BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Jumaat, Februari 27, 2009

Siapa Sebenarnya Di Belakang "RIBUT" Dalam PKR?

Siapa sebenarnya di belakang keributan politik kini. PKR kini seolah diasak kiri dan kanan. Apa fasal ahli PKR yang jadi sasaran.


Perak jadi kelam kabut berpunca dari DUN PKR. MB Selangor,orang PKR,kena gasak MACC. Foto seksi juga PKR, Bukit Selambau pun PKR. Apa fasal??

Orang PAS dan DAP tak pula jadi sasaran utama walaupun ada.


Ini semua kerja strategis. PAS dan DAP dah berjuang berpuluh tahun dan kesannya pada UMNO/BN tak memeningkan. Pernah bekerjasama dengan S46 dan PBS. Tetap juga BN menang besar dalam PRU. Jadi bagi dia (mereka), PAS/DAP bukan masalah tunjang. Mereka mesti serang sasaran utama.


Sasaran utama strategis ini ialah Anwar Ibrahim. Masuk penjara sudah. OK, reda sekejap, keluar saja penjara, semua orang UMNO/BN huru hara. Serangan peribadi dah buat, tak jadi. Menang besar di Permatang Pauh. BN dengan segala armada dan General turun, satu undi pun tak dapat curi kalau di banding dengan PRU 12 dulu.


Kalau macam itu, serang pula orang-orang dia, sebab yang lain itu tak sekebal Anwar. Bila serang orang PKR, ini akan jadi masalah untuk Anwar.


Bagi strategis, kalau nak jatuhkan lawan, bagi masalah yang berterusan. Tak kiralah caranya bermoral atau tidak. Gentleman atau tidak. Pokok pangkalnya biar dia sibuk dengan masalah.

Barulah boleh buat serangan yang dia tak sangka-sangka.


Taktik begini bukan baru dan bukan asing. Tiap minggu kita boleh tengok dalam EPL. Itulah yang dalam kepala tiap pengurus kelab. Sebelum kena ’sack’, Scolari kata, dia tak ada orang yang boleh bagi masalah pada pihak lawan.


Peranan PAS dan DAP dalam merampas 4 negeri dari BN dulu memang tak boleh dinafikan, tapi dominasi DSAI dalam mencatur strategi memang nadi utamanya. Bagi strategis, DSAI ialah masalah terbesar. Kurang lebih sepuluh tahun saja kerjasama PAS, DAP dengan PKR, hasilnya drastik sekali. Dan kurang lebih 4 tahun saja DSAI bebas dan ‘all out’ berkempen, kesannya ‘destructive’ sekali bagi UMNO/BN.


Drastik dan ‘destructive’, kombinasi yang paling di geruni.


Bagi mereka PKR dan DSAI benteng yang mesti diruntuhkan untuk memusnahkan Pakatan Rakyat. Kalau PKR dan DSAI bermasalah, maknanya bermasalah lah Pakatan Rakyat. Taktik yang sama DSAI sendiri buat masa kempen PRU 12, serang pemimpin UMNO, serang DEB, runtuhkan keyakinan rakyat pada UMNO/BN, hasil nya…tak payah disebut lah.


Serangan yang paling bagus ialah duit dan skandal seks. Ini cara paling mudah dan paling efektif selagi ia berlaku diatas muka bumi ini. Jika terjerat sebab dua benda ini, memang susah nak lepas. Rahim Tambi Chik berbelas tahun nak lepas. Isa Samad masih bergelut. Chua Soi Lek saja yang handal, tak sampai 5 tahun isu seks di hotel, terus jadi Timbalan Presiden.


Mungkin ramai yang boleh mengandaikan siapa strategis itu. KJ??… Bukan, bukan…jauh panggang dari api. Akal Oxford nya tak kan sampai kesitu. Dia cuma “master in provocation”.


BN memang tak ada isu untuk menghentam PR. Langsung tak ada isu, kalau ada pun isu terpencil. Tapi DSAI dan PR ada bertimbun isu yang nak dijaja pada rakyat.


Mood rakyat sekarang pada PR dalam fasa menaik bukit, sokongan bertambah-tambah. Belum lagi sampai klimaks atau takat tepunya. Masih ada banyak sebab rakyat nak berpihak pada PR. Beribu fakta PR boleh beri pada rakyat mengapa keadaan ekonomi, sosial dan politik kita jadi huru hara.


