Pihak berkuasa tempatan (PBT) Pulau Pinang mencatatkan lebihan hasil sejak dua tahun lalu berikutan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang diperkenalkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sejak 8 Mac 2008.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kesan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat dilihat dengan penambaikan iaitu dari segi perubahan defisit kepada lebihan dalam jangka masa dua tahun.
“Selepas diambilalih, PBT mencatatkan lebihan hasil berbanding sebelumnya apabila Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berada dalam keadaan bankrap dengan defisit RM230 juta untuk tujuh tahun.
“MPSP dapat mengatasi defisit pada tahun pertama dengan memperolehi lebihan RM3.02 juta dan meningkat kepada RM14.6 juta pada 2009,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di Komtar, semalam.
Guan Eng berkata, MPPP mencatat rekod dengan lebihan RM48 juta pada 2009 berbanding RM20 juta tahun sebelumnya.
“Walaupun lebihan 2009 masih belum diaudit, ia dikeluarkan untuk pendedahan awal dan akan dipaparkan dalam Internet dalam masa terdekat,” katanya.