan tersebut ia telah diperakukan oleh penyelia kenderaan setelah dimohon oleh pemandu kenderaan terlibat untuk pertukaran tayar," katanya.

Farizan berkata, Jabatan Kewangan Negeri telah menetapkan bahawa kelulusan pertukaran tayar dan pembaikan lain yang diperakukan oleh penyelia kenderaan perlu mendapat kelulusan Ketua Penolong Setiausaha Kewangan.

"Sekiranya kerosakan yang sama berlaku, ia hendaklah mendapat kelulusan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran) sebelum pertukaran atau pembaikkan dilakukan," tambah beliau. Menurutnya lagi, amat penting kenderaan rasmi kerajaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik kerana selain daripada digunakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan pegawai-pegawai tertentu, kenderaan itu juga digunakan untuk membawa tetamu negeri bagi urusan rasmi termasuk di luar Pulau Pinang.

Mengenai pembelian dan pengisian minyak dalam tempoh masa yang singkat, Farizan berkata, kenderaan yang mendapat teguran dari Ketua Audit Negara adalah PHK 42 (Proton Perdana), PGW 7744 (Bas) dan PCT 7777 (Bas).

"Sebenarnya pada masa itu, PGW 7744 dan PCT 7777 mengisi minyak melebihi RM200 kerana melakukan perjalanan yang jauh,"katanya.

Farizan berkata, semakan juga mendapati kad inden PHK 42 turut digunakan oleh kenderaan PDC 7722 pada tarikh 23 Jun lepas berikutan kerosakan kad inden kenderaan itu.

"Kerosakan kad inden PDC 7722 menyebabkan ia menggunakan kad inden PHK 42 dan ini mengakibatkan PHK 42 mendapat teguran kerana tidak mencatat bahawa kadnya telah digunakan oleh PDC 7722," jelas beliau. Tambahnya, teguran pembelian minyak dalam kuantiti yang tidak munasabah berpunca daripada kesilapan teknikal oleh pihak stesen minyak.

"Kedai berkenaan tidak meletakkan "unit price" di pam berkenaan setelah berlaku kenaikan harga minyak kepada RM2.70 seliter," katanya.

HUKUM WANITA MEMAKAI WANGIAN ATAU PERFUME

Pelbagai ulama’ telah berijtihad dan memutuskan hukum tentang pemakaian bau-bauan oleh wanita. Terdapat beberapa keadaan hukum tentang pemakaian wangian antaranya, sunat, wajib, makruh dan haram. Berbeza pula dengan pemakaian wangian bagi kaum lelaki, hukum pemakaiannya sunat sepanjang masa kecuali jika terdapat keterangan yang menghukum sebaliknya.


1. Waktu Wajib Memakai Wangian-wangian.


Hukum memakai wangian adalah wajib bagi wanita, iaitu ketika suami ada di rumah, khususnya ketika hendak melayan suami di waktu malam, hendaklah mereka terlebih dahulu memakai wangi-wangian dan jika selain daripada tujuan tersebut maka tidak diwajibkan.


Nabi bersabda, maksudnya:

Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu (suami) memandang kepadanya sentiasa menyenangkan hati kamu…

( An-Nasa’ie dari Abu Hurairah)


Maksud menyenangkan hati diertikan disini, ialah dalam semua segi. Dari segi akhlak, wajah dan dirinya sentiasa berhias dan bersolek, sentiasa berbau wangi di rumah dan di hadapan suami, semuanya termasuk perkara yang boleh menyenangkan suami. Tetapi untuk keluar rumah, wanita dilarang bahkan haram bersolek dan mengenakan bau-bauan.


2. Waktu Sunat Memakai Wangian.


- Ketika berada di dalam rumah, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan suami.


- Ketika hendak sembahyang dan beribadah di dalam rumah dan bukan di masjid. Kalau hendak ke masjid maka terdapat hadis yang melarang wanita memakai wangian.


- Ketika menyambut tetamu wanita, maka sunat memakai wangian kerana jika berkeadaan busuk kemungkinan boleh menyakiti perasaan tetamu.


Terdapat sabda nabi yang menjelaskan bahawa wanita juga digalakkan memakai wangian, tetapi tidak di waktu yang dilarang.