Sokongan orang Melayu bertambah, sebab orang Melayu suka tunggu dan lihat.Mereka dah tunggu dan lihat keputusan PRU lepas. Signalnya jelas, PR semakin kuat dan popular. Siapa yang tak suka memihak pada yang kuat dan popular. Orang Melayu yang atas pagar atau yang dulu undi BN sebab sentimen tradisi akan masuk menyokong PR.


UMNO/BN pada pandangan rakyat dah memang sinonim dengan politik wang. Sesuatu yang mustahil untuk dikikis dari pemikiran rakyat hatta untuk 15, 20 tahun lagi, melainkan Presiden UMNO itu tiba-tiba turun dari langit dan berwatak macam Nik Aziz.


Serangan-serangan keatas individu PKR akan berterusan sebab mereka melambangkan Anwar Ibrahim, dan jika ada orang PAS dan DAP yang boleh dipalitkan, juga tak terkecuali terutama yang ada ‘direct network’ dengan Anwar.


Strategis-strategis ini semua ialah orang yang memihak pada Najib, samaada mereka memerlukan Najib atau Najib memerlukan mereka untuk survival. Najib memang bijak orang nya, jika tidak tak kan lah dia bakal jadi PM Mac ini walaupun semua orang UMNO dan perwakilan tahu kes Altantuya dan Razak Baginda bagaikan irama dan lagu dengan Najib.


Namun strategis utamanya ialah musuh nombor satu yang juga bekas bos DSAI sendiri. Wallahualam.


sumber : http://ppmas-proreform.blogspot.com


Ahad, Februari 22, 2009

Ibu tunggal terharu dengan perhatian ADUN

Sungai Baong - Hasil sumbangan YB Hj. Maktar, JKKK dan orang ramai, sebuah rumah untuk menempatkan warga emas berjaya didirikan.

Siti Kalsom Darus, 66, yang tinggal di sini sejak tahun 1954, kehilangan tempat berteduh berikutan pemilik tanah tidak lagi membenarkan beliau dan anak-anaknya menetap di situ. Beliau terpaksa merobohkan rumahnya dan membina di tanah pusaka peninggalan ibubapanya.

Di atas keprihatinan, YB Hj. Maktar mengambil tindakan segera dengan menghulurkan bantuan membina kembali rumah berkenaan dan berharap Siti Kalsom sekeluarga dapat hidup selesa dan tenteram.

Serba boleh : Hj. Maktar membancuh simen sambil diperhatikan Hj. Wan

Gotong-royong di Ladang Sempah

YB Hj. Maktar bergambar bersama penduduk kampung sebelum bermulanya program


Ladang Sempah
- Gotong-royong yang dianjurkan oleh JKKK Sg. Duri dengan kerjasama penduduk kampung berkenaan telah menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Hj. Maktar bin Hj. Shapee.

YB bukan sahaja melawat, malah turut serta membersih kawasan kampung. Beliau menyeru orang ramai supaya menjadikan budaya gotong-royong sebagai amalan, seterusnya dapat menghindar diri dan keluarga dari wabak penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lalat, tikus dan sebagainya.

"Amalan menjaga kebersihan bermula dari rumah, sekiranya setiap orang ada rasa tanggungjawab ini dan mengekalkannya secara tidak langsung seluruh kampung dan kawasan akan menjadi bersih," ujarnya.

Jumaat, Februari 20, 2009

Lawatan ke Muda Paper Mills Sdn Bhd


Tasek - Rombongan ADUN Sg. Bakap telah melawat kilang tersebut setelah mendapat jemputan dari pihak pengurusan Muda Paper Mills Sdn Bhd.

Pertemuan tersebut hanyalah merupakan majlis suai kenal dan ramah mesra di antara Lembaga Pengarah dengan kakitangan Pejabat ADUN.

Turut serta di dalam rombongan tersebut ialah Setiausaha Politik ADUN; Hj. Wan, Pembantu Khas ADUN; Md Arop Yahya, Pegawai Perkhidmatan Masyarakat; Pn Rajaletchimee serta Pengerusi JKKK Tasek; Mohamad Said Mohd Zain.

