BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, November 11, 2010

Tanah P.Pinang: Tindakan Umno mahu tutup kesalahan disanggah

Tindakan Farid Saad (Adun BN- Pulau Betong) mengajak rakyat terutamanya orang Melayu 'tutup buku' kesalahan Umno masa lampau yang menyebabkan penghakisan tanah orang Melayu di Pulau Pinang, disanggah.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid sependapat membidas cadangan itu walaupun Farid memberi alasan masalah itu akan diperbetul generasi baru Umno. Kedua-dua mereka membuat bidasan sewaktu menjadi panel dalam 'Forum Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Penyelesaianya' di sini semalam.

Bagi mereka istilah 'tutup buku' tidak wajar digunakan sebaliknya kelalaian dan sikap tidak amanah kepimpinan Umno sewaktu berkuasa di Pulau Pinang harus diperjelaskan dengan teliti agar generasi muda hari ini mengenal pasti parti mana yang merosakan bangsanya sendiri.

"Sekarang bukan masanya buat kajian bahkan kena menyedari kenapa boleh berlaku begitu walhal kepimpinan Umno berkuasa, menjadi Timbalan Ketua Menteri serta memegang Exco Tanah tetapi tidak mampu melakukan sesuatu kerana terlalu takut atau mungkin tidak bijak dalam urus tadbir tanah.

"Mana boleh lepas tangan atau tutup buku dalam hal ini kerana ia membabitkan maruah bangsa dan agama. Rakyat kena peka untuk mengajar kepimpinan yang bersalah dan menggangkat parti yang mampu mengambil alihan tugasan Umno, " kata Mujahid.

Menurut mereka, memang tidak dinafikan model pembangunan yang tidak seimbang menjadi salah satu penyebab kenapa tanah Melayu terjual
kepada syarikat atau pemilik individu bukan Melayu.

Orang Melayu lebih gemar kepada wang ringgit yang ditawarkan ekoran mainan orang tengah yang terdiri daripada kepimpinan politik melayu yang kadang-kadang bercakap soal isu penghakisan tetapi dalam masa yang sama mereka merupakan pengkhianat.

"Paling malang ada juga kepimpinan Umno yang jadi pengkhianat bertindak sebagai orang tengah membeli tanah penduduk melayu untuk menyenangkan pembangunan akan datang, " terang Azmi. Manakala seorang lagi ahli panel, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Yusuf Latiff pula mendedahkan sikap pentingkan diri kepimpinan Umno sehingga gagal mempertahankan tanah orang Melayu.

Katanya, ramai pemegang amanah tidak jujur dan senang dibeli serta bertindak mengucar kacirkan keadaan sehingga sanggup pula membuka ruang untuk kaum lain bertapak terutamanya Koperasi.

Beliau mengambil contoh Koperasi Tunas Muda yang dulunya begitu aktif menjaga kepentingan tanah orang Melayu tetapi kini memberi peluang kepada kaum lain terutamanya dari segi usahasama pembangunan.

Katanya, kewujudan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Koperasi Nusantara dan banyak lagi koperasi yang diterajui Umno, gagal kerana sikap tidak amanah.

Walaupun pernah menerajui Koperasi tersebut di awal penubuhanya, beliau kurang senang terhadap operasi sekarang yang lebih mementingkan keuntungan bukan pembelaan terhadap penghakisan tanah orang Melayu.

"Sewaktu peringkat awal kita buat dengan niat yang betul tetapi apakan daya akibat tiada kejujuran dan amanah membuatkan semuanya berkecai, " tegasnya.

Bukan sahaja ahli panel, malah peserta yang menyertai program tersebut juga turut kecewa dan membantah cadangan 'tutup buku' itu sekaligus menganggap perjuangan Umno sudah terlambat dan sia-sia.
 

Ahad, November 07, 2010

Isu Politik Tanahair - Khabar Baik Dari Pulau Pinang

Oleh : Ismed Ulam Raja

Berikut adalah antara intipati belanjawan yang bersifat sangat positif untuk sebuah kerajaan negeri, agak malang bagi penyokong UMNO kerana ini adalah hasilnya menyokong Pakatan Rakyat ;

  • Elaun Pegawai dan Setiausaha JKKK naik RM100 !
  • Kakitangan awam negeri akan dapat BONUS RM800 pada tahun ini !!
  • RM 60 juta dikhaskan untuk program-program pembangunan Islam !
  • Ibu tunggal dan OKU akan dapat RM100 setiap tahun !!

Setelah sekian lama sepi dari info serta berita, di pagi nan indah ini ada khabar gembira yang ingin saya kongsikan dari kerajaan negeri Pulau Pinang kepada saudara/i. Teringat dengan pepatah yang mengatakan "Better late than never". Oleh yang demikian suka saya nyatakan berita baik ini harus diambil iktibar kepada semua pembaca, agar kita boleh menilai apakah yang terbaik demi negara dan anak bangsa. Di saat kerajaan pusat berkira-kira untuk menaikkan harga minyak RON95 (untuk tahun depan) & RON97 (telah pun naik 5 sen), kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh YAB Lim Guan Eng telah membentangkan sebuah belanjawan rakyat khususnya untuk rakyat negeri Pulau Pinang dan amnya kepada semua rakyat Malaysia agar berfikir 3-4 kali sebelum memangkah Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.

