Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menyatakan kebimbangan
sekiranya wujud manipulasi pihak tertentu dalam Skim Rumah Pertama
seperti yang diumumkan kerajaan semalam.
Menurut Azan, beliau khuatir sekiranya skim terbaru itu dimanipulasi
pemain industri hartanah melalui pembelian rumah secara pukal yang akan
mengakibatkan golongan yang seharusnya mendapat manfaat dari skim itu,
diketepikan.
“Kita juga bimbang ia akan menyebabkan fenomena lambakan hartanah (property bubble) dalam pasaran.
“Justeru suatu audit perumahan secara menyeluruh di negara ini perlu
dijalankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ini kerana
selepas 50 tahun, kerajaan masih belum lagi mengeluarkan statistik dan
data pemilikan kediaman rakyat Malaysia,” jelasnya ketika ucapan
perbahasan menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di
Dewan Rakyat, hari ini.
Azan berkata demikian mengulas keputusan kerajaan memberikan arahan
kepada 25 bank tempatan untuk membiayai pembelian rumah pertama kepada
golongan berumur 35 tahun ke bawah tanpa sebarang bayaran permulaan.
“Harus diingatkan kepada semua golongan muda, setiap pembelian atau
usaha pemilikan itu mestilah melalui satu perjanjian yang nyata.
Sebelum ini, sebarang usaha pemilikan disandarkan kepada suatu nilai
pajakan atau perjanjian.
“Justeru, apakah tawaran kali ini turut merangkumi pengecualian duti setem dan sebagainya?” soal beliau.
Azan berkata, walaupun pembelian tersebut dikatakan tanpa sebarang
bayaran pendahuluan, pembeli mesti mendapatkan jaminan bertulis melalui
proses yang diperakui undang-undang.
Sehubungan itu, beliau turut mendesak supaya tawaran terbaru itu
dimasukkan secara bertulis dan dibentangkan dalam Dasar Perumahan
Negara.
“Pengendaliannya harus diperincikan. Kita tidak mahu golongan muda
ini menjadi mangsa, seperti isu kad kredit yang membebani kelompok
ini,” jelasnya.