Khamis, Februari 19, 2009

Pusat Khidmat Rakyat bergerak dapat sambutan

Tempat : Padang Awam, Taman Puteri Gunung

Orang ramai yang menunggu giliran dengan penuh sabar


Semua kaum mendapat perhatian sewajarnya


Petugas Pusat Khidmat Rakyat, Pn. Norjuliana sedang mendengar masalah penduduk


YB melawat tanaman yang diracun

Tasek - Akibat terdapat perselisihan pendapat dan ketidakpuasan hati di kalangan jiran tetangga, tanaman menjadi mangsa perbuatan khianat pihak tertentu.

Menurut mangsa yang enggan dikenali, ini berpunca dari perselisihan faham antaranya dengan individu terbabit.

Ketika meninjau ke kawasan ladang nenas yang diracun itu, YB Hj. Maktar yang ditemani oleh Pengerusi JKKK Tasek, Mohamad Said Mohd Zain berkata masyarakat perlu mengamalkan musyawarah dalam apa-apa masalah yang dihadapi khususnya dalam hal-hal kemasyarakatan bagi mengelakkan perpecahan, pergaduhan dan kerugian.

"Jika berlaku masalah, kita ada jawatankuasa yang boleh mempertemukan mereka yang berselisih pendapat iaitu JKKK atau boleh terus membuat aduan ke Pusat Khidmat Rakyat DUN Sg. Bakap. Kita sedia menerima apa-apa sahaja aduan dan rungutan rakyat tanpa mengira latarbelakang mereka."

"Musyawarah dan perbincangan adalah perkara yang amat penting dalam kita menyelesaikan segala masalah yang dihadapi, janganlah merosakkan tanaman atau binatang. Jika kelak masyarakat mengetahui bahawa siapa yang melakukannya, ini secara tidak langsung merosakkan imej seseorang itu," katanya.

YB Hj. Maktar bersama Hj. Wan dan Mohamad Said meninjau kebun terbabit


Jadual 'Pusat Khidmat Rakyat' Bergerak DUN Sungai Acheh

Sila klik imej untuk paparan lebih jelas


Jadual 'Pusat Khidmat Rakyat' Bergerak DUN Sungai Bakap


Sila klik imej untuk paparan lebih jelas..



Rabu, Februari 18, 2009

Lembu berkeliaran : diatasi secara berhemah

YB Hj. Maktar ketika mempengerusikan sessi dialog tersebut

Kepala Gajah - Pada awal bulan lalu, YB Hj. Maktar telah mengarahkan satu perbincangan perlu diadakan di antara MPSP, wakil penduduk dan pemilik lembu bagi mengelakkan masalah terus berpanjangan.

Hasilnya dapat dilihat apabila sessi dialog tersebut berjaya menghimpunkan pihak yang terlibat serta jalan penyelesaian terbaik dapat diterima oleh semua pihak. YB Hj. Maktar turut mempengerusikan sessi dialog yang diadakan di Dewan JKKK Taman Puteri Gunung.

Semasa membuat tinjauan setelah menerima aduan penduduk Flat Mutiara Jaya pada awal bulan lalu berkenaan masalah lembu yang berkeliaran di sekitar kediaman mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap itu memberi jaminan akan menyelesaikannya secepat mungkin.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Mohd Zamri Yahya berkata, sebaik sahaja aduan dibuat, MPSP mengambil tindakan segera dengan membuat tinjauan dan pemantauan secara menyeluruh serta bakal menyelesaikan masalah yang hampir lapan tahun tidak dapat diselesaikan.

Seorang penduduk Nor Ashikin Ramli, berkata tindakan pantas PBT serta pemimpin di sini khasnya ADUN Sg. Bakap dalam memberi perhatian serius mengenai masalah yang diutarakan oleh rakyat harus dipuji.

"Kami sudah puas membuat aduan pada kerajaan dulu tetapi masalah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan dan diharapkan kerajaan yang memerintah kini serius dalam menyelesaikannya," tambahnya lagi.

Selasa, Februari 17, 2009

Wajarkah Pemimpin Kita letak jawatan jika gambarnya sedang Mandi atau Buang Air tersebar?

Oleh: pendikar gunung kriang

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, yang juga wakil rakyat Bukit Lanjan, membuat laporan di balai polis Damansara, Petaling Jaya berkaitan gambar-gambarnya yang sedang tidur berbogel yang kini tersebar di internet dan MMS. Difahamkan foto-foto yang dirakam di atas sofa rumahnya itu diambil tanpa kebenarannya itu kemungkinan diambil oleh seorang bekas teman lelakinya.

