Jika tiga bulan keluar parti menerima habuan RM1.4 juta, berapa pula
nilai yang diperoleh seseorang Ahli Parlimen KEADILAN yang belot, dalam
tempoh lebih panjang?
Mengajukan pertanyaan itu, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin
Nasution Ismail merujuk kepada perbuatan Ahli Parlimen Padang Serai, N
Gobalakrisnan yang keluar parti dan terbukti mampu menjelaskan hutan
bernilai RM1.4 juta.
“Jika Ahli Parlimen Padang Serai mampu menjelaskan bayaran tanah
berjumlah RM1.4 juta dalam masa tiga bulan, berapakah agaknya habuan
yang beliau terima sebagai harga perkhianatan ini?
“Kalau, ‘nilai’ Ahli Parlimen Padang Serai dengan jumlah RM1.4 juta,
berapa pula habuan yang diterima Ahli-ahli Parlimen Bayan Baru, Wangsa
Maju, Bagan Serai, Kulim Bandar Baharu dan Nibong Tebal,” soalnya lagi
pada pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau turut mendedahkan bukti salinan dua cek bernilai RM700,000
dan RM 701,250 masing-masing bertarikh 12 Januari dan 15 Mac tahun ini,
yang dipercayai sebagai bayaran pajakan tanah seluas 100 ekar di
Lojing, Kelantan.
Katanya, Gobalakrisnan secara tiba-tiba menyelesaikan bayaran
pajakan tanah antara syarikat miliknya, Embun Megah Sdn Bhd dengan
Kumpulan Pertanian Kelantan Bhd yang berjumlah RM 1.4 juta.
“Dari mana sumbernya? Siapakah yang ‘bermurah hati’ menolong. Urus
niaga apa yang dilakukannya yang memungkinkan wang sebanyak itu
diperoleh?” katanya.
Beliau turut menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya
‘bertanya khabar’ kepada Gobalakrishnan berikutan kemampuannya membuat
bayaran RM1.4 juta dalam satu transaksi
Saifiuddin juga mengulangi pendirian betapa pengkhianatan pemimpin
KEADILAN keluar parti termasuk Ahli-ahli Parlimen,didorong habuan
lumayan yang tidak mungkin diperoleh jika kekal dalam parti.
“Dek dorongan inilah ramai yang tewas. Ralatnya, mereka mencipta
alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menjustifikasikan tindakan
mereka.
Selain Gobalabrishnan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Mohamed Zahrain
Hashim; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng; Ahli Parlimen Bagan
Serai, Mohsin Fadzli Shamsuri keluar parti dengan pelbagai alasan.
Sebaliknya, pelbagai laporan menunjukkan tindakan mereka bersandarkan faktor kewangan termasuk membayar hutang masing-masing.