BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label GST. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label GST. Papar semua catatan

Isnin, Mei 03, 2010

Umno-BN Mahu Terus Laksana GST

Oleh Halik Zaman

Perhimpunan membantah perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan mendapat halangan dari pihak berkuasa. Kerajaan Umno-BN. Pastinya atas arahan ‘orang atasan’ dan ‘orang atasan’ itu pastinya yang mewujudkan sistem kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Bila dikatakan cukai semua pihak akan terlibat siapa yang dinamakan rakyat.

Jika di lihat secara logik, apa perlunya di laksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini. Yang lebih mendukacitakan, rakyat Malaysia yang harus memikul segala tunggak bebanan cukai ini di bahu setiap rakyat. Rakyat yang miskin juga terlibat secara tidak langsung.

Mengapa sistem sebegini diwujudkan untuk menyusahkan rakyat? Apakah ini selaras dengan slogan kebanggaan Umno yakni, 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'? Ini bererti pencapaian kerajaan yang sudah mula diutamakan dan bebanan rakyat memikulnya didahulukan. Tidakkah begitu?

Para Menteri dan Timbalan Menteri memanglah tidak terasa akan bebanan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini, kerana golongan Pak-Pak Menteri dan Timbalan Menteri tidak pernah kenal erti cukai dalam hidup mereka kerana gaji mereka cukup lumayan untuk menanganinya cukai pendapatan.

Kenapa mereka tidak mewah kalau tol percuma, 'road-tax' pun mereka tidak bayar, pembantu rumah, tukang kebun, elaun rumah, elaun keraian semua dibayar dari wang rakyat. Jadi, perlaksaan cukai ini tidak memberi makna kepada kehidupan mereka.

Beza antara kehidupan golongan atasan dan rakyat bawahan memang terlalu amat ketara. Yang indah-indah semuanya kepunyaan golongan atasan manakala segala kepayahan dimiliki sepenuhnya oleh rakyat marhaen. 

Rintihan dan tangisan orang kampung juga perlu kerajaan Umno-BN ambil kira sebelum menaikkan cukai.

Sepatutnya setelah mereka dapat mandat dari rakyat yang mengundi kerajaan Umno-BN sehingga mereka selesa di kedudukan masing-masing, janganlah di bebankan lagi rakyat yang telah banyak berjasa pada Pak-Pak Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri ini.

Apakah mereka sudah terlalu 'senile' untuk mengetahui bahawa perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini banyak menjejaskan scenario ekonomi rakyat Malaysia? Walau apa pun alasan yang bakal di berikan oleh pihak kerajaan Umno-BN, ianya tetap dan akan terus menjadi keluh-kesah rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Sesuatu yang paling di kenalpasti, setiap tekanan yang ingin di kenakan kepada rakyat, pastinya di laksanakan selepas setiap PRU atau PRK. Kalau rasa Umno-BN terlalu berpengaruh, mengapa tidak berani melaksanakan sebelum PRK Hulu Selangor baru-baru ini? Umno-BN tidak begitu gusar dengan PRK Sibu memandangkan BN menguasai 90% pegangan di negeri itu.

Apakah perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ini merupakan hadiah istimewa buat semua rakyat terutamanya rakyat Selangor yang telah menghadiahkan kemenangan kepada BN di PRK Hulu Selangor baru-baru ini ?

Makanya, jangan hairan jika berlakunya sekali lagi gelombang tsunami politik di negara ini kelak. 

Makanya jangan marah jika terpaksa melepaskan kedudukan yang digenggaman anda sekarang ini andai rakyat berubah hati.

Tentu rakyat nak tahu apakah erti cukai barangan itu? Ertinya semua keperluan rakyat dikena cukaikan oleh kerajaan Umno-BN. Apakah ertinya cukai perkhidmatan? Ertinya semua perkhidmatan bas tambangnya naik, tambang taxi naik, tambang keretapi naik, tambang pengangkutan naik dan tambang kapal terbang naik. Siapa yang pikul beban ini kalau bukan rakyat?