Bajet yang dibentangkan memberi banyak manfaat kepada rakyat negeri Pulau Pinang khususnya kepada golongan yang memerlukan. Saya tidak membentangkan semua intipati Belanjawan 2011 Negeri Pulau Pinang di dalam entri ini, tetapi sekadar menunjukkan betapa prihatinnya sebuah kerajaan yang memerintah dengan penuh cermat. Anda akan lihat UMNO dan PERKASA meroyan-royan apabila bantuan-bantuan kerajaan negeri terhadap golongan sederhana susah di Pulau Pinang diperhebat oleh Lim Guan Eng. Mungkin juga Reezal Merican akan sekali lagi memainkan peranan mengelirukan rakyat Pulau Pinang sepertimana isu bantuan warga emas di sini. Berikut adalah antara intipati belanjawan yang bersifat sangat positif untuk sebuah kerajaan negeri, agak malang bagi penyokong UMNO kerana ini adalah hasilnya menyokong Pakatan Rakyat ;
  1. Elaun Pegawai dan Setiausaha JKKK naik RM100 !
  2. Kakitangan awam negeri akan dapat BONUS RM800 pada tahun ini !!
  3. RM 60 juta dikhaskan untuk program-program pembangunan Islam ! (sebelum ini semasa zaman pemerintahan BN hanya 12.4 juta sahaja)
  4. Ibu tunggal dan OKU akan dapat RM100 setiap tahun !!
Saudara dan saudari semua bayangkanlah sekiranya Putrajaya dikuasai oleh Pakatan Rakyat - sebuah pakatan yang memperjuangkan nasib rakyat! Pastinya lebih ramai rakyat akan terbela dengan skop yang lebih luas.Kerajaan pusat Barisan Nasional hanya mampu mensasarkan RM500 sebagai saguhati kepada kakitangan awam sedangkan banyak syarikat swasta dan konglomerat yang menyediakan beberapa bulan gaji kepada pekerjanya sebagai tanda mereka dihargai.

Kerajaan pusat harus mampu menyediakan yang terbaik kepada semua kakitangannya di sebalik layanan mewah terhadap pelabur-pelabur luar dan juga pelancong yang kononnya membawa banyak keuntungan kepada negara. Kerajaan pimpinan LGE mampu menghadirkan jumlah bonus yang lebih tinggi di kala sebuah kerajaan negeri milik pembangkang kebiasaannya tidak dilayan dengan adil dalam aspek kewangan dan semua sumber kewangan yang sepatutnya disalur terus kepada kerajaan negeri, hanya menyinggahi badan-badan kerajaan pusat yang beroperasi di setiap negeri pembangkang. Walaupun begitu, kerajaan Pulau Pinang mampu melakukan sesuatu apabila ia diperintah tanpa ketirisan terancang. Syabas !! saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kejayaan ini.

Perkara ke-tiga dalam senarai di atas menunjukkan YAB Lim Guan Eng juga adalah seorang ketua menteri yang peka dan prihatin dalam memartabatkan agama Islam di bumi Pulau Pinang. RM60 juta yang diperuntukkan pastinya menutup suara-suara sumbang yang mengatakan LGE seorang yang anti-melayu mahupun anti-islam. Pada hemat kebanyakkan orang sekarang ini, nilai kepimpinan dan pendekatan LGE terhadap Islam itu jauh melebihi kebanyakkan pemimpin melayu yang lain. Termasuklah pemimpin Gerakan Muhammad Koh Tsu Koon (Mungkin inilah nama melayunya yang sebenar kerana puak UMNO menuduh kerajaan sekarang ini dipimpin oleh cina tidak seperti sebelum ini). Perkara ke-empat dalam senarai di atas menunjukkan keperihatinan sebuah kerajaan negeri terhadap rakyatnya yang memerlukan perhatian. Tanpa mengira batas bangsa mahupun batasan kefahaman dan kepartian, siapa sahaja ibu tunggal dan warga OKU layak menerima RM100 setiap tahun. Walaupun jumlah ini sedikit berbanding apa yang dihulur oleh kerajaan pusat melalui badan kebajikkan, percayalah untuk mendapatkan bantuan sebegini tidak memerlukan surat sokongan ataupun ehsan pemimpin UMNO sepertimana kebiasaannya yang berlaku demi memohon bantuan badan kebajikan. Dengan ini, saya selaku seorang warga Pulau Pinang ingin menyeru kepada semua warga sahabat handai dan rakan taulan. Anda semua telah pun matang, anda semua telah pun berpelajaran, dan anda semua mampu untuk membezakan yang mana kaca ataupun intan. Perubahan hanya di tangan anda tidak pada tangan saya. Maka fikir-fikirkanlah.