Sabda nabi S.A.W : “ Wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangian wanita ialah yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya.”


3. Waktu Makruh Memakai Wangian.


Hukum berwangi-wangian ketika puasa adalah makruh.

Hal ini telah disepakati oleh ulama’ dan terdapat penjelasan di dalam bab puasa. Kenyataan ini dipegang oleh Imam Syafie dan Qaliyubi bahawa makruh memakai wangian ketika puasa.


4. Waktu Haram Wanita Memakai Wangi-wangian.


Diharamkan bagi wanita memakai wangian iaitu ketika keluar rumah, di hadapan lelaki bukan mahram, tujuan memikat lelaki dan ketika ke masjid untuk sembahyang berjemaah.


Sebagaimana sabda nabi S.A.W :

“ Seorang wanita apabila memakai bauan, kemudian keluar melalui di hadapan orang ramai dalam suatu majlis yang ada lelaki bukan mahram denganya, maka wanita tersebut dikira seperti orang yang melakukan zina.”


Dari Abu Hurairah ra, katanya, sabda Nabi saw :

"Apabila seorang wanita hendak keluar ke masjid (dalam keadaan dirinya berwangian), maka hendaklah dia mandi (membersihkan) dari wangian itu sepertimana dia mandi dari janabah."

(Hadith riwayat al-Nasa-ie dan dihasankan oleh al-Albani di dalam sahih sunan al-Nasa-ie)



Khamis, Oktober 22, 2009

Bolehkah PR bentuk kerajaan tanpa sokongan majoriti Melayu?

Bolehkah Pakatan Rakyat membentuk kerajaan yang halal dan absah (berlegitimasi), seandainya gagal memperolehi sokongan lebih 50% daripada masyarakat Melayu, tetapi sokongan masyarakat kaum lain memberikan bilangan kerusi yang mencukupi di Dewan Rakyat untuk PR memerintah di peringkat pusat?


"PR mungkin terasa serba salah dengan kesahihan kerajaannya seandainya ia memperolehi kurang 50% daripada sokongan masyarakat Melayu, walaupun mendapat mandat lebih 50% daripada seluruh masyarakat Malaysia."


Demikianlah pemerhatian dan persoalanan yang dilontarkan oleh pengkaji politik, Wong Chin Huat selepas kekalahan PR di PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober yang lalu. Wong mengemukakan statistik bahawa wujudnya kecenderungan pengaliran undi masyarakat India kepada BN dalam PRK tersebut, yang boleh dijelaskan sama ada Bagan Pinang ialah "kes terasing" atau "menggambarkan trend keseluruhannya (khususnya masyarakat India)".


Seandainya 40% undi Melayu diperolehi...


Perhitungan kasar Wong berdasarkan 165 kerusi parlimen di Semenanjung menunjukkan, seandainya PR memperolehi 40% undi Melayu dan 75% undi bukan Melayu, maka PR akan memperolehi 103 kerusi, dan hanya memerlukan 9 kerusi daripada Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan kerajaan persekutuan (dengan 112 daripada 222 kerusi).


Seandainya PR memperolehi 50% undi kaum India dan 75% undi kaum Cina, dalam keadaan mengekalkan undi Melayu pada paras 40%, maka PR akan memperolehi 90 kerusi di Semenanjung. Jikalau undi kaum India jatuh kepada 40%, maka PR hanya akan mendapat 80 kerusi, seperti apa yang berlaku pada PRU ke-12.


Pemerhatian Wong (gambar kiri) terhadap senario politik selepas PRU ke-12, termasuk beberapa PRK seperti Bukit Gantang, Manek Urai yang menyaksikan peralihan sokongan sebahagian masyarakat Melayu kepada BN, menyimpulkan bahawa "mustahil untuk PR memperolehi lebih 50% sokongan Melayu dalam masa terdekat."


Maka, Wong mencadangkan agar PR menggariskan matlamat yang lebih realistik, iaitu mengekalkan undi Melayu sekurang-kurangnya pada paras 40%, di samping melonjakkan graf sokongan masyarakat bukan Melayu kepada 75%, seandainya ingin mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan pada PRU ke-13.