Selasa, Mac 16, 2010

GST: Negara Memerlukan Komitmen Dan Kepastian

KENYATAAN AKHBAR
15 Mac 2010


GST: NEGARA MEMERLUKAN KOMITMEN DAN KEPASTIAN


Pakatan Rakyat mengalu-alukan keputusan untuk menunda perbahasan kali kedua Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CPB atau “GST”) yang menandakan sekali lagi, kerajaan BN tidak mempunyai kepastian dalam mentadbir negara. Sebelum ini, BN yakin bahawa GST adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah defisit negara dan tidak teragak-agak meluluskannya tanpa mengambil kira pandangan rakyat. Kini, BN mengaku ia telah tersalah langkah kerana tidak mengambil pandangan rakyat terlebih dahulu.


Pakatan Rakyat beranggapan bahawa keputusan mengalah oleh BN dalam isu GST adalah satu lagi bukti bahawa kesedaran rakyat mengenai hak mereka untuk turut serta dalam proses membuat keputusan negara, semakin meningkat. Kesedaran ini, yang dizahirkan bermula dengan keputusan pilihanraya umum yang lepas, akan terus mengawasi keborosan dan amalan tidak sihat kerajaan.


Selama ini, Pakatan Rakyat konsisten bahawa GST bukanlah jawapan kepada masalah ekonomi negara. Masalah utama ekonomi negara berpunca dari kegagalan kerajaan yang tidak mempunyai iltizam politik untuk membasmi rasuah dan melakukan reformasi menyeluruh kepada institusi-institusi utama dan sistem pendidikan negara.


Ekonomi Malaysia mendapat kesan yang teruk dari persepsi negatif oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Pelabur antarabangsa secara berterusan mengelak dari dekat dengan Malaysia – mereka menarik keluar portfolio pelaburan dan mengalih FDIs ke negara lain, walaupun pentadbiran sekarang memperkenalkan pelbagai langkah liberalisasi. Sektor swasta kita sendiri lebih gemar melabur di negara lain. Ini menjadi salah satu punca yang menyebabkan penurunan mendadak 48% bagi pelaburan kapital baru dalam tahun 2009.


Persepsi negatif sebegini hanya boleh dimatikan dengan reformasi ekonomi yang bermakna dan menyeluruh.


Sebaliknya, kerajaan BN tetap bertegas untuk melaksanakan GST walaupun kenaikan kutipan cukai tidak langsung dianggarkan hanyalah RM1 billion setiap tahun. Hingga kini, kerajaan tidak berterus terang mengenai kos sebenar yang perlu ditanggung oleh kerajaan dan swasta untuk melaksanakan GST; atau bagaimana kos ini akan mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan apabila GST diperkenalkan.


Keputusan menangguhkan perbahasan Akta CPB, walaupun dialu-alukan oleh banyak pihak, akan menimbulkan beberapa masalah baru kepada sektor swasta. Sejak 5 tahun lalu, kerajaan telah memberikan mesej yang berbeza-beza mengenai pelaksanaan GST. Setiap kali kerajaan mengumumkan keputusan untuk melaksanakan GST, syarikat-syarikat terpaksa berbelanja untuk membuat persiapan. Kerajaan selepas itu dengan sewenang-wenangnya mengumumkan pula keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan, yang menyebabkan syarikat-syarikat menanggung kerugian.


Pendekatan yang tidak ada kepastian sebegini dalam memperkenalkan inisiatif fiskal yang baru, hanya akan meningkatkan kos dan risiko kepada sektor swasta, terutamanya apabila inisiatif fiskal itu melibatkan banyak perubahan kepada sistem yang digunapakai oleh sektor swasta. Syarikat-syarikat swasta telah banyak berbelanja sejak setahun lepas, dan kini mereka dimaklumkan mereka perlu menghentikan persediaan sehinggalah diumumkan kelak.

Dalam konteks inilah kami berpendapat kerajaan BN tidak mempunyai komitmen dan iltizam politik untuk menghantar mesej yang jelas dan pasti kepada rakyat, pasaran dan komuniti perniagaan. Sebelum ini terdapat mesej yang bercampur-campur mengenai isu subsidi dan tarif elektrik, kini keadaannya serupa bagi GST.


Ini adalah tidak baik bagi negara kita.