Nasihat : Kakitangan awam kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya yang berada di bahagian Nibong Tebal yang tidak yakin dengan sumber Bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2011 boleh mendermakan wang BONUS yang diterima kepada pihak Pusat Khidmat Sungai Bakap supaya ianya dapat disalurkan kepada pihak yang lebih memerlukan di bahagian Nibong Tebal. Begitu juga dengan ibu tunggal yang bersetuju dengan hukum-hakam fatwa UMNO yang menyatakan wang ehsan Kerajaan Negeri adalah haram (Bagaimana pula dengan wang KWSP, PERKESO, TABUNG HAJI dll yang di laburkan oleh kerajaan ke dalam saham GENTING, SPORT TOTO, MAGNUM, CALSBERG DLL?), boleh juga memulangkan RM100 tersebut ke tabung yang bakal ADUN Sungai Bakap YB Tuan Haji Maktar Shafee lancarkan nanti sempena Bajet Pulau Pinang 2011. Kepada warga emas yang ingin memulangkan bantuan ehsan kerajaan Pulau Pinang juga boleh berbuat demikian sekiranya tidak sempat masuk TV3 dalam program pembodohan rakyat anjuran UMNO (wartawan Sinar Harian akan disediakan oleh pihak Pusat Khidmat sekiranya ada yang ingin berbuat demikian demi publisiti). Akhir sekali, kepada bakal pengundi maka persiapkanlah diri anda dan keluarga bagi menghadapi PRU13 yang semakin hampir.
 

Jumaat, November 05, 2010

Menyanggah Tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KENYATAAN MEDIA

Menyanggah Tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin

1. Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BIPPA), PKR, ingin menyatakan bahawa serangan-serangan peribadi pelbagai bentuk dan pendekatan terhadap DSAI bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Hal ini berlaku kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang berupaya membawa perubahan ke atas sistem pemerintahan negara. Mereka yang mahu mempertahankan status quo akan menggunakan pelbagai kaedah tidak bermoral semata-mata mahu menjejaskan kredibiliti beliau.

2. Adalah jelas bahawa DSAI mempunyai kewibawaan dan keupayaan membina muafakat politik nasional dengan pewujudan gagasan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional yang dilihat semakin hilang relavansinya dalam realiti politik negara masa kini.

3. Keberkesanan kepemimpinan seseorang itu tidak boleh diukur dari segi usia semata-mata. Hakikatnya kepemimpinan itu hendaklah dilihat dari segi karisma, amanah, keberanian, kegigihan dalam perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat, mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga, kesediaan berkorban, memiliki kebijaksanaan (hikmah) dan ketahanan fizikal. Inilah antara sifat yang dimiliki dan dihayati oleh DSAI sebagai pemimpin yang diiktiraf dan dihormati oleh kawan dan lawan dalam dan luar negara.

4. Komitmen DSAI ketika diberi peluang memimpin negara adalah terbukti dengan rekod kecermelangan. Kepemimpinannya terserlah dan diterima dalam dan luar negara sejak awal 1970an. Beliau istiqamah (consistent) justeru kepemimpinannya untuk memimpin rakyat dan negara terutama disaat negara sedang mengalami krisis kepercayaan tetap diperlukan. Persoalannya sekarang: Kenapa beliau diminta berundur?

5. Pada hemat BIPPA yang patut berundur ialah kepimpinan negara sekarang yang telah terbukti tidak berupaya mengangkat martabat rakyat dan negara dengan kemiskinan rakyat yang masih berleluasa di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, masalah rasuah yang semakin membarah, keruntuhan moral (akhlak) dan pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik, penyalahgunaan kuasa yang berwewenang, hutang negara yang semakin bertambah, track rekod kerendahan moral dan akhlak yang diketahui umum, terjejasnya imej negara di peringkat antarabangsa dan ketakutan pelabur-pelabur asing melabur di Malaysia.

6. Seruan Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada hakikatnya adalah manifestasi suara ketakutan pimpinan negara terhadap fenomena kebangkitan rakyat.

7. Akhirnya, sebagai seorang ilmuan Muslim sewajarnya beliau patut lebih berhati-hati dalam memberi pandangan supaya tidak menjejaskan kredibiliti dan kewibawaannya sehingga menyebabkan audien hilang hormat.

Dr Muhammad Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR
4 hb Oktober, 2010

Dari lensa Media NT di N45-Galas

Selamat Menyambut Deepavali

“Sesungguhnya dengan amalan kebaikan maka hadirlah kemuliaan, sesungguhnya kejahatan itu menjelma apabila kita melupakan amalan kebaikan”

Pesan di atas merupakan terjemahan dari bait yang terkandung dalam adikaram keempat Thirukural, adikarya penyair besar Tamil, Tiruvalluvar. Karya tersebut adalah sebuah karya yang sarat dengan tunjuk ajar kebaikan yang disampaikan dalam bentuk puisi. Gema dari bait-bait Thirukural kini semakin bermakna tatkala menjelangnya Deepavali.

Deepavali yang diraikan masyarakat India beragama Hindu merupakan suatu perayaan yang meraikan kemenangan Kebaikan mengalahkan kejahatan, kemenangan Keadilan menewaskan kezaliman. Walau bagaimanapun Kebaikan bukanlah hadir tanpa kita berusaha untuk meraihnya. Mendapatkannya adalah suatu perjuangan, berusaha memastikan Cahaya mengalahkan kegelapan. Buat semua yang merayakan Deepavali, saya ucapkan Deepavali Nal Valthukal.

ANWAR IBRAHIM

Rabu, November 03, 2010

Perutusan Pilihan Raya Kecil N45 dari Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz

Salam persaudaraan semua Pengundi Galas.

