BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, April 21, 2011

J/kuasa Fatwa Pulau Pinang tolak video fitnah, nasihat orang ramai

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinangyang bersidang pada 7 April 2011 lalu, telah membincangkan mengenai isu penyiaran video lucah yang didakwa melibatkan ketua pembangkang.
 
Mesyuarat yang dipengerusikan Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Haji Hassan Ahmad, memutuskan bahawa  penyiaran video lucah kepada orang ramai jelas bertentangan dengan Hukum Syarak.

Menurut AJK Fatwa berkenaan, rakaman video tidak boleh diterima sebagai bukti keterangan dalam Islam kerana ianya boleh direka dan dilakonkan semula.

Manakala mereka yang terlibat menyiarkannya adalah tidak bermoral sebagaimana firman Allah dalam surah berikut:

Surah an-Nur : ayat 4

“Dan orang yang melimparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik”.

Surah an-Nur : ayat 13

“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat saksi itu, maka mereka itu pada sisi hukum Allah adalah orang yang dusta”

Surah an-Nur : ayat 23

“Sesungguhnya orang yang menuduh wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya, yang tidak memikirkan sebarang kejahatan, lagi beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di Akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar”.

Surah al-Hujarat : ayat 6

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan”.

Oleh itu kata Jawatankuasa Fatwa tersebut berkata , orang awam dinasihatkan tidak menonton video itu kerana menurut Hukum Syarak dan Undang-Undang Islam, rakaman video tidak  boleh dijadikan hujah dalam pembuktian untuk menjatuhkan hukuman had zina.

“Malah orang yang menyiarkan video itu boleh dijatuhi hukuman had qazaf (tuduhan zina) jika gagal membawa empat orang saksi yang adil.

Rabu, April 20, 2011

Presiden KIMMA dicabar dedah individu tawar RM55 juta

KEADILAN Jelutong hari ini mencabar Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader supaya mendedahkan individu yang didakwanya pernah menawarkan RM55 juta kepada beliau untuk membawa kongres itu beralih arah menyokong pembangkang, semalam.

Setiausaha KEADILAN Cabang Jelutong, Khairil Anuar Kamarudin dalam kenyataanya berkata, Syed Ibrahim perlu tampil ke depan sekiranya perkara yang dinyatakannya benar dan beliau perlu menjawab beberapa persoalan.

“Jika benar beliau jujur dan ikhlas seperti yang diungkapkan, beliau perlu tampil ke depan menjawab tiga perkara berikut.

“Dedahkan kepada rakyat siapa individu yang didakwa menawarkan imbuhan RM 55 juta kepadanya. Dedahkan kepada rakyat siapa individu yang menawarkan jawatan-jawatan penting dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) kepada Pengerusi Kimma Negeri di negeri yang dipimpin PR iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan,” katanya Khairil Anuar.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoal tindakan Syed Ibrahim yang baru sekarang mahu mendedahkan perkara itu selain meragui tindakan tersebut.

“Jika benar dakwaan ini, mengapa beliau mengambil masa yang lama setelah beberapa tahun untuk tampil mendedahkan perkara ini. Apakah ada sesuatu yang tersirat disebalik pendedahan ini?” soal Khairil.

Selain itu, beliau juga menasihatkan Syed Ibrahim supaya sedar bahawa Kimma tidak pernah diktiraf  pada zaman pemerintahan Tun Mahathir Mohamad dan kini hanya dijadikan alat ekoran BN semakin tenat.

“Jangan berpolitik seperti “gasing tiada paku” kerana ia akan merugikan beliau dan KIMMA itu sendiri. Jangan biarkan diri sendiri dan KIMMA diperalatkan Umno-BN demi kepentingan politik sempit mereka.

“Beliau juga harus sedar bahawa pada zaman pemerintahan Tun Mahathir Kimma tidak diktiraf sebagai parti komponen BN. Tetapi sekarang apabila Umno BN berada dalam keadaan yang tenat, KIMMA diterima dan diberi kelulusan permit untuk membawa masuk pekerja asing dari India dan Bangladesh,” ujarnya.