Bagai mengantuk disorong bantal, Ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bingkas mendesak Elizabeth meletak jawatan EXCO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan.

"Ini (tidur berbogel) adalah masalah moral. Dulu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pun letak jawatan," katanya kepada Malaysiakini.

Khir kata tidur berbogel di dalam rumah sendiri masalah moral? Bagi saya, sama ada perbuatan Elizabeth tidur telanjang itu boleh digambarkan sebagai tidak bermoral bergantung kepada beberapa keadaan:

i) Adakah kelakuan seseorang itu di dalam rumahnya sendiri - makan, mandi, tidur, buang air besar dan buang air kecil dianggap tidak bermoral jika gambarnya di dalam keadaan sedemikian berjaya diambil oleh rakannya, musuhnya atau paparazzi yang khas diupah untuk tujuan memalukannya? Elizabeth dalam hal ini difahamkan diambil gambar ketika sedang tidur berseorangan di atas sofa rumahnya sendiri oleh bekas teman lelakinya.

Jika tidur dalam keadaan telanjang itu tidak bermoral, jika esok tersiar gambar Datuk Seri Najib sedang mandi telanjang di dalam kediamannya sendiri, wajarkah Khir Toyo menyatakan perbuatan Dato' Seri Najib itu sebagai tidak bermoral dan dengan itu Najib patut letak jawatan?
Selanjutnya....

Kenyataan Media Ketua Umum Berhubung Isu YB Elizabeth Wong

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—
Bangunan Parlimen, 17 Februari 2009


Saya merujuk kepada kenyataan Saudari Elizabeth Wong, di mana beliau telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.


Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik keji yang digunakan ke atas beliau. Kita tertanya-tanya sekeji mana dalang ini sanggup menggunakan taktik tersebut.


Saya dan Azizah telahpun berbincang secara panjang lebar dengan Saudari Elizabeth Wong. Kami memahami asas kepada keputusan yang diambil beliau.


ANWAR IBRAHIM

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

Ahad, Februari 15, 2009

Turun Padang....

Sungai Udang - "Walaupun DUN Sg. Acheh dimenangi pembangkang, ia sentiasa mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri khusus KeADILan Bahagian Nibong Tebal".

Demikian ujar Hj. Mohd Kamil Abu Bakar ketika mengulas kehadirannya ke program gotong-royong yang dijalankan di sini. Terdahulu beliau menghadiri satu mesyuarat bersama persatuan penduduk dan pemimpin masyarakat yang turut dihadiri oleh pembantu khas ahli parlimen Nibong Tebal, Tan Yoke Woei.

Hj. Mohd Kamil yang lebih mesra dengan panggilan Hj. Wan juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Nibong Tebal, Setiausaha Politik ADUN Sg. Bakap dan Ahli Majlis MPSP.

Hj. Wan (tiga dari kiri) dalam pertemuan dengan pemimpin masyarakat


Ketua Penerangan AMK, Mohd Khamis dan pemimpin DAP ketika ditemuramah wartawan


Gambar kenangan bersama penduduk sebelum program gotong-royong


Sabtu, Februari 14, 2009

Hak Milik Kekal : Speaker akan panjangkan kepada Kerajaan Negeri

Teluk Ipil - Masalah tanah yang berpanjangan sejak era pemerintahan Barisan Nasional, kini mendapat perhatian Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk dirujuk kepada Kerajaan Negeri, Abdul Halim Hussain (gambar).

Kebanyakan penduduk kampung tersebut masih menunggu untuk mendapatkan status hak milik kekal dan perkara tersebut akan diteliti dan perjumpaan selanjutnya akan diatur diantara penduduk dengan Exco terbabit.

Menurut Abdul Halim, segala masalah yang timbul haruslah disampaikan kepada pemimpin peringkat kampung dan kawasan seperti JKKK yang dilantik untuk tindakan lanjut Kerajaan Negeri.

"Sekiranya masyarakat menggunakan saluran yang betul untuk memberikan cadangan dan aduan kepada pimpinan atasan, ia akan melicinkan kerja penambahbaikan seterusnya segala masalah serta kerumitan yang dihadapi oleh masyarakat dapat diatasi oleh kerajaan", ujarnya ketika menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kg. Che Isa, Teluk Ipil, Nibong Tebal.