Bersyukur kepada Allah SWT yang memberi peluang untuk kita semua bertemu dalam pilihan raya kecil N.45 Galas, Gua Musang. Semoga semua Pengundi Galas daripada orang Melayu, Cina, Orang Asal sampai kepada orang India berada dalam sihat dan ‘afiat.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan pengharapan agar Pengundi Galas dapat menghayati jasa dan bakti serta ketulusan pihak Kerajaan Negeri Kelantan bersempena panggilan keluar mengundi pada hari Khamis, 27 Zulkaedah 1431 bersamaan 4 November 2010 nanti.
Maka, undilah Calon Kito, Dr. Zul dari Parti PAS, iaitu Parti Kerajaan yang mentadbir Negeri Kelantan hari ini.
Sesungguhnya, ambillah pengajaran daripada tujuan Allah SWT menciptakan manusia ini––lelaki dan perempuan, dan berbangsa-bangsa––supaya kita semua berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain  (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Hujurat 49:13).
Justeru Allah menciptakan manusia semua adalah dari satu keturunan, iaitu Nabi Adam. Ini bermakna asal-usul sesuatu kaum itu, tidak kira Melayu, Cina, India dan Orang Asal adalah dari seorang manusia bernama Adam yang kemudian berkembang menjadi pelbagai keturunan, bangsa, bahasa, budaya, warna kulit dan pelbagai adat resam.

Maka Islam memandang tinggi dan memberi kemuliaan di atas semua perbezaan, asalkan mereka beriman dengan Allah SWT.

Memahami ciptaan Allah itu, saya dapati Saudara Dr. Zul selaku Calon Kito telah memberi kesanggupan untuk berkhidmat kepada semua rakyat––Pengundi Galas––termasuk Melayu, Cina, Orang Asal dan India.
Ini sesuai dengan perintah Allah SWT, agar kita semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan, menerangkan kebenaran dan jangan timbul rasa kebencian terhadap sesuatu kaum sehingga melakukan ketidak-adilan ke atas kaum itu (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Maidah 5: 8).
Inilah misi dan matlamat sebenar Kerajaan Negeri di bawah Kepimpinan Ulama’ tatkala berkuasa––sedia membantu dan menyelesaikan permasalahan rakyat––sentiasa utamakan prinsip keadilan untuk semua.

Begitu pula dari segi kemasyarakatan, Allah SWT melarang perbuatan saling cemuh-mencemuh dan rendah-merendah terhadap kaum tertentu. Ini mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik.
Dan kita harus mengelakkan daripada panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk (intisari maksud Al-Quran, Surah Al-Hujurat 49:11).
Oleh itu, semua Pengundi Galas sama ada orang Melayu atau Cina, India atau Orang Asal hendaklah saling hormat-menghormati.

Prinsip ini telah menjadi pendirian dan dasar sosial Kerajaan Negeri Kelantan sepanjang mentadbir Negeri ini sejak pilihan raya umum 1990 lagi.

Maka prinsip ini menjadi panduan Wakil Rakyat yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan (dari Parti PAS/Pakatan Rakyat) menjalankan tugas dan berkhidmat kepada rakyat.

Saya yakin Saudara Dr. Zul bersedia mengamalkan khidmat terbaik untuk rakyat Galas berpandukan prinsip tersebut.

Sesungguhnya, pilihan raya kecil Galas berlaku pada saat Kerajaan Negeri Kelantan sedang menyambut 20 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam.

Dalam tempoh 20 tahun itu, banyak usaha pembangunan sudah dibuat dan sedia dinikmati oleh semua rakyat.
Aspek kebajikan rakyat, kepentingan dan hak rakyat menikmati hasil pembangunan adalah keutamaan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat.

Termasuklah, Pengundi Galas sudah menerima banyak perubahan hasil daripada pembangunan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri di Jajahan Gua Musang.

Justeru itu, tiada pilihan lain bagi Pengundi Galas, melainkan bersetuju untuk mengundi Calon Kito, Dr. Zul yang sanggup memberi khidmat terbaik bagi menyambung usaha Wakil Rakyat sebelum ini, malah sedia menjadi penghubung dan pemudah-cara antara rakyat dengan Kerajaan Negeri.

Semua Pengundi Galas harus menerima hakikat bahawa segala rancangan pembangunan akan berjalan lancar apabila Dun Galas ini mempunyai Wakil Rakyat yang mewakili Kerajaan Negeri. Ini kerana banyak urusan pembangunan adalah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

Di antaranya rancangan pemilikan tanah, pembinaan jalan, bekalan air paip, pembinaan rumah, bangunan perniagaan dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat. Maka, pesanan saya, janganlah mudah percaya kepada janji pemimpin BN yang jelas menentang Kerajaan Negeri, kononnya mereka ada kuasa untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah atau bekalan air, ataupun perumahan rakyat.

Semua urusan ini tidak akan selesai tanpa kerjasama Wakil Rakyat dari Parti yang mewakili Kerajaan Negeri.
Memahami keadaan yang sedemikian, apa pasal kita nak pilih calon BN? Natijahnya calon BN tidak akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri. Ini kerana kebelakangan ini, ramai pemimpin BN yang terlibat dengan rasuah, kroni dan pilih kasih yang jelas berlawanan dengan ajaran agama, bercanggah dengan hasrat rakyat dan tidak sehaluan dengan dasar-dasar Islam yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Maka seruan saya, berilah keyakinan dan kepercayaan kepada Calon PAS, Dr. Zul sebagai Calon Kito
yang sedia berkhidmat untuk semua Pengundi Galas.

Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi dan undilah bulan.

“Pertahan Galas Kito”

Calon Kito, Dr. Zul – Cakno & Mesra

Isnin, November 01, 2010

Parti Politik Pembangkang Atau Parti Politik Oposisi?

