Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan mangsa saman
ekor agar tidak membayar kompaun yang dikenakan biarpun tempoh promosi
pembayaran berakhir hari ini.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli Parlimen Pokok Sena
berkata, sekiranya selepas ini mereka disenarai hitam, Kase akan
membantu untuk berdepan masalah tersebut di mahkamah.
"Rakyat tidak perlu bayar, yang penting ambil insurans bawa ke JPJ
untuk perbaharui cukai jalan, kalau JPJ tak benar, wajib pengarah JPJ
kena bagi jawapan bertulis, kenapa.
"Kemudian bawa insurans dan surat itu, kalau polis tahan, biar dia
saman, kita lawan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas
membangkitkan perkara itu di parlimen semalam.
Tambahnya, keputusan sama ada seseorang itu bersalah dan perlu
membayar kompaun hanya ditentukan mahkamah, dan bukan oleh notis saman
yang dikeluarkan.
Menurutnya lagi, tindakan JPJ menyenarai hitam pesalah saman ekor
adalah salah mengikut keputusan Mahkamah Kucing dalam kes Leonad Lim
Yaw Chiang melawan Pengarah JPJ negeri Sarawak pada 2009.
Dalam kes itu, hakim memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam
mengikut Seksyen 17(1)(d) adalah tidak betul dan bertentangan dengan
Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
(Kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak
telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat
bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh
JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah
memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan
JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan
adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas
kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh
digunakan kerana tiada cukai jalan.
Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai
hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di
Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan
dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar
gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak
dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.
Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan
pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai
jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan.
Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.)
"Kita minta Peguam Negara nasihat JPJ supaya akur keputusan mahkamah iaitu tak boleh blacklist.
"Rakyat tidak boleh dipaksa membayar kompaun yang ditawarkan," kata Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.
Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan yang
didakwa akan menggunakan teknologi Redflex dalam Automatic Enforcement
System (AES).
Katanya, teknologi itu telah dipertikai banyak pihak termasuk di California Amerika Syarikat dan di Arizona.
"Kenapa guna teknologi yang sudahpun dipersoal.
"Dan kenapa syarikat swasta Beta Tegap dan commercial Circle diberi
hak pengendalian, sedangkan teknologi guna yang Redflex punya.
"Kenapa kerajaan tak kendalikan sendiri guna teknologi sama, kenapa perlu orang tengah?" soalnya.