BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Ahad, Oktober 24, 2010

Menara Warisan Merdeka Dijangka Cecah RM10 Bilion

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menjangkakan kos Menara Warisan Merdeka 100 tingkat bakal melebihi RM10 bilion berdasarkan  kenaikan kos pembinaan istana baru yang melonjak melebihi 100 peratus daripada RM400 juta Ke RM935 juta.

Dalam ucapan perbahasan Bajet 2011 Jumaat lalu, beliau berkata ia adalah disebabkan perancangan dan anggaran awal yang tidak profesional berkemungkinan menyebabkan kosnya akan melebihi RM10 bilion.

"Ini menimbulkan keraguan, sama ada kerajaan Umno-Barisan Nasional benar-benar komited kepada apa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu ke arah negara berpendapatan tinggi atau pun melangkah ke belakang, menjalankan projek mega  yang hanya memanfaatkan kroni tertentu sahaja.

"Kita harus belajar daripada pengalaman zaman silam zaman Firaun yang berjaya membina Piramid yang maha besar atas darah dan titik peluh rakyat yang diperas dengan begitu zalim sekali tetapi kini hanya tinggal Piramid sedangkan Firaun sudah lama berkubur," kata Guan Eng.

Katanya lagi, dalam usaha kerajaan untuk membantu rakyat, bajet yang dibentangkan itu seharusnya berusaha memulihkan pelaburan swasta agar menjadi jentera pembangunan ekonomi.

"Kejatuhan pelaburan luar negeri sebanyak 81 peratus pada tahun 2009 berbanding 2008 kepada RM1.4 bilion daripada RM7.3 bilion menimbulkan tanda tanya macam mana kerajaan akan berjaya menarik RM2.2 trillion dalam masa 10 tahun di mana 92 peratus akan datang daripada sektor swasta.

"Kita perlu melabur lebih banyak dalam Research & Development(R&D) yang kini hanya pada tahap 0.7 peratus Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) sedangkan yang disyorkan oleh Bangsa-bangsa Bersatu dan negara maju ia adalah pada tahap 2.5 peratus KDNK.

"Saya bukan minta kita ikuti contoh Korea Selatan yang membelanjakan 4 peratus GDP pada R&D tetapi negara harus melipatgandakan perbelanjaan dalam R&D dan bukannya berbilion-bilion untuk membina bangunan 100 tingkat," ujar beliau.

Sebelum itu, di bawah Menteri Kerja Raya yang lama, Datuk Seri Samy Vellu berkata  kos pembinaan Istana Negara baru adalah RM400 juta tetapi baru-baru ini Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Shaziman Abu Mansor dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Segambut Lim Lip  Eng, kosnya telah naik lebih sekali ganda kepada RM935 juta.
 

Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...