BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Julai 22, 2008

Membahas Ucapan TYT Yang Di-Pertua Negeri bagi Sidang DUN (Teks Ucapan YB Ust. Maktar)

Saya bersyukur kehadrat Allah s.w.t. kerana hasrat yang saya kemukakan dalam masa kempen pilihanraya dahulu, iaitu “Sokonglah saya, Insya Allah saya akan mengetengahkan Fikrah-Fikrah Islamiah dalam Dewan Undangan Negeri”.

Petikan Ucapan saya adalah seperti berikut :

YB. Tuan Speaker, saya mohon menyokong cadangan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun kerana berkenan melafazkan ucapannya dalam Dewan yang mulia, kali ini.

YB. Tuan Speaker, banyak perkara yang boleh disentuh dalam ucapan Tuan Yang Terutama Tun, apa yang dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sejak kelmarin dan insya Allah besok juga adalah mengenai benda, projek itu dan ini, program itu dan ini, semuanya adalah benda. Tetapi saya ingin bercakap mengenai orang, kerana orang yang mengurus benda. Kalau orang tidak sempurna sudah tentu perkara dan urusan yang dibuat juga tidak akan sempurna.

Mari kita ingat semula petikan seruan terakhir dari ucapan Tuan Yang Terutama Tun, iaitu

“Saya sekali lagi menyeru semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan ikhlas, jujur dan behemah demi kepentingan negeri yang kita cintai”.

Seruan ini merupakan seruan kepada semua kita, tidak kira pihak kerajaan mahupun pembangkang, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta ketua-ketua jabatan yang terdapat dalam dewan ini.

Perkhidmatan harus diberi kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, pegangan agama dan fahaman politik. Kerana mereka adalah rakyat negeri ini dan kita dipilih oleh sebahagian besar daripada mereka.

Perkhidmatan yang diberi haruslah terbit dari hati yang IKHLAS, terbit dari hati yang suci, secara JUJUR dan BERHEMAH yakni berbudi pekerti yang tinggi.

Untuk mencapai saranan tersebut, juga sesuai dengan minat YAB Ketua Menteri yang ingin menerapkan nilai-nilai pentadbiran Umar Abd Aziz dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang ini. Maka pendekatan utama yang perlu diambil oleh setiap orang dari kita ialah :

Pertama : Saling tolong menolong
Kedua : Saling nasihat menasihati.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al Maidah ayat 2 : (dengan izin)

".... وتعاونوا على البر واتقوا ولا تعاونوا على الاثم والعدوان واتقوا الله ان الله شديد العقاب"

“….. Hendaklah kamu bertolong-tolongan atas kebaikan dan kebaktian, dan jangan kamu bertolong-tolongan atas dosa dan permusuhan. Dan hendaklah takut kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah itu sangat keras seksanya”.

Marilah kita saling tolong menolong dalam melaksanakan projek-projek yang membawa faedah kepada rakyat. Jangan tolong dalam perkara-perkara yang merosakkan negeri dan rakyat.

Tolonglah kita bila kita mengharapkan pertolongan Ahli-Ahli yang berhormat, secara jujur dan ikhlas demi kemajuan negeri dan rakyat. Sentiasalah ingat dengan firman Allah yang disebutkan tadi. Di mana ada kebaikan, kita tolong di sana. Di mana ada kerosakan kita tolong juga, dengan cara MENASIHATI. Iaitu pendekatan yang kedua. Jangan mengambil sikap biarlah, lingkup pi lah, nanti yang rosak bukan negeri lain, negeri kita juga, dan begitu bangsa kita dan rakyat kita juga. Secara JUJUR dan IKHLAS.

Tentang Nasihat; Perkataan nasihat adalah suatu perkataan yang memang sebati dengan Islam, sebab itu baginda Muhammad s.a.w. menyebut Ad Dinun Nasihah (dengan izin) ertinya Agama itu adalah Nasihat. Yakni hendak mencapai kejayaan sesuatu urusan dalam Islam, perlu menggunakan pendekatan Nasihat. Jika diabaikan pasti gagal dan rugi. Seperti mana firman Allah dalam surah Al Asr:

“Demi masa manusia sentiasa dalam kerugian, kecuali … antara lain… nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”

Oleh itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pihak pembangkang membantu pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini dengan pendekatan Nasihat, bukan pendekatan Membangkang semata-mata. Kerana membangkang semata-mata adalah jelas tidak baik dan tidak pernah tercatat dalam mana-mana sejarah sama ada pendidikan, mahupun pentadbiran, malah apa jua berjaya melakukan sebarang kejayaan. Kerana ramai di kalangan mereka terdiri dari orang-orang yang berpengalaman.

Bercakap tentang pengalaman, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyokong tindakan YAB Ketua Menteri yang telah melantik tokoh daripada Gerakan menganggotai Jawatankuasa kerja Invest Penang. Kerana beliau ada kepakaran dalam bidang tersebut dan kita perlukan kepakarannya, kita jemput dan beliau bersedia membantu kita, maka kita dengan berlapang dada mengalu-alukan semua pihak membantu demi kepentingan negeri yang tercinta ini.

Sikap keterbukaan kita, kita tunjukkan lagi, apabila YB. Batu Maung merangkap Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan projek Consumer Watch atau Pemantau Pengguna dan melantik ahli-ahlinya terdiri dari semua Ahli-Ahli yang berhormat seluruh negeri, tak kira kerajaan atau pembangkang. Tetapi di kalangan kita ada yang tidak sanggup bekerjasama apakan daya. Sedangkan projek ini adalah projek yang baik bertujuan membantu pengguna-pengguna dalam mengawal harga barang mengikut pendekatan baru iaitu secara perbincangan dan Nasihat bersama pekedai-pekedai.

Akhir sekali, jika kita dapat membentuk sebuah pasukan pentadbiran negeri yang saling bantu membantu dan nasihat menasihati dalam semua bidang demi kebaikan rakyat, maka kita akan melihat Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang cukup cemerlang dan mendapat Rahmat daripada Allah s.w.t. dunia dan akhirat.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB