BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Isnin, Mac 15, 2010

Pakatan Rakyat Desak GST Ditarik Balik Bukan Tangguh

Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST perlu ditarik balik dan bukan setakat ditangguh sahaja kerana ia merupakan bebanan kepada rakyat kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menganggap keputusan Parlimen pada kali ini yang tidak akan membincangkan tentang GST sebagai satu kemenangan Pakatan Rakyat.

"Kerajaan perlu membangunkan ekonomi rakyat dahulu sebelum menjalankan beberapa usaha untuk meningkatkan hasil cukai negara. Perkara ini bukan senang untuk dilaksana tetapi ada banyak pandangan yang merasakan kos perkhidmatan dan  barangan akan meningkat.

"Pakatan Rakyat merasakan GST perlu ditarik balik bukannya ditanggungkan," kata Khalid selepas perasmian sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Pendapat beliau disokong Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan rakyat belum lagi bersedia menerima perlaksanaan cukai seperti ini.

"Sepatutnya rang undang-undang ini perlu ditarik balik kerana jika sedang kali ini tidak dibentang tetapi pada sidang yang akan datang ia akan dibentang juga.

"Alasan kerajaan untuk mendapat respon dari rakyat adalah silap, sepatutnya sebelum merangka GST ia perlu mendapat respon dari rakyat. Jika rang undang-undang telah dirangka bagaimana respon rakyat boleh dimasukkan walaupun boleh mengemukakan pindaan tetapi kita melihat ini umpama tikus membaiki labu kerana kita lihat ia tidak dapat memastikan rang undang-undang memberi kesejahteraan kepada rakyat sepenuhnya," jelasnya.

Mahfuz juga menganggap rakyat belum bersedia untuk menghadapi GST kerana pendapatan rakyat masih rendah.

"Pendapatan rakyat masih rendah kerana 93 peratus rakyat tidak layak dicukai kerana faktor pendapatan mereka. Jika GST dilaksanakan maka ini tidak adil kepada rakyat yang tidak layak dikenakan cukai," sambungnya lagi.

Persidangan Parlimen pada kali ini menarik minat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan menyifatkan titah Yang DiPertuan Agong bersifat adil.

Mengulas titah baginda, Khalid berkata Tuanku Mizan Zainal Abidin  mengarahkan agar setiap Ahli Parlimen bekerjasama untuk pembangunan rakyat.

"Walaupun kita berbeza dari segi konsep parti tetapi yang penting ialah bagaimana kita menterjemahkan kepentingan negeri dan negara untuk kepentingan rakyat dan perkara yang paling penting ialah kita mesti memberikan memberitahu pentadbir serta pegawai kerajaan supaya tidak membezakan antara parti-parti politik

"Sebagai contoh di Selangor pemerintahan adalah Pakatan Rakyat dan bekas pegawai-pegawai kerajaan menterjemahkan usaha Pakatan Rakyat untuk membangunkan negeri Selangor dan tidak boleh dibeza-bezakan," jelas beliau.

Mahfuz pula berkata titah Yang Di-Pertuan Agong supaya setiap Ahli Parlimen menunjukkan sikap terbaik mereka perlu diambil iktibar kepada Ahli Parlimen yang melompat parti.

"Contoh Ahli Parlimen yang terbaik adalah Ahli Parlimen yang tidak melompat parti kerana ini adalah prinsip dan amanah yang telah diberikan rakyat kepada mereka. Kepada Ahli Parlimen yang lompat parti perlu melepaskan jawatan mereka kerana sikap mereka telah mengecewakan rakyat," tegas beliau.

Selasa, Mac 09, 2010

Prestasi Kerajaan Negeri-Negeri Pakatan Rakyat Sepanjang 2 Tahun

Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat. Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan didasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Berdepan dengan masalah perkauman yang meruncing, rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan kaum yang semakin jitu dan utuh. Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan jika dibandingkan dengan negeri yang ditadbir Umno-Barisan Nasional.


