Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang ibarat terlepas daripada 'menggalas biawak hidup' ekoran tindakan bekas pengerusi perhubungan negeri merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim mengisytiharkan keluar parti pagi tadi.
Setiausaha PKR negeri, Senator Mustaffa Kamal Mohd Yusoff ketika dihubungi sebentar tadi beranggapan Zahrain bermasalah jika masih menjadi ahli parti kerana terus mengancam dari dalam.
Tambahnya, PKR negeri sama sekali tidak merasakan kehilangan 'sebutir permata' berikutan tindakan Zahrain mengisytiharkan sebagai anggota Parlimen Bebas.
"Keadilan Negeri Pulau Pinang tidak langsung kehilangan sebutir mutiara yang bersinar walaupun beliau pernah menerajui kepimpinan PKR apabila diberikan kepercayaan memimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah bebas dari penjara dulunya," tegas beliau.
Apa pun, katanya Zahrain bukan seorang pejuang tulen yang sanggup berhadapan dengan pahit maung pada era reformasi sebaliknya diambil sewaktu PKR sudah meningkat atau kata lain di waktu Anwar telah dibebaskan.
Waktu itu, ujarnya ramai kenalan Anwar berduyun-duyun menghampirinya di samping melobi untuk menghulurkan tangan membantu memperkasakan perjuangan sedangkan pada awalnya golongan terbabit tidak nampak muka.
Beliau juga hairan melihat sikap Zahrain pada tahun 2010 yang sepatutnya bekerja keras membantu PKR Pusat ataupun negeri walaupun sudah tidak memegang apa-apa jawatan di peringkat negeri.
"Saya rasa bangga dengan ucapanya sewaktu peralihan kuasa kepada Dr Mansor di Yayasan Aman, Penanti di mana beliau berkata walaupun tiada apa-apa jawatan di peringkat negeri tetapi atas dasar perjuangan beliau tetap berdiri di belakang Dr Mansor, " jelasnya.
Rupa-rupanya, kata Mustaffa Kamal apa yang dikatakan tidak menjadi kenyataan kerana Zahrain tewas di tengah jalan perjuangan.