"Kerajaan Negeri sentiasa mendengar masalah rakyatnya, dan dengan adanya JKKK di setiap kawasan akan membantu masyarakat bagi menyalurkan segala permasalahan yang dihadapi".

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah YB Tan Beng Huat (ADUN Jawi), Mustafa Kamal Mohd Yusoff (Setiausaha Perhubungan KeADILan Pulau Pinang), Hj. Mohd Kamil Abu Bakar (Setiausaha Politik ADUN Sg. Bakap) dan Penolong Pegawai Daerah serta Penghulu Mukim.

Orang ramai yang hadir mendengar taklimat

Rabu, Februari 11, 2009

Perjumpaan dengan penduduk Makau Suah

Sungai Bakap - Satu majlis dialog diadakan bagi mengatasi masalah penempatan semula yang berlanjutan sejak tahun 2000. Sebanyak 26 buah rumah terlibat dan sebilangan besar penduduk Kg. Makau Suah hadir ke majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

Masalah ini timbul berikutan waris pemilik tanah melalui peguamnya mengeluarkan notis pindah kepada penghuni rumah terbabit. Manakala para penduduk pula mendakwa mereka dipindahkan oleh kerajaan sejak berlakunya darurat dan di tempatkan di atas tanah tersebut.

Semasa perbincangan tersebut, waris pemilik tanah melalui peguamnya mengemukakan dua cadangan sama ada penduduk membayar sewa sebanyak RM 150 sebulan untuk setiap buah rumah ataupun membeli tanah kepadanya dengan kadar RM 9 sekaki.

Setelah cadangan tersebut tidak mendapat reaksi positif dari penduduk, YB Hj. Maktar mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik dan akhirnya diterima oleh kedua-dua pihak.

Cadangan daripada ADUN Sungai Bakap, Hj. Maktar ialah membuat sistem Sewa Beli agar tidak membebankan penduduk dengan harga yang berpatutan dan akan ditentukan kelak.

Selain daripada YB Hj. Maktar dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Majlis MPSP, Hj. Mohd Kamil, turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah; Hj. Jusni, Pegawai Pejabat Tanah serta Pengerusi JKKK Sungai Bakap (S).

Selasa, Februari 10, 2009

Stor haram diarah tutup



Kg. Padang Lalang - Akibat tidak tahan dengan bau busuk, pencemaran dan wabak penyakit akibat daripada kewujudan 'stor kitar semula' berdekatan, penduduk kampung telah mengadu masalah tersebut ke Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sungai Bakap.

Setelah meninjau ke kawasan terbabit beberapa hari yang lalu, YB Hj. Maktar memanggil Jabatan-jabatan berkaitan dan penduduk kampung untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

Stor haram terbabit menjalankan aktiviti memproses habuk besi dan mengitar
semula bahan plastik tanpa lesen. Pencemaran udara, saliran yang tercemar dan habuk menjadi igauan masyarakat setempat.

Ketika pemilik premis tersebut dihubungi untuk hadir dalam perbincangan, beliau enggan bekerjasama.

Oleh itu, tindakan yang akan diambil oleh Pejabat Daerah SPS ialah mengenal pasti no.lot tanah terbabit untuk diserahkan kepada Pegawai Perlesenan MPSP supaya menyaman tuan tanah. Selain itu juga Pegawai Perlesenan akan mengeluarkan notis tutup dan pindah operasi.

Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah; Puan Asmah, Ketua Polis Daerah; Chif Inspektor Zakaria, Pengarah Perbandaran dan Kesihatan MPSP; Dr. Ramli, Ahli Majlis MPSP; Hj. Mohd Kamil , Penghulu Mukim; Tg. Zaki, wakil Jabatan Perlesenan MPSP, wakil Pegawai Kesihatan Daerah serta JKKK Padang Lalang dan Kepala Gajah.

Terdahulu, dalam kejadian berasingan Pegawai Penguatkuasa MPSP, En. Mohd Nor telah megeluarkan notis kepada pemilik lori yang meletakkan kenderaan mereka di kawasan penempatan awam.

Ini berikutan aduan penduduk Taman Puteri Gunung yang tidak berpuas hati kerana kawasan terbabit sering dijadikan tempat menyimpan lori dan menggangu lalulintas. Notis tersebut telah diserahkan kepada pemandu lori terbabit dan sekiranya masih engkar Bahagian Penguatkuasa MPSP akan menyita kenderaan itu.

