BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, April 05, 2011

Video tak layak dijadi bukti kerana boleh diubah suai- bekas mufti

SHAH ALAM: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Md Hashim Yahya menyatakan rakaman video seks, tidak boleh dijadikan bukti atau saksi dalam dakwaan zina, apalagi sekiranya video tersebut tidak diketahui kesahihannya.

“Tak boleh diterima. Dalam Islam, video atau gambar tidak boleh dijadikan bukti jika semata-mata berpegang kepada bukti itu kerana benda-benda seperti ini boleh diselewengkan lebih-lebih lagi dalam zaman ketinggian sains dan teknologi sekarang ini,” tegas beliau kepada Keadilandaily ketika ditemui kediamannya di sini semalam.

“Zaman saya lima puluh tahun dulu pun kita boleh melihat gambar orang yang berdiri di atas pokok bunga. Macam mana berdiri atas pokok bunga? Itu teknologi 50 atau 60 tahun dulu.

“Sebab itu ia tak boleh dijadikan asas dalam syariat Islam kerana benda- benda ini boleh diubah suai. Sekarang kalau kita menonton aksi dalam filem, dengan aksi kita melihat seolah-olah ia benar terjadi tetapi hakikatnya (aksi itu) hanya berlaku dalam studio saja. Kadang-kadang dalam komputer sahaja,” ujar beliau.

Menurutnya  dalam syariat islam, bagi sesuatu pertuduhan zina, seseorang yang menuduh seseorang individu lain melakukan perbuatan tersebut harus tampil mengemukakan  empat saksi.

Sekiranya individu terbabit tidak berupaya membawa saksi berkenaan, maka dia perlu dikenakan hukuman qazaf atau 80 kali sebatan rotan.

“Sebenarnya banyak ayat Al quran yang menyentuh tentang soal Allah melarang kita mengaibkan dan menjatuhkan atau menuduh seseorang melakukan kerja tidak bermoral seperti liwat, zina dan sebagainya.

“Yang paling jelas apa yang berlaku kepada Saidatina Aisyah di mana Allah menceritakan bahawa ada tuduhan liar (qazaf) menuduh Saidatina Aisyah melakukan perkara tidak senonoh, tetapi akhirnya Allah menurunkan ayat Al Quran dan membebaskan Siti Aisyah daripada tuduhan itu,” ujar beliau.

Beliau turut menceritakan tentang kisah Hilal bin Umaiyah, yang menuduh isterinya berzina dengan Sharik bin Sahma, dan kemudian datang mengadu kepada Rasulullah.

“Rasullah kata kepadanya, “kamu perlu membawa saksi atau kalau tidak aku rotan kamu”.

“Lalu dia (Sharik) berkata kepada Rasullullah, kalau seseorang suami melihat seorang lelaki melakukan zina dengan isterinya, dengan mata kepalanya sendiri, apakah memerlukan kepada bukti dan saksi lagi?

“Lalu Rasullullah mengulangi kata-kata yang sama iaitu kamu perlu membawa saksi atau kalau tidak aku rotan
kamu, ” ujar  ulama terkenal tersebut yang kini merupakan pensyarah syariah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Menurutnya, banyak lagi ayat Al Quran yang menerangkan tentang isu itu seperti surah An Nur ayat 4 yang menerangkan tentang qazaf kepada mereka yang melemparkan tuduhan zina kepada wanita yang baik, tetapi tidak dapat membawa empat saksi seperti yang digariskan dalam Islam.

“Dalam kes lain pun mereka tidak boleh menjadi saksi lagi sebab mereka sudah hilang kredibiliti (fasik),” ujar beliau.

Katanya lag, begitu juga dalam surah An nur ayat 23, bermaksud sesunguhnya mereka yang menuduh wanita-wanita yang baik, yang solehah dan beriman dengan tuduhan zina,  mereka akan dilaknat oleh Allah dunia dan akhirat dan mereka akan mendapat azab yang sangat dasyat.

“Dalam surah Al Hujurat ayat 12, jelas Allah melarang kita jangan banyak bersangka buruk kerana sebahagian buruk sangka itu adalah berdosa. Kemudian Allah menyebut, Jangan kamu mencari-cari keaiban orang, ini di antara ayat yang diterangkan kepada kita,” ujar beliau.

Sebelum ini, tiga mufti tampil menyeru umat Islam supaya tidak percaya atau terpengaruh berita yang disebar golongan yang dianggap ‘fasik’.

Mereka adalah Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya,  Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid  dan Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad  yang meminta umat Islam mengesahkan dulu sebarang maklumat yang diterima mereka.

Temubual penuh bersama Dato Hashim Yahya boleh dibaca di akhbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan yang dijangka akan berada di pasaran esok.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...