Pakatan Rakyat dengan ini meminta BN untuk menghentikan pendekatan yang tidak ada kepastian seperti ini dan mengumumkan kepada negara; sama ada GST tidak akan dilaksanakan sama sekali; atau menyediakan satu rancangan yang jelas mengenai pelan pelaksanaan GST untuk memberi masa kepada rakyat bersedia.


Zaman kerajaan tahu segala-galanya dan tidak mengambil pandangan rakyat sudah pun lama berakhir.


YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang dan
Ketua Umum,
Parti Keadilan Rakyat (PKR)


YB NASHARUDIN MAT ISA
Timbalan Presiden,,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)


YB LIM KIT SIANG
Ketua Ahli Parlimen,
Democratic Action Party (DAP)



Isnin, Mac 15, 2010

Pakatan Rakyat Desak GST Ditarik Balik Bukan Tangguh

Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST perlu ditarik balik dan bukan setakat ditangguh sahaja kerana ia merupakan bebanan kepada rakyat kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menganggap keputusan Parlimen pada kali ini yang tidak akan membincangkan tentang GST sebagai satu kemenangan Pakatan Rakyat.

"Kerajaan perlu membangunkan ekonomi rakyat dahulu sebelum menjalankan beberapa usaha untuk meningkatkan hasil cukai negara. Perkara ini bukan senang untuk dilaksana tetapi ada banyak pandangan yang merasakan kos perkhidmatan dan  barangan akan meningkat.

"Pakatan Rakyat merasakan GST perlu ditarik balik bukannya ditanggungkan," kata Khalid selepas perasmian sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Pendapat beliau disokong Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan rakyat belum lagi bersedia menerima perlaksanaan cukai seperti ini.

"Sepatutnya rang undang-undang ini perlu ditarik balik kerana jika sedang kali ini tidak dibentang tetapi pada sidang yang akan datang ia akan dibentang juga.

"Alasan kerajaan untuk mendapat respon dari rakyat adalah silap, sepatutnya sebelum merangka GST ia perlu mendapat respon dari rakyat. Jika rang undang-undang telah dirangka bagaimana respon rakyat boleh dimasukkan walaupun boleh mengemukakan pindaan tetapi kita melihat ini umpama tikus membaiki labu kerana kita lihat ia tidak dapat memastikan rang undang-undang memberi kesejahteraan kepada rakyat sepenuhnya," jelasnya.

Mahfuz juga menganggap rakyat belum bersedia untuk menghadapi GST kerana pendapatan rakyat masih rendah.

"Pendapatan rakyat masih rendah kerana 93 peratus rakyat tidak layak dicukai kerana faktor pendapatan mereka. Jika GST dilaksanakan maka ini tidak adil kepada rakyat yang tidak layak dikenakan cukai," sambungnya lagi.

Persidangan Parlimen pada kali ini menarik minat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan menyifatkan titah Yang DiPertuan Agong bersifat adil.

Mengulas titah baginda, Khalid berkata Tuanku Mizan Zainal Abidin  mengarahkan agar setiap Ahli Parlimen bekerjasama untuk pembangunan rakyat.

"Walaupun kita berbeza dari segi konsep parti tetapi yang penting ialah bagaimana kita menterjemahkan kepentingan negeri dan negara untuk kepentingan rakyat dan perkara yang paling penting ialah kita mesti memberikan memberitahu pentadbir serta pegawai kerajaan supaya tidak membezakan antara parti-parti politik

"Sebagai contoh di Selangor pemerintahan adalah Pakatan Rakyat dan bekas pegawai-pegawai kerajaan menterjemahkan usaha Pakatan Rakyat untuk membangunkan negeri Selangor dan tidak boleh dibeza-bezakan," jelas beliau.

Mahfuz pula berkata titah Yang Di-Pertuan Agong supaya setiap Ahli Parlimen menunjukkan sikap terbaik mereka perlu diambil iktibar kepada Ahli Parlimen yang melompat parti.

"Contoh Ahli Parlimen yang terbaik adalah Ahli Parlimen yang tidak melompat parti kerana ini adalah prinsip dan amanah yang telah diberikan rakyat kepada mereka. Kepada Ahli Parlimen yang lompat parti perlu melepaskan jawatan mereka kerana sikap mereka telah mengecewakan rakyat," tegas beliau.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...