Arumugam letak jawatan sebagai Exco dan ADUN Bukit Selambau

Alor Setar - Atas faktor tertekan dan diancam keselamatan keluarga menyebabkan Arumugam Vengatarakoo, meletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau.


Demikian kata Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak di sidang medianya itu yang diadakan di kediaman rasminya, Sri Mentaloon, di sini semalam.


Turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan Pengerusi Badan Perhubungan KeADILan Kedah, Ahmad Kassim.


"Dukacita saya maklumkan Arumugam juga meletakkan jawatannya sebagai Adun Bukit Selambau berkuatkuasa serta merta dan surat perletakan jawatan itu bertarikh 8 Februari 2009. Dia telah menghantar dua surat, satu kepada Speaker memaklumkan perletakan jawatannya sebagai Adun dan satu kepada saya memaklumkan perletakan jawatannya sebagai Exco dan Adun.


"Sepatutnya surat itu dihantar kepada Tuanku Sultan, tetapi mungkinlah sebab teknikal dia hantar kepada saya dan saya telah menyembahkan surat itu kepada Tuanku Sultan," ujarnya mengumumkan.


Menurut Ustaz Azizan perletakan jawatan Arumugam juga dimaklumkan beliau dengan surat kepada Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan disalinkan kepada beliau. Oleh itu katanya, Speaker akan memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).


Katanya lagi, memandangkan kuota kerusi tersebut diberikan kepada KeADILan, maka soal calon juga diserahkan kepada KeADILan.


Menjawab pertanyaan media, kata Ustaz Azizan, Arumugam dalam suratnya menjelaskan bahawa beliau menghadapi ugutan daripada pihak Barisan Nasional dan menawar kepadanya jutaan ringgit untuk melompat kepada BN.


"Dia dan keluarganya tidak tahan lagi, rasa tertekan dengan pelbagai ugutan, jadi atas dasar itu demi keselamatan diri dan anggota keluarga dia, maka dia rasa elok dia menarik diri dari politik dengan menjadi wakil rakyat.


"Dia juga diugut pada beberapa kali terutama di peringkat akhir keretanya (disimbah) dicat dan pelbagai lagi. Maka sebab itu dia tak sanggup lagi jadi dia letak jawatanlah," ujarnya yang turut memaklumkan surat itu diperolehinya jam 5 petang tadi.


Jelas beliau, surat itu bercop suruhanjaya sumpah dan akan diserahkan beliau kepada Speaker. Mengulas pertanyaan media juga beliau menganggap perkara itu lumrah dalam politik. Ditanya tindakan pihak polis terhadap aduan yang pernah dibuat, katanya perkara itu perlu dirujuk kepada pihak polis.


Diminta mengulas mengenai Arumugam, beliau menyifatkan Arumugam seorang yang telah menjalankan tugas dengan baik. Ustaz Azizan juga menjelaskan bahawa ugutan yang diterima Arumugam telah berlaku sejak beliau memenangi kerusi Dun Bukit Selambau dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.


"Paling terakhir dia ditawarkan RM5 juta. Saya menghargai sikap beliau yang menolak tawaran sebanyak RM5 juta itu. Tapi kerana tekanan emosi, tekanan kepada keluarga, maka tidak ada jalan lain," terangnya yang turut membacakan penjelasan bertulis Arumugam.


Sementara itu, Ahmad Kassim pada sidang media itu berkata, KeADILan Kedah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil yang bakal berlaku.


Katanya, jentera gabungan parti-parti Pakatan Rakyat akan membantu manakala mesyuarat pra-pilihanraya akan diadakan di Parlimen Merbok. Maklumnya juga pimpinan KeADILan Pusat juga akan turun ke Kedah dalam beberapa hari lagi dan calon akan diputuskan oleh pimpinan pusat melalui cadangan KeADILan Kedah.


Menurut Ahmad, Arumugam juga memaklumkan kepadanya bahawa beliau kini selamat dan keputusan itu turut dimaklumi kepada pimpinan KeADILan Pusat.


Isnin, Februari 09, 2009

AMK cabar Pemuda UMNO berdebat Isu Perak

Kuala Lumpur - Exco Angkatan Muda KeADILan Malaysia, Yusmadi Yusoff mencabar Pimpinan Pemuda UMNO dan BN untuk berdebat secara terbuka mengenai krisis yang berlaku di negeri Perak.