Dilaporkan, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader mendakwa kononnya Pakatan Rakyat pernah menawarkan RM55 juta kepada beliau untuk membawa kongres itu beralih arah menyokong Pakatan Rakyat.

Beberapa tahun lalu, katanya, beliau dihubungi seorang pemimpin pembangkang yang menawarkan imbuhan tersebut supaya berpaling tadah.

Pinggir Melayu hanya dakwaan Umno BN

Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu tidak dipinggirkan sebagaimana dakwaan pembangkang.

Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malek Abul Kassim berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemimpin Umno dan BN yang senantiasa mengkritik setiap usaha kerajaan negeri membantu masyarakat Melayu di sini.

Beliau berkata, sehingga ini konflik yang timbul adalah bikinan Umno dan BN yang tidak dapat menerima hakikat mereka adalah pembangkang yang sah.

Katanya, sejak tiga tahun pemerintahan kerajaan negeri, masalah tanah perkuburan di Jelutong yang telah sekian lama tidak dapat diselesaikan semasa BN menerajui negeri ini, telah berjaya diatasi apabila kerajaan negeri membeli sebahagian dari tanah tersebut untuk diperuntukkan sebagai tanah perkuburan di Jelutong.

"Manakala para huffaz mendapat pengiktirafan setiap tahun dari kerajaan negeri. Ini tidak pernah dilakukan sebelum 2008 yang lalu. Peruntukan untuk hal ehwal agama Islam turut ditambah sejak 2008 dari RM12.5 juta sehinggalah kepada RM63.21 juta dalam tahun 2011.

"Kampus dari dua buah universiti terkenal di Timur Tengah akan diwujudkan di Pulau Pinang tidak lama lagi bagi memberi kemudahan kepada pelajar yang ingin mendalami ilmu mereka dalam bidang agama Islam dan juga penyelidikan," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, turut menyeru pemimpin Umno dan BN supaya menjadi pembangkang yang baik dan bermoral di negeri ini.

Menyentuh mengenai premis perniagaan milik peniaga Melayu yang dirobohkan, beliau berkata, masalah itu bukan perkara baru kerana ia turut berlaku semasa era pemerintahan Umno dan BN sebelum ini.

Rabu, April 13, 2011

RM1.5b wang rakyat dalam 1MDB diguna selamatkan kroni Taib – Anwar

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat pendedahan menggemparkan bahawa sebanyak RM1.5 billion wang rakyat diguna Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyelamatkan syarikat kroni Taib Mahmud.

Ia dilakukan menerusi syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang melakukan urusniaga meragukan untuk mengelabui mata rakyat, kata Anwar.

1MDB melakukan urusniaga dengan syarikat PetroSaudi dari Arab Saudi, untuk membolehkan syarikat UBG Berhad, yang menghadapi masalah kewangan dan dimiliki keluarga Taib, diselamatkan.

“Untuk memperdayakan rakyat, Najib isytihar keuntungan 1MDB sebanyak RM425 juta pada tahun pertama operasinya. Namun, beliau tidak pernah memberitahu kita bagaimana (keuntungan itu diperoleh).

“Hari ini kita ada penyata kewangan 1MDB yang mendedahkan salahguna wang kerajaan tanpa rasa malu yang dilakukan Barisan Nasional dan bagaimana mereka berterusan menyalahgunakan kekayaan negara,” kata Anwar.

Menurut Anwar, keuntungan sebanyak RM425 juta yang diisytihar pada tahun kewangan 1MDB yang berakhir pada 31 Mac 2010 mendedahkan perkara yang berbeza apabila diteliti dengan lebih dekat.

“Lima bulan selepas membayar RM3.5 billion untuk pelaburan projek usaha sama dengan PetroSaudi, 1MDB menjual semula pelaburan itu kepada pemilik PetroSaudi dengan harga RM4.1 billion.

“Pada mata kasar,ia kelihatan seperti keuntungan yang menakjubkan. Namun, PetroSaudi yang menerima wang tunai sewaktu 1MDB membeli pelaburan tersebut kini membayar pembelian semula itu melalui skim pinjaman selama 11 tahun yang akan hanya selesai pada 31 Mac 2021.

