BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Sabtu, Mac 19, 2011

BIPPA saran pemantauan injil Bahasa Melayu elak kekeliruan

Biro Pemahaman dan pemantapan Agama (BIPPA) KEADILAN, menyarankan pemantauan terhadap kitab Injil bahasa Melayu supaya tidak menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai.

Pengerusinya, Ahmad Kassim berkata pemantauan itu penting bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dalam masyarakat terutama golongan muda dan kanak-kanak.

“Ada kebimbangan berlaku proses kristianisasi kepada masyarakat Melayu seperti yang terkandung dalam perkara 11(4) perlembagaan persekutuan yang menegaskan bahawa penyebaran agama bukan Islam kepada khalayak Islam adalah dilarang.

“Dalam Islam sendiri tidak ada paksaan dan seseorang itu memeluk Islam adalah dengan ikhlas dan rela hati serta melarang penganutnya memaksa orang agama lain menganut Islam,” kata Ahmad ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Menurutnya lagi, BIPPA tidak mempunyai halangan dalam isu itu kerana beroendirian bahawa kitab injil bukan sahaja diterjemah ke dalam bahasa Melayu tetapi dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, yang diguna secara meluas dalam perkembangan agama Islam.

Menurutnya, masyarakat Islam di negara ini juga seharusnya menyedari bahawa isu itu bukan merupakan isu baru memandangkan injil dalam bahasa Melayu sudah lama diterimapakai oleh penganut kristian di Sabah dan Sarawak.

“Injil bahasa Melayu sudah banyak di pasaran di Sabah dan Sarawak dan tidak perlu dibangkitkan kerana kitab itu telah diterjemahkan dalam semua bahasa termasuk bahasa Arab.

“Penggunaan meluas Injil bahasa Melayu ekoran masyarakat Malaysia Barat yang tidak fasih berbahasa Inggeris, kenapa baru sekarang cuba ditimbulkan lagi?,” ujarnya.

Apa yang lebih penting katanya, adalah pendidikan dan pengukuhan akidah di kalangan umat Islam yang seharusnya menjadi tumpuan utama pemerintah.

Dalam masa yang sama, katanya, BIPPA tetap melahirkan kebimbangan berlaku kekeliruan dalam masyarakat sekiranya tidak ada pemantauan dilakukan, menyebabkan akidah umat Islam mudah terpesong.

Sementara itu, Ahmad turut mengulas penggunaan kalimah Allah yang dibangkitkan dalam Injil memperlihatkan kejanggalan orang Melayu apabila sebutan kalimah itu digunakan oleh kaum lain.

“Orang Melayu sahaja janggal dengan sebutan Allah oleh agama lain, sedangkan sejak zaman nabi lagi orang bukan Islam menggunakan kalimah itu dalam kehidupan mereka. Contohnya dalam al-Quran ada menyebut`’Kalau kamu tanya mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka kata Allah,” katanya.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...