Kegagalan pimpinan politik memberi penjelasan yang sebenarnya, menurut Yusmadi, merupakan satu penginayaan dan ketidakadilan terhadap rakyat yang menjadi mangsa apabila cita-cita demokrasi mereka telah ‘dihijack’ oleh pimpinan politik yang tak bertanggungjawab.


“Saya yakin Debat Terbuka merupakan wadah demokratik bagi meyelesaikan ‘Krisis Demokrasi’ yang sedang di alami di Perak,” kata Yusmadi yang juga Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang.


Menurutnya, rakyat tidak berdosa dihukum dengan gas pemedih mata, penahanan di bawah ISA dan tuduhan menderhaka yang tidak sepatutnya dialami oleh mereka sekiranya ruang demokratik diberikan.


“Pimpinan Negara, terutama yang muda perlu menunjukkan satu contoh yang lebih bertanggungjawab dengan menyelesaikan krisis tersebut dengan wadah yang mengambarkan kedudukan Malaysia yang sudah merdeka lebih 50 tahun,”katanya hari ini.


Tambah Ahli Parlimen Balik Pulau itu lagi, rakyat sudah bijak dan mereka memerlukan wadah dan ruang yang demokratik bagi membuat penilaian tanpa sogokan maklumat yang berat sebelah dan tidak bertanggungjawab.


Al-Fatihah : Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia

Kuala Lumpur - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal dunia akibat serangan jantung pagi ini ketika sedang menunggang basikal.


Media turut melaporkan pimpinan Pas, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung Pas Kamaruddin Jaafar mengesahkan bahawa Roslan meninggal pagi ini


Sebelum menjadi Ahli Parlimen, Allahyarham pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Institut Teknologi Mara Perak.


Allahyarham mempunyai Sarjana dari bidang Sains Pembangunan Sumber Manusia, Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengkususan Sains politik dan Psikologi UKM serta mempunyai Diploma Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan 11 orang anak.


Bertanding atas tiket Pas pada pilihanraya ke 12, Allahyarham memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.


Masalah selesai


Bandar Tasek Mutiara - Rungutan penduduk taman perumahan di Fasa 7 tentang sampah yang tidak dikutip oleh MPSP akhirnya diselesaikan segera oleh YB Hj. Maktar.

Sebelum ini penduduk di sini melalui Persatuan Penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab, tetapi tidak diendahkan.

YB Hj. Maktar bersama ahli majlis MPSP, Hj. Mohd Kamil turun ke kawasan terbabit untuk melihat sendiri dan mendengar luahan penduduk terbabit.

Tindakan segera diambil dengan mengarahkan Setiausaha MPSP menghantar lori sampah ke tempat terbabit pada hari ini juga. Selain itu, YB meminta Pengarah Kebersihan dan Kesihatan MPSP, Dr. Ramli supaya mengeluarkan jadual kutipan sampah (schedule) dan menyemak senarai penyelia/kontraktor yang terlibat untuk rujukan.

Sabtu, Februari 07, 2009

Bengkel Pengurusan Perkukuhkan Parti

Sungai Bakap - Parti KeADILan Rakyat Bahagian Nibong Tebal telah mengadakan Bengkel Pengurusan Parti Cawangan-cawangan di Dewan Kebajikan JKKK pagi tadi.

Program yang bermula sejak jam 9 pagi itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap yang juga Ketua Bahagian Nibong Tebal, Tuan Hj. Maktar bin Hj. Shapee.

Seluruh pimpinan cawangan-cawan
gan di dalam Bahagian Nibong Tebal yang hadir diberi taklimat tentang pengurusan dan agenda parti.

Menurut YB Ketua Bahagian, bengkel tersebut bertujuan memberi penerangan mengenai hala tuju dan matlamat parti serta mengekalkan jati diri setiap ahli.

Beliau turut menggesa setiap cawangan menambahkan bilangan ahli dan memperbanyakkan cawangan supaya memudahkan gerak kerja parti di masa hadapan.

Setakat ini jumlah ahli KeADILan di Bahagian Nibong Tebal melebihi 3,000 orang.



AJK-AJK cawangan yang hadir


Uniknya parti berbilang kaum


Sessi perbincangan


Pembentangan hasil LDK




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB