Terdapat persamaan paling ketara antara Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak dan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak iaitu
kedua-duanya mengheret pesaing politik mereka ke mahkamah dengan
tuduhan jenayah yang direka-reka, kata Naib Presiden KEADILAN,
N.Surendran.
Menurut Surendran, di Malaysia, kerajaan memperalat sistem kehakiman
untuk menganiyai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala
di Mesir pula, Mubarak menggunakan mahkamah di negara itu bagi
memenjarakan pesaing politiknya, pemimpin Parti El Ghad, Ayman Nur.
Ayman merupakan pemimpin pembangkang utama di Mesir dan pesaing Mubarak pada pilihan raya presiden negara itu pada 2005.
“Dalam isu penganiayaan kehakiman yang sekarang berlangsung ke atas
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, pemerintahan Najib dengan ketara
mencerminkan pemerintahan Mesir semasa di bawah Mubarak,” kata
Surendran dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau lagi, tindakan itu biasa dilakukan oleh pemerintah
kuku besi yang bertindak memenjarakan pesaing politik yang dianggap
mengancam pemerintahan mereka.
“Rejim-rejim yang tidak bertoleransi pastinya akan menggunakan
kaedah seperti ini kerana mereka tidak mempunyai pertimbangan keadilan
dan tidak mempedulikan kedaulatan undang-undang,” ujar beliau.
Selain itu katanya terdapat persamaan luar biasa antara pemerintah
kuku besi Mesir di bawah pemerintahan Mubarak selama 30 tahun dan
Malaysia yang diperintah BN selama 53 tahun.
Antaranya institusi polis yang diperalat untuk menekan pembangkang,
mengawal ketat media, menahan individu tanpa bicara, Undang-undang
darurat yang tidak dimansuhkan, sistem kehakiman berat sebelah dan
pilihan raya yang tidak bebas.
“Seperti Mubarak dan Parti Demokratik National (NDP), Najib dan
Barisan Nasional (BN) telah secara konsisten menggunakan apa-apa cara,
walaupun jahat, untuk terus kekal berkuasa,” ujarnya.