Oleh : Hamdan M. Salleh   
Parti politik merupakan institusi politik yang menghubungkan masyarakat dan negara. Terdapat pelbagai bentuk kepartian politik di negara-negara membangun dimana kes-kes  kepartian ini kerapkali dikaji berlandaskan teoritik dan perbandingan berpaksikan pengalaman kepartian di Barat. Namun, sejak kebelakangan ini sudah terdapat perkaitan kajian tentang peranan parti-parti politik dalam proses pendemokrasian. Ini sudah tentu membawa kepada pelbagai kajian khusus berkenaan parti-parti politik yang wujud baik sebagai pemerintah mahupun sebagai yang di Malaysia di panggil Pembangkang.

Istilah pembangkang yang kerap diguna di Malaysia lebih menggambarkan persepsi yang negatif untuk parti-parti yang tidak memerintah walhal parti-parti ini turut terlibat dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik serta bertindak sebagai pemeriksa dan pengimbang (check and balance) kepada kerajaan. Malah kerap kali kedengaran agak dangkal umpamanya seperti yang kerap media di Malaysia ungkapkan seperti “kerajaan pembangkang di Selangor”, “pembangkang gagal mentadbir dengan baik di Kelantan” dan pelbagai lagi. Pembangkang di peringkat persekutuan tidak bermaksud parti tersebut jika memerintah negeri boleh dianggap pembangkang. Jika di Selangor, pembangkanhya adalah Barisan Nasional. Begitu juga di Kelantan. Logiknya, bagaimana pembangkang boleh memerintah walhak mereka tidak mempunyai majoriti? Persepsi ini perlu diubah dalam usaha kita hendak mewawarkan politik baru.

Kamus Dewan (2000) sendiri tidak menggunakan perkataan pembangkang untuk mendefinisi parti politik yang tidak memerintah. Sebaliknya, ia menggunkan istilah oposisi sebagai istilah utama bagi menggambarkan parti bukan pemerintah. Perkataan pembangkang hanya digunakan bagi menerangkan lebih lanjut. Menerusi halaman 945, jelas tertera:

“oposisi 1. Penentangan. 2. =parti ~ parti politik yg (sic) menentang parti pemerintah (dlm (sic) parlimen dll (sic) )”, parti pembangkang.”

Parti politik juga merupakan institusi politik demokrasi yang menghubungkan masyarakat dan negara. Peranan parti politik amat penting dan mempunyai hubungkait rapat dalam pembentukkan sesebuah negara dalam apapun bentuk amalan politiknya (Teshome, 2009).  Bukan sahaja parti ini mencerminkan hubungan negara dan masyarakat, malah dalam sesuatu keadaan mampu memulakan serta membentuk hubungan itu secara tersendiri

Justeru itu, ia memerlukan satu pertubuhan yang tersusun, merangkumi sekumpulan atau segolongan individu yang bekerja bersama-sama untuk bersaing merebut jawatan politik dan perjuangan polisi yang dipersetujui bersama. Jesteru itu, parti politik amat penting untuk proses pendemokrasian dan konsilidasi demokratik.

Schattschneider  (1942) yang merupakan antara kajian terawal berkenaan parti politik berpendapat adalah satu yang mustahil sebuah sistem demokrasi moden tanpa kewujudan parti-parti politik didalamnya. Tambahan pula, part politiklah yang membezakan sistem demokrasi dengan sistem diktator. Linz dan Stephan (1996) menyatakan bahawa adalah sangat mustahak adanya parti-parti politik dalam usaha membentuk sesuatu demokrasi. Ini kerana tidak ada perwakilan tanpa bercorak kepartian yang mampu mewujudkan sebuah kerajaan demokrasi. Oleh itu, dunia secara amnya dicorakkan sebagai sebuah sistem demokrasi menerusi kewujudan parti-parti politik.

Heywood (2002) berpendapat parti politik merupakan sekumpulan individu yang berhasrat untuk memenangi kuasa kerajaan menerusi kaedah pengundian atau kaedah-kaedah lain yang sesuai bagi pemikiran mereka. Canton (2007) pula menyifatkan parti politik dalam sesebuah sistem demokrasi amat perlu untuk melatih , memilih dan melantik calon-calon untuk pelbagai jawatan kerajaan dan parlimen. Selain itu, ia juga penting untuk mengumpul dan melaksanakan kehendak masyarakat dan untuk menyelia serta memantau sesebuah kerajaan yang memerintah.

Mathisen dan Svasand (1991) pula mengungkap peranan parti politik sebagai organisasi yang kompleks dan mempunyai  pelbagai peringkat seperti peringkat kebangsaan, rantau dan lokal / tempatan. Ia juga turut mengandungi pelbagai unit seperti peringkat pusat,bahagian pemuda, wanita dan sebagainya. Parti-parti politik turut mempromosikan persaingan penting berkenaan polisi-polisi dan ideologi yang pelbagi serta memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi berperwakilan (Teshome, 2009).

Menurut New Politics Network (2005), parti-parti politik menawarkan polisi-polisi yang pelbagai menerusi kempen-kempen pilihanraya yang seterusnya membolehkan para pengundi membuat pilihan mereka menerusi sesuatu pilihanraya serta meletakkan calon yang mereka pilih ke seseuatu jawatan politik.