Untuk Wong, selagi PR terasa serba salah jikalau gagal memperolehi lebih 50% undi daripada masyarakat Melayu, maka UMNO dan lidahnya, Utusan Malaysia akan diberi kesempatan untuk meneruskan serangannya.


Seandainya Pakatan Rakyat meretak...


Logik Wong begini. Seandainya PR terus dihantui bayangannya "untuk mendapat sokongan lebih 50% Melayu", maka parti komponen PR, terutamanya PAS dan PKR dijangka akan beralih kepada hujah mahupun dasar yang menampakkan perkauman dan keagamaannya sekali-kala, sekiranya tidak tahan dengan serangan UMNO dan Utusan Malaysia.


Lantaran itu, PAS dan PKR akan bertelagah dengan DAP yang perlu tampil untuk menyanggah hujah dan dasar tersebut. Apa yang berlaku seterusnya adalah pengundi bandar, kelas menengah akan hilang yakin kepada PR kerana "harapan (yang diberikan PR)" kini diganti dengan persepsi "sering berbalah sesama sendiri". Senario ini berakhir dengan retaknya PR seperti Barisan Alternatif sebelumnya...


Untuk mengelakkan ramalan pesimis ini menjadi kenyataan, Wong menganjurkan pandangan bahawa PR perlu yakin bahawa dirinya tetap kerajaan yang absah seandainya mendapat mandat lebih 50% undi daripada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.


Sistem negara yang dikuasai Melayu


Ketika mengulas pandangan yang diutarakan Wong Chin Huat, Yong Kai Ping (Editor Malaysiakini, edisi bahasa Cina) berkata, "legitimasi sesebuah kerajaan dalam masyarakat Melayu" merupakan "persoalan struktur" yang perlu dihadapi bukan sahaja PR, tetapi mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk menerajui pucuk pimpinan kerajaan di negara ini.


Yong menjelaskan bahawa setelah berpuluh tahun BN memerintah, sistem negara ini telah diubahsuai kepada satu sistem "negara Melayu", di mana sektor perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis telah dikuasai sepenuhnya kaum Melayu.


Justeru itu, Yong berpendapat bahawa PR tidak dapat mengelakkan dirinya ketika berdepan dengan persoalan ini, dan terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Yong menganggap bahawa PR masih belum menemui jalan keluar, ketika berhadapan dengan serangan retorik UMNO bahawa "naiknya PR bermaksud hilangnya kuasa Melayu".


"Sememanganya, PR tidak akan dapat menandingi UMNO ketika membincangkan Melayu. Namun, apakah hujah sebaliknya yang diketengahkan untuk membalas retorik UMNO? Satu hujah yang senang difahami, berkesan untuk memujuk dan mendapat keyakinan masyarakat Melayu...," kata Yong.


Misalnya, "Melayu" dipisahkan kepada Melayu-Bandar, Melayu-Kelas Menengah dan sebagainya, agar kepentingan Melayu ini dapat dihalusi dan dibincangkan secara konkrit, cadang Yong.


Malah, Yong (gambar kanan) menganggap "politik berbilang kaum" yang dianjurkan PR ini perlu didalami, dan bukan hanya berpuas hati dengan aktiviti seperti rumah terbuka sahaja. Beliau mencadangkan agar pemimpin PR perlu berdialog dengan sektor perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, untuk menghapuskan rasa musuh dan syak wasangka yang wujud.


Apabila tembok ini dipecahkan, barulah PR boleh tampil dan mendakwa dirinya sebagai pakatan politik yang melambangkan kepentingan semua kelas dalam masyarakat Malaysia, simpul Yong.


*Perbincangan ini mengambil tempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 13 Oktober 2009, dalam satu forum yang bertajukkan PRK Bagan Pinang.


Pulau Pinang dapat pujian Ketua Audit

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berbangga dengan laporan kewangan negeri yang menunjukkan prestasi yang memberangsangkan berbanding laporan tahun 2007 sebagaimana yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara dalam pembentangan di Parlimen, baru-baru ini.