“Sekarang, hampir 70 peratus modal asal 1MDB adalah dalam bentuk pinjaman, yang tiada jaminan lagi akan dibayar semula sepenuhnya,” kata Anwar.

Malahan, urusniaga itu juga dilakukan pada hari terakhir tahun kewangan 1MDB, 31 Mac 2010 bagi menipu rakyat.

“Silap mata perakaunan ini dilakukan untuk menunjukkan keuntungan meragukan yang diisytiharkan Najib,” kata Anwar.

Perkara paling mengejutkan, kata Anwar, adalah hubung kait Taib Mahmud dengan 1MDB melalui urusniaga yang meragukan.

“Pada tahun lalu juga, PetroSaudi membayar RM1.5 billion untuk mengambil alih UBG Berhad, instrumen pelaburan milik empayar keluarga Taib Mahmud yang menghadapi masalah kewangan,” kata Anwar.

Justeru, Anwar menuntut agar satu audit khas dilakukan untuk menyiasat samada urusniaga yang melibatkan 1MDB, PetroSaudi dan UBG menggunakan wang rakyat dan digunakan untuk tujuan politik yang tertentu.

Anwar juga menuntut sebarang usaha 1MDB meraih dana daripada bank dihalang sehingga audit itu selesai. Sebarang usaha untuk memindahkan harta kerajaan seperti cadangan menganugerahkan sebidang tanah di Jalan Cochrane juga perlu dihentikan, kata Anwar.

Anwar juga menuntut satu pendedahan siapa sebenarnya di belakang 1MDB dilakukan agar rakyat yakin bahawa 1MDB betul-betul kukuh untuk memenuhi komitmennya.

NGO: Tubuh suruhanjaya diraja siasat kekayaan Taib, keluarga

Tinggal tiga hari menjelang pengundian pilihan raya negeri Sarawak, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak Putrajaya menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat aset Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarga, dipercayai memiliki kekayaan “luar biasa.”

Pada satu sidang media di sini, gabungan 42 NGO mahu suruhanjaya diraja ditubuhkan kerana tidak mungkin Taib, seorang kakitangan kerajaan mampu memiliki aset yang begitu banyak sedangkan rakyat Sarawak miskin dan tidak dibela.

“Kami hari ini mendesak kerajaan agar dengan segera menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat aset Taib dan keluarga kerana tidak mungkin seorang kakitangan kerajaan boleh memiliki harta begitu banyak.

“Aset Taib (dan keluarga) yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit ini adalah tidak logik, bagaimana Taib boleh mengumpul harta yang begitu banyak sedangkan beliau hanya ketua menteri yang juga kakitangan kerajaan,” kata Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Dr Kua Kia Soong.

Jelas beliau, pihaknya mempunyai bukti bahawa aset Taib diperoleh melalui salah guna kuasa dan rasuah termasuk ada kaitan dengan syarikat-syarikat dalam dan luar negara yang tidak diketahui.

“Sebahagian daripada syarikat di Malaysia dimiliki keluarga Taib dan ada syarikat di luar negara juga yang mempunyai kaitan dengan keluarga Taib tapi kita tidak tahu jumlah sebenarnya.

Kata beliau syarikat yang ada kaitan dengan keluarga Taib adalah Achi Jaya Holding Sdn Bhd, Borsarmulu Resort Sdn Bhd, Cahya Mata Sarawak Sdn Bhd, Naim Holding Berhad, Kumpulan Sanyan, Syarikat Aluminium Sarawak, Sarawak Energy Berhad, Kumpulan Ta Ann, Tatanium Management Sdn Bhd dan UBG Berhad.

“Ini hanya di Malaysia,” katanya.

Kata beliau, yang di luar negara pula Adelaide Ottawa Corporation (Kanada), City Gate International Corporation (Kanada), Glowell Development Corporation (Kanada), Ridgeford Properties (Britain), Geneid Holding Pty Ltd (Australia) dan Valentine on George Pty Ltd (Australia).

