BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Ahad, Julai 05, 2009

Kenyataan Media SUA Berhubung Tuduhan Bank Malaysia Terbabit di Dalam Transaksi Penjualan Senjata Oleh Korea Utara

—Kenyataan Media Untuk Edaran Segera—


5hb Julai 2009


Parti Keadilan Rakyat memandang serius perkembangan mutkahir di Laut Timur. Korea Utara telah pun melancarkan 7 peluru berpandunya ke arah bahagian pantai timur negaranya. Tindakan ini jelas menyalahi resolusi 1874 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berusaha mengendurkan ketegangan di rantau itu. Komuniti antarabangsa melahirkan rasa kesal dan mengecam keras pelancaran peluru berpandu tersebut.


Resolusi 1874 yang diluluskan pada 12hb Jun 2009 itu mengharamkan sebarang ekspot senjata oleh Korea Utara. Langkah ini bertujuan menyekat Korea Utara dari menggunakan dana hasil penjualan senjata bagi pembangunan program senjata nuklearnya. Makanya amatlah penting resolusi ini dipatuhi dengan kerjasama komuniti antarabangsa demi mewujudkan keamanan berkekalan, bukan sahaja di rantau Timur Jauh, bahkan juga di seluruh Asia.


Oleh itu adalah mengejutkan apabila beberapa laporan akhbar dari Korea Selatan mengaitkan bank di Malaysia digunakan untuk transaksi pembayaran penjualan senjata dari Korea Utara ke Myanmar. Tambah membimbangkan apabila rombongan khas perlaksanaan resolusi 1874 dipatuhi yang diketuai Phillip Goldberg, dijadualkan ke Malaysia, bertujuan memastikan negara ini mematuhi perlaksanaan resolusi tersebut. Sekiranya benar tuduhan yang dilaporkan akhbar terbabit (Korea Herald dan Korea Times), kita merasa kesal dengan kecuaian kementerian dalam negeri dan regulasi kewangan negara.


Keadilan menekankan isu keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dipandang remeh. Kerajaan mestilah bersikap telus serta bertanggungjawab, terutamanya apabila menangani isu sebegini. Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar Rumah Putih bertarikh 26 Jun 2009 menyatakan antara butir penting perbualan Presiden Obama dan Dato’ Seri Najib ialah memastikan perlaksanaan resolusi 1874 dipatuhi. Ini jelas bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia tersebut kepada media dan rakyat Malaysia berhubung perbualan telefon beliau dengan Presiden Amerika Syarikat itu. Dato’ Seri Najib sewajarnya menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat. Kita bimbang sekiranya terbukti tuduhan bank di Malaysia terbabit di dalam transaksi penjualan senjata oleh Korea Utara, negara ini akan dikenakan tindakan keras oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sepertimana yang nyaris dikenakan apabila syarikat Scomi Precision Engineering dikatakan terlibat di dalam menghasilkan komponen senjata nuklear.


SALEHUDDIN HASHIM
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI KEADILAN RAKYAT




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB