Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST perlu  ditarik balik dan bukan setakat ditangguh sahaja kerana ia merupakan  bebanan kepada rakyat kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid  Ibrahim.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak  menganggap keputusan Parlimen pada kali ini yang tidak akan  membincangkan tentang GST sebagai satu kemenangan Pakatan Rakyat.
"Kerajaan  perlu membangunkan ekonomi rakyat dahulu sebelum menjalankan beberapa  usaha untuk meningkatkan hasil cukai negara. Perkara ini bukan senang  untuk dilaksana tetapi ada banyak pandangan yang merasakan kos  perkhidmatan dan  barangan akan meningkat.
"Pakatan Rakyat  merasakan GST perlu ditarik balik bukannya ditanggungkan," kata Khalid  selepas perasmian sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Pendapat beliau  disokong Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan  rakyat belum lagi bersedia menerima perlaksanaan cukai seperti ini.
"Sepatutnya  rang undang-undang ini perlu ditarik balik kerana jika sedang kali ini  tidak dibentang tetapi pada sidang yang akan datang ia akan dibentang  juga.
"Alasan kerajaan untuk mendapat respon dari rakyat  adalah silap, sepatutnya sebelum merangka GST ia perlu mendapat  respon dari rakyat. Jika rang undang-undang telah dirangka  bagaimana respon rakyat boleh dimasukkan walaupun boleh  mengemukakan pindaan tetapi kita melihat ini umpama tikus membaiki  labu kerana kita lihat ia tidak dapat memastikan rang  undang-undang memberi kesejahteraan kepada rakyat sepenuhnya," jelasnya.
Mahfuz  juga menganggap rakyat belum bersedia untuk menghadapi GST kerana  pendapatan rakyat masih rendah.
"Pendapatan rakyat masih rendah  kerana 93 peratus rakyat tidak layak dicukai kerana faktor pendapatan  mereka. Jika GST dilaksanakan maka ini tidak adil kepada rakyat yang  tidak layak dikenakan cukai," sambungnya lagi.
Persidangan  Parlimen pada kali ini menarik minat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan  menyifatkan titah Yang DiPertuan Agong bersifat adil.
Mengulas  titah baginda, Khalid berkata Tuanku Mizan Zainal Abidin  mengarahkan  agar setiap Ahli Parlimen bekerjasama untuk pembangunan rakyat.
"Walaupun  kita berbeza dari segi konsep parti tetapi yang penting ialah bagaimana  kita menterjemahkan kepentingan negeri dan negara untuk kepentingan  rakyat dan perkara yang paling penting ialah kita mesti memberikan  memberitahu pentadbir serta pegawai kerajaan supaya tidak membezakan  antara parti-parti politik
"Sebagai contoh di Selangor pemerintahan adalah Pakatan Rakyat dan bekas pegawai-pegawai kerajaan menterjemahkan usaha Pakatan Rakyat untuk membangunkan negeri Selangor dan tidak boleh dibeza-bezakan," jelas beliau.
Mahfuz pula berkata titah Yang Di-Pertuan Agong supaya setiap Ahli Parlimen menunjukkan sikap terbaik mereka perlu diambil iktibar kepada Ahli Parlimen yang melompat parti.
"Contoh Ahli Parlimen yang terbaik adalah Ahli Parlimen yang tidak melompat parti kerana ini adalah prinsip dan amanah yang telah diberikan rakyat kepada mereka. Kepada Ahli Parlimen yang lompat parti perlu melepaskan jawatan mereka kerana sikap mereka telah mengecewakan rakyat," tegas beliau.