Menurut Kua, keluarga Taib juga turut mempunyai kaitan dengan beberapa syarikat di Hong Kong dan Amerika Syarikat.

“Suruhanjaya diraja ini perlu ditubuhkan untuk menyiasat jumlah aset yang dimiliki Taib dan keluarga.

“Semua aset ini perlu disiasat dan didedahkan, bagaimana seorang kakitangan kerajaan boleh memiliki kekayaan yang begitu banyak? Apa yang beliau telah lakukan sedangkan ramai rakyat Sarawak hidup dalam keadaan miskin dan papa,” katanya.

NGO yang menyertai gabungan ini ialah Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Persatuan Badan Bertindak Wanita (Awam), Amnesty International Malaysia, Bersih 2.0, Bruno Manser Funds, Pusat Bagi Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia, Inisiatif Pembangunan Kanak-kanak (CCID), Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Pusat Prihatinan Orang Asli (COAC), Gabungan Urus Tadbir Pulau Pinang, Badan Bertindak Jaringan Komuniti (CAN), Warga Kota Damansara (FoKD) dan Kumpulan Rakyat Prihatin.

Lain-lain ialah Inisiatif Ekuiti Kesihatan (HEI), Ikatan Hak Rakyat, Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Johor Tamizhar Sangam, Persatuan Pengguna Klang, Lawyer of Liberty, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Pergerakan Demokrasi Pelajar dan Pemuda Malaysia (DEMA), Persatuan Dravidian Malaysia, Persatuan Perniagaan India Malaysia dan Persatuan Pembangunan dan Uniti Masyarakat India Malaysia.

Turut bersama Pusat Pembangunan dan Kajian Manusia Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Sekolah Persendirian Cina Pulau Pinang, Persatuan Alumni Chung Ling Pulau Pinang, Organisasi Perkhidmatan Awam, Persahabatan Semparuthi, Persatuan Kemajuan Pendidikan Malaysia, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas) dan Persatuan Prihatian Belia Malaysia.

Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Sembang-sembang Forum, Sem Kiong Angin, Woman Aid Organisation (WOA), Pusat Kesedaran Wanita (WCC) Pulau Pinang dan Pakatan Penulis Media Bebas (WAMI) juga menyertai gabungan NGO ini.

“Sebenarnya isu-isu yang kita bangkitkan ini bukan isu lama, kita sudah bawa sejak dari dulu lagi cuma ia tidak disebarkan melalui media.

“Sebagai contoh isu balak haram, kita dah bangkitkan sejak dari 1980 tapi sehingga kini tiada apa yang berlaku, siapa yang dapat hasil pun kita tidak tahu, syarikat mana pun kita tidak tahu. Begitu juga dengan empangan Bakun sehingga sekarang walaupun ada bantahan, ia diteruskan,” kata Pengarah Eksekutif KOMAS Tan Jo Hann.

Tambah beliau, terlalu banyak penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan Taib, namun tiada tindakan diambil sehingga beliau mampu bertahan selama 30 tahun sebagai ketua menteri.

“Banyak perkara yang berlaku (dalam pentadbiran Sarawak) dan kita tidak hanya sasarkan kepada Taib sahaja, cuma apa yang kita boleh katakan, pemimpin yang korupsi seperti beliau bagaimana masih boleh bertahan sehingga kini?

“Sebab itu kita mahu beliau disiasat, apa penyelewengan dan rasuah yang berlaku... berapa banyak? Siapa terlibat?” soalnya.

Bulan lalu, Transparency-International Malaysia (TI-M) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat dakwaan rasuah yang melibatkan Taib.

Badan pemantau antirasuah itu menggesa SPRM agar mengambil tindakan segera memandangkan tuduhan terhadap Taib, ketua menteri paling lama memegang jawatan, sudah muncul di media asing sekarang.

Kata Kua, rakyat Sarawak berhak untuk mendapatkan pembangunan dan kebajikan seperti yang dilakukan sesebuah kerajaan lain.

“Rakyat Sarawak berhak untuk mendapatkan hak mereka, mereka juga berhak untuk mendapatkan pembangunan dan kemudahan.