:Guan Eng berkata, hasil usaha Kerajaan Negeri dalam menjimatkan kewangan dan menguruskan kewangan negeri dengan bersih menunjukkan bahawa prinsip Cekap, Akaunbiliti dan Telus (CAT) yang dipegang oleh kerajaan menampakkan kejayaan dan perlu dicontohi selepas mendapat pujian daripada Badan Transparensi Antarabangsa Malaysia dan Ketua Audit Negara.

Menurutnya, sewaktu pembentangan laporan, Ketua Audit Negara menyatakan terdapat peningkatan pada Kedudukan Kumpulan Wang Disatukan Pada Tahun 2008 berbanding 2007.

:“Pencapaian cemerlang ini adalah disebabkan peningkatan aliran wang di dalam Akaun Hasil Disatukan, Kumpulan Wang Amanah Kerajaan, Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan wang Amanah Awam.

“Bagaimanapun, deposit mengalami pengurangan sejumlah RM4.25 juta atau 2.1 peratus berbanding tahun 2007,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran majalah ‘Penang Economic Monthly’ di sebuah hotel di sini, semalam.

:Guan Eng berkata, terdapat dua perkara yang membolehkan peningkatan kepada jumlah pendapatan negeri iaitu amalan bersih, cekap dan amanah serta usaha penjimatan wang di bawah kepimpinannya sehingga mendapat kepujian bukan sahaja daripada Badan Transparensi Antarabangsa Malaysia malahan laporan Ketua Audit Negara.

Beliau turut menyelar kekangan yang berlebihan yang diharungi media cetak sebagaimana diamalkan oleh Kerajaan Pusat lebih separuh abad hingga menyebabkan rakyat lebih cenderung untuk mendengar pendapat yang tidak berasaskan fakta.

“Hasil maklumat orang awam, saya difahamkan fakta sering kali dilindungi daripada pengetahuan rakyat.

“Lebih teruk lagi, sudah banyak kali fakta tidak sampai ke pengetahuan Kerajaan Negeri,” katanya.

Laporan Jabatan Audit Negara dedah penyelewengan BN

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan audit yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara baru-baru ini, jelas menunjukkan negeri-negeri yang ditadbir PR jauh lebih baik daripada yang diperintah Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan laporan positif dari segi pengurusan kewangan dan ini menjadi bukti pentadbiran PR telus di negeri bawah pemerintahan mereka.

“Kita bangga kerana laporan ini memberi petunjuk bahawa negeri di bawah pemerintahan BN penuh dengan penyelewengan, berbanding negeri di bawah PR,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.

Katanya, PR akan menubuhkan pasukan untuk meneliti laporan audit itu sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Kita telah bermesyuarat dua hari lepas dengan semua Ahli Parlimen PR dan seperti kenyataan pemimpin PR semalam (kelmarin), kita akan ambil langkah seterusnya,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Phua, meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes penyalahgunaan peruntukan seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.

Rabu, Oktober 21, 2009

Ketua Menteri Minta Pegawai Kewangan Negeri Sedia Laporan Isu Tukar Tayar

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri (SFO) Datuk Farizan Darus untuk menyediakan laporan berhubung kekerapan penggantian tayar tiga kenderaan milik kerajaan negeri tahun lalu.

Katanya tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai dan penjawat awam jika terbukti berlaku penyelewengan atau penyalahgunaan wang kerajaan dalam hal itu.

Mengakui bahawa beliau tidak mengetahui perkara itu, Lim berkata Farizan perlu menyiapkan laporan itu dan menyerahkannya secepat mungkin.

"Kita akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembaziran wang kerajaan tanpa sebab munasabah dan kerajaan negeri tidak akan menyembunyikan apa-apa," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Ketua Audit Negara mengenai berlakunya penyalahgunaan kenderaan milik kerajaan negeri di tiga buah negeri iaitu Pahang, Perak dan Pulau Pinang tahun lalu.

Laporan itu menyebut masalah kekerapan penggantian tayar dikenalpasti berlaku di Pulau Pinang iaitu kekerapan penggantian tayar berlaku pada tiga buah kenderaan bernombor pendaftaran PED 21, PBF 1 dan PAF 1.

Penyiasatan audit itu melaporkan kesemua penggantian tayar adalah disebabkan keadaan bunga tayar yang haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah, tayar tidak mencengkam dan tayar keras.