Selangor

Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.76 billion pada tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20,753 peluang pekerjaan. Dari jumlah pelaburan tersebut, RM2.752 bilion (40.8%) merupakan pelaburan tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya merupakan yang tertingi dicatatkan di negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan sebanyak 3.87 peratus tahun lepas.

Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010. Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun sumbangan individu.

Pulau Pinang

Pulau Pinang meluluskan sebanyak 104 projek industri (ketiga tertingi). Dasar CAT (daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan) menjadi pemangkin kepada kejayaan Pulau Pinang untuk merekodkan lebihan belanjawan (surplus) sebanyak RM88 juta berbanding jangkaan defisit sebanyak RM35 juta (belanjawan 2008)

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul. Pengiktirafan serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.

Bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM97 ribu per sekolah, RM60 ribu kepada setiap sekolah Cina dan RM63 ribu kepada setiap sekolah Tamil. Jumlah keseluruhan ialah RM11.3 juta.

Kedah

Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.

Kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai per tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan. Sedangkan di bawah pentadbiran Umno-BN, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik. Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah.

Kelantan

Semenjak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan. Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri. Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota Bharu. Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan. Selain itu PMBK menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990. Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan. Kehadiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat.


Pertandingan Bolasepak 9 Sebelah, Piala YB Hj. Maktar Shapee

Sungai Bakap, 7 Mac 2010 - Program anjuran bersama JKKK Sungai Bakap (S) dan Angkatan Belia Wawasan berjaya menarik pasukan dari Baling, Kuala Ketil, Utara Perak dan daerah-daerah di sekitar Seberang Perai.

Hadiah yang ditawarkan oleh penganjur agak lumayan selain dari piala YB Hj. Maktar. Pertandingan Bolasepak tersebut telah dijalankan di SRJK (C) Perkampungan Jawi dan SK Sungai Bakap.

YB Ustaz Maktar bersama finalist kejohanan, Mesra FC dan Rafi Brothers

Tempat Keempat : ILP Kepala Batas
(Hadiah: RM750 & medal)

Tempat Ketiga : Kubang Semang FC
(Hadiah: RM750 & medal)

Naib Johan : Mesra FC
(Hadiah: RM1500 + Jersi + medal)

Johan : Rafi Brothers
(Hadiah: Piala YB Hj. Maktar + RM2000 + Jersi + medal)

Pemain Terbaik (Akhir) : Mohd Syafiq, Mesra FC
(Hadiah: RM50 + medal)

Pengerusi JKKK Sg. Bakap (S), Yahaya Saat menyampaikan cenderahati kepada YB Ustaz Maktar

Jumaat, Mac 05, 2010

Kenyataan Media YB Mansor Othman

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Negeri Pulau Pinang amat mengambil berat isu perkhidmatan kepada rakyat di Parlimen Bayan Baru dan Nibong Tebal. Ini kerana parti terus menerima sokongan dari pengundi di kawasan tersebut berdasarkan respon yang diberikan oleh rakyat kepada pimpinan parti. Oleh itu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri Pulau Pinang dengan ini membuat keputusan untuk menyusun semula struktur perkhidmatan masyarkat di kedua-dua parlimen seperti berikut:


1. Bagi Parlimen Bayan Baru, isu-isu dasar yang perlu dibawa ke peringkat Dewan Rakyat akan diserahkan kepada Y.B. Yusmadi Yusof iaitu Ahli Parlimen Balik Pulau. Manakala hal-hal berkaitan khidmat masyarakat pula akan dipertanggungjawabkan kepada tiga orang ADUN dalam parlimen Bayan Baru iaitu ADUN Batu Maung, ADUN Pantai Jerjak, dan ADUN Batu Uban. Parti yakin tiga orang ADUN ini akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat berdasarkan “track record” mereka yang cemerlang. Selain itu rakyat juga boleh menyalurkan aduan ke Pusat Khidmat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bayan Baru yang telah ditukarkan dari pejabat lama ke kawasan baru serta dinaiktaraf perkhidmatanya.