Canton (2007) menegaskan bahawa parti-parti politik memainkan dua peranan yang besar dalam demokrasi; menubuhkan kerajaan yang memerintah atau memainkan peranan sebagai Oposisi atau pengimbang terhadap kerajaan yang memerintah. Senario di Malaysia pula lebih gemar menggunakan istilah pembangkang untuk menggambarkan parti-parti yang tidak memerintah.

Istilah Oposisi dengan huruf besar “O” perlun digunakan sebagai ganti istilah pembangkang. Istilah Oposisi lebih sesuai digunakan untuk melambangkan sebuah parti yang menjadi pengimbang kepada parti yang memerintah.

Ini juga berlandaskan pandangan Levell (2003), Oposisi membawa maksud parti-parti di dalam legislatif yang fungsi utamanya adalah untuk menilai, mengkritik dan seterusnya memberi alternatif terhadap apa yang dilaksanakan oleh eksekutif.

Kajian terhadap parti Oposisi tentunya amat menarik namun bukanlah satu bidang kajian yang popular. Ia ada kalanya dianggap terutama di negara-negara membangun sebagai satu isu yang boleh menimbulkan keadaan sensitif, beremosi dan provokatif. Walhal, politik Oposisi merupakan satu institusi rasmi dalam proses berkerajaan dalam mana-mana negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi tulen. (O’Donnell, 1997). Parti-parti Oposisi ini yang sepatutnya menjadi pengimbang (check and balance) dan sebagai kuasa alternatif dalam legislatif sesebuah parlimen kerap dipersepsikan sebagai pembangkang yang tugasnya hanyalah membangkang semata-mata dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Boleh dikatakan kajian pertama terhadap kepartian Oposisi hanya bermula dalam dekad 1960an apabila Robert Dahl menghasilkan buku Political Oppositions in Western Democracies (1966).

Persepsi negatif terhadap parti-parti Oposisi ini tidak sepatutnya berlaku kerana di dalam negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kerajaan akan silih berganti antara pelbagai parti politik. Parti-parti minoriti pula akan cuba untuk meyakinkan pihak majoriti berkenaan pandangan dan pendapat mereka menerusi kaedah politi tanpa perlu berkonflik.

Takrif demokrasi itu sendiri menjelaskan kepentingan parti-parti Oposisi sedari awal terutama dari aspek perngasingan kuasa. Menurut Murphy dan Blair (2006), ia merupakan satu hubungan antara parti yang memerintah dan parti-parti Oposisi yang diwatakkan sebagai perunding atau peserta (Lihat juga Dahl, 1971). Schmitter and Karl (1991) yang dipetik dari tesis Aspinall (2000:4),  berpendapat:

“Modern democracy ... offers a variety of competitive processes and channels for the expression of interests and values – associational as well as partisan, functional as well as territorial, collective as well as individual. ”

Jika dikaji dengan mendalam, istilah Oposisi merupakan satu istilah yang kabur. Sukar untuk memberi definisi tepat berkenaan Oposisi. Oposisi mungkin satu kaedah penolakkan menyeluruh atau total terhadap apa jua sistem kerajaan dengan hasrat menumbangkannya dengan apa jua sekalipun. Dari sudut yang lain pula, Oposisi merupakan pengimbang yang menilai, membangkang dan mengkritik apa jua tindakan kerajaan yang tidak berlandaskan yang sepatutnya(Roden, 1990, 10).

Emmanuel Dolo (2006) pula mendefinisikan parti Oposisi sebagai :

“partisan political institution that are intentionally designed to temper the ruling party’s excesses while still pursuing both legislative and presidential offices.”

Parti-parti Oposisi juga kerap digambarkan sebagai parti-parti minoriti yang tidak mempunyai kuasa eksekutif tetapi  memainkan peranan sebagai pemantau kepada kerajaan yang memerintah (Bagbin, 2008).  Dalam sesebuah negara pengamal demokrasi, parti-parti Oposisi adalah bebas untuk mengkritik parti pemerintah dan dalam masa yang sama parti Oposisi diharap dapat menawarkan polisi-polisi alternatif. Parti-parti Oposisi juga perlu menghormati dan mengiktiraf autoriti parti yang terpilih sebagai kerajaan (Kiiza, 2005).

Dolo (2006) juga mengungkap terma yang cukup menarik berkenaan hubungan unik ini :

“an authentic democracy is one where the ruling party has an effective oppostion.”

Schmitz (1988) pula menulis :

“The existence of an opposition, without which politics cease and administration takes over, is indispensable to the functioning of parliamentary political systems.”

Schmiz (1988) juga berpendapat bahawa dalam sistem masyarakat demokratik liberal, keabsahan sesebuah kerajaan bergantung kepada restu mereka yang diperintah. Pihak minoriti perlu menerima konsep bahawa adalah menjadi hak pihak majoriti untuk membuat keputusan.

Sehubungan itu, pihak majoriti akan menghormati hak minoriti untuk membantah keputusan yang dibuat oleh mereka yang memerintah serta menawarkan polisi-polisi alternatif. Dalm erti kata lain, adalah menjadi peranan parti-parti Oposisi untuk memantau dan mengimbang serta mengganti parti yang memegang tampuk pemerintahan.