“Sekarang sudah tiba masa bagi rakyat Sarawak untuk menentukan sendiri masa depan mereka yang telah dianugerahkan dengan alam semula jadi dan sumber alam, kini sudah tiba masa rakyat Sarawak bangkit untuk menyelamatkan diri mereka dan juga negeri,” katanya merujuk kepada pilihan raya Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Sementara itu, Jawatankuasa Komuniti Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, pilihan raya Sarawak perlu diadakan dengan telus dan bersih.
 
“Kita negara demokrasi tapi tidak amalkan demokrasi, jadi pada pilihan raya Sarawak dan pilihan raya umum amalan demokrasi ini perlu diterjemahkan.

“Jangan hanya sebelah pihak mendapat kebebasan untuk bersuara tetapi pihak satu lagi tidak boleh,” katanya.

Jumaat, April 08, 2011

JUMAAT penghulu segala hari

JUMAAT penghulu segala hari kerana kemuliaan dan kelebihannya. Malah, peristiwa agung banyak berlaku pada Jumaat.

Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul aiyam' iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang ber maksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. Pada hari itu terdapat suatu masa seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Solat Jumaat dua rekaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, ter masuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus men dengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi. Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni ber salah.”

Sebelum menunaikan solat Jumaat, dianjurkan mandi ter lebih dulu sebagaimana hadis daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq `alaih)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi, tetapi mandi itu lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Tirmidzi).

Selasa, April 05, 2011

Qazaf: Datuk T boleh disebat 80 kali jika tuduhan palsu, kata Ulama

“Datuk T” boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga 80 kali jika tuduhan zina terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim — yang dikaitkan dengan rakaman video seks tidak benar, kata Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Yang Dipertuanya Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata kepada portal The Malaysian Insider, di bawah undang-undang Islam mana-mana individu yang membuat tuduhan zina perlu mengemukakan bukti sahih selain mempunyai empat orang saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku.

Sekiranya gagal, kata beliau individu tersebut boleh dikenakan hukuman qazaf kerana membuat tuduhan palsu dengan tujuan untuk mengaibkan orang lain.

“Kalau dedah kepada umum tidak boleh... dedah keburukan orang lain juga tidak boleh sebab kalau nak hukum seseorang kita kena pastikan dulu, macam kita makan nasi kalau nak tahu sedap kena rasa dulu.

“Tapi dalam kes rakaman video seks ini, kalau tuduhan ini tidak benar, Datuk T boleh dikenakan hukuman sebat 80 kali kerana membuat tuduhan palsu dan fitnah dan ia kena dibuat di mahkamah syariah dan hukuman qazaf perlu dilaksanakan jika tuduhan itu tidak benar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dilaporkan mengakui diri mereka sebagai “Datuk T” - menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks kepada media pada 21 Mac lalu.

Menurut Sheikh Abdul Halim, rakaman video seks itu juga tidak boleh dijadikan bukti di mahkamah.

“Tidak boleh... tidak boleh... sebab kita kena ada empat saksi lagipun siapa yang boleh buktikan lelaki dalam video itu adalah Anwar.

“Zaman moden sekarang macam-macam boleh jadi, saya juga belum tengok video seks itu... ada yang kata muka macam Anwar tapi perut bukan Anwar... macam-macam boleh jadi sekarang, kaki, tangan semua orang boleh buat jadi lain,” katanya.

Justeru, beliau mahu supaya kes tersebut dibicarakan di mahkamah syariah bukan mahkamah konvensional.

“Kena bicara di mahkamah syariah sebab ia babitkan hukuman qazaf, kalau di mahkamah majistret tiada tuduhan fitnah ini,” katanya.

Ekorang tuduhan zina terhadap Anwar itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah memfailkan aduan qazf terhadap “Datuk T” semalam kerana menuduh Ketua Umum KEADILAN dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terlibat dalam perbuatan zina melalui pendedahan rakaman video seks.

Anwar juga telah menafikan beliau tidak terlibat dalam rakaman video seks itu dan telah membuat laporan polis.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...