2. Bagi Parlimen Nibong Tebal pula, parti membuat keputusan isu-isu dasar yang perlu dibawa ke peringkat Dewan Rakyat akan diserahkan kepada Ketua Umum Parti sendiri iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh. Manakala hal-hal berkaitan khidmat masyarakat pula akan dikendalikan oleh YB. Tuan Maktar bin Hj. Shapee selaku Ketua Cabang KEADILAN Nibong Tebal dan juga ADUN Sungai Bakap. Tugas ini akan diselaraskan secara bersama dengan Y.B. Tuan Law Choo Kiang, EXCO Kerajaan Negeri yang juga ADUN Bukit Tambun. Selain itu, tugas ini juga akan turut dibantu oleh Y.B. Tuan Prof. Dr. P. Ramasamy, Ahli Parlimen Batu Kawan dan Y.B. Tuan Tan Beng Huat, ADUN Jawi.


Pihak Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Negeri Pulau Pinang akan terus komited membantu rakyat bagi merelisasikan hasrat untuk menjadikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai Kerajaan Yang Berjiwa Rakyat.


Y.B. MANSOR BIN HJ. OTHMAN

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN

Negeri Pulau Pinang



Khamis, Mac 04, 2010

Beli Ahli Parlimen KEADILAN Untuk Lulus Persempadan Semula

Editor portal Malaysia Today Raja Petra Kamarudin mendakwa Umno sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membeli wakil rakyat Pakatan bagi membolehkan mereka kembali dengan kuasa dua pertiga di Parlimen.

Kuasa dua pertiga ini diperlukan untuk meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal digunakan untuk menumpaskan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya ini pula dibuat dengan cara "gerrymandering".

(Gerrymandering adalah kaedah persempadanan kawasan pilihan raya yang dibuat sedemikian rupa untuk menyusun para pengundi untuk kepentingan pihak tertentu yang menghasilkan bentuk yang luar dari biasa)

Menurut perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhak membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya setiap lapan tahun sekali.

Kali terakhir ia dibuat adalah pada tahun 2003 iaitu sebelum pilihan raya 2004 berlangsung. Hasilnya, Barisan Nasional menang besar dalam pilihan raya itu.

Pencapaian BN akan sentiasa bertambah baik dalam pilihan raya yang diadakan selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya melalui gerrymandering ini.

Ia berlaku menjelang pilihan raya 1986, 1995 dan 2004. Dalam kesemua pilihan raya tersebut pencapaian BN sentiasa lebih baik dari pilihan raya sebelumnya.

Menurut Raja Petra dalam tulisannya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dipisahkan dari Selangor untuk memecahkan kuasa politik Cina di Selangor dengan mengumpulkan mereka di Kuala Lumpur sahaja.

Ia dibuat ekoran kejatuhan Selangor ke tangan pembangkang pada pilihan raya 1969.

Sementara itu mengikut pengalaman PAS pula dua tokoh penting PAS telah hilang kerusi Parlimen mereka akibat dari persempadanan semula kawasan pilihan raya ini iaitu Mohamad Sabu di Kuala Kedah dan Datuk Mahfuz Omar di Pokok Sena.

Kedua-duanya telah menang di kawasan tersebut dalam pilihan raya 1999. Ia ekoran sokongan kuat Melayu kepada PAS dalam pilihan raya tersebut.

Bagi memecahkan pengundi Melayu, beberapa kawasan Cina di Alor Setar telah dimasukkan ke kawasan parlimen Kuala Kedah dan Pokok Sena dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003.

Terbukti ia berjaya dan kedua-duanya kalah dalam pilihan raya 2004. Namun Mahfuz yang terus bertanding di Pokok Sena dalam pilihan raya 2008 menang selepas pengundi Cina pula lari kepada pembangkang dalam pilihan raya itu. Mohamad Sabu kalah dalam pilihan raya itu kerana dia bertanding di Kuala Terengganu dan bukannya di Kuala Kedah.