Schmiz (1988) jelas percaya bahawa Oposisi politik yang tulen adalah rukun penting kepada demokrasi, toleransi dan kepercayaan kepada rakyat untuk menyelesaikan perbezaan menerusi kaedah yang aman. Schmitz juga berpendapat bahawa perbezaan antara kerajaan dan Oposisi adalah seuisia denga politik demokrasi itu sendiri.

Kajian parti politik juga merupakan asas penulisan Burnell dan Randall dalam buku Politics in the Developing World (2005). Terdapat bab khas yang membincangkan parti-parti politik, pertautan sosial mereka dan peranan parti-parti ini dalam perubahan politik sesebuah negara. Ia juga melihat dari aspek parti sebagai institusi, sebagai sebuah sistem serta peranan dalam proses pendemokrasian.

Untuk melihat sistem politik dan kepartian di Amerika Syarikat, buku karya Cummings dan Wise bertajuk Democracy Under Pressure (1985) terutama di bawah tajuk Politics U.S.A. Bab ini menganalisa bagaimana sesebuah parti politik beroperasi, kempen dan pemilihan calon pilihanraya dan tingkahlaku pengundi dalam sesuatu pilihanraya di Amerika Syarikat.

Robert Michels (terjemahan, 2001) pula menerangkan dengan panjang lebar konsep parti politik dari sudut yang spesifik dalam buku beliau Political Parties, A Sociological Study of the Oligarchical Tendencies of Modern Democracy. Buku asal yang ditulis pada tahun 1915 ini meneliti aspek asal kejadian sesebuah parti politik terutama dari sudut sosiologi. Memandangkan ia antara karya terawal berkenaan konsep kepartian, pelbagai isu-isu penting digarap dan dianalisa dengan kritis.

Samuel P. Huntington pula dalam bukunya The Clash of Civilizations, Remaking of World Order (1996) berpendapat bahawa budaya dan identiti agama seseorang akan menjadi punca utama konflik era pasca Perang Dunia Kedua. Pendapat beliau ini jelas menangkis teori-teori sebelu ini yang mendukong idea bahawa ideologi kepartian hanya berlandaskan hak kemanusiaan, demokrasi liberal dan ekonomi kapitalis semata-mata.

Jika dilihat dalam skop negara-negara membangun, terdapat ribuan parti politik yang lahir dari gelombang demokrasi era baru. Banyak yang baru, hasil dari respon keterbukaan orde baru demokrasi. Parti-parti lain pula dalam bentuk penjenamaan semula atau amalgamasi parti-parti lama. Terdapat juga parti-parti politik lama dan bersejarah seperti Parti Kongres di India yang ditubuhkan pada tahun 1888, parti PRI (Institutional Revolutionary) di Mexico yang ditubuhkan pada tahun 1929 dan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di Afrika Selatan yang muncul seawal tahun 1912.

Kaedah pembentukan parti-parti politik juga berbeza antara satu sama lain. Parti-parti yang dominan seperti Parti Kongres India, ANC dan Barisan Pembebesan Mozambique (FRELIMO) di Mozambique lahir menerusi gerakan kebangsaan atau liberalisasi negara mereka. Hal yang sama juga berlaku di negara-negara Afrika lain dalam perjuangan mencapai kemerdekaan sekitar 1960an. Parti pemerintah seperti Kenya African National Union (KANU) di Kenya dan Parti Revolusi atau Chama Cha Mapinduzi (dalam bahasa Swahili) di Tanzania lahir dekad tersebut dan masih bertahan sebagai parti yang utama walaupun dengan kemunculan sistem demokrasi pelbagai parti. PRI di Mexico juga didasarkan menerusi perjuangan untuk mencapai revolusi sosial.

Namun, terdapat juga parti-parti politik yang muncul kerana cita-cita politik tokoh-tokoh jutawan yang berpengaruh. Parti-parti ini dijadikan landaan bagi mencapai cita-cita mereka untuk berkuasa. Pemimpin seperti Presiden Collor di Brazil dan Presiden Fujimori di Peru menggunakan parti-parti mereka untuk mengukuh dan mengekalkan kuasa. Begitu juga seperti apa yang berlaku di Thailand. Parti Thai Rak Thai yang diilhamkan oleh Thaksin Shinawatra telah berjaya mendapat majoriti mutlak dalam pilihanraya parlimen Thailand pada bulan November 2000 walaupun hanya ditubuhkan beberapa bulan sebelum itu.

Dalam pada itu, kajian parti Oposisi secara mendalam hanya mula muncul pada dekad 1960-an. Robert Dahl dalam bukunya, Who Governs? (1961) telah meneliti struktur kuasa rasmi dan tidak rasmi dalam satu kajin kes di New Heven, Connecticut. Menerusi kajian tersebut, Dahl merasakan yang terdapat pelbagai golongan elit yang terlibat dalam struktur kuasa sama ada sebagai pemerintah mahupun pengimbang. Buku beliau yang ditulis pada tahun 1966, Political Opposition in Western Democracies pula mengutarakan antara lain kajian terhadap parti pengimbang dalam masyarakat demokrasi liberal di Barat.

Ketiadaan kajian ini disebabkan kemungkinan kajian terhadap parti pemerintah dan corak pemerintahan serta pentadbiran dipandang lebih penting. Tanggapan inilah yang perlu diubah kerana jika dilihat daripada sudut yang lain, pengimbang ini membenarkan parti-parti berkenaan lebih bebas untuk menilai ideologinya, mendebatkan polisi serta membawa idea-idea dari rakyat yang tidak mungkin boleh diutarakan oleh parti yang memerintah. Seterusnya parti-parti ini menjadi pemerintah, mereka akan menggunakan pengalaman sebagai parti pengimbang untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik dari parti yang tidak pernah atau tidak punya pengalaman menjadi parti pengimbang atau Oposisi.

