BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Sabtu, Julai 09, 2011

YDP Pulau Pinang: Jangan terpengaruh ideologi perkauman sempit

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas hari ini menasihati rakyat negeri ini supaya terus mengekalkan perpaduan kaum dan tidak terpengaruh dengan fahaman ideologi perkauman yang sempit. 
Beliau meminta rakyat negeri ini supaya terus berpegang kepada prinsip dan amalan saling hormat menghormati untuk kehidupan yang lebih harmoni dalam usaha mewujudkan sebuah negeri yang maju dan disegani. 

“Rakyat Pulau Pinang harus belajar daripada kejayaan yang dikecapi hari ini, hidup dalam sebuah masyarakat majmuk yang aman dengan perpaduan yang erat, janganlah diri dipecah-belahkan dengan fahaman ideologi perkauman yang sempit,” katanya dipetik Bernama Online. Beliau berkata demikian dalam ucapan pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang 2011 sempena ulang tahun kelahiran ke-73 beliau di sini. 

Abdul Rahman juga menggesa kerajaan negeri dan agensi di bawahnya agar meneruskan usaha yang telah dirancang untuk pembangunan dan kemajuan ekonomi Pulau Pinang demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat. 

Beliau menyokong usaha kerajaan negeri yang komited dalam membangunkan industri sokongan sektor pelancongan dalam usaha menjadikan Pulau Pinang destinasi utama pelancong dan pelabur asing. 

“Dalam hal ini, agensi yang bertanggungjawab perlu konsisten dalam memastikan produk-produk pelancongan dan industri sokongan di bawahnya sentiasa relevan,” katanya. 

Terdahulu, Abdul Rahman yang hadir pada istiadat itu diiringi isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew Geik Cheng. 

Istiadat dimulakan dengan beliau memeriksa kawalan kehormat oleh Rejimen Renjer Diraja Tentera Darat Malaysia, diikuti dengan persembahan nyanyian lagu Negaraku serta Untuk Negeri Kita dan kemudian tembakan meriam 17 das dilepaskan oleh Kor Artileri Diraja Tentera Darat Malaysia. 

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, yang dianugerahi Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, mendahului senarai penerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang 2011 yang disampaikan hari ini. 

Ini diikuti oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Zainal Rahim Seman, Pengarah Eksekutif Kumpulan Oriental Holding Berhad Datuk Lim Su Tong dan lima penerima yang lain. 

Seramai 159 orang daripada 1,112 penerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang 2011 menerima anugerah masing-masing, iaitu DGPN seramai 10 orang, Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) lima orang dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) 16 orang. 

Selain itu, Darjah Johan Negeri (DJN) 19 orang, Bintang Cemerlang Negeri (BCN) lima orang, Pingat kelakuan Terpuji (PKT) 30 orang, Pingat Jasa kebaktian (PJK) 38 orang, Pingat Jasa Masyarakat (PJM) 30 orang dan Pingat Bakti Setia (PBS) 16 orang.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...