Tinggal tiga hari menjelang pengundian pilihan raya negeri Sarawak,
gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak Putrajaya
menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat aset Ketua Menteri Tan Sri
Abdul Taib Mahmud dan keluarga, dipercayai memiliki kekayaan “luar
biasa.”
Pada satu sidang media di sini, gabungan 42 NGO mahu suruhanjaya
diraja ditubuhkan kerana tidak mungkin Taib, seorang kakitangan
kerajaan mampu memiliki aset yang begitu banyak sedangkan rakyat
Sarawak miskin dan tidak dibela.
“Kami hari ini mendesak kerajaan agar dengan segera menubuhkan
suruhanjaya diraja untuk menyiasat aset Taib dan keluarga kerana tidak
mungkin seorang kakitangan kerajaan boleh memiliki harta begitu banyak.
“Aset Taib (dan keluarga) yang dianggarkan bernilai berbilion
ringgit ini adalah tidak logik, bagaimana Taib boleh mengumpul harta
yang begitu banyak sedangkan beliau hanya ketua menteri yang juga
kakitangan kerajaan,” kata Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Dr
Kua Kia Soong.
Jelas beliau, pihaknya mempunyai bukti bahawa aset Taib diperoleh
melalui salah guna kuasa dan rasuah termasuk ada kaitan dengan
syarikat-syarikat dalam dan luar negara yang tidak diketahui.
“Sebahagian daripada syarikat di Malaysia dimiliki keluarga Taib dan
ada syarikat di luar negara juga yang mempunyai kaitan dengan keluarga
Taib tapi kita tidak tahu jumlah sebenarnya.
Kata beliau syarikat yang ada kaitan dengan keluarga Taib adalah
Achi Jaya Holding Sdn Bhd, Borsarmulu Resort Sdn Bhd, Cahya Mata
Sarawak Sdn Bhd, Naim Holding Berhad, Kumpulan Sanyan, Syarikat
Aluminium Sarawak, Sarawak Energy Berhad, Kumpulan Ta Ann, Tatanium
Management Sdn Bhd dan UBG Berhad.
“Ini hanya di Malaysia,” katanya.
Kata beliau, yang di luar negara pula Adelaide Ottawa Corporation
(Kanada), City Gate International Corporation (Kanada), Glowell
Development Corporation (Kanada), Ridgeford Properties (Britain),
Geneid Holding Pty Ltd (Australia) dan Valentine on George Pty Ltd
(Australia).
Menurut Kua, keluarga Taib juga turut mempunyai kaitan dengan beberapa syarikat di Hong Kong dan Amerika Syarikat.
“Suruhanjaya diraja ini perlu ditubuhkan untuk menyiasat jumlah aset yang dimiliki Taib dan keluarga.
“Semua aset ini perlu disiasat dan didedahkan, bagaimana seorang
kakitangan kerajaan boleh memiliki kekayaan yang begitu banyak? Apa
yang beliau telah lakukan sedangkan ramai rakyat Sarawak hidup dalam
keadaan miskin dan papa,” katanya.
NGO yang menyertai gabungan ini ialah Aliran Kesedaran Negara
(Aliran), Persatuan Badan Bertindak Wanita (Awam), Amnesty
International Malaysia, Bersih 2.0, Bruno Manser Funds, Pusat Bagi
Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia, Inisiatif Pembangunan Kanak-kanak
(CCID), Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Pusat
Prihatinan Orang Asli (COAC), Gabungan Urus Tadbir Pulau Pinang, Badan
Bertindak Jaringan Komuniti (CAN), Warga Kota Damansara (FoKD) dan
Kumpulan Rakyat Prihatin.
Lain-lain ialah Inisiatif Ekuiti Kesihatan (HEI), Ikatan Hak Rakyat,
Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Johor Tamizhar Sangam, Persatuan
Pengguna Klang, Lawyer of Liberty, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG,
Pergerakan Demokrasi Pelajar dan Pemuda Malaysia (DEMA), Persatuan
Dravidian Malaysia, Persatuan Perniagaan India Malaysia dan Persatuan
Pembangunan dan Uniti Masyarakat India Malaysia.
Turut bersama Pusat Pembangunan dan Kajian Manusia Malaysia, Parti
Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Sekolah Persendirian Cina Pulau
Pinang, Persatuan Alumni Chung Ling Pulau Pinang, Organisasi
Perkhidmatan Awam, Persahabatan Semparuthi, Persatuan Kemajuan
Pendidikan Malaysia, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower),
Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas) dan
Persatuan Prihatian Belia Malaysia.
Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), Saya Anak Bangsa Malaysia
(SABM), Sembang-sembang Forum, Sem Kiong Angin, Woman Aid Organisation
(WOA), Pusat Kesedaran Wanita (WCC) Pulau Pinang dan Pakatan Penulis
Media Bebas (WAMI) juga menyertai gabungan NGO ini.
“Sebenarnya isu-isu yang kita bangkitkan ini bukan isu lama, kita
sudah bawa sejak dari dulu lagi cuma ia tidak disebarkan melalui media.
“Sebagai contoh isu balak haram, kita dah bangkitkan sejak dari 1980
tapi sehingga kini tiada apa yang berlaku, siapa yang dapat hasil pun
kita tidak tahu, syarikat mana pun kita tidak tahu. Begitu juga dengan
empangan Bakun sehingga sekarang walaupun ada bantahan, ia diteruskan,”
kata Pengarah Eksekutif KOMAS Tan Jo Hann.
Tambah beliau, terlalu banyak penyelewengan dan salah guna kuasa
yang dilakukan Taib, namun tiada tindakan diambil sehingga beliau mampu
bertahan selama 30 tahun sebagai ketua menteri.
“Banyak perkara yang berlaku (dalam pentadbiran Sarawak) dan kita
tidak hanya sasarkan kepada Taib sahaja, cuma apa yang kita boleh
katakan, pemimpin yang korupsi seperti beliau bagaimana masih boleh
bertahan sehingga kini?
“Sebab itu kita mahu beliau disiasat, apa penyelewengan dan rasuah yang berlaku... berapa banyak? Siapa terlibat?” soalnya.
Bulan lalu, Transparency-International Malaysia (TI-M) meminta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat dakwaan
rasuah yang melibatkan Taib.
Badan pemantau antirasuah itu menggesa SPRM agar mengambil tindakan
segera memandangkan tuduhan terhadap Taib, ketua menteri paling lama
memegang jawatan, sudah muncul di media asing sekarang.
Kata Kua, rakyat Sarawak berhak untuk mendapatkan pembangunan dan kebajikan seperti yang dilakukan sesebuah kerajaan lain.
“Rakyat Sarawak berhak untuk mendapatkan hak mereka, mereka juga berhak untuk mendapatkan pembangunan dan kemudahan.
“Sekarang sudah tiba masa bagi rakyat Sarawak untuk menentukan
sendiri masa depan mereka yang telah dianugerahkan dengan alam semula
jadi dan sumber alam, kini sudah tiba masa rakyat Sarawak bangkit untuk
menyelamatkan diri mereka dan juga negeri,” katanya merujuk kepada
pilihan raya Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.
Sementara itu, Jawatankuasa Komuniti Bersih, Maria Chin Abdullah
berkata, pilihan raya Sarawak perlu diadakan dengan telus dan bersih.
“Kita
negara demokrasi tapi tidak amalkan demokrasi, jadi pada pilihan raya
Sarawak dan pilihan raya umum amalan demokrasi ini perlu diterjemahkan.
“Jangan hanya sebelah pihak mendapat kebebasan untuk bersuara tetapi pihak satu lagi tidak boleh,” katanya.