Kini, menjelang PRU ke 13 Umno dan pakar-pakarnya sedang menyusun semula strategi untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya . Tanpa kuasa dua pertiga Parlimen, ia tidak akan berjaya. Maka datanglah usaha ini, membeli seramai mungkin wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Menurut Raja Petra, "orang di belakang 'shopping spree' membeli anggota Parlimen Pakatan Rakyat ini adalah Hamdan, sepupu Najib, yang telah diberikan Kudat IPP sebagai 'cash cow' untuk membiayai 'shopping spree' ini."

Menurut Raja Petra, Hamdan bekerja rapat dengan "Special Branch" (Cawangan Khas) dan "Military Intelligence" (Perisik Tentera).

"Orang hubungan beliau di Bukit Aman adalah Akril Sani manakala dalam Military Intelligence adalah Datuk Salleh," tulis Raja Petra.

"Nombor telefon Hamdan adalah +6012-279-5945," tulis Petra lagi.

Menurutnya Hee Yit Fong, ADUN DAP Perak yang meninggalkan partinya dibayar RM25 juta kerana peranan beliau untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak.
 
Namun, katanya Tan Tee Beng, anggota Parlimen PKR dari Pulau Pinang yang baru sahaja keluar dari PKR dibayar hanya RM2 juta sahaja.
 
 

Mohsin Jumpa Najib, Pak Lah, Zahid Sebelum Keluar Parti

Parti KEADILAN Cabang Bagan Serai sudah lama menjangka akan berlakunya episod  keluar parti oleh Ahli Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzil Samsuri setelah melihat reaksi beliau yang degil walaupun setelah ditegur berkali-kali mengenai sikapnya yang banyak membelakangi parti.

Melihat kepada prestasi beliau yang tidak memberangsangkan Ahli Parlimen kawasan itu, kepimpinan parti banyak memberi nasihat dan menegur berhubung sikapnya namun tiada perubahan positif yang ditunjukkannya.

Ketua Cabang PKR Bagan Serai Md Nasib Rahim berkata sikap Mohsin yang keras hati dan tidak boleh menerima teguran yang diberikan kepadanya jelas menunjukan bahawa beliau akan mengikut langkah Ahli Parlimen Bayan Lepas Datuk Seri Zahrin Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng yang mengambil keputusan yang sama.

"Apa yang berlaku hari ini ibarat seperti anjing yang buruk kepala sudah dikutip orang dan dipinang oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Beliau bukan sahaja mempunyai masalah disiplin, malah juga mempunyai masalah kewangan sehingga menyebabkan beberapa projek ternakan lembu dan kambing yang diusahakanya banyak terbengkalai," kata Nasib sewaktu ditemui dalam satu sidang media di Pusat Khidmat PKR Bagan Serai.

Tambah Nasib, disebabkan masalah kewangan dan kepentingan peribadinya Mohsin nekad meninggalkan parti yang telah menaikkan beliau sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu.

Disoal mengenai bibit-bibit hubungan Mohsin dengan Umno dan BN, Nasib memberitahu Mohsin pernah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Zahid Hamidi tanpa pengetahuan parti.

Namun beliau percaya perjumpaan  ini berkemungkinan untuk urusan tawaran harga yang akan diberikan oleh BN sekiranya beliau keluar dari PKR.

"Saya mendesak dan mencabar ahli Parlimen yang khianat ini meletakkan semua jawatannya termasuk Ahli Parlimen bagi memberi ruang dan kuasa kepada rakyat memilih wakil rakyat yang betul-betul diperlukan dan dengan mengadakan semula pilihan raya dan beliau boleh melihat adakah beliau akan diterima lagi atau tidak oleh rakyat," tegas Nasib lagi.


Umno Perlu Cermin Diri Di Pulau Pinang

Isu permasalahan Melayu dan kepimpinan kerajaan Pulau Pinang yang dikatakan menjadi faktor Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng meninggalkan perjuangan parti, sebenarnya merupakan dakwaan tidak tepat.