Malaysia juga menyaksikan kemunculan pelbagai jenis parti politik sejak pra merdeka hingga ke pasca pilihanraya (PRU) ke-12 pada tahun 2008. Terdapat parti pemerintah bersifat etnik yang muncul sebelum mereka seperti UMNO, MCA dan MIC yang ditubuhkan antara 1946-1948. Tahun 1951 menyaksikan kemunculan parti berpaksikan agama iaitu PAS. Parti multietnik juga muncul, bermula dengan parti NEGARA, GERAKAN dan PPP.  Pasca merdeka juga menyaksikan muncul DAP dan PRM yang berideologi sosialis. Sabah dan Sarawak pada awalnya banyak memperlihatkan kemunculan parti wilayah dan etnik serta PBB, UPKO, PBS dan banyak lagi.

KEADILAN atau awalnya dikenali Parti Keadilan Nasional (PKN) hanya muncul penghujung dekad 90-an. Ianya muncul dalam satu keadaan rentetan protes terutama dengan pemecatan pemecatan dan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1998. Khalayak umum melihat ia merupakan satu-satunya faktor munculnya parti ini. Mungkin ia benar dari sudut realpolitiknya, namun isu-isu sosio-politik yang berakar umbi beberapa tahun sebelum itu harus diambil kira untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku hingga membawa kepada penubuhan KEADILAN.

Ketiadaan banyak kajian berkenaan parti oposisi turut tercermin dalam kajian sains politik di Malaysia. Parti-parti Oposisi atau pengimbang utama yang ada waktu ini seperti PAS, DAP dan KEADILAN sememangnya amat kurang diberi perhatian dalam kajian-kajian besar. Jika adapun, kajian banyak menjurus kepada PAS. Amat kurang kajian-kajian ilmiah yang kepada parti-parti seperti KEADILAN dan DAP. Itu belum dikira parti-parti Oposisi yang pernah muncul di Malaysia seperti Parti Buroh, Parti Sosialis Malaysia, NASMA, Parti Sosialis Rakyat Malaysia, HAMIM, BERJASA, AKIM dan juga SEMANGAT 46 yang pernah muncul dan kemudiannya terbubar.

Kajian terhadap parti politik di Malaysia terutama politik parti-parti yang tidak memerintah lebih banyak muncul pasca PRU-12. Sebelum itu, parti-parti yang banyak dikaji pula lebih menjurus kepada parti-parti memerintah. Parti-parti pengimbang atau Oposisi kerap terpinggir dan lebih banyak diulas menerusi penulisan bercorak politik semata-mata. Hanya PAS yang kerap mendapat perhatian di semua peringkat kajian.

Cuma setelah berlaku apa yang dipopularkan sebagai Tsunami Politik pasca Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008, barulah muncul kajian berkenaan kepartiaan di luar status quo. Itupun banyak menjurus kepada aspek analisa kemerosotan parti memerintah tanpa menilai secara mendalam keupayaan parti-parti Oposisi sebagai kajian kes.

Tsunami politik Pilihanraya ke-12 tersebut merupakan satu sejarah penting politik Malaysia. Ia menjadi kajian pelbagai pihak baik dari segi akademik dan ilmiah hingga ke pojok politik semata. Tidak terkecuali, kejayaan parti-parti politik Oposisi turut mendapat perhatian besar dari semua pihak. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) adalah antara parti Oposisi yang menonjol pada PRU itu. Ia telah muncul sebagai parti Oposisi terbesar di Parlimen. Tidak hairan jika kebangkitan KEADILAN dari satu kerusi di Parlimen P44 Permatang Pauh pada PRU-11 kepada 31 kerusi Parlimen dengan keseluruhan lebih 70 wakil rakyat memberi kejutan besar kepada bukan sahaja kepada para penganalisa politik, malah kepada kerajaan yang memerintah. Malah jika dibandingkan kepada jumlah bahagian, KEADILAN mempunyai 212 bahagian di seluruh Malaysia berbanding UMNO yang mempunyai 191 bahagian.

Sudah sampai masanya parti-parti politik dilayan sama adil di Malaysia kerana semua parti sama-sama meraikan demokrasi. Ia perlu bermula dengan perubahan persepsi dengan istilah Oposisi menggantkan Pembangkang. Mungkin ada yang mempertikai bahawa Oposisi ini asalnya bahasa Inggeris. Namun, memang bahasa Malaysia memang begitu. Ingat lagi istilah bajet (budget) menggantikan belanjawan? Apa kata Ketua Pembangkang di parlimen digantikan dengan istilah baru; Ketua Oposisi ? Fikirkanlah demi merealisasikan politik baru yang lebih maju.

Hamdan Datuk Mohd Salleh merupakan ahli akademik dan mantan Ketua Jabatan Saisn Sosial di Univerisiti Industri Selangor (Unisel) yang mengkhusus dalam bidang sains politik. Kini beliau sedang menyiapkan tesis Doktor Falsafah yang mengkaji KEADILAN sebagai sebuah parti politik oposisi di Malaysia.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...