Laporan itu menyifatkan penggantian tayar terlalu kerap bagi tempoh tiga hingga 34 bulan dan penggunaan pada jarak perbatuan antara 1,700 kilometer hingga 21,900 kilometer untuk tiga kenderaan itu adalah meragukan.

Menurut Lim, kerajaan negeri bersedia mengadakan perbincangan dengan Ketua Audit Negara bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan menjemputnya untuk melawat ke Pulau pinang bagi tujuan itu.

Katanya audit amat penting bagi memastikan perbelanjaan dan prestasi perkhidmatan kerajaan negeri berada pada landasan yang betul.

"Tiada gunanya kita mengamalkan prinsip cekap, akauntibiliti dan telus (CAT) jika pengurusan kita tidak efisyen," katanya.

Mengenai hasrat Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri mahu mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) hujung bulan ini bagi mendapatkan mandat anggota sama ada menerima atau menolak keputusan kerajaan negeri supaya pemaju tanah Kampung Buah Pala membina rumah teres dua tingkat untuk bekas penduduk di situ, Lim mengulangi pendirian kerajaan negeri adalah jelas iaitu jika sebarang pindaan dibuat terhadap keputusan itu, ia tidak akan meluluskan pelan pembangunan untuk tapak berkenaan.

"Kita telah bersetuju dengan cadangan membina rumah teres dua tingkat untuk penduduk terlibat dan sebarang perubahan pada cadangan itu bermakna tiada pembangunan dibenarkan di atas tapak itu," katanya.

Pada perkembangan lain, Lim menyambut baik langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 16 Sept sebagai cuti umum sempena memperingati penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada 1963.

"Perkara ini sepatutnya telah lama dilakukan tetapi lebih baik terlambat daripada tiada langsung," katanya dan berharap Kerajaan Persekutuan akan menimbangkan pemberian royalti sebanyak 30 peratus terhadap sumber asli yang diperoleh dari kedua-dua negeri itu sebagai pengiktirafan kepada sumbangan negeri berkenaan kepada negara.

Teoh dicekik, didera dan dipukul sebelum ditemui mati

Seorang pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand membuat pendedahan yang mengejutkan dalam inkeus kematian Teoh Beng Hock pagi ini dengan menyatakan bahawa setiausaha politik itu mungkin telah dicekik sebelum jatuh dari tingkat 14 Plaza Masalam.

Katanya, terdapat tanda bulat pada leher Teoh yang menunjukkan dia 'dicekik'.

Menurutnya lagi, retakan pada tengkorak Teoh bukan satu kecederaan akibat terjatuh.

NONEManakala kecederaan pada lubang dubur Teoh, katanya, boleh disebabkan dicucuk dengan objek sebelum dia jatuh.

Ini, katanya, berdasarkan kepada gambar-gambar yang diambil di tempat Teoh ditemui jatuh.

Dr Pornthip membuat kesimpulan bahawa kemungkinan 80 peratus Teoh dibunuh dan 20 peratus dia membunuh diri.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan pakar-pakar forensik bahawa Teoh "jatuh dalam keadaan sedar" tetapi sebaliknya menegaskan bahawa mangsa mungkin tidak sedar.

Beliau memberi tiga sebab dalam membuat kesimpulan tersebut, iaitu:

1) Laporan bedah siasat menyatakan mangsa masih hidup ketika jatuh di tanah, tetapi beliau (Dr Pornthip) tidak menemui kecederaan untuk melindungi diri.

2) Beliau menemui luka-luka yang kelihatan berlaku sebelum mangsa jatuh.

3) Kecederaan pada bahagian dada adalah akibat impak awalan.

Beliau memberi keterangan sebagai saksi pakar di inkues tersebut yang diadakan untuk menentukan punca kematian Teoh.

Dr Pornthip adalah pengarah dan pengasas bersama Institut Pusat Sains Forensik Kementerian Keadilan Thailanad dan dianggap pakar dalam siasatan kes-kes pembunuhan yang rumit.

Teoh - setiausaha politik kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah - ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 Plaza Masalam berhubung dakwaan salahguna wang negeri pada 15 Julai lalu.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...