Sebaliknya pelbagai isu yang didakwa berlaku di Pulau Pinang berpunca dari kesilapan politik Umno-Barisan Nasional yang gagal menguruskan negeri itu dengan baik selama lebih 50 tahun.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuf berkata bukan sesuatu yang mudah untuk membawa perubahan di Pulau Pinang selepas Pakatan Rakyat mengambilalih segala kebobrokan yang ditinggalkan rejim BN.

"Sebagai pemimpin Balik Pulau, isu yang ditimbulkan oleh Zahrain dan Tan Tee Beng menggambarkan bahawa cabaran mengurus kepimpinan politik Pulau Pinang amat sukar, bagaimana dalam masa 50 tahun pelbagai usaha, sumber, dana dan politik digunakan tetapi Umno gagal membela hak orang Melayu contohnya,'ujar beliau.

Sebaliknya kata Yusmadi Umno dan BN kini menunding jari kepada Pakatan Rakyat dengan mendakwa kerajaan Pulau Pinang gagal membela nasib melayu di negeri itu.

"Saya ingin beritahu pemimpin Umno di Pulau Pinang terutama Ketua Perhubungan Umno, Zahid Hamidi supaya cermin diri sendiri. Bagi saya jangan tipu orang Pulau Pinang, kerana orang Pulau Pinang telah cukup menderita. Sekarang mereka memberi ruang kepada kepimpinan baru dan inilah tanggungjawab saya.

"Gabungan BN telah gagal menyelesaikan masalah Melayu di Jelutong, di Balik Pulau, hari ini saya mendepani. Bagi saya apabila Umno bangun menempelak Pakatan Rakyat yang dikatakan gagal dalam masa dua tahun, itu ibarat menepuk air di dulang, terkena muka sendiri.

Menyifatkan Lim Guan Eng sebagai seorang Ketua Menteri yang bekerja kuat dan berpegang kepada asas Pakatan Rakyat yang berlandaskan prinsip keadilan, Yusmadi memberi sokongan yang tinggi kepada kepimpinan Guan Eng.

"Dalam kerencaman cabaran hari ini saya masih menaruh harapan Lim Guan Eng mampu melakukannya kerana kita tidak diasosiasikan dengan isu rasuah, isu urustadbir dan sebagainya,"katanya.

"Dengan sikap rendah diri saya Ahli Parlimen baru yang tak ada pun "track record" sebagai orang politik, saya perlu belajar kerana cabaran di Pulau Pinang itu hebat. Saya yakin di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, insyaAllah saya boleh melakukannya," tambah beliau.

Menurut Yusmadi, dalam membawa agenda perubahan, adalah menjadi suatu perkara biasa apabila sesebuah organisasi politik berhadapan dengan masalah pimpinan dan pengurusan.

Beliau menyifatkan kedua-dua pemimpin seperti Zahrain dan Tee Beng telah "terkorban" dalam memenuhi sebuah citra politik baru. 

"Sebagai seorang yang faham tentang perjuangan politik, adalah munasabah untuk sebuah parti baru selama 10 tahun dengan pencapaian sebegini hebat dan harapan rakyat yang menggunung tinggi, mengalami dan perlu sedikit pelarasan,"katanya.

"Adalah munasabah isu pengurusan lebih baik berbanding isu Umno-BN yang mengalami isu dasar, isu perkauman, isu agenda ekonomi dan sosialnya, agenda pendidikannya, yang mana telah ditolak dan memerlukan satu reformasi baru,"
 
"Tetapi kita di sini masih teguh dari segi dasarnya, bagi saya kalau saya mahu meyakinkan rakyat antara dua pilihan ini, pilihlah parti yang jelas dari segi dasar. Saya yakin pilihan raya akan datang rakyat boleh faham dan saya memberi keyakinan penuh untuk rakyat membuat pilihan," katanya.
 
 


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...