BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, November 30, 2010

Promo ‘Ketuanan Rakyat’ bukannya ‘Ketuanan Melayu’, Anwar nasihati Pakatan

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Rakyat memperluaskan mesej konsep “Ketuanan Rakyat” di kalangan pengundi di negeri-negeri dikuasai perikatan tiga parti itu ekoran serangan Umno mengenai isu itu sejak Sabtu lalu.

Mengambil pendirian isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail iaitu Presiden KEADILAN, yang dilontarkan Sabtu lalu, Ketua Umum Pakatan Rakyat ini mendakwa konsep “Ketuanan Melayu” telah diputarbelitkan oleh beberapa pemimpin elit dari Umno-BN.

“Tanggungjawab negeri-negeri (pimpinan Pakatan Rakyat) ialah untuk menegaskan pendirian dalam soal konep Ketuanan Rakyat,” kata Anwar dalam ucapan penutup Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan negeri Pakatan Rakyat di sini malam tadi.

“Ungkapan Ketuanan Melayu telah diputarbelitkan oleh satu kumpulan yang kaya raya dan orang Melayu yang berkuasa. Mereka kaya kerana dasar-dasar pro-Melayu,” katanya.

Dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR Sabtu lalu, Dr Wan Azizah berkata, konsep Ketuanan Melayu harus “ditinggalkan” kerana ia hanya memperdayakan bangsa Melayu sendiri.

Beliau berkata, konsep tersebut hanya digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu.

“Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai demi kepentingan diri sendiri. 

“Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi. Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan Bumiputera, masih tetap terabai,” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini sedang mengalami nasib hidup yang sangat menyedihkan.

Bagaimanapun seruan itu didakwa Umno sebagai usaha untuk meraih sokongan bukan Melayu selain cuba mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman parti itu.

Antaranya, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata justeru rakyat harus berwaspada dengan strategi terbaru parti pembangkang tersebut yang cuba “menggula-gulakan” anggota bukan Melayunya,

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) pula menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “kacang lupakan kulit” kerana meminta agar konsep “Ketuanan Melayu” ditolak.

Ketua Pemuda Perkasa Arman Azha Abu Hanifah turut menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” apabila sanggup menolak konsep tersebut semata-mata mahu meraih simpati dan sokongan daripada orang bukan Melayu.

Dalam ucapannya malam tadi, Anwar juga menegaskan Pakatan Rakyat tidak cukup efektif dalam menyampaikan mesej mereka kepada rakyat jelata.

“Kita tidak efektif dalam menjelaskan pendirian dan tindakan kita kepada rakyat,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Penetrasi Internet terletak di kawasan bandar dan pinggir bandar, bukannya di kawasan-kawasan luar bandar,” kata beliau sambil menambah, pemimpin-pemimpin KEADILAN telah menyuarakan keprihatinan mereka mengenai halangan dihadapi dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat khususnya selepas Suara Keadilan digantung permit penerbitan.

Malah Anwar juga menekankan gesaan Penasihat DAP Lim Kit Siang agar pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat merapatkan semula hubungan di sebalik spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum awal tahun depan.

“Saya bersetuju dengan Kit Siang bahawa sudah sampai masanya kita ada konsensus dan perpaduan,” kata beliau.

Kata Anwar, Pakatan Rakyat akan berhadapan dengan risiko sekiranya wujud unsur kesangsian dalam parti dan perikatan.

“Jadi kita minta diwujudkan semangat konsensus dalam kerajaan negeri Pakatan,” kata beliau.

Ketika merasmikan Konvensyen DAP Selangor Ahad lalu, Lim memberi amaran Selangor akan berhadapan dengan nasib PAS di Terengganu pada 2004 jika tidak kekal bersatu.

Anwar juga mendakwa pentadbir kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak dibenarkan memasuki sekolah.

“Beliau mungkin menteri besar, tetapi tidak dibenarkan memasuki mana-mana institusi pendidikan atau sebarang sekolah,” kata beliau.

Ketua Umum KEADILAN ini juga membidas kerajaan pusat kerana enggan menyalurkan dana terus kepada kerajaan-kerajaan negeri.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB